Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Sunday, December 11, 2011


_Jika anda berhajat untuk melawat ke mana-mana kawasan luar bandar, pemandu pelancong adalah tangan kanan anda.

Ya.

Sedikit mencabar sebenarnya jika anda ingin ke kawasan luar bandar Perth yang beratus-ratus kilometer itu secara bersendirian. Melainkan... jika anda sanggup memandu tanpa kenal erti putus asa, peta yang berbelit-belit di tangan kanan dan sebaldi kegigihan tercurah di dada.

Akhirnya.

Jumaat, 23 September 2011.

Suhu dalam 20°c. Sejuk nyaman F&N Sarsi. Panas tetapi tidak terik. Angin dingin pun bertiup sepoi-sepoi bahasa Inggeris slang Aussie. Pagi itu kami dibawa melawat ke bandar Perth dan Fremantle.

Hari itu adalah hari keempat kami di Perth. Baru tiga hari masuk musim bunga. Hari-hari digigit kedinginan itu adalah perkara biasa. Rutin. Lebih-lebih lagi bermula dari jam 6 petang sehingga 6 pagi di mana suhu akan jatuh sehingga 9°c ke 10°c... pada bulan Septemberlah.

Ok.

Jam 8.30 pagi perjalanan melawat Bandar Perth dari sudut 180° pun bermula.



Kings Park.



Dari Kings Park ini sudah boleh nampak tiga suku bandar Perth.



Persekitarannya memang bersih. Rumput-rumputnya terjaga rapi. Bunga-bunganya pun berwarna-warni dan pelbagai rupa. Lebih-lebih lagi pada musim bunga. Orang macam aku yang tidak berapa suka bunga ini pun boleh jadi lemah gemalai melihatkan keindahannya (lemah gemalailah sangat).





Di sebelah kiri adalah pokok Kanggaroo's Paw dan di sebelah kanannya adalah pokok entahlah.



Barangkali Kings Park ini seakan-akan Tasik Perdana di Kuala Lumpur tetapi sepuluh juta kali lebih eksklusif. Sangat luas. Kings Park bukan hanya pada nama saja. Taman ini memang sangat 'Kings'!



Aku malas nak cerita panjang perihal Kings Park sebab hari terakhir di Perth itu kami ke sini lagi. Jadi nanti aku cerita lebih lanjut dalam artikel terakhir ya. (Ini adalah salah satu taktik untuk mengelat)

Seterusnya ke bandar Fremantle. Dalam perjalanan itu, berhenti sekejap di tepi laut. Sampai sekarang aku tidak tahu nama laut itu. Airnya agak biru kehijauan. Mesti ada jerung ini (mestilah kan). Angin kencangnya pula memang sejuk nyaman F&N sarsi. Syiung~



Ada yang melawan ombak.







Berehat-rehat bersama keluarga.



Tapi laut ini macam tidak boleh mandi rasanya. Laut dalam (memanglah semua laut dalam kan). Maksud aku, di situ macam kawasan yang dipantau. Tidak boleh mandi sesuka hati. Kalau jerung berlegar-legar semasa anda sedang mandi sesuka hati itu... hah memang rezeki jerunglah jawabnya.

Bandar Fremantle.



Kami minta izin daripada pakcik pemandu pelancong untuk berpisah. Sebab nak jalan-jalan lama sedikit. Kemudian, mahu cuba mencari jalan pulang ke hotel sendiri. Jumpa atau tidak jumpa hotel Criterion itu... kemudian baru fikir. Huahuahua. Tidak mengapa. Kita kena berfikiran positif 24 jam.

Fremantle.

Awesome. Tidaklah bandar sangat macam bandar Perth. Bandar Perth lebih sesak. Bandar Fremantle ini lebih kelihatan seperti countryside yang sudah maju pada mata aku. Pada mata orang lain, memang lainlah kan. Subjektif.

Fremantle Technical School


Hungry Jacks Restaurant


Maritime Museum


Kalau pusing sana-sini di sekeliling bandar Fremantle ini... memang lebih kurang saja rekaan bangunannya. Tidak nampak beza sangat. Macam bangunan lama dalam filem-filem Mat Saleh. Boleh tahan old school jugalah.

Fremantle Office










Kawasan Fremantle ini terkenal dengan pasarnya. Ada dua tempat. Yang pertamanya, Fremantle Market. Terletak di tengah-tengah bandar Fremantle. Dan yang keduanya adalah E-Shed market. Betul-betul di sebelah landasan keretapi Transperth.

Fremantle Market.



