Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Sunday, April 29, 2012


_28 April 2012.

#Bersih3.0, #bersihStories, #DataranMerdeka

Kenapa aku ke situ?
Sebab aku kisah.

Dan ini adalah kisah pada hari ini dari sudut 360 darjah pada pandangan mata sendiri.

9:30 am - LRT Sri Rampai
Sunyi sepi. Beranikan diri juga turun ke padang. Seorang diri. Sehelai sepinggang. Tiada tuala. Tiada garam. Tiada air. Takut sebenarnya nak turun seorang-seorang. Perempuan kan. Akhhirnya nekad. Tawakal saja. Allah kan ada. Nak takut apa. Dalam LRT rupa-rupanya sudah ada lebih ramai lagi peserta Bersih. Lega sedikit terasa. Menderu-deru karbon dioksida terhembus keluar.

Aku rasa tiga suku daripada penumpang LRT ini adalah penyokong Bersih. Separuhnya berbangsa Cina dan separuh lagi berbangsa Melayu. Mungkin juga ada yang berbangsa India, maaf aku tidak perasan. Hijau dan kuning. Masing-masing berwajah ceria dan gembira. Tiba-tiba saja terasa sangat overwhelming. Oh!

9:45 - LRT Setiawangsa
Seorang ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong (kalau tidak silaplah sebab pandang sekilas saja) turut serta masuk ke dalam perut gerabak. Ramai yang menuju ke arah beliau untuk bersalaman dan mengambil gambar. Reda sedikit rasa cemas ternampakkan pemimpin. Tidaklah terasa seperti terkontang-kanting sangat. Semakin menghampiri stesen Masjid Jamek, semakin berdebar-debar terasa. Mungkin sebab ini kali pertama turut serta.

10:15 - LRT Masjid Jamek
Setibanya di sana. Hilang terus rasa cemas. Manusia... ya Allah ramainya. Aku memang tidak tahu nak ke mana. Sebab seorang diri. Di kiri dan kanan memang ramai lelaki. Ikut saja mana-mana kumpulan pelajar perempuan di situ. Mujur ada seorang rakan yang bertugas sebagai wartawan MalaysiaKini di situ. Sempatlah juga menyibuk sebelum jumpa hala tuju. Pasukan media tiada batasan. Mereka dibenarkan ke mana-mana. Ke hulu ke hilir dari hujung jalan Tun Perak sehingga ke depan dataran Merdekalah kami.

Waktu itu, pihak polis belum buat apa-apa pun. Tiada kekerasan pun daripada pihak polis. Langsung. Mereka cuma berdiri senyap-senyap di tepi jalan sambil memerhatikan peserta-peserta Bersih. Dari hujung jalan ke hujung jalan. Ini bukan FRU. Ini adalah polis biasa. Ah, ya termasuklah terpacak tegak di hadapan barbed wire dan halangan empat segi itu (apa benda entah namanya).

Pelbagai jenis laungan kedengaran dari setiap corok jalan.

"Hidup... hidup... hidup rakyat!"

"Bersih... bersih... hidup Bersih!"

"Reformasi! Reformasi!"

"Negaraku... tanah tumpahnya darahku..." dinyanyikan sehingga habis.

"Takbir!"
"Allahuakbar!"

Meriah. Dan sangat aman. Pintu-pintu kedai kebanyakannya tertutup rapat. Cuma sebuah kedai makan saja yang dibuka. Kedai makan Dapur, agaknyalah... tidak berapa ingat namanya. Bersebelahan Masjid Jamek. Mujur ada kedai yang dibuka. Dapat juga peserta-peserta Bersih ini menjamah rezeki sebelum memulakan aktiviti. Waktu itu memang kawasan Masjid Jamek sudah semakin sesak. Masing-masing duduk di kiri dan kanan bahu jalan. Langkah diperlahankan. Cari port. Dan tunggu seorang-seorang di situ. Tua, muda, lelaki dan perempuan pelbagai bangsa masing-masing duduk berhimpun di situ.

