Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Monday, January 31, 2011


_Terlekat bagai digam.

Gam UHU.

Ya. Sudah berhari-hari. Aku terlekat kuat dengan perkembangan dari Timur Tengah. Teruja dengan suara-suara rakyat melaungkan demokrasi di jalanan. Namun pada masa yang sama, terpalit juga kebimbangan tentang keselamatan rakyat Malaysia di sana. Sungguh huru-hara. Berkali-kali juga terfikir, bagaimanalah agaknya jika Malaysia dilanda perkara yang sama. Sudah bersediakah anda untuk berjuang? Atau masih lagi terhegeh-hegeh mengambil tahu gosip artis atau sibuk dengan menonton bola, misalnya.

Bayangkan... bayangkan.

>_<

Sebenarnya.
Banyak yang mahu ditulis. Tetapi, fikiran sangat berserabut. Dengan krisis di Egypt. Dengan banjir di Kluang. Dengan kerja (aik?). Dengan diri sendiri (eh?). Dengan dunia (huiyo!). Tidak terluah. Tidak tertelan.

Analogi serabut itu begini...

Jika anda ada akaun Twitter, mohon buat carian 'Egypt'. Dan sebuah window akan terpapar beratus-ratus Tweet dalam masa satu saat. Ya. Beratus-ratus. Sampai boleh kejung Tweetdeck aku. Begitulah perumpamaan serabut. Serabut sehingga aku malas mahu mengambil tahu perihal lain selain Egypt. Ya. Sangat serabut. Serabut ayam. Dan sangat susah hati dibuatnya. Namun, pada masa yang sama aku terasa macam nak turut sama pergi berjuang (pft... poyo).

Ya.
Perasaan yang sama.
Seperti isu Gaza Strip tahun-tahun lalu.

Semoga Hosni Mubarak turun menyembah bumi. Demi Palestin. Demi melumpuhkan tentera Israil. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama mereka yang memihak kepada kebenaran. Empat hari yang mendatang ini, harap-harap ada sedikit perubahan. Ya, empat hari yang mendatang ini mahu pulang ke Kluang. Maka, terputuslah segala bekalan Internet.

Atuk kata, banjir.

Tidak sabar mahu bertemu bertentang mata dengan banjir. Kalau kecil-kecil dahulu, waktu banjir pasti sudah berenang tenggelam timbul dalam air. Sambil tinja dan kotoran-kotoran dari parit turut sama terapung, tenggelam timbul dan berenang di sebelah dengan tenang (eww... jijik gila!).

Baiklah.
Sudah lama tidak menulis... mengarut jadinya.
Kuala Lumpur, kita jumpa lagi insyaAllah hari Jumaat nanti_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, January 27, 2011


_Ada satu perkara yang aku tidak berkenan.

Sejak tahun 2010 sehingga kini.

Semalam di customer site... bukan seperti semalam-semalam yang lain. Semalam adalah semalam yang pertama pada tahun 2011. Dan semalam adalah sama seperti semalam-semalam lain pada tahun 2010 yang lepas. Perasaan pada waktu semalam juga adalah sama seperti perasaan pada semalam-semalam lain pada tahun 2010 yang lepas.

Saraf otak anda sudah berselirat?

Bagus.

Sekarang kita teruskan ke bahagian yang sepatutnya.

Semalam di customer site... bukan seperti semalam-semalam yang lain. Semalam adalah semalam yang....

Ah, Huzaimatus jangan diulang ayat itu!

Baik.
Maafkan saya.
Esok saya mungkin buat lagi.

Semalam sewaktu di customer site. Aku keluar masuk bilik server. Atas urusan kerja. Sambil keluar masuk itu bermakna sambil lalu-lalang di pejabat oranglah kan. Dan sambil itu juga, orang-orang di sekeliling akan berasa agak kurang senang disebabkan ada warga asing (akulah itu) yang ke hulu ke hilir mengganggu mereka. Mungkin mengganggu mereka yang sedang membuka Facebook atas tujuan bekerja atau untuk merehatkan otak (bersangka baik... aku pun buat je apa).

Tiba-tiba...

Beberapa orang encik kelihatan duduk berkumpul sambil berbisik-bisik dengan kuat. Walaupun aku jalan tidak pandang kiri kanan (eh... eh berlagaknya makcik ini), tetapi mata ini macam sedikit berekor di mana kita akan terasa seperti diperhatikan jika kita sedang diperhatikan.

Jadi, aku pun jalan sahajalah meneruskan kerja keluar masuk dari bilik server sambil mengganggu mereka yang sedang membuka Facebook atas tujuan bekerja atau untuk merehatkan otak.

