Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Thursday, September 30, 2010


_Hai... hai.

Bertemu kita sekali lagi dalam rancangan memasak 'Keletang Keletung'.

Bersama pengacara anda yang tidak asing lagi untuk minggu ini, iaitu tidak lain dan tidak bukan adalah... sayalah. Iyalah. Pastilah saya. Siapa lagi kan. Tidak mungkinlah anda pula kan. Tetapi jika anda berminat untuk menyertai rancangan memasak 'Keletang Keletung' bersama saya untuk hari-hari lain, hah marilah... dipersilakan juga.

Baiklah.

Sebelum itu, kita perlu memasang lagu latar untuk rancangan memasak ini ya para penonton. Untuk minggu ini, saya perdengarkan lagu nyanyian IU bertajuk Marshmallow. Comel lagu ini. Marshmallow... marshmallow... nomu chua... chua! Sudah itu, Huzaimatus. Beradab sedikit.

Ah, maaf ya.

Baik, mari mulakan.

Hari ini saya mahu berkongsi resipi kek batik ibu saya. Sepertimana yang anda tahu, resipi kek batik ini ada pelbagai cara dan bahannya. Ada yang tidak perlu dimasak dan terus dikeraskan di dalam peti sejuk. Dan ada juga yang perlu dimasak. Ikut kreativiti masing-masing ya para penonton.

Tiada garis panduan khas yang perlu diikuti dalam membuat kek batik. Semua resipi kek batik di seluruh dunia ini adalah betul. Tetapi, bukan semuanya sedap. Ya, ini perlu diambil perhatian ya para penonton. Bukan semuanya sedap. Oleh itu, marilah kita berusaha membuat kek batik yang sedap.

Oh ya.

Selain daripada itu, kek batik yang terhasil ini bergantung juga kepada cara anda memakai kain batik, kualiti kain batik dan teknik membasuh kain batik ya para penonton. Ok. Tanpa melengahkan masa yang memang sudah lama terlengah ini, saya mahu berkongsi resipi kek batik ibu saya yang sangat sedap sepertimana yang digembar-gemburkan oleh rakan-rakan saya. Saya harap sedaplah. Sama-samalah kita berkongsi ya.

Bahan-bahannya

- 5 biji telur ayam.
- 3 senduk gula pasir
- 3 senduk butter
- 4 senduk Milo
- 3 senduk serbuk koko
- 1/2 tin susu pekat
- 1 sudu kecil esen Vanilla
- 1 peket besar biskut Marry (telah dipatah empat setiap satu)
- 1 bekas besar (telah dialas plastik dalamnya)

Cara-caranya

  1. Masukkan kesemua butter, gula, telur, serbuk Milo, serbuk Koko, susu pekat dan esen Vanilla ke dalam satu periuk besar.
  2. Pukul, kacau dan ratakan semua bahan-bahan tadi.
  3. Panaskan atas api yang kecil atau sederhana lebih kurang 3 minit.
  4. Masukkan biskut Marry yang telah dipatahkan dan kacau sehingga rata.
  5. Kacau kesemua bahan-bahan itu lebih kurang seminit dua (jangan lama-lama).
  6. Masukkan bahan-bahan tadi ke dalam bekas.
  7. Ambil satu plastik dan ratakan bahan bancuhan tadi dengan tangan anda.
  8. Ratakan dan tekan-tekan sehingga mampat di dalam bekas tadi.
  9. Simpan di dalam peti sejuk, tunggu sehingga sejuk dan keras.
  10. Keluarkan, potong dan makan.


Bahan-bahan itu anda boleh 'trial and error'. Jika tidak mahu terlalu manis, kurangkanlah sukatan gula. Kalau saya, serbuk Milo memang saya lebihkan. Haha. Maklumlah, saya adalah hantu Milo. Sedap betul kalau ada serbuk Milo yang terlebih dalam itu.

Oh, ya.

Bekas itu saya letakkan plastik supaya mudah anda mahu keluarkannya untuk dipotong. Jangan anda pergi potong dalam bekas itu macam yang saya selalu buat. Habis berbirat bocor bekas itu nanti. Lagipun kalau anda letakkan plastik, lebih senonoh dan bersih sedikit bekas itu. Sedikit sememeh jika anda main longgokkan sahaja di dalam bekas itu. Teknik ini, ibu yang ajar. Kalau anda tidak berminat nak ikut, apa ada hal. Saya tidak kisah. Haha.