10 lebih ke 11:00 - Jalan Tun Perak
Segerombolan peserta Bersih berbasikal seramai lebih kurang 10 orang (majoritinya adalah pakcik makcik Cina) mula masuk ke Jalan Tun Perak dan terus menuju ke Dataran Merdeka. Basikal bersaiz kecil seperti basikal BMX. Pelbagai aksi. Pelbagai gaya. Sangat meriah. Masing-masing dengan tujuan dan tuntutan yang sama.

12:00 tengahari ke 2:00 petang - Dataran Merdeka
Suasana tiba-tiba semakin meriah. Mungkin ini kemuncaknya. Lebih ramai lagi manusia menuju ke arah Dataran Merdeka. Sorakan semakin kuat. Dengan laungan takbir dan sorakan yang pelbagai. Masing-masing dinasihatkan agar tidak provoke pihak polis (termasuklah membaling botol-botol air kosong). Masa ini pihak polis masih steady lagi. Berdiri sambil memerhati peserta-peserta Bersih.

Jumlah sebenar peserta, aku tidak pasti. Tapi aku tidak nampak hujung jalan Tun Perak dan hujung Dataran Merdeka itu. Di kiri dan kanan memang penuh dengan manusia. Serba kuning dan hijau. Helikopter pula kelihatan berlegar-legar di udara. Memantau barangkali.

Di hadapan barbed wire kurang 50 meter, masing-masing mula melabuhkan diri dan bersorak dalam keadaan duduk. Inilah dataran 'Merdeka' kami. Cuaca sangat panas. Mujurlah kebanyakan peserta mula memenuhi kawasan di bawah landasan Star LRT. Kami duduk betul-betul di persimpangan empat jalan di tepi Dataran Merdeka. Di belakang pula adalah bangunan DBKL. Reduplah sedikit.

Oh, ya. Sepanduk DBKL oleh salah seorang peserta...

D = Duduk
B = Bantah
K = Kami
L = Lawan

Di hadapan, duduknya seorang makcik bersama dua orang anak daranya dan seorang anak lelaki. Dari Kelantan. Di belakang pula duduknya seorang pakcik tua berjanggut (aku ingatkan Pak Samad). Di kiri dan kanan pula dipenuhi kaum lelaki muda. Masing-masing duduk bersorak, berselawat dan melaungkan takbir. Waktu semakin menghampiri jam 1 tengahari. Ketibaan para pemimpin Bersih seorang demi seorang. Azmin Mohd, Tian Chua dan beberapa orang lagi. Kalau tidak silap, rasanya terdengar yang Karpal Singh juga turut serta dengan kerusi roda (maaf kalau tersilap).

Disebabkan pembesar suara itu sayup-sayup saja bunyinya, tenggelam timbul suara mereka. Kami dilarang oleh pemimpin untuk membuat sebarang provokasi. Baling botol pun tidak dibolehkan. Berkali-kali diulang pesan. Ketika itu para pemimpin lain masih dalam perjalanan. Disekat dalam perjalanan. Di Brickfields katanya. Masing-masing diminta bertenang dan tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi daripada pihak polis. Waktu itu pihak polis masih belum bertindak. Masih setia terpacak di hadapan dataran.

Laungan azan Zohor kedengaran. Masing-masing senyap sunyi berhenti bersorak. Kelihatan dua orang paragliders berkeliaran di udara dari jarak dekat. Dengan kamera di kepala. Hebat. Media atau polis? Entah. Semata-mata untuk Bersih 3.

Dari jauh kelihatan sebiji demi sebiji trak FRU berkumpul di hadapan dataran. Trak-trak polis juga mula beransur dan memasuki Dataran Merdeka. Pihak polis mula meninggalkan lokasi di ceruk-ceruk jalan dan memasuki kawasan Dataran Merdeka. Bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan. Kedengaran pelbagai sorak dan tepukan ketika pihak polis lalu di hadapan kami. Pihak polis ada yang menundukkan muka, ada yang mengetatkan muka, ada yang memandang bersahaja.

"Rasuah! Rasuah! Rasuah!"

"Polis handsome! Polis handsome! Polis handsome!"

"Bagi laluan! Bagi laluan!"

