Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Wednesday, November 24, 2010


_This is what we called reverse psychology.

Baru sahaja sampai blook Caca Marba ke tangan aku.

Sampul surat bersetem RM1 disiat dengan kelajuan 200km/j. Ah, sampul surat tidak penting. Caca Marba ini yang penting. Perasaan teruja itu melambung tinggi ke langit sehingga tidak turun-turun. Sudah tiada tarikan graviti barangkali perasaan teruja itu. Ah, perasaan teruja tidak penting. Caca Marba ini yang penting.

Tanpa membaca Bismillah (astaghfirullahalazim)....

Aku angkat buku itu tinggi-tinggi. Aku dekatkan ke muka. Kening berkerut. Aku jauhkan kembali. Aku dekatkan ke muka semula. Kening berkerut lagi. Aku jauhkan kembali. Baiklah. Aku nak buat satu pengakuan. Aku memang ngeri banyak jika terpandang muka lelaki yang berkulit hitam manis dan matanya besar galak merenung tepat ke retina. Mat Jan, contohnya. Aku pernah terserempak dengan beliau dalam LRT menghala ke KL Sentral. Beliau berdiri di sebelah. Aku membutakan diri tidak menegur. Ngeri banyak.

Seram.

Jika disuruh membuat pilihan antara kulit blook ini dan KLCC... memang aku pilih KLCC doh. Ah, kulit blook ini tidak penting. Caca Marba ini yang penting. Aku selak lagi. Wah, ada tandatangan Mat Jan! Tandatangan yang tidak kelihatan seperti tandatangan. Bentuknya unik seperti pengangkut baju. Ah, tandatangan Mat Jan tidak penting. Caca Marba ini yang penting.

Aku selak lagi.

Dan selak lagi berkali-kali melihat helaian lain. Aik? Blook ini baru sampai. Tetapi kenapa kertasnya kekuningan seperti sudah lapan tahun di dalam simpanan? Pergh. Ini baru dinamakan gaya ilusi optik. Yang mana jika blook ini disimpan lagi seribu tahun pun tetap berwarna kuning setiap helaiannya. Klasik. Ah, jenis kertas kekuningan ini tidak penting. Caca Marba ini yang penting.

Aku selak lagi.

Nama yang tertera pada ruangan penyelenggara adalah Sinaganaga. Dan nama editornya pula adalah Lan Hussain. Aik, bukankah Sinaganaga dan Lan Hussain ini orang yang sama? Aku yakin mereka bukan pelanduk. Tetapi orang yang sama. Ilusi optik lagi ini. Ah, jenderal Sol-jah ini tidak penting. Caca Marba ini yang penting.

Aku selak lagi.

Muka surat lima. Tertulis dengan font Typewriter (aku teka) size 18 ke 20, Kertas Am. Aik? Kertas Am? Memang terbaik ini. Mempromosi blook pada musim adik-adik menduduki peperiksaan SPM. Aku cuma ada sifar pengetahuan tentang Kertas Am. Kertas A4 aku tahulah. Ah, Kertas Am ini tidak penting. Caca Marba ini yang penting.

Aku selak lagi.

Lah, punyalah nipis blook ini. Berbaloi ke RM15. Aku selak lagi sehingga ke muka surat terakhir. Pergh. Muka surat 100 itu! Tetapi nipis. Tetapi 100 muka surat. Ini mesti ilusi optik lagi ini. Memang berbaloi-baloi macam ikan Kaloi. Ah, muka surat blook ini tidak penting. Caca Marba ini yang penting.

Dan aku selak lagi.

Lagi... lagi... lagi... lagi. Lagi... lagi... lagi... lagi. Lagi... lagi... lagi... lagi. Lagi... lagi... lagi... lagi. Lagi... lagi... lagi... lagi. Lagi... lagi... lagi... lagi. Lagi... lagi... lagi... lagi. Lagi... lagi... lagi... lagi.

Dan.

Kah kah kah!
Ha ha ha!
Ayam!

Kelakar macam haram.

Baru sahaja sampai blook Caca Marba ke tangan aku. Kalau mahu dapatkan satu salinan, sila ke sini. Tetapi kalau stok habis, tidak boleh pinjam dari aku. Pinjamlah dari library. Ah, library tidak penting. Caca Marba ini yang penting.

