Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Friday, April 23, 2010


_Jalan-jalan di dalam Internet, sekali tersadung batu.

Terjumpa pula entri perihal gangguan seksual.

Ha, sebelum itu.

Mungkinlah entri ini tidak sesuai untuk adik-adik di bawah 15 tahun. Jadinya, bacalah sahaja (aik, sepatutnya dihalang). Ini kita panggil teknik reverse psychology, ya adik-adik. Tidak apa. Bacalah. Nanti kakak Huzaimatus sedaya upaya cuba menapis ayat-ayat luar biasa di dalam entri ini. Tetapi, sekiranya terkeluar juga ayat-ayat luar biasa itu, anggap sahajalah manusia hanya mampu merancang. Allah sahaja yang menentukan. (Hoi, salah konsep itu Huzaimatus!)

Ah, tidak apa.
Kita perlu terapkan nilai-nilai murni bermula daripada peringkat rebung.
Cuma Menara Rebung (Menara TM) sahaja yang sudah tidak mampu dilenturkan.

Baiklah, mari kita mulakan.

Bagi adik-adik yang tidak berapa faham maksud gangguan seksual, mari sini telinga sebelah kanan. Kalau ikut pemahaman kakak Huzaimatus (sebab malas nak tanya pakcik Google, hari ini hari Jumaat, dia duduk lama sikit di masjid sebab mahu mendengar khutbah), maksud gangguan seksual itu bererti gangguan yang diberikan oleh jantina yang berlainan.

-_-"

Wahai kakak Huzaimatus.
Definisi macam itu budak darjah satu pun pandai terangkan.

Baiklah, sekiranya ada kakak-kakak atau abang-abang yang lebih arif tentang definisi sebenar gangguan seksual ini, marilah ke hadapan mohon diperbetulkan.

Ok, teruskan.

Sebenarnya adik-adik, gangguan seksual itu tidak bagus sebab nanti bila adik-adik dah besar, adik-adik mungkin akan berubah menjadi seorang yang fobia kepada lelaki atau juga dikenali sebagai androphobia. Ya, seperti kakak Huzaimatus. Tambahan pula, perkataan gangguan itu juga sudah menunjukkan perasaan yang tidak baik. Begitu jugalah dengan gangguan seksual.

Tetapi kan adik-adik. Sekiranya ada kawan lelaki adik-adik yang mengambil buku latihan garis satu dan menyorokkannya di bawah meja guru, itu bukan dipanggil gangguan seksual ya. Jangan salah faham dan menuduh sebarangan. Kasihan kawan adik itu nanti. Tetapi, orang nakal harus dihukum. Maka, gunakan pembaris kayu sahaja untuk mengetuk jarinya.

Tetapi.

Sekiranya kawan lelaki adik-adik itu mengacau adik-adik dengan cara duduk bersebelahan dan mencuit tangan adik-adik sambil cubaan mahu berkenal-kenalan dengan lebih rapat (atau pun kita panggil sebagai mengurat pada zaman PSP ini), itu adalah gangguan seksual namanya. Er, rasanyalah. Tak berapa pasti. Tetapi, gangguan seksual yang paling ekstrem adalah er, mencabul dan sebagainya. Rasanyalah.

Alahai, sudah jadi rumit pula penerangan itu.

Baiklah, adik-adik. Abaikan sahaja. Cuma kakak Huzaimatus mahu memberitahu, di zaman PSP, Iphone dan Wii ini memang semakin berleluasa gangguan seksual yang terjadi kepada kanak-kanak seperti adik-adik. Maklumlah, muka masih comel dan bergetah. Bergetah? Ah, maksud kakak Huzaimatus adalah mukanya selalu terkena palitan gula-gula getah. Walaupun adik-adik tidak seanggun kakak-kakak lain di luar sana (ini tidak termasuk kakak Huzaimatus ya adik-adik), tetapi adik-adik yang bermuka suci ini tetap masih comel dan menarik.

Ya.
Maksud kakak Huzaimatus, gangguan seksual tidak mengenal usia.
Berhati-hatilah wahai adik-adik kerana keperawananmu begitu berharga.

Sewaktu kakak Huzaimatus di bangku sekolah rendah, kakak Huzaimatus kerap terasa diganggu. Kakak Huzaimatus memang tidak secomel adik-adik pun sewaktu kecil dahulu, entahlah mengapa diganggu begitu. Kejadian yang sama berlaku sewaktu kakak Huzaimatus bersekolah menengah dan juga di universiti. Gangguan seksual memang tidak mengenal bangsa. Kadangkala, bangsa India dan orang Indonesia pun suka buang tabiat.