2 petang - Dataran Merdeka
Semakin ramai. Sangat ramai. Sangat-sangat. Menjelang 2 petang, sorakan semakin kuat. Doa. Takbir. Selawat. Negaraku. Cuaca sekejap panas. Sekejap sejuk. Keadaan masih lagi stabil. FRU mula turun daripada trak mereka. Dan maju ke hadapan setapak demi setapak. Peserta-peserta Bersih mula melaungkan agar Dataran Merdeka dibuka.

"Buka! Buka! Buka!"

"Dataran Merdeka hak rakyat!"

"Hidup... hidup... hidup rakyat!"

3:00 petang - Dataran Merdeka
Laungan semakin kuat. Masing-masing mula berdiri dan bersorak "hidup rakyat!". Trak FRU semakin maju ke hadapan.

3:10 petang - Dataran Merdeka
Aku tidak pasti adakah laungan tiba-tiba kuat disebabkan pemimpin sudah berada di lokasi. Sebab tiba-tiba kedengaran gas pemedih mata ditembak ke udara. Masing-masing bertempiaran lari. Waktu itu memang terasa macam ada rusuhan. Masing-masing cuba menjauhkan diri daripada terhidu bau gas pemedih mata. Berhimpit-himpit. Ditolak. Ditarik. Hampir-hampir terjatuh. Cepat-cepat aku berpaut pada tiang lampu jalan beberapa saat sebelum melarikan diri.

Gas pemedih mata itu... baru aku tahu macamana rasanya.

Ya Allah, betul-betul pedih jika terhidu. Muka akan terasa pedih pijar. Cuba kau ambil cili padi dan tenyeh-tenyeh pada muka. Begitulah pijarnya. Kedua-dua belah tangan juga terasa pijar dan pedih. Mata pula serta-merta pedih berair-air dan merah. Langsung tidak nampak jalan. Selepas terhidu, batuk-batuk dan muntah. Hampir-hampir sesak nafas sebab terhidu banyak.

Sangat tidak tahan. Terhuyung-hayang. Sakit kepala. Mujur ramai hamba Allah yang menghulurkan garam dan air. Aku basahkan tudung dan pekap semula hidung. Kami berlari menuju ke jalan TAR. Mencari tempat perlindungan. Terjatuh sebiji motor yang sedang diletakkan molek sewaktu kami melarikan diri.

"Jangan lari! Jalan biasa! Jangan lari!" peserta-peserta Bersih yang lain menenangkan keadaan.

Tiada hala tujuan. Kami cuma mampu maju ke hadapan. Pihak polis sudah mula keluar dan maju ke hadapan. Trak-trak FRU semakin ligat melepaskan gas pemedih mata ke udara. Gila.

Setibanya di Jalan TAR, pihak polis sudah mula maju ke hadapan menghalau peserta. Trak FRU sudah mula memasuki jalan TAR. Gila.

Aku memanjangkan langkah menuju ke STAR LRT Bandaraya. Bersebelahan dengan Sogo. Rupa-rupanya ramai peserta Bersih berhimpun di situ berhadapan FRU. STAR LRT ditutup. Peserta Bersih dan pengunjung biasa yang tidak berkaitan berkumpul menunggu pintu STAR LRT dibuka. Sogo ditutup. Semua kedai di jalan TAR tertutup rapat. Trak FRU semakin maju.

Kelihatan beberapa orang peserta Bersih mula meletakkan papan-papan kayu dan benteng-benteng berkotak under construction (apa nama benda ini entah) di bawah LRT Bandaraya. Sekatan agar trak FRU tidak maju ke hadapan sambil gila semborono menembak gas pemedih mata ke udara.

Di situ bersama-sama mereka, aku maju ke hadapan. Tidak berani sangat sebab nanti nak kena stand by lari lagi. Tetapi beranikan diri juga. Bukannya nak baling bom ke arah polis pun. Nak berdiri semata-mata. Pihak polis mula mara ke hadapan. Gas pemedih mata dilepaskan lagi. Siapa yang lari pasti akan dibelasah. Jadi kami diarahkan berjalan jika berundur.