Tiba-tiba...

"Eh... betullah."
"Haahlah. Memang macam."
"Eh, iyalah. Macam Yuna."

Apabila terdengar sahaja ayat terakhir itu...

Terus aku keluarkan senapang patah pendek dan menembak dinding-dinding department itu tanpa belas kasihan. Kertas-kertas mula bertaburan. Mereka yang sedang khusyuk membuka Facebook atas tujuan bekerja atau untuk merehatkan otak turut sama lari bertempiaran. Beberapa das tembakan dilepaskan lagi dan terakhirnya, aku lemparkan sebiji bom tangan ke bilik server. Tebaboomm.

Puas hati terasa.

Huzaimatus, kau tidak suka Yuna ke?
Bukannya aku tidak suka Yuna. Tetapi, aku tidak suka disamakan dengan artis. Terasa tidak asli. Mungkin kalau keluar ayat, "Eh... eh macam Huzaimatus lah." baru terasa sedikit sejuk hati agaknya. Kah kah kah. Memalukan sungguh pernyataan itu. Buat kali ke lapan ratus, maaf saya tidak suka dikaitkan dengan artis. No comment (jawapan ala-ala World Peace).

Ek eleh Huzaimatus. Kau ingat kau lagi baik ke daripada Yuna?
Memanglah aku lagi tidak baik dari beliau. Sebab itulah tidak suka disamakan. Faham tak, dogol? Eh... eh, tidak baik cakap dogol.

Huzaimatus, kenapa orang kata kau macam Yuna?
Aku rasa mereka buta huruf dan rabun warna. Walaupun dalam dunia ini kononnya kita mempunyai sekurang-kurangnya tujuh orang yang berwajah seiras dengan kita... tetapi aku rasa sepanjang hidup aku ini sudah ada beratus-ratus orang seiras dengan aku. (sedihnya tidak dicop OEM). Hati senang terbakar jika dengar ayat-ayat seperti, "Eh, muka awak macam adik saudara saya."... "Macam muka makcik saya punya nenek."... dan ah, macam-macam lagilah.

Huzaimatus, adakah kau mengikuti perkembangan Yuna?
Tidak. Aku tidak minat lagu-lagu beliau. Tetapi, kalau orang tidak kaitkan aku dengan Yuna, insyaAllah aku dengar lagu-lagu beliau. Kelihatan prejudis? Mestilah. Tidak, sebenarnya aku kurang suka dengar perempuan Melayu menyanyi. Prejudis? Mestilah. Ah, suka hati mak nenek bapak tiri ayam sayalah (kecil-kecil dahulu mesti terkeluar ayat ini jika dilanda kemarahan). Tetapi, aku tahu fesyen tudung Yuna yang terbaru ini adalah fesyen tudung Hana Tajima. Kenapa aku tahu? Oh, sebab aku tertahu.

Salah satu harapan aku untuk 2011 ini adalah tiada lagi kaitan dengan Yuna. Namun... punah. Why so serious? Sebab perihal Yuna ini aku memang lapan ratus serius. Sebenarnya dah masuk tahap menyampah... tapi tidak mungkinlah aku nak tulis di sini, "Aku menyampah dengan Yuna." kan. Nanti dalam masa lapan saat, pasti ada kelab 'Kami menyampah Famia' di Facebook. Ya. Positif.

Beginilah.
Aku ringkaskan sahaja.
Jika kaitkan aku dengan Yuna, aku anggap anda main kasar.
Kalau tercakap juga, cakap belakang-belakang dan bukan depan.

Boleh?
Cool.

Ada satu perkara yang saya tidak berkenan.
Sejak tahun 2010 sehingga kini_

Sambung baca...

Kategori:

Sunday, January 09, 2011


_Apa perasaan seorang ustaz bila diaju soalan begini.

"Ustaz, haramkah kalau saya memeluk-meluk bantal dan mengandaikan ia suami saya?"

Hah, apa perasaan anda?

Malu? Memang. Sangat-sangat. Aku sendiri pun fikir lapan kali sebelum menaip soalan itu di sini. Dan soalan memeluk bantal sambil mengandaikan ia seorang suami itu juga berkait rapat dengan rutin 'Tiga Kali Seminggu'. Jujurnya, aku pun tidak berapa faham maksud di sebalik 'Tiga Kali Seminggu' ini secara nyata. Jangkauan pemahaman aku masih belum cecah lagi maksud di sebalik 'Tiga Kali Seminggu'.

