Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Tuesday, June 09, 2015


(Dikarang pada 20 Febuari 2012)

_Benar kata orang, jika tidak kenal maka tidak cinta.

Kembara 80 liter kali ini... ke New Zealand.

Kiwi.
Bungee Jumping.
Lord of The Ring.
Iklan susu Fern Leaf.
Iklan Salem Cool Planet.

Itu adalah kait-mengait yang aku bayangkan tentang New Zealand.

Jauh perjalanan, luas pemandangan. Benar. Bumi Allah ini teramatlah luas. Semakin jauh kaki melangkah, semakin terbenam jauh rasa kagum dengan ciptaan Allah. Dan benar, sesungguhnya bermusafir itu membuatkan kita lebih rasa bersyukur kepada Allah.

Memang subhanAllah... alhamdulillah... allahuakbar.

Dua minggu lepas, Allah murahkan rezeki ke sana. Dan memandangkan lawatan ini adalah tajaan syarikat 100%, maka tidaklah rasa terbeban mahu mengumpul duit untuk ke sana (horey!). Cuma perlu membawa duit perbelanjaan sendiri saja. Makan dan minum semuanya ditanggung beres.

Alhamdulillah.

7 Febuari 2012, touchdown di South Island New Zealand.

Christchurch.
Queenstown.
Ashburton.


*map credit to Backpack-New Zealand

Lokasi pertama... Christchurch, kia ora.



Kami bermalam di Hotel Chateau On The Park untuk satu malam. Kesan-kesan bangunan yang runtuh dan rosak teruk akibat dilanda gempa bumi masih terzahir pada mata kasar. Jalan-jalan tar juga kelihatan bertampal di sana-sini. Banyak juga bangunan yang sedang dalam proses pembaikan.



Hotel Chateau On The Park.



Rekaan hotel ini menarik. Sangat klasik. Lampunya suram-suram sugul. Seakan-akan istana lama yang diperbuat daripada kayu. Siap ada askar lengkap berbaju besi dari atas sampai bawah sambil memegang tombak.



Memang dari mula sampai habis terasa murung dan mendung duduk di situ. Hebat betul kesan khas hotel ini.

Christchurch ini walaupun tidak kelihatan seperti bandar mati, namun jika dibandingkan dengan bandar KL ini... mungkin akan terasa seperti bandar mati juga. Kedai-kedai tidak banyak. Manusia-manusianya juga tidak ramai. I didn't see any Kiwi here. Jalanraya di sekitar kawasan perumahannya juga terasa lengang.

Kosong.
Gila kosong.
Sangat-sangat kosong.

Yang aku tahu, cuma satu. Musim panas di New Zealand inibukan seperti musim panas di Perth mahupun musim panas di Malaysia. Langsung tidak sama. Sebaliknya, di New Zealand ini musim panasnya seakan-akan musim bunga di Perth.

Suhu puratanya tidak melebihi 24 darjah selsius.

Dan musim panas pada tahun ini, hujan rahmat Allah kerap membasahi bumi Christchurch. Kadangkala renyai. Kadangkala lebat. Always showering. A very wet summer. Hasilnya, kesejukan dan kedinginan semakin rakus menggigit tulang-belulang.

Brrr...

Kedai-kedai di sini tutup awal. Sama seperti di Perth dulu. Jam 5:30 petang saja serba-serbi sudah bungkus. Walaupun sunset di Christchurch ini jatuh pada pukul 6 lebih petang (seingat akulah), tetapi suasana pada jam 6 petang itu seolah-olah macam baru jam 4 petang.

Ridikulus.

Lebih kurang pada jam 8:15 malam... aku tengok jam, aku tengok langit. Tengok jam semula. Kemudian tengok langit. Benar-benar cerah. Biar betul. Nampak macam baru jam 5 petang. Ini agaknya yang dipanggil daylight saving.

Ridikulus.
Memang kagum betul. Boleh tahan culture shock juga di sini. Perasaannya seolah-olah macam... "Kenapa tidak gelap-gelap ni? Mana bulan? Dah kena telan matahari ke apa?". Macam itulah lebih kurang.

Culture shock juga kan namanya itu?

Lebih kuranglah.

Di sini tempat makan memang senang nak cari. Walking distance. Sebab kami bukan duduk di tengah bandar. Tapi Christchurch ini tidaklah besar mana rasanya (marah pula nanti Kiwi dengan ayat itu).

Ok, aku rephrase balik.