Oh, ya.

Nana, kek batik yang kau makan tempoh hari itu aku rasa aku terkurang letak gula. Sebab rasa butter dan telur itu agak kuat di hujung lidah aku ini. Haha. Sejak minat menggila nak memasak ini, memang deria rasa lidah ini agak sensitif. Laju juga ia mengenalpasti apa yang kurang dalam sesuatu masakan itu. Ini semua gara-gara sudah terbiasa dengan masakan ibu yang tiada tandingan.

Ah, ya.

Sebab itulah saya jarang makan di luar. Lagipun kadangkala sedikit kembang tekak menyinggah ke kedai yang kurang bersih. Mahal pula kadangkala. Rasa makanan itu tidak setimpal dengan harganya kadangkala. Ya... ya. Sebab itulah kena belajar masak sendiri ya para penonton. Berikutnya mahu mencuba ddeokboggi (Korean spicy rice cake) pula. Macam senang. Cuma gunakan kueyteaw saja. Sama-samalah kita nantikan keberkesanannya ya.

Oklah.
Lagu latar pun sudah lama habis.
Selamat mencuba dan rajin-rajinlah memasak.

Bertemu lagi lain kali dalam rancangan memasak 'Keletang Keletung'_

Sambung baca...

Kategori: ,

Sunday, September 19, 2010


_Haahlah.

Saya belum cerita sambutan Syawal tahun ini rupanya.

Tetapi kesimpulan untuk sambutan Syawal tahun ini di Kluang adalah sangat tidak disangka-sangka. Memang sungguh tidak dijangka. Tetapi jangkaan ini bukannya jangkaan yang meleset. Sebaliknya, ini adalah jangkaan yang er... apa ya perkataan berlawan bagi meleset. Hah, itulah dia. Jangkaan yang tidak meleset.

Tahun ini sangka saya tiada sebarang daun ketupat yang bakal dianyam. Sangka saya lagi kewujudan burasak pun sudah dilupakan buat kali ini. Sangka saya lagi bukan semua anak-anak dan cucu-cucu atuk kembali ke kampung pada hari raya tahun ini. Dan sangkaan saya yang terakhir, masak-masak secara besar-besaran dan kuih-muih juga mungkin tidak meriah pada tahun ini.

Rupa-rupanya....

Hah.
Memang tidak disangka-sangka.
Inilah yang disebut orang putih, 'Expect the unexpected'.

Pada mulanya cuma ada beberapa ketul silinder ketupat nasi sahaja yang sudah dipesan oleh orang-orang tua. Alih-alih itu sehari sebelum raya ketika semua anak-anak dan cucu-cucu atuk sudah berada di kampung, tiba-tiba datanglah timbunan daun pucuk pisang muda untuk membuat burasak. Kemudiannya, tiba-tiba juga datanglah timbunan daun kelapa untuk membuat ketupat bawang dan datanglah juga daun palas.

Nah, ambil kau.

Bertimbun-timbun burasak dibuat. Itu pun masih banyak lagi daunnya yang berlebihan. Kemudiannya, bertimbun juga menganyam daun ketupat bawang. Dan juga tidak dilupakan adalah ketupat palas. Memang terbaik. Hilang rasa gian rindu-merindu mahu menganyam daun ketupat.

Dan tahun ini, meriah sebab kami berpeluang berbuka puasa pada hari terakhir berpuasa secara beramai-ramai sambil membuat bacaan tahlil. Er, terasa seperti itu adalah struktur ayat yang sangat berterabur. Ah, abaikanlah. Apa-apa pun hari terakhir berbuka bersama memang terbaik. Pendek kata dari mula sampai habis pun memang terbaik.

Perihal pagi raya.

Tahun ini, hampir semua gambar raya adalah dipenuhi dengan gambar-gambar linangan air mata ketika bersalaman dan bermaafan. Dan tahun ini adalah satu-satunya tahun di mana kami langsung tidak ke mana-mana untuk beraya. Cuma duduk sahaja di kampung sambil menunggu orang datang beraya. Lagipun pada tahun lepas sudah beraya sakan ke hulu ke hilir beraya di rumah sanak-saudara. Jadi disebabkan itulah agaknya tahun ini kami lebih suka melepak di rumah sahaja.