Tetapi, aku syak itu ada kaitan dengan er... ujikaji Biologi secara halal di antara suami dan isteri.

Dan.

Anda tahulah kan, 'Curiosity kills the cat'.

Jadi, jika anda mahu ikuti cerita lanjut perihal 'Tiga Kali Seminggu' ini, mohon dapatkan satira terbaru Faisal Tehrani di mana-mana toko buku yang berhampiran ya. Dan jangan salah sangka. Ini bukan buku seberadik dengan kitab 'Permata Yang Hilang' ya. Ini cuma satira. Bersih, jernih dan sinis.

Macam biasa, karya-karya Faisal Tehrani memang tidak menghampakan. Ya. Aku kumpul semua karya beliau. Susunan bahasanya ringkas, padat dan kreatif. Penulisannya menarik. Penulisannya sahajalah. Bukan orangnya. Cynical man is a big turn off. Dan Manikam Kalbu adalah buku pertama tulisan beliau yang aku baca. Manikam Kalbu sangat sedap dan menarik!

Baiklah.

Jika anda berminat dan malas mahu ke kedai, boleh juga dapatkan secara online di sini. Bukunya tidaklah tebal mana. Tulisannya juga pendek-pendek sahaja. Tidaklah berat mana. Rentak bahasanya juga selaras dengan anda. Tidaklah berbunga-bunga lebat seperti di taman bunga. Harganya pula lebih kurang RM19 sahaja. Dan tiada komisyen untuk promosi ini. Ikhlas berkongsi... lillahi Ta'ala.

Terakhirnya.

Saya cuma membuat promosi benda-benda yang saya rasakan menarik dan saya jamin anda juga (insyaAllah) akan rasa tertarik dengannya. Maksud saya, tertarik dengan penulisannya.

(foto ihsan Ujana Ilmu)



*Satira = karya yang mempersenda atau menyindir orang (Kamus Besar Utusan)

Ok.
Berbalik kita kepada soalan tadi.
Perihal memeluk bantal sambil mengandaikan itu suami.

^_^

Anda rasa apa hukumnya_

Sambung baca...

Kategori:

Wednesday, January 05, 2011


_Ah, tag kasih sayang.

Lemah-gemalai dibuatnya.

Ok. Cabaran disahut. Orang memberi, kita menerima bukan. Baiklah. Tanpa berselindung panjang dan merepek-meraban, mari mulakan.

1. Apakah status anda?
Status saya adalah... seorang umat Rasulullah pada akhir zaman yang imannya lebih nipis daripada kulit bawang. (Jawapan saya begitu sebab anda tidak nyatakan soalan itu sebagai 'Status Perkahwinan'. Menyesal tidak? Kah kah kah)

2. Ceritakan tentang diri anda
Seorang Homo Sapiens yang tidak suka bersosial, kera sumbang dan banyak menghabiskan masanya di rumah, lebih tepat lagi... di hadapan komputer. Saya suka benda-benda pelik, lutsinar, bewarna putih, tidak dihurung manusia dan pelik serta lutsinar, bewarna putih dan tidak dihurung manusia. Berbaju dua ke tiga lapis ketika matahari tegak di atas kepala adalah penampilan saya. Ke mana-mana sahaja yang saya pergi, itu adalah ibarat musim sejuk di New York.

Saya tidak tahan sejuk. Tanda-tanda saya kurang daya tahan melawan sejuk... batuk kering secara bertubi-tubi, sesak nafas (kesukaran menghembus dan menarik nafas), tapak tangan saya berpeluh dalam kesejukan dan suhu kedua-dua tapak kaki serta tangan saya jatuh pada -8 darjah selsius. Kipas yang dibuka pada angka satu pun sudah cukup sejuk. Ini baru betul Mamalia berdarah panas yang sejati.

3. Ceritakan tentang Blog anda
Blog ini mengandungi kandungan garam kehidupan dan gula kehidupan yang sangat tinggi. Semoga anda dijauhi penyakit diabetes dan darah tinggi. Al-kisahnya...lah ini banyak menceritakan tentang kehidupan saya sebenarnya. Segala garam dan gula yang ditabur di sini adalah benar pada zahirnya dan memang ada kaitan dengan hidup dan mati saya.

Cuma bezanya, garam dan gula kehidupan di sini telah ditapis terlebih dahulu sebanyak lapan kali pemeringkatan. Yang tinggal cumalah serdak garam halus dan serdak gula halus. Di antara A sehingga Z, saya cuma kongsikan A dan H sahaja. Lain-lain semua tidak sesuai untuk tontonan umum. Saya mahu berkongsi tetapi tidak suka berkongsi. Kelihatan ironi bukan.