Sol-jah dan Mat Jan (eh, Mat Jan pun Sol-jah)... satu ibu jari ke atas.
Terima kasih atas kiriman bersetem RM1 yang dicop dari Alor Setar.
Macam biasa... blook-blook Sol-jah memang tidak mengecewakan.

Hah.

Blook Caca Marba tidak best?

This is what we called reverse psychology_

Sambung baca...

Kategori:

Wednesday, November 24, 2010


_Mungkin aku sahaja yang terperasan.

Atau.

Mungkin aku ini memang Homo Sapiens yang tipikal serta berfikiran sedikit tradisional kadangkala agaknya. Andai sepasang retina ini cekap memerhatikan sesuatu, pasti sereberum aku laju menghasilkan sebuah teori. Yang mana kadangkalanya logik dan kadangkalanya tidak logik. Terpulang kepada jenis dan corak pemerhatian retina itulah.

Hah.
Sudahkah anda perasan sesuatu?
Aku memang suka hidup dengan teori.

Iya, kan?

Mari kita lihat teori 'suka-suka tidak suka sudah' yang terbaru....

1. Secara majoriti, pemilik kereta yang mempunyai bantal di bahagian belakang cermin keretanya adalah berjantina perempuan.
Namun, aku adalah golongan minoriti yang tidak menggunakan bantal sebagai aksesori kereta. Yang aku ada cumalah seekor naga hijau bersayap.

2. Kebiasaannya, lelaki cuma akan mengambil dua jenis lauk sahaja (atau kurang) di kedai makan nasi campur.
Manakala, perempuan pula akan mengambil sekurang-kurangnya dua jenis lauk (kebiasaannya lebih dari dua) di kedai makan nasi campur. Ya. Disebabkan sembilan nafsu itulah.

"Sambal udang letak sikit. Eh, tapi sayur masak lemak itu pun macam sedap. Telur masin pun nak juga. Ikan keli goreng bercili ambil yang kecillah macam ini. Em, apa lagi ya. Semua pun macam sedap."

Kesudahannya bukan habis makan pun. Syaitan pun gelak ketawa keriangan.

3. Kebiasaannya, golongan 'lama' lebih suka memakai pakaian yang berwarna cerah dan kadangkala bercorak besar.
Dari sebatu pun sudah boleh nampak pemakainya. Manakala, golongan muda pula lebih suka memakai pakaian yang berwarna sedikit suram dan kegelapan. Kadangkala tiada corak atau bercorak kecil.

4. Segelintir golongan yang mempunyai paras rupa subhanAllah kacak dan cantik, biasanya bilik dan rumahnya kelihatan seperti baru ditimpa tsunami skala 8.8.
Ya. Paras rupa manusia tidak berkadar terus dengan paras rupa bilik dan rumah.

5. Memandu dalam keadaan cuai dan teragak-agak kebiasaannya adalah perempuan.
Ada juga yang memandu seperti syaitan terbang. Aku, contohnya.

6. Memandu seperti syaitan terbang dan suka mencucuk kereta di hadapan kebiasaannya adalah lelaki muda.
Cara paling mudah untuk menghadapi golongan syaitan terbang ini adalah dengan cara menekan brek berkali-kali. Had memandu di jalan itu adalah 90km/j contohnya... tetapi mereka memandu 140km/j ke 160km/j. Memang syaitan.

Tetapi, jika tiba-tiba dari jauh di belakang sana muncul kereta yang rekabentuknya seperti dihempap bangunan iaitu kereta Batman, Hyundai atau Porshe ke kan... bagi sahajalah laluan kepada mereka. Tidak perlu cakap banyak.

7. Kebiasaannya, lelaki akan mandi dengan begitu kerap setiap hari.
Namun, tidak bagi perempuan.Ada yang mandi cuma sekali sahaja dalam sehari. Ada juga yang tidak mandi langsung. Sesetengah perempuan memang sedikit liat mahu mandi. Bukanlah tidak mandi langsung. Cuma sedikit liat. Lebih liat daripada dodol.