Wakil pemimpin Bersih mula ajak rapat ke hadapan.

"Don't be afraid. Polices are also human! Come! Come forward!"

"Please come forward! We have to stay united!"

"Hidup... hidup! Hidup rakyat!"

Berundur ke tepi. Kemudian kami maju lagi. Ditembak gas. Berundur lagi. Maju semula. Kali ini aku berdiri di sebelah tepi. Betul-betul di hadapan kawasan bangunan KWSP. Salah seorang peserta Bersih keningnya berdarah dan matanya bengkak akibat dipukul pihak polis. Berbangsa Cina.

"I was just standing near the LRT and suddenly the police came and hit me!" katanya.

Entah dari arah mana tiba-tiba kelihatan pemimpin Bersih, @TianChua bergerak bersama kami. Berjalan maju ke hadapan. Gas pemedih mata dilepaskan lagi. Kami bergerak ke tepi semula secara perlahan-lahan. Tidak lagi melarikan diri. Beberapa gas pemedih mata yang terlepas di hadapan kami disepak dan dibaling semula ke arah pihak polis oleh beberapa orang peserta Bersih.

"Are you ok?" Tian Chua tersenyum bertanya.

Aku angguk dan jawab ok.

Akhirnya benteng dibuka pihak polis dan mereka laju berlari mara ke arah kami. Sambil gas pemedih mata dilepaskan lagi. Berkali-kali. Kali ini memang betul-betul kena tinggalkan lokasi. Beberapa orang yang berlari habis dikejar dan disepak pihak polis. Ada yang memukul. Gila.

Aku berjalan perlahan-lahan. Dan terus laju-laju.

"It's ok. You walk. Jalan biasa saja. Walk with me." Tian Chua menenangkan aku.

Terasa sedikit bertenang. Kami melangkah ke celahan bangunan KWSP. Di situ peserta-peserta lain saling menghulurkan garam dan sedikit air botol mereka. Berkali-kali aku telan garam. Perit. Sakit dada. Tiba-tiba peserta-peserta mula berlari. Pihak polis beramai-ramai menuju ke arah kami. Aku tengok kanan, ada sungai. Di depan pula ada pagar, longkang dan barbed wire. Itu saja jalan keluar.

Kami pun melompat pagar, melangkah longkang besar dan terjun ke bawah. Pihak polis mula menjerit "Jangan lari!"

Elok saja aku melompat turun, segerombolan polis datang menerpa beramai-ramai. Seorang pakcik yang terjun di hadapanku bergegas lari. Namun disepak polis. Betul-betul di sebelah aku. Tersungkur pakcik itu. Dua orang polis yang menerpa ke arah aku, tiba-tiba berhenti. Sipi-sipi nak diterajang. Cuak gila. Bertubi-tubi selawat dalam hati. Barangkali sebab aku betul-betul berjalan dengan sangat perlahan. Langsung tidak cuba melarikan diri. Kaki terkehel sebenarnya.

Peserta-peserta yang lari tadi tiba-tiba maju menerpa ke arah pihak polis.

"Oi, kurang ajar polis! Sepak orang tua!"

Yang melawan, semakin teruk dibelasah. Benteng berkotak (apa kebendalah nama benda ini) itu disepak terajang. Tonggang-terbalik betul-betul di sebelah aku. Sebab aku seorang perempuan di situ. Jadi semakin kencang dia punya ngeri. Ya Allah. Gila ke apa polis ini.

Aku tidak pasti Tian Chua di mana. Tetapi aku rasa beliau tidak ikut serta kami melompat pagar tadi. Akhirnya kami berjalan di celahan bangunan dan keluar semula di jalan TAR. Kelihatan seorang wanita rebah ketika itu. Aku rasa beliau bukan peserta Bersih. Pakaiannya cantik-cantik macam sedang membeli-belah. Samada panas atau terhidu banyak sangat gas pemedih mata aku syak. Waktu itu FRU mula melepaskan gas ke arah celahan bangunan. Sangat gila. Ramai-ramai bergegas dan memindahkan wanita tersebut masuk ke dalam sebuah kedai yang kebetulan terbuka sedikit pintunya di jalan TAR itu.