Perihal duit raya.

Agak kah kah kah juga. Maklumbalas mereka memang positif kan. Seperti di dalam entri Kisah Syawal Bahagian 2 itu. Maaflah. Tahun ini ekonomi sedikit merosot. Dan macam biasa kalau membeli sampul duit raya itu, aku mesti beli sampul duit raya yang reka bentuknya betul-betul seperti spesimen duit kertas yang sebenar. Barulah lebih awesome.

Perihal gosip-gosip raya.

Biasalah. Untuk mereka yang masih belum berdua itu pasti akan bertubi-tubi diaju soalan keramat 'Bila mahu kahwin' kan. Tetapi pada tahun ini, kebanyakan soalan-soalan tersebut telah berubah format seperti begini, "Tak ada sesiapa yang kau berkenan ke?". Atau pun, "Tak ada sesiapa yang berkenan dekat kau ke?". Begitulah lebih kurang. Walau apa-apa pun, jawapan aku tetap mengikut skima jawapan STPM 1999 iaitu gelak sahaja dalam iman. Baiklah, mari kita laju-laju meninggalkan topik ini.

Perihal drama dan filem raya.

Sedikit menyampah jugalah mahu menonton televisyen. Tidak habis-habis dengan filem-filem hantu. Tayang cerita hantu tetapi takut dengan hantu. Kalau buat penonton itu jadi berani dengan hantu bagus juga, ini tidak. Hai, apalah. Mujur ada Astro di kampung. Hari-hari pun boleh layan AXN atau pun KBS World. Oh, tetapi pada tahun ini drama Lillah ditayangkan semula. Itu sahajalah drama yang mampu memecahkan paip air di dalam mata saya. Tengok lapan juta kali pun tetap sedih.

Perihal raya beraya.

Saya tidak membuat rumah terbuka pada tahun ini. Tetapi jika anda datang beraya, insyaAllah pintu itu terbuka dengan sendirinya. Tahun ini seperti kekurangan perasaan mahu beraya ke mana-mana. Larat sekadar beraya ke rumah saudara-mara sahaja. Tetapi jika ada kawan-kawan yang membuka pintu rumahnya, jemputlah. InsyaAllah saya akan cuba memanjangkan ligamin kaki ini untuk ke rumah anda.

Akhir kata, puasa jangan lupa ganti ya.
Akhir kata lagi, puasa enam kalau mampu buat... buatlah.
Akhir kata lagi dan lagi, jaga perut baik-baik di musim perayaan ini.

Tamat sudah_

Sambung baca...

Kategori:

Saturday, September 18, 2010


_Nuffnang.

Anda tahu apa itu Nuffnang?

Tidak. Ia tiada kaitan dengan saudara Saiful Nang, seorang jurugambar perkahwinan yang popular itu. Nuffnang ini... aku pun tidak tahu. Tetapi, aku teka Nuffnang ini adalah iklan yang boleh diletakkan di laman sesawang anda dan kemudiannya jika diklik secara kerap oleh pelawat, anda akan memperoleh money... money... money.

Agaknyalah.

Suatu hari itu ayah dan emak bertanya.

"Zai pernah dengar Nuffnang?"

Eh, hairan pula ayah dan emak boleh tahu perihal ini.

"Pernah, ayah. Dia iklan-iklan je. Kenapa?"
"Kau tak ada ke Nuffnang ini?"
"Ada emak. Tapi serabut nak letak iklan di blog."
"La, cubalah letak. Buat website elok-elok biar berfaedah lepas itu letak."
"Er, kenapa kena letak mak?"
"Yelah. Kan boleh dapat duit. Yang buat Nuffnang ini pun budak je."
"Oo. Alahai mak. Macam leceh je nak letak iklan itu."
"Yang kau ni buat blog tulis benda-benda tak berfaedah. Macamana nak elok."

Tergelak besar aku dengar perkataan 'tulis benda-benda tidak berfaedah' itu. Hebat emak ini. Memang tidak berfaedah pun blog ini. Cuma itulah. Perihal Nuffnang ini sampaikan mak dan ayah pun tahu. Hairan juga. Aku sendiri pun tidak berapa arif tentang Nuffnang ini sebenarnya. Akaunnya ada. Cuma serabut ayam mahu meletakkan papan iklan di blog. Lagi satu, macamlah ada orang yang nak klik nanti kan (mentaliti negatif ini... adik-adik jangan tiru di rumah ya).

