Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Thursday, May 19, 2016


*Entry yang dikorek balik entah zaman bila. Dah 4 tahun berlalu. Rupanya tak post lagi. Sambungan bahagian 1 di sini.

_Ok, sambung balik ha.

* * *

Hari ke 2 (29/11/2012)

Pagi hari memang sejuk. Teramat sejuk. Mujur lantai-lantai guesthouse di Korea ini kebanyakannya mempunyai sistem heating floor yang bagus. Memang aku tak tidur atas katil pun. Tidur atas lantai lagi selesa. Lantai kayu yang panas. Atas katil memang sangatlah sejuk huish. Dah pasang heater pun sejuk. Tak boleh tahan.

Brrr.

Oh ya, tak silap aku waktu itu syuruk lebih kurang pada pukul 5:30 pagi ke 5:45 pagi macam itu. Memang gagah jugalah nak bangun. Pagi-pagi buta dah bunyi alarm. Bunyi azan pula itu alarm ini. Lantang dan jelas. Nasiblah dengan jiran-jiran di bilik sebelah. Bergegar koklea dibuatnya.

Sarapan.

Kami makan sarapan paling berat. Waktu-waktu sejuk macam ini memang kebuluran. Aku pula memang jenis sarapan kena sehabis berat. Berhampiran guesthouse itu memang ada banyak convenience store. Sangatlah best. Sebab convenience store memang merata-rata dan Dunkin Donuts pun bersepah-sepah. Serius banyak. Donut pun pelbagai jenis memang tak pernah ada di Malaysia punya donut. Boleh kata setiap 200 meter pasti akan ternampak Dunkin Donuts.

Pagi itu kami jalan-jalan di sekitar Myeondong dulu. Sejuk dingin tapi dah banyak juga kedai-kedai yang dibuka. Matahari terik tapi cuacanya sejuk. Dia punya breeze itu... syiung memang segar.

Kemudiannya baru bertolak dari Seoul Station ke Gimpo Airport. Penerbangan ke Jeju ini mengambil masa lebih kurang 45 minit rasanya. Kami naik EasterJet. Penerbangan ekonomi. Dia punya kapal terbang itu... humang aih memanglah kecil betul. Kalau kaki kau panjang macam Lee Kwangsoo (Running Man) memang istighfarlah banyak-banyak sepanjang perjalanan. Bertabahlah menahan kaki kebas.

Tiba di Jeju pada jam 5:15pm. Kemudiannya, menginap di U and I. Kami suka tempat tinggal ini sebab sangat selesa. Orang-orangnya pun sangat peramah dan rajin teramat. Memang baik hati betul. Dapurnya pun besar gila. Boleh masak macam-macam. Serba-serbi lengkap dan self-service.

Jeju ini tidaklah se-happening Myeondong pada malam hari. Mungkin disebabkan cuacanya yang terlalu sejuk pada malam hari jadi tidak ramai sangat orang melepak di luar. Orang-orang macam kami saja. Itu pun tak bertahan lama. Dia punya angin malam itu memang menderu-deru.

Syiuu.

Di Jeju ini, makanan ruji kami satu jenis saja. Bibimbab. Ala-ala nasi goreng. Agak mahal juga harganya (KRW6000). Lebih kurang RM12 rasanya. Tapi portion memang besar betullah. Disebabkan cuaca pun sejuk, jadi belasah sajalah makan bibimbab hari-hari pun tak apa. Kebuluran secara luar biasa. Apa pasal entah.

Apa rasa bibimbab?

Emm, berkonsepkan nasi goreng yang dipenuhi sayur semata-mata dan telur goreng separuh masak... layanlah juga. Tetapi rasa makanan itu tak sama macam rupa fizikalnya. Macam agak indah rupa dari rasa. Pedas gila nak mati. Garam ke gula ke memang tidak berasa langsung. Agak tak berapa nak ngamlah tekak saya dengan selera orang Korea ini. Nasib baik aku bawa bekal serunding. Terubat juga rindu dengan rasa garam dan gula secukup rasa makanan Malaysia (poyo betul waemah baru beberapa hari saja di perantauan).


Hari ke 3 (30/11/2012)

Jeju ini sebenarnya sangat banyak tempat-tempat menarik yang boleh dilawati. Tetapi biasanya di bahagian selatan dan utaralah. Memandangkan kami semua ini buta huruf Hangul, jadi kami cuma mampu menyewa pakcik teksi saja. Nak lagi jimat, kami sewa pakcik teksi yang tak pandai berbahasa Inggeris dengan beranggapan mungkin boleh pakai Google Translate saja nanti. Kalau tak silap dalam KRW100,000 satu hari… itu bayaran untuk 3 orang. Kalau yang pandai berbahasa Inggeris dalam KRW130,000.

Memang agak ayam dan itik jugalah di sepanjang perjalanan itu.