Dari hadapan Sogo ke hujung jalan TAR kelihatan FRU sudah mula mengepong. Kami beramai-ramai berjalan pula menuju ke Masjid India. Masa itu memang betul-betul sudah hilang hala tujuan. Aku dah rasa nak balik. Pihak polis pun dari tadi halau suruh balik. Tetapi LRT semua kena sealed. Indah sungguh.

Di Masjid India, keadaan sudah sedikit tenang. Lepas 15 minit aku bergerak semula ke LRT Masjid Jamek. Kedengaran juga beberapa orang polis terjerit-jerit menghalau peserta-peserta Bersih yang masih berkeliaran di situ untuk balik. Ada yang sedang duduk minum-minum, mencari tempat berteduh dan berehat di persekitaran Semua House pun kena halau dan dihambat balik.

Masih ramai lagi peserta Bersih di kawasan itu. Tetapi nampak macam sudah kelihatan sedikit rileks. Tidaklah gila membabi buta melepaskan gas pemedih mata sesuka hati.

Setibanya di hadapan LRT Masjid Jamek, pintu besinya sudah dikopak. Waktu itu lebih kurang hampir jam 5 petang. Aku rasa barangkali LRT Masjid Jamek ini ditutup juga agaknya. Kesudahannya, mereka kopak saja. Di dalam itu kaunter LRT ditutup. Stesen STAR LRT ditutup. Alternatif yang ada cuma Putra LRT saja. Tiket pun percuma. Dah semua not in service. Hah. Sampai sekarang sisa gas pemedih mata itu terasa di tekak.

Pengalaman yang sangat berharga.

Aku rasa terpanggil untuk turut serta Bersih 3 ini sebab aku kisah. Dan aku rasa banyak benda dalam negara ini yang aku nampak tidak kena, berat sebelah dan sangat tidak adil. Duduk berpayungkan kuasa akan membutakan manusia dan merosakkannya serta-merta.

Aku tidak harap anda setuju dengan aku. Sebab dunia ini ada pengimbalnya. Ada kiri dan ada kanan. Ada ya dan ada tidak. Ada baik dan ada jahatnya. Ada betul dan ada salahnya. Cuma sedikit keadilan dan perubahan yang kami minta. Bukalah mata.

Terima kasih, Bersih 3.

Sesetengah orang baca... kemudian fikir dan nilaikan.
Sesetengah orang baca... kemudian telan.
Lain-lain, buta.

Anda yang mana_

Kategori:

26 Responses to "360 Darjah Bersih 3.0"

April 29, 2012 at 3:08 AM
ada orang baca blog dan wall partisan lalu menghentam polis.
ada orang baca blog dan wall partisan lalu menghentam peserta.

kau? kau pergi dan nilaikan sendiri. bagus.
buttet said :
April 29, 2012 at 3:10 AM
kau penyair dari gunung
 
Tok Rimau said :
April 29, 2012 at 8:26 AM
Love reading this! Takde gambo?
April 29, 2012 at 8:42 AM
:)


Untuk mereka yang against Bersih, tidak mengapa. Sesungguhnya mereka tidak tahu. Sampai kiamat pun akan in denial. Diserap propaganda media yang berat sebelah. Kebenaran dah sangat banyak. Cuma mereka memilih untuk tidak melihat. 

Suatu hari nanti, insyaAllah diizinkan.
April 29, 2012 at 8:43 AM
itu pak samadlah tet.
April 29, 2012 at 8:44 AM
Tak larat nak usung DSLR. Kamera kecik takde. Kamera phone je ada. Tapi sempat ambik sebiji je :p
mr azka said :
April 29, 2012 at 5:31 PM
pergi sendiri baru tau, apa itu nilai perjuangan. Tahniah Famia, jadi sebahagian dari sejarah.