Tetapi kan.

Betul-betul kaya ke kalau ada Nuffnang itu? Dapat ke duit beratus-ratus? Dan soalan terakhir yang paling pentingnya... apa bendalah si Nuffnang ini sebenarnya ek? Musykil lagi mengelirukan sungguh. Lepas itu, apa maksud Nuffnang itu? Lepas itu lagi, kenapa Saiful Nang tiada kaitan dengan Nuffnang? Lepas itu lagi dan lagi, kenapa emak dan ayah aku boleh tahu perihal Nuffnang ini tetapi aku tidak tahu pun?

Hah.

Cuba tolong jawab sikit sesiapa di sana_

Sambung baca...

Kategori:

Friday, September 17, 2010


_Berapa ringgit anda (yang layak) memberi duit raya pada tahun ini?

Lima ringgit?
Sepuluh ringgit?
Lima puluh ringgit?

Saya... lagi banyak.

Lima puluh sen dan lima puluh sen. Hah. Berat bukan?

Untuk budak-budak kecil sahaja pun. Suka-suka bagi. Apa ada hal. Tetapi kan, semasa zaman saya setinggi anak pokok pisang dahulukala, jika peroleh duit syiling sebagai duit raya memang sudah terasa seperti dunia di hujung jari. Boleh beli apa sahaja. Maklumlah, duit syiling bukankah berat berbanding duit kertas yang senang hilang melayang jika ditiup angin bayu. Itu zaman Tora dan cokelat DingDang pada suatu masa dahululah.

Kaya doh!

Eh... eh tidak boleh cakap macam itu. Terlalu hip hop dan kelihatan seperti miskin akhlak pula. Tarik balik. Gunakan ayat itu di belakang tabir sahaja, ya Huzaimatus. Harap dapat tunjukkan contoh tauladan yang sedikit molek untuk mereka di sini. Baiklah... baiklah. Sambung. Duit syiling memang sedikit disanjung tinggi oleh saya sewaktu zaman Tora dan cokelat DingDang pada suatu masa dahulu.

Tetapi kan.

Jika dibandingkan zaman Tora dan cokelat DingDang dengan zaman PSP serta Wii ini memang jauh benar perbezaannya. Memang tidak boleh lawan. Bagai langit dan bumi. Bagai cuka dan keju. Bagai daging ayam dan daging lembu. Bagai mayonis dan cincalok. Bagai ikan kering dan....

Hoi, sudah itu sudah!

Ah, maaflah.

Terleka pula saya. Hah perihal duit raya. Tahun ini hampir semua sepupu sepapat yang kecil-kecil dan anak-anak saudara yang kecil-kecil juga saya hulurkan duit syiling. Ya. Duit syiling ini tidak lain dan tidak bukan adalah duit syiling seplastik yang beratnya hampir mencecah sepuluh kilogram. Seplastik duit syiling yang tidak berjaya diusung ke mana-mana bank berdekatan ketika bulan Ramadhan yang lalu. Ini adalah disebabkan er... kesuntukan masa dan kekurangan kudrat untuk mengusungnya ke bank. Alasan... alasan.

Walau bagaimanapun, saya mendapat pelbagai jenis respon yang saya yakin memang seratus... dua ratus... tiga ratus peratus positif ketika memberi duit raya pada tahun ini. Hah. Tahukah anda apa respon mereka? Mari kita sama-sama saksikan petikan di bawah.

"Apa? Duit syiling? Alaaaaaa...."
"Alahai, duit syiling je?"
"Alah, tak naklah duit syiling."
"Tak bestlah duit syiling."
"Seringgit je? Syiling pulak itu."
"Beratlah."

Hah.

Boleh tahan positif kan_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, September 16, 2010


_Tidak tahulah mengapa.

Yang namanya kalau berbunyi Huzaimatus sahaja memang begini.

Ada sahaja kejadian-kejadian yang tidak berapa logik yang akan terjadi kepadanya. Kemungkinan besar agaknya disebabkan itulah aku belum pernah jumpa Homo Sapiens yang sama nama macam aku. Barangkali perangai pun sama pelik. Sudahlah makna Huzaimatus pun tidak diketahui.