8. Jika seorang lelaki itu berkata, "Tidak."... memang tidaklah maksudnya.
Tetapi jika seorang perempuan itu berkata, "Tidak."... maksud sebenarnya adalah, "Ya.". Perempuan memang penuh kesenian. Serba-serbinya halus belaka. Tersirat belaka. Dan sesungguhnya, aku ini salah seorang manusia yang penuh dengan simpulan dan siratan belaka.

Ok.
Habis.
Akhirnya.

Disebabkan ini cumalah teori 'suka-suka tidak suka sudah', jadi aku tidak ambil kisah pun jika perkataan pertama yang keluar dari mulut anda berbunyi, "Eh, apa pula. Aku tidak macam itu pun." Aku tidak kisah.... aku tidak kisah. Ada aku kisah? Eh... eh garangnya. Maaf, ya. Maaf.

Iyalah. Sebab itu aku cuma letakkan perkataan-perkataan seperti 'kebiasaannya', 'secara majoriti' dan lain-lain. Bukan perkataan-perkataan seperti 'semua lelaki', 'semua perempuan' dan yang sekutu dengannya. Kan? Kan? Kan?

(senyum... senyum)

Ok.
Habis.
Akhirnya_

Sambung baca...

Kategori:

Wednesday, November 17, 2010


_Memang betullah orang kata.

Kalau ikut perut, memang boleh binasa.

Bukan lidah sahaja yang perlu dijaga. Malah, perut itu pun turut sama berada dalam tahap keutamaan seperti lidah. Mana tidaknya, apa yang ditelan semuanya bukan akan keluar semula menjadi tinja atau bahan kumuh yang lain. Malah, ada juga yang akan menjadi sebahagian daripada keluarga darah dan daging. Bersatu teguh, bercerai roboh di dalam sistem tubuh Homo Sapiens.

Tadinya.

Aku terjumpa artikel lama dari blog seorang kawan di sini.

Ish....

Mulai dari hari ini, aku rasa perihal makanan memang wajib dijaga betul-betul. Sebab apa yang dimakan semuanya akan menjadi sebahagian daripada darah dan daging. Yang mana darah dan daging itu kemudiannya akan turun pula kepada keturunan dan generasi aku... er insyaAllah.

Mungkin sedikit tipikal.

Tetapi, aku rasa aku ada hak untuk memberi peringatan dan menyampaikan pesanan lebih-lebih lagi kepada saudara-saudara seIslamku ini. Bukan bertujuan untuk mendatangkan kerugian kepada syarikat-syarikat atau premis makanan ini.

Cumanya, sekadar mahu mencalitkan kesedaran yang berlipat ganda ke dalam serebrum saudara-saudara seIslamku ini. Mahu ambil peduli atau tidak, terpulang kepada anda. Dan apa yang aku cuba sampaikan ini bukan gosip atau berita palsu. Ini berdasarkan semakan di dalam direktori halal JAKIM dan sumber-sumber laman lain. Sorry, I don't gossip and spread false rumours.

Semak dahulu, baru sebarkan. Jangan buta-buta main forward sahaja berita-berita yang belum pasti kesahihannya lebih-lebih lagi di dalam email. Menyampah betul kadang. Belum tentu iya atau tidak, main sebat sahaja forward kepada orang lain. Majoritinya fitnah belaka pula itu. Periksa dahulu ya rakan-rakan. Peringatan untuk aku dan anda juga.

Jadi di bawah ini aku senaraikan premis makanan yang aku pernah pergi suatu ketika dahulu sebab aku kurang kesedaran tentang kehalalannya. Huah... insaf... insaf.

Maklumlah, kalau kau singgah ke mana-mana dan nampak sijil halal JAKIM tergantung di premis tersebut... pasti kau sejuk hati untuk menelan makanan-makanannya bukan. Dan dengan kesedaran yang nipis, mungkin juga sijil halal JAKIM itu sebenarnya sudah lama tamat tempoh ke apa ke kan. Siapa yang tahu. Aku cuma manusia biasa yang senang bersangka buruk dengan premis makanan yang kelihatan seperti halal tidak halal ini.