Tempat makan memang senang nak cari, tetapi... bukan tempat makan yang halal. Rasanya tiada langsung. Cari punya cari memang tidak jumpa. Kesudahannya kami makan di Nandos. Sebab itu saja premis makanan yang dikenali.

Veggie prata.

Er, veggie apa entah namanya. Aku jarang makan di Nandos. Tidak ingat pun menunya. Tetapi inilah satu-satunya sumber so called vitamin+karbohidrat+protein yang aku rasa boleh pergi jauh ke dalam perut.

Selesai saja menghadap rezeki, kami meneruskan perjalanan menjelajah sendiri bandar kecil di Christchurch ini. Ada convenience store. Ada kedai. Ada kedai. Dan ada kedai.

Di sini jika ingin melintas, tidak perlu pandang kiri kanan. Baca bismillah dan lintas saja. Zebra crossing sangat banyak. Setiap kali anda melintas, kereta akan berhenti dengan serta-merta memberi laluan kepada anda.

Tidak payah bandingkan dengan Malaysia.
Memang failed gila mannerism.

Jalan punya jalan jumpalah juga dalam dua buah kedai makanan halal. Kedai kebab dan kedai makanan arab (ke India entahnya). Tetapi sudah tutup. Lebih pantas dan tuntas membungkus kedai.

13 darjah selsius lebih kurang.

Sejuk sebenarnya. Sebab masih showering. Dengan angin dingin menderu-derunya. Akhirnya, lebih kurang jam 9:30 malam kami menapak semula pulang ke hotel. Senyap sunyi sungguh jalan. Not even a Kiwi here.

Oh, ya.

Waktu solat di Christchurch ini tidak seperti di Perth yang serba-serbinya awal. Gila terkejar-kejar semasa di Perth dulu. Berbeza pula dengan Christchurch, waktu solat di sini lebih lambat.

Waktu zuhur masuk pada jam 2 petang lebih kurang, asarnya lebih kurang jam 5 lebih petang. Maghribnya pula jam 9 lebih malam. Isyaknya pula jam 11 lebih malam. Mengantuk juga nak menunggu Isyak. Mujur boleh jamak. Langsaikan saja terus sekali go.

Buka televisyen... bahasa Maori.
Buka radio... bahasa Maori.
Tidur sajalah.

Malam itu memang tidak lena tidur. Berkali-kali terjaga. Siap mengigau. Ini agaknya yang dipanggil jetlag. Semasa di Perth dulu tidaklah seteruk ini. Penerbangan 10 jam ke New Zealand memang memenatkan.

Teruk juga mengigaunya.

Jadi letih dibuatnya. Aku kunci jam nak bangun pukul 4:30 pagi waktu NZ. Tetapi jam di handphone ini masih lagi waktu Malaysia (tak roaming jadi aku malas nak update time).
Kemudiannya setiap sejam aku terjaga.

Setiap kali member pergi toilet, aku terjaga. Kali kedua itu terus aku bangun terkejut. Ingatkan dah pagi. Mati-mati aku ingatkan dah terlepas Subuh. Disebabkan aku tengok jam Malaysia, aku ingatkan dah lewat gila sebab NZ awal 5 jam dari Malaysia.

Terus terduduk atas katil.

Sambil itu merepek-repek cakap dengan member kenapa tidak dengar bunyi alarm clock. Dah pagi... bla bla bla. Member dah terasa pelik sambil berkerut-kerut dahi. Kesudahannya member tegur, "Pergi tidurlah. Baru pukul 1 pagi. You merepek apa?".

Terkebil-kebil sekejap.

Kesudahannya baru dapat tidur. Itu pun jam 4:30 pagi dah terbangun balik. Memang lintang-pukang berlari arus aku punya waktu tidur. Fuh, penat gila badan dibuatnya.

Tetapi alhamdulillah. Walau pun sekejap, dapat juga terasa nikmat tidurnya.

Esok perjalanan ke Queenstown bermula_


p/s:

Travelogue lengkap berbentuk ilustrasi ada di Facebook. Kalau nak tengok, anda buatlah apa yang patut. Malas nak upload berkali-kali. Tulis ringkasan perjalanan saja di sini. Itu pun tidak ringkas juga. Panjang berjela. Semuanya ada 3 bahagian. Tak perlu banyak-banyak. Kembara ke Perth dulu aku dah dapat pengajaran. Huahuahuahauhaua.

Kategori:

0 Responses to "Kembara Kiwi 80 Liter (Bahagian 1)"

Post a Comment

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.