Ah, abaikan perihal itu sebentar.

Ini kisah pada satu hari di bulan Syawal.

Hari itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kluang, kedua-dua belah tayar hadapan kelihatan seperti suam-suam kuku sahaja dia punya mengembang. Mata kasar yang memandang akan nampak seperti tayar itu mengempis. Mata halus yang menjeling pula akan nampak seperti tayar itu mengembang.

Akhirnya, ayah menggesa tayar itu dipam angin lagi.

Dengan tekanan 220, aku buka punat angin tayar itu. Aku pam. Kset... kset... kset. Selesai. Aku tukar tayar berikutnya. Ayah memandang pelik di sebelah sambil bersuara.

"Eh, belum bunyi ting lagilah dia punya tayar itu."
"Tapi dah berbunyi angin keluar ini, ayah."

Ayah memandang aku. Aku pun memandang ayah.

"Ya Allah budak ini, tunggu sampai ada bunyi ting barulah angin penuh."
"Laaa ya ke? Selama ini saya pam angin sampai bunyi angin keluar je."
"Astaghfirullahalazim budak ini. Patutlah kempis je tayar ini."

Ayah menggeleng sahaja.

La, selama ini aku pam angin memang macam itu sahaja. Patutlah terasa pelik macamana orang pam angin boleh keluar bunyi ting. Aku tak pernah dengar pun bunyi itu selama mengepam tayar ini. Aduhai. Patutlah selama ini tayar kereta itu nampak kempis sahaja. Belum cukup angin rupanya. Hah. Bukan takat belum cukup. Tapi memang tidak pernah cukup rupanya angin dalam tayar itu. Maknanya selama tiga ke empat tahun berkereta ini memang salah rupanya cara aku mengepam angin.

Hak alah hai si Huzaimatus ini.

Akhirnya sampai ke hari ini ayah asyik membahan sahaja perihal mengepam angin tayar itu. Isk... isk. Mujur ayah ada hari itu nak memperbetulkan cara mengepam angin. Kalau tidak, sampai mati pun aku pelik kenapa tidak pernah ada bunyi ting keluar semasa mengepam angin.

Hak alah hai si Huzaimatus ini.

Foul betul_

Sambung baca...

Kategori:

Friday, September 03, 2010


_Ucapan raya sudah bermula.

Selamat hari raya... selamat hari raya.

Syawal 1431H

Ehem... ehem.

Bilakah anda mula bercuti raya?
Berapa lama pula anda memohon cuti raya?
Saya... Rabu hadapan baru pulang ke Kluang, insyaAllah.

Pulang ke Kuala Lumpur kemungkinan besar hari Isnin berikutnya. Tengoklah. Kalau malas nak balik ke Kuala Lumpur... duduk sahaja sehingga puas. Boleh mengejar angsa, itik dan ayam lagi. Kah kah kah. Tahun ini dengar khabar orang-orang tua di kampung semua sudah kurang kerajinan mahu merebus ketupat. Sedih.

Kerana....

Ini memang perkara yang paling menyedihkan buat saya. Ini kerana saya adalah seorang penganyam tegar ketupat nasi dan ketupat palas. Burasak pula sudah dua tahun rasanya tidak buat. Bekalan daun pisang muda sudah tiada. Jadinya terpaksa memesan dari saudara di Benut sana. Haih, makin tidak berseri acara memasak tahun ini.

Tidak mengapalah.

Jika anda memerlukan khidmat menganyam daun ketupat, call me~~

Eh... eh gediknya si Huzaimatus ini.

Baiklah.

Saya rasa ini entri terakhir sebelum Syawal menjelma. Jadinya, sepuluh jari yang alhamdulillah sempurna ini saya hulurkan kepada anda sebagai tanda memohon maaf di atas segala kesalahan, keterlanjuran kata, terpukul, terkeluarkan ayat keji dan sebagainya samada disengajakan atau memang tidak disengajakan. Saya harap saya tidak membawa pengaruh buruk di dalam kehidupan anda ya.

Ah, ya.

Saya berharap juga agar saya tidak akan dapat duit raya lagi pada tahun ini. Malulah. Sudah besar seperti gajah masih boleh dapat duit raya lagi.