4. Apa pandangan anda tentang dunia blog?
Dunia blog seluas cakerawala. Sepertimana kita hidup sebagai khalifah yang beradab di dalam cakerawala ini, berblog juga ada adabnya. Blog bukan tempat pembuangan sampah-sarap. Pada saya, segala apa yang tertulis di blog mampu mencorakkan kehidupan manusia lain. Jangan main-main. Kebinasaan dan pemulihan minda manusia sejagat terletak di hujung jari blog anda. Fikiran manusia sangat senang dijajah. You can't deny this. You are not Einstein.

Andai blog itu gelap dan negatif, gelap dan negatif jugalah kesannya kepada yang membaca. Andai blog itu menyilaukan mata dan positif sentiasa, maka begitu jugalah kesannya terhadap yang membaca. Makanya, bertanggungjawablah anda terhadap apa yang anda tulis sebelum anda dipertanggungjawabkan. Blog adalah cermin jiwa anda.

5. Nasihat anda kepada rakan2 yang baru nak buat blog.
Kepada kawan-kawan yang baru berjinak-jinak dengan dunia blog... mohon mengeja dengan senonoh ya sayang. Kita manusia, bukan beruk. Uk, ak, tk, ks, 2n8, wat, gitew... what the hell hen is this! Buktikan pada manusia lain bahawa anda juga ke sekolah. Anda bukan ayam mahupun beruk. Ok, selamat berblog sayang.

6. Nyatakan keunikan yang terdapat pada blog anda.
Tiada. Cuma dipenuhi dengan garam dan gula yang ditabur secara syok sendiri oleh empunya blog ini. Harapan saya sekali lagi agar tiada siapa pun terkena penyakit diabetes dan darah tinggi di sini. Terima kasih berkunjung ke sini. Pintu keluar pada butang 'X' di atas ya.

7. Sampai bilakah anda akan menulis blog dan impian anda dalam dunia blog?
Blog ini tempat saya menabur garam dan gula. Selagi belum disergah Malaikat Izrail untuk menemuiNya, selagi itulah insyaAllah saya akan terus menulis. Saya belum layak digelar penulis. Takrifan sebenar penulis... hmm masih lagi dalam kajian saya. Impian saya dalam dunia blog? Hm, bukan impian. Ini sepatutnya harapan saya terhadap dunia blog... anda dilarang membunuh diri di mana-mana laman blog atau laman sosial lain.

Sisa-sisa 2010 saya dipenuhi dengan kes-kes pergelutan manusia dengan Malaikat Izrail di luar negara dan di dalam negara. Nyawa itu amanah Allah. Bukan amanah ibu bapa mahupun rakan-taulan. Amanah Allah, ok. Kau main-main dengan Allah? Kau fikir hasilnya 'All is well' seperti dalam cerita 3 Idiots ke? Tsk... tsk. Anda tidak sesuai jadi manusia, ayam lebih sesuai dengan anda. Cuba jadi ayam... cubalah.

Anda ingat seronok ke menonton anda menggelupur melawan Malaikat Izrail secara siaran langsung. Ada hati mahu melawan Malaikat pula itu. Melihat Malaikat Izrail menjemput anda, bukan sesuatu yang seronok ok. Jangan nipiskan iman orang lain yang sudah sedia nipis. Ucapan terakhir, majulah Bahasa Melayu untuk negara!

8. Tag 4 orang rakan blogger anda
Saya adil. Saya mahu tag semua orang yang membaca entri ini. Kalau anda terbuat, mohon letakkan pautan di sini ya. InsyaAllah saya akan jenguk. Baiklah... baiklah, saya pasti akan jenguk, baca dan komen sekali. Marilah berkongsi dengan saya. Manusia bukan makanan saya. Saya 80% herbivor.

Akhir sekali.

Kepada yang tag saya untuk entri ini, adik b0lat... terima kasih atas kasih sayang anda. Semoga dirahmati Allah selalu.

Aum_

Sambung baca...

Kategori:

Tuesday, January 04, 2011


_Benar rupanya.

Keupayaan menulis aku memang berkadar terus dengan mood.

Sudah terbukti dengan 5, 6, 8 dan beratus-ratus eksperimen. Beratus-ratus? Sungguh extreme. Andai dilanda tsunami, puting-beliung, gempa bumi dan segala peringatan dari Allah (yang mana kita gelar sebagai bencana alam kononnya), di kala itulah idea dan struktur penulisan itu mencanak-canak naik ke darat. Bagai ikan-ikan sardin yang riang melompat ke darat. Padahal nasibnya nanti seperti Firaun, mumia hanyir di dalam tin merah.