Dan selepas ini, insyaAllah tiada lagi makanan-makanan daripada premis makanan ini yang terlepas ke dalam perut aku. Harap-harapnyalah. Walaupun kadangkala terngiang-ngiang kembali kesedapan makanan-makanan itu suatu ketika dahulu... ah, jangan pusing belakang Huzaimatus! Jalan terus. Halalan toyyiba, itu yang kita mahu.

1. Sushi King

Mula-mula aku ragu-ragu, kemudiannya selepas mendapat tahu premis ini pernah mendapat status halal JAKIM dan aku sendiri pun pernah ternampak sijil Halal JAKIM (wallahualam kalau itu sijil yang sudah tamat tempoh... sesungguhnya aku tidak tahu), aku pun ke sini. Siap ada kad keahlian, ok. Setiap kali ada promosi RM2 sushi atas Kaizen Belt itu memang jaranglah terlepas peluang. Tidak patut betul berasa bangga dengan perkara ini. Ish. Astaghfirullahalazim.

Dan kemudiannya dalam tempoh itu, aku dapat tahu perihal mirin yang digunakan dalam membuat inti salmon pada sushi. Ini disahkan oleh adik aku sendiri sebab pekerja yang membuat sushi (Melayu) itu yang cerita sendiri. Katanya, jangan makan sushi yang ada unagi dan salmon sebab ada campuran mirin. Yang lain-lain boleh sahaja. Jadinya, jika benda tidak halal menjadi subset kepada premis yang kononnya telah mendapat status halal... apakah maksudnya ini?

Anda sendiri fikirlah.

Merujuk kepada salah satu komen daripada Ikmal Ibrahim di sini....

"aku sebagai kuli masak-masak nak bagitau sikit la…
sebenarnya, dalam masakan jepun terdapat banyak bahan-bahan yang tidak halal…seperti contoh, sushi, beras sushi tu dimasak dan diseason dengan sake (kalau ikut resipi traditional)…miso soup (sup tempe jepun), dibuat dengan stok babi (juga mengikut resipi asal)…sume jenis sauce dan ketchup dari brand K*kkom*n termasuk kicap soya untuk sushi itu adalah tidak halal kerana menggunakan white wine sebagai flavour enhancer…aku sampaikan semua ni in sense of responsibility sesama muslim…dan anda juga harus berhati-hati dengan makanan jepun di mana-mana food court…"

Aku pun baru tahu.

Jadinya.

Anda sendiri fikirlah, ya.

2. Chili's

Hah. Aku pernah tiga kali ke sini. Cawangan KLCC dan Bangsar. Terus terangnya, aku berani ke sini sebab ternampak saudara-saudara seIslam yang lain sedap-sedap makan di sini. Perangai sentiasa mengikut orang atau mudah terikut orang ini memang perangai orang kekurangan pendirian hidup. Lain kali jangan mudah mengikut orang, Huzaimatus. Peringatan ini.

Sesungguhnya, teramat nipis betul kesedaran dan kelogikan aku perihal premis ini. Selepas tiga kali pergi, baru aku tersedar ada unsur alkohol dalam menu-menu lainnya. Jadinya, jika benda tidak halal menjadi subset kepada premis yang tidak diketahui status halalnya... apakah maksudnya ini?

Anda sendiri fikirlah.

Lagi satu. Nama sebenar premis ini adalah Chili's Grill and Bar Restaurant. Jika difikir balik dalam keadaan yang waras dan normal, perkataan 'bar' itu sendiri sudah mencerminkan alkohol, gelas tinggi lutsinar, tempat yang kekurangan lampu sebab mahu menjimat tenaga elektrik, mabuk di sana-sini dan sebagainya... wallahualam. Aku memang tipikal.

Jadinya.

Anda sendiri fikirlah, ya.

3. Manhattan Fish Market

Pernah sekali aku menjejakkan kaki ke sini. Begitu naif. Sebab aku fikir cuma ikan yang wujud di sini. Jadinya, mana ada penyembelihan ikan bukan? Dan kesedaran menimbul selepas aku baca sebuah buku tebal yang best gila, 'Garde Manger: The Art and Craft of the Cold Kitchen'. Hampir semua masakan mereka (makanan barat) dipenuhi dengan kandungan wine dan sekutu dengannya. Pendek katanya, di mana-mana tempat yang ada masakan barat... berhati-hatilah. Lebih-lebih lagi masakan di hotel.

