Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Friday, March 04, 2011


_Benar.

Hampir sembilan puluh sembilan peratus isi kandungan di dalam blog ini... tidak terlekat dalam ingatanku.

Dan langsung tiada sedikit pun kesedaran sivik untuk melekatkan kembali dan menjilat segala muntahan jari di dalam ini. Segala kandungan yang tertulis sejak lebih lima tahun lalu sahaja dibiar tertanam menjadi fosil seperti Dinosour. Oh, ya... Dinosour tidak wujud. Serius. Jika anda percaya dengan kewujudan Dinosour, minda anda telah dijajah sains Barat. Haf... haf... haf.

Baiklah, sebenarnya....

Kebelakangan ini, maksud aku... sejak beberapa bulan dari tahun lepas sejenis hobi baru telah terbentuk. Pemfokusan warna, namanya. Ya, bunyinya kelihatan sedikit intelek bukan? Tetapi tidak sebenarnya.

Aku suka tengok warna pokok-pokok dan warna langit.

Kagum sebenarnya. Warna hijau pada pokok, misalnya. Bila ditiup angin, warna hijau itu berubah menjadi hijau gelap. Dan bila disiram mentari, warnanya berubah menjadi cerah. Itu belum lagi bila disimbah air dan sebagainya. Aku kagum dengan kuasa Allah. Pernah anda lihat langit yang berwarna biru gradient? Biru gelap... biru cair kemudian biru lebih cair dan biru paling cair. Kadangkala biru bercampur magenta, oren dan kuning. Sungguh... fuh, subhanAllah.

Itu belum lagi pemfokusan pada anatomi manusia.

Kejadian hormon, saraf otak, kejadian darah dan bakteria. Hah, sekarang baru kedengaran seperti sedikit intelek bukan? Aku kagum sangat-sangat dengan ciptaan Allah. Mungkin orang bukan Islam akan menganggap semua ini sains. Tetapi... sains masih berbumbung dan berbatas. Ciptaan dan pengetahuan Allah itu meluas. Tidak berbatas. Sangat kagum. Terasa seperti ada bunyi 'klik' terdetik dalam hati. Sungguh... fuh, subhanAllah.

Itu belum lagi jalan-jalan mengambil gambar ke sana-sini. Meleleh air liur melihat ciptaanNya. Maha Bijaksana. Fuh... tidak terkata. Eh, boleh kata sebenarnya. Katalah, "SubhanAllah. Alhamdulillah. Allahu Akbar."

Dan tahukah anda warna apa yang paling hebat?

Warna putih.

Kerana kesemua jenis warna jika disatukan akan membentuk warna putih. Ya. Warna putih adalah warna yang paling kaya. Dan ianya kelihatan sangat suci serta bersih. Seperti warna yang miskin. Padahal kaya-raya. Sungguh zuhud warna putih itu. Dan alangkah indahnya jika hati manusia sentiasa putih suci, kelihatan miskin tetapi kaya-raya seperti warna putih ini.

Aku harap hati aku macam itu.

Tetapi tidak sebenarnya.

Di dalam segumpal darah yang bernama hati ini... rupa-rupanya terdapat sebuah taman kecil. Di tengah-tengahnya terdapat sebuah tasik buatan yang sangat luas. Yang tidak pernah kering. Sungguhpun luarannya sangat keras dan berdinding besi, namun tasik yang tidak pernah kering itu sentiasa mengalir melimpah keluar.

Baiklah, taman itu sebenarnya sentiasa dilanda banjir. Dan disebabkan itulah segumpal darah yang bernama hati itu mudah terkesan dengan apa sahaja. Terkesan tetapi tidak berkocak mahu pun beriak. Rileks dan sentiasa cool.

Mungkin ini agaknya yang dinamakan, 'Di dalam hati ada taman.'

Hmm.

Ini sebenarnya tiada kaitan seratus peratus dengan apa yang aku cuba sampaikan. Mungkin sedikit berselirat dalam 0.01 peratus. Maaf. Aku mendambakan Matematik. Hidup aku sentiasa dipenuhi dengan angka sejak kecil. Dan sekarang mahu mencongak pun sangat merangkak. Ini adalah sindrom manusia cerdik-dalam-tempoh-masa-pendek.

Begini sebenarnya.

Beberapa ratus hari dahulu, pernah aku tuliskan salah satu eksperimen di sini. Namanya... Eksperimen Hati Bukan Kristal. Ya. Aku adalah seorang saintis yang tidak mendapat pengiktirafan sebagai seorang saintis kerana tidak layak menjadi seorang saintis disebabkan tidak mempunyai IQ melebihi 160.