Ini website untuk sewa perkhidmatan teksi di Jeju. Tapi dalam bahasa Koreanlah. Jejudotaxi. Kami minta tolong budak perempuan comel di guesthouse U & I itu carikan kalau nak jalan-jalan pakai taxi. Bahasa Inggerisnya taklah fasih sangat tapi sangat baik hati. Siap tolong rancangkan itinerari kami.

Lokasi-lokasi yang kami lawati termasuklah:
a) Seongeup Folklore Village (Free entrance)
b) Manjanggul (Entrance Fee: KRW6,000 per person)
c) Seongsan Ilchubong (Entrance Fee: KRW2000 per person)
d) Gimnyeong Maze Park (Entrance Fee: KRW3,300 per person)


Hari ke 4 (1/12/2012)

Lokasi pada hari kedua bersama pakcik teksi yang sama:

  • Hallasan Mountain (tak masuk.. depan kaunter saja. Bolehlah nampak dari luar itu Hallasan yang awesome dipenuhi salji. Ala sebenarnya boleh masuk. Dia cakap alasannya baju kami pakai tu tak sesuai. Sebaliknya kami dibawa melawat ke rumah ibunya yang dipenuhi dengan kebun buah oren. Dapatlah juga satu plastik oren Jeju. Besar hoh! Memang rezeki.)
  • Jungbang Falls (Entrance fee: KRW2000 per person)
  • Jungmun Daepo Cliff (Entrance fee: KRW 2000 per person)
  • Tricky Art Museum (Entrance Fee: KRW 8000 per person) - kami tak bercadang pun ke sini. Bosan kot melawat muzium. Tapi disebabkan ini tricky art muzium, jadi sedikit seronoklah juga. Cuma keseronokan berkurangan disebabkan pakcik itu menyibuk sama masuk dalam gambar. Kalau dia berkelakuan baik tak apa juga, ini hampeh betul. Sabar sajalah Sabariah.


Hari ke 5 (2/12/2012)

Pulang semula ke Seoul. Kami bertolak dari Jeju ke Gimpo (8:10am – 9:15am). Kemudiannya, check in ke Zaza Backpackers (drop luggage sebab tak boleh nak masuk awal…checkin kol 2pm)

Sambil menunggu itu, kami membuat lawatan sambil belajar ke Gyeongbokgung Palace (Entrance Fee: KRW3,000 per person). Aku rasa palace ini ada dalam drama Korea 'Rooftop Prince' kalau tidak silap. Nak ke situ, ambil Seoul Subway Line 3 dan kemudiannya ambil Exit 5. Nanti jalanlah beberapa meter ke hadapan. Lebih kurang 10 minit agaknya baru sampai.

Dah petang-petang sikit itu barulah kami ke Hongdae station, melawat Hello Kitty Café yang glamour itu. Serba-serbi adalah Hello Kitty. So pinkish. Kalau nak ke situ, ambil subway Line 2, ke Hongdae (Hongik University) station. Hongdae itu Hongik University. Sama tau. Tak perlu nak rasa keliru. Lepas itu menuju ke exit 6.

Harganya boleh tahan sedikit menakjubkan jugalah. Disebabkan aku tak into Hello Kitty (terlalu pinkish dan girlish) jadi aku cuma kagum dengan rekaan dalamannya saja. Sebab semua pun nak Hello Kitty. Nasib baik comel. Silingnya pun tak tinggi sangat. Memang sesuai untuk anak-anak gadis bergossip dan melepak melepaskan batuk di tangga.

Kawasan Hongdae itu memang sangatlah happening sebab student ramai kan. Jadinya harganya pun tidaklah murah mana. Markup tinggi juga. Tapi kalau baju-baju itu banyaklah juga yang dijual dengan harga yang berpatutan. Rekaannya pun lebih funky dan stylo sikit. Sebab target market dia pun student kan.


Hari ke 6 (3/12/2012)

Mengikut kajian cuaca, salji akan turun pada hari ini. Jadi, kami bercadang ke Namisom atau Pulau Nami dengan harapan ada jodoh bertemu salji di sana. Bayaran masuknya sebanyak KRW8,000 seorang.

Untuk ke Naminara, tengok peta subway itu dan pilih line subway yang paling best untuk ke Cheongnyangni station. Sebab dari situ nanti nak kena ambil ITX train menuju ke Gapyeong station. Bayaran ITX itu dalam KRW4,000 seorang untuk sehala. Dalam tren itu dah nampak sayup-sayup tanda salji turun. Bila dah nak dekat sampai je dah nampak daratan tu putih.

Osem gila ah dingdong.

Memang bergambar lama depan stesen Gapyeong tu. Jakun kot nampak salji. Banyak gila ais kepal. Memang licinlah tapi kan nak berjalan atas itu. Kemudian kami ambil teksi ke jeti.. dalam KRW2,500 tak silap. Sebenarnya dekat je. Kalau nak jalan kaki pon boleh. Ikut stamina masing-masinglah. Dalam 30 minit sikit rasanya kalau jalan. Sebab kalau naik teksi pun kurang dari 10 minit je.