Jadinya.

Kesimpulan yang aku buat daripada buku itu... kalau boleh jangan menjejakkan perut ke restoran-restoran atau premis makanan yang menghidangkan makanan barat. Kalau terjejak juga, berhati-hatilah. Kenapa? Eh... eh degilnya. Sebab kau sudah pasti betul ke daging itu bukan datang daripada binatang yang mati akibat terkena renjatan elektrik? Dan kau pasti ke bahan-bahan lain seperti rempah, sos dan sebagainya itu datang dari sumber yang halal? Dalam kes-kes begini, prasangka buruk itu adalah diperlukan kehadirannya.

Jadinya.

Anda sendiri fikirlah, ya.

*Tambahan pada 1 Febuari 2012*

Aku periksa di direktori JAKIM. Dan Manhattan Fish Market ini ada lesen halal JAKIM. Boleh cuba periksa Direktori Halal JAKIM dan taip Manhattan Fish Market jika ingin tahu lebih lanjut.

4. Subway

Tsk. Percayalah. Buat masa ini, memang premis ini salah satu tempat kegemaran aku. Roti Honey Oat. Terbaik, woh. Tetapi, selepas aku baca artikel dalam blog ini... aku cuba semak dalam direktori halal JAKIM. Tekalah. Ya. Tepat sekali. Tiada keputusan carian melainkan dua sahaja di bawah produk di dalam direktori halal JAKIM. Anda boleh semak sendiri jika mahukan kepastian.

Percayalah.

Aku ke sini sebab aku ternampak sijil halal JAKIM terpampang di premis Subway Sunway Piramid hari itu. Rasanya sudah dua kali ke sini. Dan selepas aku tengok Subway tiada status halal daripada JAKIM, terus rasa macam arghhh... kenapa! Tetapi selepas kewarasan kembali, aku fikir logik juga. Sebab dalam menunya ada ham. Ah! Kenapalah aku tidak perasan. Aku pernah makan meatball dan tuna. Itu pun sebab hidangan untuk hari Selasa dan Rabu. Dan bila aku buat carian lanjut lagi perihal Subway ini... barulah aku betul-betul lega sebab Subway ini memang aku pasti 800% tidak halal. Tidak halal, ya kawan-kawan.

Tidak syak lagi.

Cuba skroll bawah dan semak bahagian Ingredients di sini. Anda akan jumpa dua bahan secara terang, jelas dan nyatanya iaitu Pork dan Wine. Tulisannya sedikit kecil. Mohon pakai kanta pembesar jika kabur. Itu salah satu menu yang terdapat di Subway, Italian BMT.

Astaghfirullahalazim... apa bendalah yang aku makan ini.

Jadinya, jika benda tidak halal menjadi subset kepada premis yang tidak diketahui status halalnya... apakah maksudnya ini?

Anda sendiri fikirlah, ya.

5. Johnny's

Ok. Aku akui suatu masa dahulu aku suka ke sini. Sebab ada seaweed. Ya. Aku peminat tegar seaweed. Dan juga mi hijau bayam. Sedap. Tetapi, selepas aku periksa dalam direktori halal JAKIM, tiada keputusan carian yang dijumpa. H to the A to the L to the A to the L is not there. Dan macam biasa, aku terasa sangsi selepas tengok hidangan mi hijau ayam BBQ mereka. Ini adakah ayam-ayam yang mati terkejut akibat terkena renjatan elektrik juga atau apa?

Jadinya, jika benda yang tidak dapat dipastikan status halalnya menjadi subset kepada premis yang tidak diketahui status halalnya... apakah maksudnya ini?

Sebab JAKIM pun tidak kata OK.
Aku pun tidak OK.
Anda pula?

Anda sendiri fikirlah, ya.