Jadi, berapakah jumlah IQ aku?

Aku pun tidak tahu.

Hm, kedengaran agak rumit pula penjelasan itu.
Tukar... tukar... tukar.
Sekarang.

Aku sebenarnya adalah seekor tikus makmal sementara dan seorang Homo Sapiens sepenuh masa. Pada siang hari, aku adalah seorang hamba Allah yang sentiasa kalah dengan nafsunya. Manakala pada malam hari pula, aku adalah seorang hamba Allah yang menang akhirnya dengan nafsunya tetapi sedikit bernyawa-nyawa ikan. Ya. Sebab pada malam hari kita boleh tidur. Tidur juga adalah sebahagian daripada ibadah. Alhamdulillah... alhamdulillah.

Ah, berbalik kepada 'Eksperimen Hati Bukan Kristal'.
Ketemu juga akhirnya motif menulis ini.
Ok... teruskan sebelum terlupa.

Ini adalah eksperimen untuk menenangkan hati yang dilanda ombak dan gelora.

1. Jarakkan diri dari manusia selain dari ahli keluarga

Kadangkala, kawan bukan segalanya. Kadangkala, orang yang kita kena rujuk untuk sejukkan hati yang gundah-gulana ini sebenarnya bukannya seorang manusia. Yang kita kena rujuk itu hanya satu iaitu Dia Yang Esa. Satu-satunya yang sentiasa ada di kala kita sentiasa terlupa padaNya. Dan percayalah... kawan bukanlah manusia ajaib yang akan ada dua puluh empat jam bersama kita. Jadi, latih diri dari sekarang agar tidak terlalu bergantung dengan kawan.

Dan kadangkala, bukan semua manusia yang bernama kawan itu mendatangkan ketenangan pada hati yang bergelora dilanda tsunami. Makin serabut ayam adalah. Maka... jarakkanlah diri anda buat seketika. Cari ketenangan. Dan beralih kepadaNya. Waktu berdoa dan bersolat itu, lebihkan masa denganNya.

Dan kalau mahu lebih hebat... belajar terjemahan setiap bacaan di dalam solat agar terasa lebih dekat dan khusyuk denganNya. Sekurang-kurangnya kita tahu apa yang kita baca. Tidaklah nanti bersolat dengan gear 3 atau 4 dan kelajuannya adalah 200km/j. ERL pun tidak selaju itu. Kan? Cubalah, ya.

Dan sebenarnya (ini bukan tajuk lagu Yunalis), hati akan menjadi sedikit tenang jika kita bersendiri.

2. Tonton televisyen sebulan sekali

Sebenarnya mungkin dua bulan sekali. Atau mungkin setahun sekali. Haah. Waktu Syawal sahaja. Di kampung. Serius. Kalau di rumah, siaran Korea atau travel channel atau food channel atau pun National Geographic Channel sahaja yang aku tengok. Itu pun tertengok sebab tengah makan nasi ke apa ke kan. Ayah dan emak yang rajin tengok siaran-siaran itu. Aku dan televisyen memang tiada reaksi kimia.

Satu, aku menyampah dengan hiburan orang Melayu yang tidak macam orang Islam. Huru-hara sana-sini. Dua, pakaian dan motif cerita. Main-mainkan agama. Tiga, sogokan berita-berita di televisyen yang anda faham-faham sendirilah apa yang benar dan apa yang dusta. Aku bukan anti kerajaan. Aku cuma bukan pro kerajaan.

Dan disebabkan aku sentiasa berperang dengan minda dan hati sendiri dan aku senang dijajah minda serta hati... maka aku tinggalkan televisyen dengan hati yang senang dan tenang. Dan percayalah... banyak menonton hiburan atau mendengar hiburan sesungguhnya akan mengubah hati menjadi sedikit gelap ditimbuni mendakan yang sangat berkeladak.

Ini bukan fakta sains. Ini adalah fakta.

Ingat itu, Huzaimatus. Kau itu dua puluh empat jam berkeladak lagu Korea di dalam telinga.

3. Kurangkan membaca gosip artis dan hiburan terkini atau apa-apa yang tidak berfaedah

Sebenarnya kita (ya, aku dan anda) sangat berat tangan mahu mencapai buku-buku keagamaan. Buku-buku perihal Allah, kisah nabi dan sebagainya. Pelik kan? Tidak pelik sebenarnya. Ini memang normal. Normal sebab kita (ya, aku dan anda) memang akan kalah di tangan syaitan yang tidak bertangan. Setiap hari, setiap minit dan setiap saat kita adalah pejuang. Pejuang tegar hawa nafsu.