Ada dua bahagian, The Yard dan The Hall. Kira macam pasar basah dan pasar keringlah pendek katanya. Fremantle market ini dibuka pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

The Yard

Friday - 8am to 8pm
Saturday - 8am to 6pm
Sunday - 8am to 6pm

The Hall

Friday - 9am to 8pm
Saturday - 9am to 6pm
Sunday - 9am to 6pm

Dalam The Hall ini ada macam-macam. Aku rasa macam Pasar Seni, KL. Sama tapi tidak serupa. Ada banyak kraftangan, baju-baju, boomerang (teruja gila, ok!), barang-barang kulit, didgeridoo (lagilah gila teruja!) dan macam-macam lagi. Semua hasil seni banyak dijual di sini. Sebab itu aku rasa sini macam Pasar Seni.









Aku kagum dengan benda alah ini sebenarnya. Sebab ia adalah sejenis pokok gandum yang jika disiram selalu memang akan tumbuhlah daunnya. Er, gandumlah kan yang tumbuh. Kiranya nanti makhluk-makhluk ini yang pada asalnya botak akan bertumbuh rambutnya. Macam keluar rumput. Rambut hijau tegak berdiri.



Tapi tidak jadi beli sebab tempoh hayatnya macam 3 bulan ke 6 bulan saja. Kemudian pokok akan kering dan mati. Jadi macam tidak berbaloi nak beli dan bawa balik Malaysia (kedekut sebenarnya).

Di bawah ini pula mainan macam plastesin tapi di dalamnya mengandungi tepung. Sesuai untuk budak-budak bawah umur 7 tahun aku rasa. Boleh buat macam-macam mimik muka. Macam kartun Gumby. Aku selalu tengok masa sekolah rendah dulukala. Sangat best.







Ada satu kedai centeramata ini... pemiliknya berbangsa Cina. Kedai ini memang kedai cenderamata paling murah yang boleh anda dapati di The Hall Fremantle Market ini. T-shirt pun banyak dijual di sini. Harganya berpatutan. Murahlah juga dengan syarat... jangan darab duit AUSD itu dengan tiga. Lokasi kedai itu betul-betul di sebelah pintu masuk utama. Nama kedai itu pun aku tidak ingat. Haru betul. Maaflah ya.

Tetapi jika anda mahu dapatkan kedai cenderamata (sahaja) paling murah di sekitar Fremantle, mohon lajukan langkah ke E-Shed Market. Jauh lebih murah. Lebih tenang. Dan tidak sesak.

Trublue, sebuah kedai kraftangan unik. Di dalamnya terdapat sangat banyak kraftangan orang asli yang pelik-pelik, unik dan cantik. Termasuklah boomerang yang pelbagai rupa dan saiz serta didgeridoo.

Kedai ini terletak betul-betul di pertengahan antara The Yard (pasar basah) dan The Hall (pasar kering).





Makcik kedai itu baik. Anda dibenarkan untuk mengambil gambar apa saja yang ada di dalam kedai itu. Kedai-kedai lain, pastikan anda mendapatkan keizinan daripada mereka terlebih dahulu. Jika tidak... pasti anda akan dihalau seperti lalat. Macam aku kena hari itu.

Sangat banyak boomerang!



Ada yang murah... ada yang mahal. Ada yang ringan dan berat. Lebih ringan boomerang itu, lebih mahal harganya. Sebab ia mampu berpatah balik dengan lebih pantas dan tuntas (agaknyalah).

Benda yang paling aku nak beli dari kedai ini adalah didgeridoo. Ada yang pendek. Ada yang panjang. Agak berpatutan jugalah harganya. Cuma apabila memikirkan gaya nak mengangkut balik ke Malaysia itu... terus terbantut hasrat di hati. Sudahlah tidak dapat nak beli. Ambil gambar didgeridoo pun tidak kesampaian. Huarghhh... syahdu betul.

Fremantle market ini, pendek kata... jika anda pernah ke Pasar Seni, begitulah lebih kurang perasaannya jika anda ke situ. Di sini jika anda berbakat dalam tawar-menawar... itu satu kelebihan. Tetapi jika anda tidak berbakat dalam tawar-menawar... tidak mengapa kerana penjual-penjual di sini mempunyai kelebihan dalam menawarkan harga terendah dan berpatutan untuk anda.

Tetapi... bukan semua penjual di situ bermurah hati.

^_^

Apa yang aku beli?
Aku suka beli benda-benda mengarut.
Unik di mata dan susah nak jumpa di Malaysia.

Kah kah kah.

Foldable Parachute Bag AUS$20
Beg renyuk dan sumbat yang diperbuat daripada payung terjun. Beg itu sangat fleksibel sebab boleh direnyukkan dan kemudian simpan semula ke dalam uncang selepas digunakan. Sebab beli banyak, jadi dapatlah murah sedikit.

Soft Socks Bed AUS$5 (for 2)
Perasaannya macam memakai tuala di kaki. Cuma tuala ini sangat gebu, lembut dan tebal. Teramat selesa. Sangat feel! Enough said.