6. Kedai Mamak

Haha. Maaflah. Aku bukan clean freak. Tetapi, aku memang jadi tidak selera kalau ke kedai mamak. Lagi satu, aku memang was-was sebab aku tidak pasti premis makanan itu adakah hak milik orang Islam atau bukan Islam. Senang cerita, ini kedai mamak India atau kedai mamak Muslim. Kadang-kadang kedai itu pasang radio Melayu, terpampang bingkai gambar Mekah, nama Allah dan Nabi Muhammad SAW di dinding dan nama kedai pun berbunyi nama kedai Melayu tetapi hampir semua pekerjanya (bukan hampir, kadangkala semua) adalah India.

India... Muslim atau India yang memang India?

Lagi pula, ada yang tukang masaknya tidak pakai sarung tangan dan penutup kepala. Bulu roma di tangan punyalah lebat. Kadangkala peluh menitik dan terjatuh ke dalam... ah, hilang selera makan. Maaflah. Aku ulang semula. Aku bukan clean freak. Tetapi, aku memang kurang selera kalau ternampak tukang masaknya tidak mementingkan kebersihan. Sudahlah pula, masakan mereka kekurangan santan. Dengar kata, jika ada kuah kari yang terlebih... semuanya akan dicampur untuk masakan kuah kari esoknya. Ergh. Mungkin jika terpaksa ke sini, aku cuma mampu menelan air sahaja agaknya.

Tips untuk anda.

Cuba periksa ada ke tidak hidangan daging lembu di kedai mereka. Jika ada... mohon pertimbangkan pula pada kebersihannya dan sebagainya. Jika tiada... saya yakin itu kedai India tulen. Mana mungkin mereka menyediakan Tuhan mereka sebagai hidangan bukan? Tetapi, wallahualam jika ada yang selamba ayam sahaja meletakkan daging lembu sebagai hidangan masakan walaupun mereka adalah India tulen.

Ah, apa-apa pun.

Anda sendiri fikirlah, ya.

TAMAT.

Baiklah. Buat masa ini, aku senaraikan enam sahaja sebab aku bukannya suka sangat makan. Selera makan memang sebesar kacang soya sahaja. Oh, ya. Mari aku senaraikan pula premis-premis makanan yang aku memang sudah pasti kehalalannya... Halalan Toyyiba. JAKIM pun sudah bagi lampu hijau dengan tersenyum simpul sambil berkata, "Ok, baca bismillah dan boleh makan".

  1. McDonald - aku tipikal... degil tidak mahu menjejakkan perut ke sini.

  2. 1901

  3. Secret Recipe

  4. Chicken Rice Shop

  5. Coffee Bean - pure double chocolate ice blended adalah pujaanku.

  6. KFC

  7. Kenny Rogers Roasters - JAKIM letak halal cuma pada cawangan Negeri Sembilan. wallahualam

  8. Big Apple Donuts & Coffee

  9. Pizza Hut Restaurants

  10. Masakan mak saya

  11. Masakan saya


Ah... cukup itu Huzaimatus!

Baiklah.

Saya harap apa yang saya sampaikan ini kena pada fikiran dan perut anda, ya. Anda boleh semak pada direktori halal JAKIM atau pada senarai pemegang sijil halal terbaru.

Makan itu biar berpada-pada.
Berhenti sebelum kenyang.
Dan pastikan halal.

Ok, bahagian saya sudah selesai. Terpulang kepada anda untuk menyampaikan kepada yang lain atau menyampaikan kepada perut sendiri. Dan... jika dan hanya jika ada di antara premis-premis di atas yang mungkin telah mendapatkan status halal daripada JAKIM tetapi di luar pengetahuan saya... mohon sampaikan pada saya ya. Terima kasih daun keladi.

Calo beti_

*Tambahan pada 20 Januari 2012*

Aku dah lama tak jenguk entri ini. Dah terlupa pun ada entri ini. Tapi sejak kebelakangan ini banyak pula yang komen dan menyinggah ke sini. Terima kasih ya sudi menjenguk ke blog tak berfaedah ini. Huauahuahuahauhua.

Ok, perihal Subway. Macam kena jelaskan sikit. Sebab aku rasa ada sangat ramai peminat tegar Subway di sini yang tidak berapa puas hati dengan artikel ini (agaknyalah... aku teka).