Terasa bagai mahu menyepak sahaja mereka semua ini. Ah, maksud kakak Huzaimatus adalah menyepak batu-batu di tepi jalan supaya nanti orang lain tidak tersadung. Itu sekecil-kecil sedekah ya adik-adik. Ingat ya. Kakak Huzaimatus juga pernah terbaca, ada pepatah Arab yang mengatakan, 'Setiap ruas daripada tulang kita itu adalah sedekah pada setiap waktu fajar yang terbit'. Lebih kurang begitulah ingatan kakak Huzaimatus yang tidak berapa bagus ini.

Pernah suatu ketika sewaktu kakak Huzaimatus menuntut di ITM, kakak Huzaimatus terjumpa seorang lelaki yang tidak berapa betul mentalnya. Lelaki jenis ini suka mencari mangsa dan kadangkala berkelakuan tidak senonoh di hadapan mangsanya. Motifnya mungkin untuk menakut-nakutkan mangsa atau pun mungkin mahu memuaskan nafsunya sendiri. Lelaki jenis ini kita panggil sebagai flasher, ya adik-adik. Sekiranya adik-adik terjumpa lelaki jenis ini, mohon disepak dan dibelasah sahaja. Er, maksud kakak Huzaimatus adalah dengan cara menjerit sekuat hati agar mereka yang bertimbangrasa boleh datang tolong selamatkan adik-adik.

Dan sehingga kini.

Kakak Huzaimatus masih terasa ngeri dengan lelaki. Mungkin disebabkan trauma yang dipendam suatu ketika dahulu tidak berjaya dilepaskan sehingga hari ini. Dan terlahirlah seorang lagi manusia androphobia yang mampu mengganas apabila terasa ketenteramannya diganggu. Ya. Ringan sahaja kaki dan tangan kakak Huzaimatus ini. Seringan gas oksigen jika dipertemukan lagi dengan lelaki-lelaki yang tidak berapa betul mentalnya ini.

Ah, satu lagi.

Kakak Huzaimatus rasalah, mereka ini mungkinlah sangat ketagih kasih sayang dan mahu memuaskan nafsu sendiri tetapi dengan cara yang tidak betul dan sangat keji. Oleh itu, kakak Huzaimatus mahu meninggalkan sedikit pesanan buat adik-adik di luar sana sebagai persiapan sekiranya berhadapan dengan manusia begini.

1. Mohon jangan memakai baju yang terdedah di sana sini.
Tutup aurat ya adik-adik. Daripada situ, mungkin boleh mengurangkan sedikit nafsu lelaki yang melihat adik-adik. Sesungguhnya, wanita itu sebaik-baik perhiasan dunia. Perhiasan yang terbaik. Sekiranya dibuka-buka perhiasan itu, kucing yang melintas di hadapan adik-adik pun mampu menerkam apatah lagi lelaki. Emas, berlian dan ikan kering pun kalah di tangan perempuan.

2. Sekiranya berjalan, tundukkan sedikit pandangan.
Sedikit pandangan, sedikit jugalah pertembungan mata adik-adik dengan mata lelaki yang melihat adik-adik. Percayalah, daripada mata memang wajib akan turun ke hati. Sesungguhnya, syaitan atau juga dipanggil cupid kononnya itu mampu membisikkan kata-kata halus ke dalam hati manusia. Sekiranya terdetik kecantikan dan kecomelan adik-adik di dalam hati lelaki itu, kerja syaitan tadi telah berjaya nampaknya. Jadi, berhati-hatilah adik-adik dengan kuasa mata. Itu pintu hati manusia.

3. Sekiranya adik-adik menaiki mana-mana pengangkutan awam, pastikan adik-adik berada di dalam kawasan yang selamat.
Sepertimana yang adik-adik ketahui, setiap kali kita naik LRT atau pun bas, pasti bersesak-sesak bukan? Maka, bergeraklah ke tempat yang kurang bersesak agar dapat mengurangkan berlakunya pergeseran badan. Namun begitu, seandainya terjadi juga pergeseran, pastikan adik-adik meletakkan benteng di belakang adik-adik (sekiranya adik-adik sedang berdirilah). Benteng ini boleh jadi beg, buku, fail yang tajam, payung, pisau atau apa-apa sahaja. Maaf. Kakak Huzaimatus memang agak kejam. Abaikan peralatan yang merbahaya itu. Cumanya, kalau naik LRT duduklah di perut LRT atau bersandar di dindingnya jika tidak mendapat tempat duduk. Dan jika di dalam bas, pastikan adik-adik berjaga-jaga jika mahu meletakkan beg di belakang adik-adik. Awas peragut dan penyeluk poket ya.

Baiklah.
Setakat itu sahajalah yang mampu kakak Huzaimatus sampaikan.
Cuma ke mana sahaja adik-adik pergi, bacalah ayat Qursi dan tiga surah Qul.