ada seorang pakcik dari kedah, bagi tau ambo.. kita tak nak banyak 30% daftar undi yang bersih dah cukup buat bekal masuk putrajaya.
Jack Musa said :
April 29, 2012 at 7:19 PM
mmg kental la...
curx said :
April 29, 2012 at 10:18 PM
pehh, turun ek? ade org mintak otograp x? heheh
teringin gak nak join, tp smlm keje. & then pikirkan safety, tu yg risau nak join. jaga diri bebaik kalo join lg, kalo bole bwk kawan. kalo ade pape terjadi, at least ade org yg tau.
skrg dah buat 1 part, the next part is to vote in PRU13!

p/s: ade nampak insiden keta polis langgar org kat sogo x?
Mxdreams said :
April 29, 2012 at 10:40 PM
Salute and respect.. Bila sendiri turun padang and dapat menceritakan pengalaman.. Sesgt laa berharga.. Thanks for sharing your experience.. 
Anonymous said :
April 30, 2012 at 12:30 AM
besh cte kak ni...tp smp kesudah dataran masih xdpt 'ditawan'..walaupn DSAI turun bwk crowd dr LRT mesjid jamek polis masih xdibuka dgn kekerasan n memutuskan utk dia balik..tp yg hardcore still lg lepak dgn hasrat dpt balas dendam pd polis yg melanggar org, menyembur air dan menembak cannister..at last around 7pm last stock air ditembak..n gas ditembak pd puak hardcore2 menyebab kn sy tepaksa balik..dan ianya adalah pengalaman yg sgt berharga..pasni siap2 la gas mask utk next time BERSIH aite =)
Prince Noob said :
April 30, 2012 at 7:00 PM
tahniah tahniah...
nickmenza said :
May 1, 2012 at 5:37 AM
caya aa. tahniah untuk keberanian anda :)
May 1, 2012 at 8:47 PM
tahniah huzai, atas keprihatinan anda... dari segi penulisan pon dah semakin matang..
May 5, 2012 at 8:54 AM
insyaAllah ^_^

lama tak jumpa Fariz n famili. harap korang sihat2 hendaknya :)
May 5, 2012 at 8:54 AM
tidaklah berani mana sebenarnya ^_^
May 5, 2012 at 8:55 AM
insyaAllah :)
Sham Hassan said :
May 6, 2012 at 12:44 AM
salam

kalau dapat amik gambar2 yang sensitif sebagai bukti kan best? :)

congrats!
May 8, 2012 at 10:00 AM
waalaikumsalam wbt. Hehe. Memang niat turun tak nak ambil  gambar. Sebab first timer ^_^
May 8, 2012 at 10:01 AM
Haha. Budak ni rupanya. Memang rezeki terjumpa tengah-tengah KL tu. Nasib baik. Hilang sikit cuak. Tengs ^_^

Jangan lupa mengundi ok. 
May 8, 2012 at 10:02 AM
Hehe. Terima kasih. InsyaAllah. 
May 8, 2012 at 10:04 AM
Otograf? Ada. Hehe. Insiden kereta waja tu tak nampak sebab masa tu FRU tengah kejar orang ramai sambil sembur-menyembur. Kebetulan masa kejadian tu terjadi kitorang berpatah balik dari arah Sogo ke Masjid Jamek. Memang bukan rezeki nak jadi saksi insiden tu ^_^
May 8, 2012 at 10:06 AM
Sebab join Bersih3, dah dicop villain. ^_^ Awesome.
Nakkan perubahan bukan kerja mudah kan.
Tak dapat PAS, PKR pun ok. Asal Bukan Umno (ABU). LOL
Anonymous said :
May 8, 2012 at 3:37 PM
pergh terasa mcm hero plak..hahahaha ^^
Frontierbond said :
May 17, 2012 at 5:02 PM
 TAK SETUJU BERSIH, ORANG LUPA DARATAN JE AKAN SETUJU BERSIH.  KESIAN POLIS.... KALAU ADA APA2 TERJADI PADA U ALL PLEASE JANGAN PERGI JUMPA POLIS JUMPA TIAN CHUA ATAU
JUMPA AMBIGA OKAY
May 17, 2012 at 5:05 PM
I tak kesian dengan polis. I kesian dengan u.
Kalau jadi apa-apa, I jumpa Allah je ^_^
Lebih osem!

Post a Comment

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.