Jarang sekali mumia hanyir di dalam tin merah ini bermain rollercoaster di dalam saluran Esofagus aku. Ergh, kalau diberi paksaan untuk makan mumia hanyir itu... mungkin aku akan perah lapan biji limau nipis ke dalam kuahnya. Asbab sebenar mumia hanyir itu tidak diterima Esofagus adalah... ketiadaan tulang belakang yang keras seperti ikan sejati pada mumia hanyir itu. Boleh keliru kot. Itu ikan ke sotong. Don't make me confuse, man!

Sebenarnya....

Ini bukan perihal mumia hanyir. Ini sepatutnya perihal keupayaan menulis aku yang berkadar terus dengan mood. Mood-mood gelap dan negatif memang meningkatkan kadar keupayaan aku menulis. Iyalah. Sedih, sakit hati, marah dan tidak bersemangat. Perasaan seperti nyawa sudah di hujung tanduk. Dan barangkali perlu membuat kiraan 45 minit di Facebook. Rentetannya, seribu lebih kawan-kawan di dalam senarai Facebook aku bakal dihantui rasa berhantu yang menghantui. Ah, kelihatan biadap pula bermain bahasa sebegitu rupa.

Maaf.

Kiranya begini.

Boleh tidak tolong buat aku sedih ke, sakit hati ke, marah ke, tidak bersemangat ke, er... berdebar-debar ke dan lain-lainlah pendek katanya. Janji gelap dan negatif. Tolonglah eh. Aku ada tarikh mati (dateline) kena kejar ini. 10 Januari... isk.

Please... please_

Sambung baca...

Kategori:

Saturday, January 01, 2011


_1.1.11.

Cantik bukan?

Seumur hidup sekali sahaja tarikh ini wujud. 2010 akhirnya berlalu dengan tiga kali petik jari. Sangat gila lega. Bak kata pepatah salah seorang Homo Sapiens di muka bumi ini, "If it doesn't kill you, it will make you crazily stronger." Jadinya, selagi belum dijemput Malaikat Izrail, selagi itulah wajib tegak berdiri melawan ribut petir.

Seperti lalang. Ah, seperti rumput juga. Steady. Digertak angin ribut dan terkena tempias ludahan manusia pun masih steady tidak bergerak. Dan rumput juga adalah tempat pembuangan tinja makhluk di muka bumi ini. Tidak apa. Semua itu normal. Ekosistem kita masih seimbang.

Hari ini.

Gaji pertama saya pada hari pertama dalam tahun 2011, RM5. Ya, duit hijau itu. Hasil daripada menterjemahkan soalan-soalan bancian perihal kanser serviks dalam Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Bayaran RM1 dikenakan untuk sehelai muka surat. Tolong siapa? Ah ha... iyalah siapa lagi. Adik gadis saya itulah.

Hari pertama, RM5.

^_^

Semoga esok, lusa, tulat dan tuli nanti rezeki semakin melimpah. Perlu mendisiplinkan diri dengan kekerasan dan ketegasan yang berganda. Saya sedang berusaha untuk menguruskan masa dengan tegasnya. Yes, this is Sparta! Projek Click 365 saya juga sudah berjalan. Wahoo! Saya harap saya mampu beristiqamah.

2010.
Kita ke belakang sekejap.
Ok, undur sedikit... undur lagi.

2010, tahun yang paling mencabar. Sekurang-kurangnya mencabar bagi aku (perlu tukar kata ganti diri agar kelihatan serius). Dan aku rasa, selagi 'hasbiyAllah' itu dipegang kuat, insyaAllah segala langkah dan urusan pun mengalir lancar. Jadinya, masih tetap boleh bertahan walaupun dibelasah teruk oleh 2010.

Ok, ini aku cuba terangkan dari persepsi seorang IT-savy kononnya.

If (plan A is not working) Then
go to plan B
Else if (plan B is not working)
go to plan C
Else if (plan C is not working)
go to plan Z
Else if (plan Z is not working)
go to plan A + plan B
Else if (plan A + plab B is not working)
there are thrillions of plan combinations that you can use
Else if (none of the plans are working)
repeat all plans again until you die
End If


Dan jangan lupa....

do {
genggam dunia dan akhirat di kedua-dua belah tangan;
} while (belum dijemputNya lagi);

Begitulah pendek katanya.
Jangan putuskan asa.
Selagi ada Dia.

Hari pertama anda pula bagaimana_

Sambung baca...

Kategori:

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.