Buat kakak Huzaimatus pula, biarlah dia dengan dunianya. Entah sampai bila mahu jadi begitu. Ganas, kejam, keji, kera sumbang, tidak senonoh dan tidak comel langsung muka dan perangainya. Walaupun begitu, di dalam hati kecilnya yang kudus tetap mendambakan syurga. Fuiyo, kakak Huzaimatus. Tinggi melangit impian. Dosa masih menggunung ini wahai kakak Huzaimatus. Tidak apalah. Berusaha untuk cuba.

Baiklah adik-adik.

Jari kakak Huzaimatus sudah terasa kebas. Sudah lima ribu patah perkataan ke belum ini. Baik tamatkan sahaja riwayat entri ini di sini. Kakak Huzaimatus memang suka bercakap memakai jari. Jika terjumpa di depan mata, ibarat dinding sahaja lagaknya. Bisu. Jika di dalam blog, seperti bertih jagung yang sedang masak pula jarinya. Apa nak jadilah kakak Huzaimatus ini.

Ingat ya adik-adik.
Jangan jadi macam kakak Huzaimatus.
Prevention is better than cure, ok? Ok? Ok?

Ingat Allah selalu ya adik-adik.

Ok, jika ada soalan boleh ajukan terus ke telinga kanan kakak Huzaimatus_

Sambung baca...

Kategori:

Tuesday, April 20, 2010


_Pernahkah anda dimain-mainkan oleh teknologi?

Saya pernah.
Selalu saja pula itu.
Sampai hati teknologi.

Ah, ya.

Teknologi yang paling kerap mempermainkan saya tidak lain tidak bukan adalah si palang automatik. Ya. Palang automatik. Tidak syak lagi. Sewaktu awal kelahiran palang automatik ini, saya selalu terfikir bagaimana palang ini terbuka. Adakah dengan cara mengesan haba kereta? Atau pergerakan kereta? Atau pun mengesan manusia di dalamnya?

Ah, pedulikan si palang automatik itu buat seketika.

Malam tadi. Sewaktu pulang dari kerja, saya menuju ke kawasan tempat letak kereta. Dan ketika saya menuju ke arah palang automatik itu, tiba-tiba palang tersebut pegun tidak beraksi. Pelik. Padahal kereta sebelum saya berjaya saja melepasi palang itu tetapi tidak saya. Mahu tidak mahu, saya pun mengundur ke belakang lima gelekan tayar kereta dan ke hadapan semula. Berulang-ulang kali. Macam aksi di sarkas saja. Tidak bijak betul.

Namun begitu, tiada apa-apa yang berlaku.

Berulang-ulang kali saya mengundur dan maju semula ke hadapan. Tetapi, palang tersebut tetap tidak bergerak. Kelihatan di belakang saya, kereta-kereta sudah berbaris menunggu giliran mahu melepasi palang automatik tersebut. Pasti mereka menggaru kepala dan berasa pelik dengan aksi saya di hadapan palang automatik tersebut. Tak guna palang automatik ini. Malu, saya.

Akhirnya, saya sudah termangu dan terputus asa.

Saya pun menukar gear mengundur ke kembali. Selepas beberapa saat, sebaris kereta belakang saya turut sama mengundur dan beramai-ramai menuju ke laluan masuk. Berkerut-kerut muka penjaga-penjaga kereta melihat kami. Dan kelihatan kereta di belakang saya seakan-akan memberitahu penjaga kereta tersebut bahawa ada sebuah kereta putih yang sengal bermain-main di hadapan palang automatik yang tidak berjaya melepasi palang itu.

Tiba-tiba saja saya ternampak sebuah kereta lain meluncur laju ke arah palang automatik itu. Dengan tidak semena-menanya palang tersebut terbuka. Saya ternganga. Mahu tergelak pun ada juga. Laaaa....

Kiranya.

Adakah palang tersebut sebenarnya berfungsi? Dan adakah disebabkan kereta saya bergerak menjauhi alat pengesan, maka palang tersebut tidak terbuka? Dan adakah secara tidak sengaja telah menyebabkan terjadinya 'prank' kepada satu barisan kereta di belakang saya?

Hm, tidak dapat saya pastikan asbabnya.

Yang saya tahu, perasaan malu itu sudah meresap ke seluruh badan. Sehingga memenuhi seluruh ruang di dalam kereta saya. Tak guna... tak guna... tak guna. Saya syak ada syaitan yang mempermainkan saya di waktu senjakala itu. Mungkin motifnya mahu melambat-lambatkan saya menunaikan solat Maghrib barangkali.

Ah, rasa mahu sekeh saja palang itu.

Makanya.
Pernahkah anda dipermainkan teknologi?
Jika iya, anda silap.

Sebenarnya anda yang mempermainkan diri sendiri_

Sambung baca...

Kategori:

Friday, April 16, 2010


_Baiklah.