Subway. Dulu aku pernah makan 2 kali. Di Sunway Piramid. Tetapi lepas itu aku selidiklah apa sebenarnya menu 'so called sihat penuh nutrient' ini dalam Internet. Jadi aku pun jumpalah link tersebut. Yang mana adalah link franchise Subway di luar negara. Memanglah akan tertulis ham dalam itu kan. Dan memang ada tertulis dalam itu yang pihak Subway memang akan customize menu untuk negara franchise yang amalkan pemakanan halal... yang mana salah satunya Malaysialah kan.

Tapi aku tetap musykil. Bukan sebab daging saja. Dan kalau betullah ham itu ayam-based kan... kau pasti 100% ke penyembelihannya halal. Supplier dari mana apa bagai semua. Maaflah tapi aku memang sedikit musykil kalau premis makanan itu tiada halal JAKIM. Walaupun memang tidak semestinya kalau ada sijil halal JAKIM 100% itu memang 100% halal... tetapi sekurang-kurangnya aku tahu JAKIM itu recognized body.

So, aku ragu... aku tinggalkan dan aku sampaikan keraguan aku di sini. Kalau anda masih nak makan dan masih pasti kehalalannya... makanlah. Apa ada hal kan. Aku tidak menghalang pun. Mungkinlah ada menghalang sedikit kan. Sebab tiba-tiba anda semua terasa ragu dengan kehalalan Subway. Walau apa-apa pun... makan itu sentiasalah beringat. Subway bukan the only premis makanan yang ada dalam Malaysia ini. Come on. Makan sederhana saja sudah. Belajar hidup dengan besederhana.

Ada satu video perihal serbuan JAKIM yang melibatkan beberapa premis makanan termasuklah Subway di sebuah pusat membeli-belah terkemuka (terkemuka di kawasan itu sajalah). Boleh tengok di sini

Lain-lain pesanan... makan itu jangan membuta-tuli. Jaga sikit hawa nafsu makan. Aku tengok kalau di KLCC itu masih berduyun lagi orang Islam makan di Chillis. Ingat-ingatlah kawan-kawan. Satu lagi kedai makanan Korea. Kalau tidak silap aku ada satu di Sunway Piramid yang kononnya dapat lesen halal daripada International Islamic Food Research. Ramailah juga orang Islam yang bedal makan di situ sebab tekak teringin nak merasa makanan Korea kan.

Kalau masakan Cina, Korea, Jepun ini... tahukah anda kebanyakannya pakai sup renehan (broth). Dan kalaulah itu makanan vegetarian pun... tidak semestinya tiada renehan sup ba alif ba ya... hah eja sendiri. Masak banyak pakai stok. Stok2 (macam renehan dalam bentuk pepejal itu hah... ke paste entah panggilnya) ini semua kalau tidak stok ikan bilis mesti stok ba alif ba ya atau pun stok wallahualam-lah kan. Pandai-pandailah beringat makan.

Kalau nak cerita pasal makanan ini memang panjang lebar. 8 hari pun belum tentu habis. Tetapi sebab ada hamba-hamba Allah yang sudi berkongsi artikel aku ini... jadi aku pun rasa sedikit terpanggillah kan nak jelaskan sedikit perihal ini. Dan terakhirnya... aku dah sampaikan tanggungjawab aku. Lain-lain itu anda pandai-pandai sendirilah.

Wallahualam.

Sambung baca...

Kategori:

Tuesday, November 16, 2010


_Teknologi semakin lama semakin moden.

Menulis entri sebulan sekali, bukan harapan saya.

Jadinya.

Sempena menyambut Aidil Adha 1413 Hijrah ini, saya dengan selamba malasnya segala sisa kudrat yang masih ada... telah menyediakan entri berbentuk audio yang macam entah apa-apa. Dan rakaman suara tersebut telah tergantung atas sebab sudah melebihi tempoh masa lima minit yang telah diperuntukkan.

Ah, menceceh pula.
Baiklah.
Nah.

Link telah dihapuskan sebelum 24jam setelah kesedaran sivik menjelma.
Haha. Maaf.

Salam Aidil Adha_

Sambung baca...

Kategori:

Wednesday, November 10, 2010


_Anda di dalam kategori yang mana satu?

Eh... eh tiba-tiba pula.