Maka, berjuanglah hoi... hoi wahai pejuang!

Cumanya, kalau boleh... kurangkanlah ambil tahu gosip artis yang entah apa-apa entah itu. Lainlah kalau mereka boleh membimbing kita (ya, aku dan anda) ke jalan yang benar. Jalan yang bercahaya. Walaupun jauh dan panjang jalannya tetapi tetap bercahaya sehingga ke syurga. Aku pun sama. Komik. Komik dan komik. Ya, sedang cuba kurangkan membaca. Tetapi, tidak mampu mahu kurangkan membeli komik. Oh, tolonglah saya ya Allah!

Maka, aku pun tidak boleh nak kata apa-apa melainkan ucapan, "Selamat berjuang wahai Homo Sapiens sekalian."

Baiklah.
Aku kongsikan tiga sahaja.
Sikit-sikit sudahlah... macam hebat sahaja.

Dan aku ulang sekali lagi.

Aku bukan Power Ranger.
Bukan seorang Gaban juga.
Dan bukan seorang tukang masak terhebat juga.

Aku cuma manusia biasa. Ada juga perasaan sunyi. Tapi, kalau kita rajin ingat Allah dan Rasulullah mungkin hidup ini lebih terisi. Setiap langkah pun terasa macam stabil dan tenang. Memang sangat rileks. Pegang kuat-kuat dekat situ. Lepas itu, pegang kuat-kuat kasih sayang mak dan ayah sementara hayat mereka masih ada.

Oh, ya... oh, ya.

InsyaAllah bulan Jun ini ada walimatulurus.
Jemputlah datang nanti majlisnya ya.
Bukan walimatulurus aku.

Tetapi, adik nurse.

Aku? Susah mahu jawab soalan itu. Sebab itu rahsia Allah. Kan. Kalau ada itu adalah. Ini pun masih berperang dengan diri sendiri. Masih tebal dinding androphobia ini. Jika sudah runtuh, tolonglah serang beramai-ramai ya (ayat ini sangat miang).

Itu pun jika dan hanya jika diizinkanNya panjang umur untuk bertemu jodoh di dunia. Kalau tiada... di syurga sahajalah insyaAllah. Haf... haf... haf. Tinggi sungguh memanjat cita-cita mahu ke syurga. Fuh.

Oklah.

Akhir sekali.

Sepuluh jari memohon kemaafan kepada retina-retina yang membaca blog ini. Sesungguhnya aku tidak mampu menulis dengan konsisten tahun ini. Beristiqamah bukan kerja mudah. Menangis... menangis. Maaf, ya. Aku harap aku masih mampu menulis sekurang-kurangnya dua ke tiga kali sebulan. Takut mahu menabur janji. Aku tabur harapan sahajalah ya.

Ok.

Semoga anda diberkati Allah selalu.

Cau sin ci_

Kategori:

7 Responses to "Pesanan Tiga Dalam Tiga"

Tawel Sensei said :
March 4, 2011 at 11:07 PM
Oh baru ku tahu ada pula istilah "Androphobia". Sebelum klik, ingatkan fobia kepada Android. Oh!
famia said :
March 5, 2011 at 10:27 PM
Cekgu Tawel: Hahaha. Android wujudkah? Dalam Star Wars saja ada kan :)
Tawel Sensei said :
March 5, 2011 at 11:43 PM
Apa pula tak wujud. Google Android tu. Haha. Ramai apa kipas susah mati Apple yang fobia kepada Android.

Apa pun, kalau dah roboh dinding Androphobia, dinding masjid bangunkanlah ia!
famia said :
March 6, 2011 at 12:01 AM
Cekgu Tawel: Lah, ini Android... Androidlah. Bukan Android software. Ini android yang separa robot separa manusia itu. Dinding masjid bukan semudah itu pak mahu dibangunkan. Simen, batu-bata dan banyak lagi belum cukup :)
wanluqman said :
March 6, 2011 at 10:33 AM
Kepupusan dinosour makluk yang sangat besar dan pembiakan kuman/virus baru yang sangat halus, dengan keizinanNya
Azreem said :
March 7, 2011 at 5:38 PM
salah satu cara melihat keintelektualan manusia ialah menerusi cara penulisan manusia itu..hahaha..

anyway, nice blog here..keep up! :)
very honest voice..
famia said :
March 7, 2011 at 11:47 PM
Wan Luqman: hehe

Azreem: Haha. Ya, kekurangan intelektual sebenarnya blog ini.

Post a Comment

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.