Di jeti, ramai manusia tengah beratur depan kaunter bayaran. Dalam kelebatan salji yang gila sejuk ah dingdong itu kami redah saja beratur sambil dihujani salji. Bayarannya sebanyak KRW8,000 utk feri dan masuk ke dalam pulau sekali. Cecah saja pulau Nami, memang serius jakun gila. Tebal gila salji. Kalau pakai Converse ke sini memang confirm dah tergolek dan kaki terasa kebas perit dicucuk kesejukan (pergh, ayat nak sastera saja).

Kami tak jalan jauh pun di Pulau Nami itu. Tak sampai pun ke tempat yang ada bangku, patung heroin dan hero Winter Sonata berdiri berpelukan (aku tak tahu nama sebab aku tak tengok drama melodramatik tahap gila macam ini) dan juga patung snowman. Kami cuma jalan sekitar-sekitar di bawah pokok-pokok tinggi yang memang trademark drama Winter Sonata ini.

Masa itu ada seorang brader ini jalan dengan member-member tapi dia pakai spek hitam sambil keluar efek lagu Winter Sonata dari handphone. Lepas itu buat muka poyo dan jalan seorang diri mengenang nasib macam watak hero dalam drama itu. Lawak gila. Nasib baik kacak. Oh ya, kami main perang bola salji. Baling ais kepal. Lepas itu baring-baring sambil menganga mulut dan dihujani salji. Sangatlah 3D efeknya. Humang aih memang subhanaAllah.

Best gila habis.

Baliknya kami ke Dongdaemun market. Banyak gila kedai-kedai yang menarik. Macam konsep Masjid Jamek dan Jalan TAR punya pasar. Tapi sebab tak larat, kami cuma mampu beli ddubooki yang penas (pedas dan panas) nak mampus (serius air hidung menderu-deru keluar daripada hidung dalam kesejukan itu) sambil berjalan keluar dari Dongdaemun. Kedai-kedai yang ada memang kami pandang sebelah mata saja. Pancit gila. Cadangnya nak ke Namsan Tower tapi memang harapan tulus ikhlaslah kan. Malam itu salji turun di Myeondong. Awesome bukan main.


Hari ke 7 (4/12/2012)

Melawat Itaewon. Tempat yang dipenuhi foreigner. Di sini ada Seoul Central Mosque. Di kiri kanan jalan memang banyak makanan halal. Majoriti middle east food. Kalau nak merasa makanan korea boleh ke Muree restaurant (lokasi dia tak jauh dari masjid tu). Kami makan kimchi chigae di situ. Kemudiannya berhampiran kawasan masjid itu ada banyak Halal mart… kiranya bolehlah beli macam-macam makanan buat stok.

Kalau nak cari souvenir… beli di Namdaemun sebab dia murah lagi dari Itaewon ini. Tapi kalau nak cari t-shirt menarik dan rare berunsur Korea sebagai souvenir, cari di Itaewon atau Dongdaemun. Tapi design-design di Itaewon lebih cantik sikit. Cuma di seoul ini tak banyak jual tshirt suvenir.

Namdaemun market. Masuk ke dalam pasar ini kemudiannya di bahagian tengah ada bangunan setingkat. Cuba masuk. Di dalam itu semua jewellery dan beg-beg handmade. Di situ memang tempat mereka menjual barang secara pukal. Kira tempat boronglah. Tapi kalau nak beli sikit-sikit pun boleh saja. Murah. Memang boleh juling mata.


Hari ke 8 (5/12/2012)

 Hari terakhir kami ke Namsan Tower. Ala, tempat yang ada banyak padlock itu. Kira macam kalau kau dan pasangan letak padlock di tower itu nanti sama-sama boleh hidup kekal dan bahagialah kononnya. Nak ke kawasan cable car itu kami cuma jalan kaki saja dari Zaza Backpackers. Setibanya di cable car itu kau bayar dalam KRW8000 seorang untuk return trip. Kalau tak silap boleh saja kalau kau nak mendaki dari bawah sampai ke puncak Namsan itu. Tapi tinggi mengalahkan Batu Caves lah. Kena gigih sikit. Waktu itu memang salji makin lebat. Sejuk gila.

Tak lama kami di atas itu. Dalam 3 jam agaknya. Lepas itu kena rushing ke Incheon airport. Macam orang gila juga menggelabah nak balik ke airport. Sebab kena tunggu cable car lagi. Lepas itu kena ambil subway ke Seoul station lagi. Lepas itu kena naik AREX ke Incheon pula. Gelabah ayam jugalah.

Tapi overall memang Korea ini macam yang aku bayangkan dalam drama-drama dan Running Man.

Memang boleh singgah lagi.

Tips? Tunggu next entry_

Kategori:

0 Responses to "Kembara Kimchi 80 Liter (Bahagian Terakhir)"

Post a Comment

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.