Ah, ini perihal kesesakan jalan raya. Macet menggila di Kuala Lumpur, terutamanya. Tahukah anda faktor-faktor kesesakan jalan raya sekiranya ditulis di atas kertas A4 dalam lapan kajang kertas pun belum tentu lagi habis. Panjang berjela lagi menceceh-ceceh. Dan salah seorang penyumbangnya adalah anda. Oklah... dan saya juga. Dan mereka juga. Ah, kita semualah pendek katanya.

Baiklah.

Mari senaraikan faktor-faktor kesesakan jalan raya... samada yang logik atau pun tidak logik, atau juga tidak bernas lagi tidak masuk akal. Ah, sinonim semuanya. Sama tetapi tidak serupa. Barangkali tidak serupa dari segi ejaannya. Barangkali juga dari segi bacaannya. Ya... barangkali. Dan mungkin juga tidak serupa dari segi....

Huzaimatus!

Ah, maaf ya... maaf.
Menulis dalam keadaan yang bersimpang-siur.
Tabiat buruk yang liat mahu tertanggal sejak azali.

Baiklah.

Senarainya seperti di bawah.

  1. Memandu pada kelajuan 60km ke 80km di laluan kanan. (Weh, bajet laju ke apa! *hantuk kepala ke stereng)

  2. Memperlahankan kenderaan sekiranya terdapat kemalangan. (Weh, takat nak tolong tengok je nak buat apa. Kalau concern sangat, pergilah tolong hantar ke hospital ke apa. Serabut ayam jalan itu dibuatnya)

  3. Polis trafik pelatih tidak cekap mengawal kesesakan lalulintas. (Sebab kerja tidak cekap, jadi kita cop saja polis itu sebagai polis pelatih. Aku tetap berperasaan yang lampu trafik adalah polis trafik yang terbaik berbanding manusia)

  4. Teragak-agak menukar laluan dari kanan ke kiri. (Bacalah bismillah. Aduhai)

  5. Menghalang laluan dengan cara memandu di atas dua laluan. (Tamak macam ayam! Macamana boleh lepas ujian memandu entahnya)

  6. Memandu sambil menjawab telefon atau membalas SMS. (Kalau tak boleh multitasking tu janganlah buat, ayam!)

  7. Tersesat jalan. (Kalau dah tau sesat tu tukarlah ke laluan paling kiri! Kurang kesedaran sivik betul)

  8. Tidak menepikan kenderaan apabila terlibat di dalam kemalangan yang kecil. (Woi, takat tercuit sikit je bumper depan pun nak kecoh! Bukannya calar. Hak alah. Kecoh macam ayam)

  9. Menunggang motor tengah-tengah di laluan kanan. (Ni lagi satu nak kena. Sengal macam ayam. *sambil menumbuk tanah bertubi-tubi)

  10. Bas dan lori memandu 20km/j ke 60km/j di laluan kanan (.... *tidak dapat terima kenyataan lalu terus berlari laju-laju sambil melanggar dinding)


Hah.

Maaf untuk segala ayat di dalam kurungan di atas. Nampaknya syaitan dan masyarakatnya telah berjaya menggenggam erat saya ke dalam pelukan mereka. Hangus terbakar sudah aku dibuatnya. Fu... fu. Kasihannya imanku yang lebih nipis daripada kulit Amoeba ini. T___T

Kiranya.

Saya beranggapan hampir semua penduduk di Kuala Lumpur berpotensi tinggi hampir 800% untuk menghidap penyakit darah tinggi, sakit jantung dan masalah keguguran rambut yang kronik. Ah, ya. Ini semua gara-gara tidak lain dan tidak bukan faktor-faktor kesesakan jalan raya yang tidak logik dan mungkin sekali-sekala logik di Kuala Lumpur ini. Masing-masing perangai macam ayam! Dan kebanyakan pemandu (bukan semua) yang plat kenderaannya bermula dengan 'J'... memang memandu macam syaitan. Salah seorangnya adalah saya.

Jadinya.

Anda di dalam kategori yang mana satu?

Saya yakin 800% anda dan saya termasuk di dalam golongan di atas_

Sambung baca...

Kategori:

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.