Ah, ya lagi satu.

Jika anda mahu beraya ke rumah saya nanti, call me~~

Ya Allah, gediknya si Huzaimatus ini.

Baiklah... baiklah.
Saya akhiri ucapan dengan pantun di bawah.

Pecah kaca,
Pecah gelas,
Sudah baca,
Harap balas.

Maaf zahir batin ek_

Sambung baca...

Kategori:

Wednesday, September 01, 2010


_Hai.

Nah, sedikit kasih sayang.

Under 15

(Huzaimatus, gambar miang apa yang kau lukis ini hah!)

Ah, lukisan itu cuma untuk adik-adik berumur 15 tahun ke atas ya. Kalau bawah dari 15 tahun memang tidak boleh tengok. Tidak berapa nak sopanlah adik-adik. Maaf ya adik-adik. Kakak Huzaimatus ini kalau bulan puasa memang begini perangainya. Lain macam betul dia punya perangai. Nanti bila syaitan semua sudah dilepaskan barulah kakak Huzaimatus itu kembali normal semula.

(Jadi, sebenarnya siapakah yang lebih syaitan di sini?)

Ah, sebenarnya.
Mahu cerita... mahu cerita.
Ini kisah Ramadhan kakak Huzaimatus bahagian kedua untuk adik-adik.

Ceritanya bermula begini....

Perihal masalah kewangan kakak Huzaimatus sebenarnya. Sejak bulan lepas sehingga bulan ini kan adik-adik, kakak Huzaimatus dilanda masalah kewangan yang gila hebat. Menggila jugalah kakak Huzaimatus hidup dengan jumlah duit di tangan dan di dalam bank yang tidak seberapa nilainya. Ini bukan lagi tahap kesempitan wang, malah sudah mencecah tahap tersepit wang. Alhamdulillah bulan puasa ini tidak perlu mengikat perut kerana perut sememangnya sudah terikat.

Ah, bukannya apa adik-adik. Perihal kewangan kakak Huzaimatus ini tidak perlu adik-adik hiraukan. Kes begini memang biasa terjadi kepada kakak Huzaimatus. Sejak turun-temurunlah pendek katanya. Sehinggakan kakak Huzaimatus sudah tidak berasa gusar dan gundah-gulana langsung. Malah, jika wang di tangan mahupun di bank sudah tinggal lebih kurang RM20 pun kakak Huzaimatus masih boleh hidup selamba lagi secara senyap-senyap. Ah, kakak Huzaimatus tidak hebat. Tidak mahu mengaku hebat ya adik-adik. Tidak bagus. Ujub itu perlu dijauhi. Kakak Huzaimatus sudah ingatkan berkali-kali bukan.

Tambahan pula.

Kakak Huzaimatus memang memandang sedikit rendah terhadap duit. Dahulu kala memang kakak Huzaimatus terasa sukar hidup tanpa duit. Ibarat duit itu satu keperluan. Sekarang pun kakak Huzaimatus rasa memang duit itu masih lagi diperlukan. Cumanya adik-adik, kasta duit itu telah turun menjadi tahap kehendak sahaja bagi kakak Huzaimatus sekarang ini. Bukannya apa adik-adik. Kakak Huzaimatus sangat yakin bahawasanya duit itu mampu hidup melata dan membiak dengan pesatnya pada bila-bila masa dengan izin Allah. Allah Maha Pemurah. Dia sahajalah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia mahu dan pada bila-bila masa. Yakinlah dengan Allah ya adik-adik.

Jadinya.

Disebabkan itulah kakak Huzaimatus tidak berasa gusar. Cuma kadangkala memang kakak Huzaimatus hidup dalam keadaan yang boleh tahan agak mencemaskan jugalah. Ini kerana untuk mengisi minyak pun kadangkala agak kesempitan wang. Isi sebanyak RM20 pun boleh tahan sampai berapa jauh sahaja bukan. Maklumlah, hidup di bandar Kuala Lumpur ini memang agak melambung-lambung juga kos kehidupannya. Walau bagaimanapun, kakak Huzaimatus masih lagi jatuh dalam golongan kelas pertengahan. Hidup secara biasa-biasa dan sederhana sahaja sudahlah kan adik-adik.

Eh, cop... cop.