Leg Warmer AUS$7
Stokin pemanas kaki yang bergaya. Terasa seperti di Seoul. Kah kah. Maaflah. Aku memang suka kumpul unsur-unsur pemanas badan macam ini. Leg warmer memang banyak di Sungai Wang. Tetapi tidak begitu ranggi.

Seterusnya, The Yard.



Yeah. Sangat meriah. Sangat berwarna-warni. Buah-buahan. Sayur-sayuran. Macam-macam ada. Yang menariknya, langsung tidak berbau 'basah' macam pasar basah di Malaysia ini. Super clean, yo!











Buah-buahan di sini memang besar belaka saiznya. Adakah saiz buah-buahan ini berkadar terus dengan saiz badan mereka? Tidaklah aku tahu. Mungkin juga kan. Entahlah. Tapi harganya boleh tahan murah juga.



The Saffron Bar.



Mujurlah ada sebuah kedai makanan halal di sini. Dapatlah kami mengalas perut yang sudah berkeroncong bagai nak gila. Di Perth ini agak senang untuk mendapatkan makanan halal. Ada banyak kedai Asia (Jepun, Korea, Melayu, Cina, India). Kedai makanan Jepun, Korea dan Cina itu tidaklah kami masuk. Cuma di sini memang banyak gila kedai makanan Arab.

Telur burung unta. Besar gila. Kalau buat telur dadar macam boleh makan 10 orang.



Buah zaitun. Gaya Mediterranean. Hampir-hampir nak terbeli. Tapi sebab aku syak ada campuran alkohol di dalamnya itu, terus terputus niat.



Ah, akhirnya... e-Shed market.

E-Shed market



Dibuka pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

General Markets - 9am to 5pm
Food Court - 9am to 8pm



Sangat mudah untuk ke E-Shed ini. Terletak bersebelahan dengan Stesen keretapi Transperth. Dari bandar Perth, naik Transperth di stesen 'Perth Underground'. Kemudiannya, berhenti di stesen Fremantle. Jaraknya lebih kurang 2 zon. Jadi, bayarannya cuma sebanyak AUS$2.



Mula-mula agak keliru juga. Sebab di KL ini mana ada zon-zon kan. Semua destinasi ada harganya yang tersendiri. Tetapi di Perth lain. Jadi memang anda perlu kenalpasti terlebih dahulu zon destinasi anda. Kalau tidak memang huru-hara juga.

Transperth ini perasaannya macam naik Putra LRT pendek kata. Cuma di dalamnya lebih luas dan lebih selesa. Boleh bawa masuk basikal pula itu. Kagum betul.

Ok.

Kembara pada hari terakhir dan kedua terakhir akan diceritakan dalam artikel terakhir Kembara 80 Liter secara pukal (ikut kerajinan). Rasa macam sudah dua dekad mengembara tetapi tidak habis-habis lagi ceritanya. Sesungguhnya istiqamah bukan kerja mudah.

Aduhai.

Maafkan kami.
Maafkan kami.
Maaf... kan kami.

Aku cubalah nanti menyelitkan diri dalam kesibukan masa, ya.

Sampai nanti_

Kategori:

6 Responses to "Kembara 80 Liter (Bahagian 4)"

Dani Neh said :
December 12, 2011 at 9:51 AM
oo.. baru aku tahu leg warmers tu macam yang orang erobik pakai tuh eh?
xai..
kenapa
"Lebih-lebih lagi bermula dari jam 6 petang sehingga 6 pagi di mana suhu akan jatuh sehingga 9°c ke 10°c..."ni typo ke mmg?
December 12, 2011 at 10:54 PM
orang erobik? emm yang dari paras lutut ke buku lali tu adalah leg warmer. orang erobik aku tak tau pakai cemana. Oo tu bukan typo.  Tu memang suhu jatuh dari jam 6 petang ke 6 pagi esoknya di Perth... waktu springlah tapinya.
Wanshail said :
January 3, 2012 at 6:25 PM
Cantik gambar-gambar tu semua. Sometimes a picture can describes more than words.
http://guanohang.com
Sham Hassan said :
May 12, 2012 at 3:49 PM
salam

bas rapidKL skrg ni bukan travel ikut zon ke? 
gambar bag yang anda shopped tuh takmo tunjuk ke? macam best je foldable parachute bag tuh.. :)
May 12, 2012 at 10:02 PM
terima kasih ^_^
saya masih belajar
May 12, 2012 at 10:04 PM
waalaikumsalam wbt. Bukan ni macam dalam satu jalan yang sama... lebih kurang setiap satunya berjarak tidak lebih 1km... ada 3 perhentian. Setiap bus stop ni akan ada bas yang berbeza. RapidKL punya zon tu lain sikit.

Post a Comment

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.