Sebenarnya apa yang kakak Huzaimatus mahu cerita bukannya ini. Panjang berjela meleret-leret perginya. Maafkan kakak Huzaimatus ya adik-adik. Kakak Huzaimatus kalau sudah lama tidak menulis memang sentiasa get carried away hasil tulisannya. Berkajang-kajang mukadimah. Lambat betul mahu sampai ke perkara utamanya. Alah, macamlah adik-adik tidak biasa kan dengan kakak Huzaimatus ini.

Begini ya adik-adik.

Pada suatu hari itu kan, duit kakak Huzaimatus tiba-tiba sudah tinggal negatif di dalam bank. Dan untuk dijadikan cerita pula, suatu hari itu ayah kakak Huzaimatus meminta tolong supaya menambah nilai kredit telefonnya. Alah, top up lah adik-adik. Lebih kurang RM50 nilai harga top up yang ayah kakak Huzaimatus minta tolong tambahkan. Kakak Huzaimatus pun apa lagi, angguk dan terus masuk ke maybank2u.

Di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu.

Mana lepas mahu menambah nilai kredit telefon ayah kakak Huzaimatus sebanyak RM50. Cek yang kakak Huzaimatus masukkan masih lagi terapung-terapung sehari di dalam bank. Belum bertukar menjadi duit lagi. Kakak Huzaimatus pun bertawakal sahajalah sambil mendaftar masuk ke dalam maybank2u. Gantung hati kepada Allah. Di dalam kepala pula sudah berkira-kira mahu menyediakan alasan munasabah untuk melewatkan top up ayah kakak Huzaimatus. Cadangnya mahu membuat esok pagi kononnya.

Tiba-tiba kan.

Kakak Huzaimatus sangat terkejut apabila melihat baki sebenar akaun bank kakak Huzaimatus. Lebih kurang beberapa ribu ringgit telah berada dengan selamatnya di dalam akaun kakak Huzaimatus. Malah, cek yang masih lagi floating sehari itu pun masih setia belum ditunaikan. Kakak Huzaimatus sudah keliru. Ini... duit dari mana ini. Ada sesiapa yang tersalah masuk ke dalam akaun kakak Huzaimatuskah agaknya.

Keliru... keliru.

Kes begini bukan sekali pernah terjadi kepada kakak Huzaimatus. Kakak Huzaimatus musykil juga ini, ada sesiapa yang dikenakan dam (denda) lalu menghadiahkan sejumlah besar duit kepada kakak Huzaimatuskah? Dari mana datangnya duit ini entahnya. Kakak Huzaimatus pun tidak pasti samada ini adalah hak kakak Huzaimatus atau pun tidak. Musykil sungguh. Sehingga sekarang kakak Huzaimatus keliru. Entah mahu pulangkan kepada siapa agaknya.

Tapinya.

Dalam kekeliruan itu, kakak Huzaimatus sudah selamat meminjam sedikit dari sejumlah wang itu untuk menambah nilai kredit ayah kakak Huzaimatus. Selebihnya masih lagi di dalam bank. Siapa pula yang baik hati termasukkan duit beribu-ribu ke dalam akaun kakak Huzaimatus ini entahnya. Musykil... musykil. Adik-adik musykil tidak? Adik-adik tolonglah sama berasa musykil dengan kakak Huzaimatus ya. Barulah terasa seperti ringan sama dijinjing berat sama dipikul bukan.

Apa-apa pun.

Kakak Huzaimatus rasa jika dua ratus peratus hati sentiasa bergantung kepada Allah, mungkin ada banyak lagi kes-kes begini boleh terjadi. Eh, bolehkah kakak Huzaimatus meletakkan prasangka begini agaknya? Kakak Huzaimatus ini bukannya berperangai baik pun sehingga senang-senang sahaja boleh murah rezeki dihadiahkan duit berkepuk-kepuk begitu.

Ke... adakah Allah sengaja mahu menguji kakak Huzaimatus dengan kesenangan yang datang secara tiba-tiba di kala kesempitan wang melanda dengan teruknya ini. Entahlah... entahlah.

Cuma yang paling kakak Huzaimatus rungsing adalah....

Duit itu.
Adakah ianya benar-benar.
Hak kakak Huzaimatus ek adik-adik.

Musykil yang menggila juga ini_

Sambung baca...

Kategori:

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.