Baru terperasan.

Ada seorang hamba Allah telah menyuruh saya menjawab tag. Oh, mungkin terlalu keras. Beliau meminta saya menjawab tag. Ya. Perkataan meminta lebih sopan sedikit berbanding menyuruh. Dan walaupun saya tidak suka membuat tag, saya beranggapan sahaja tag itu sejenis kasih sayang saudara Islam. Maka, layankan sahajalah.

Baiklah, encik Jam Berputar.
Ini jawapannya.

  1. Siapa diri anda semasa di rumah?
    Di rumah, saya adalah anak sulung merangkap kakak yang paling degil, sengal dan suka buang tabiat.

  2. Siapa diri anda semasa bersama kawan-kawan?
    Saya adalah seorang kawan yang sentiasa menggunakan perkataan 'Tak apa', degil, tak suka disuruh, kerek, suka merepek dan suka bertanya soalan yang tidak masuk akal. Contohnya soalan "Jika modem P1 itu diletak bersama pokok-pokok renek di tepi tingkap, adakah pokok-pokok itu akan mati akibat terkena gelombang daripada modem tersebut?" dan juga soalan "Adakah kertas yang dimasukkan ke dalam mesin faks akan dihantar sekali ke tempat penerima?". Maaf. Saya pun tidak pasti apa yang berlaku di dalam kepala otak ini.

  3. Sebutkan lima impian anda yang masih belum tercapai?
    Hm. Ada banyak tetapi mahu lima sahaja ya. Baiklah. Satu, mengembara seluruh dunia sambil mengambil gambar. Dua, menjadi pemilik kamera EOS 5D Mark II. Tiga, mempunyai rumah sendiri yang serba-serbinya putih dan dilengkapi dengan perabot-perabot yang juga berwarna putih. Empat, dilimpahi duit yang mencurah-curah supaya senang diagih-agihkan kepada mana-mana saudara saya yang hidup di dalam kesusahan. Lima, er... pastilah menjadi seorang isteri yang solehah, suri rumah sepenuh masa dan ibu mithali. Manis bukan? Haha.

  4. Bila tengah menunggu sesuatu, apa yang anda selalu buat bagi mengisi masa itu?
    Biasanya saya membaca buku atau bermain Sudoku. Kadangkala, saya bermain permainan menguji otak di dalam Corby kuning saya. Sampaikan terbakar kadangkala otak saya ini. Dan kalau buku, Sudoku atau Corby tiada di dalam tangan, saya cuma melihat alam dan berfikir tentang dunia dan manusia sambil bermantera kepadaNya di dalam hati.

  5. Pernah ke anda tersesat di dalam shopping mall? Nyatakan dimana?
    Oh, ini bukan perkara luar biasa. Sebaliknya, ini perkara biasa dan normal bagi saya. Jika tidak sesat ke mana-mana, itu bukan Huzaimatus. Kah kah kah. Apakah maksud ayat tersebut. Entahlah, tidak dapat saya pastikan. Kiranya, untuk menjawab soalan tersebut saya rasa jawapannya pernah dan di semua pasaraya yang wujud di Malaysia ini pendek katanya.


Selesai.

Peramah juga saya ini rupanya. Sedikit pun tidak terpacul rasa mahu naik angin menjawab soalan tag. Hai, Huzaimatus pandai pula kau masuk bakul dan angkat sendiri. Tidak beratkah? Ahai, minta maaf. Saya terlupa pula saya bencikan pujian. Barangsiapa yang memuji saya itu adalah musuh. Anda seorang Nemesis. Haha. Terasa keras pula. Beginilah. Puji sahaja Allah Yang Esa. Kau puji saya pun bukannya dapat apa. Sekotak Choki-Choki mungkinlah kan. Belilah sendiri. Murah sahaja di kedai runcit Taman Melawati. Harga sekotak, RM10. Boleh dapat 24 peket Choki-Choki. Eh, banyak sangat itu. Entahlah berapa. Yang pastinya lebih daripada 12 peketlah pendek kata.

Baiklah.

Ada sesiapa lagi mahu ajukan soalan_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, April 15, 2010


_Minta maaf banyak-banyak.

Tetapi, sudah lama saya mahu tanya.

Benarkah orang bukan Islam bersuci tanpa menggunakan air? Benarkah mereka menggunakan tisu semata-mata? Jika benar, barangkali kata-kata, "Orang **** bertinja tidak bercebok." sewaktu saya sekolah rendah dahulu kala memang turut sama benar belakalah kiranya. Kan.

Maka, imaginasi pun mula meliar.

Tetapi, badan mereka tidak berbaukah?
Benar-benar hilangkah bau, warna dan rasa najis itu?
Mereka tidak pernah kena penyakit kulit gatal-gatalkah?

-_-"

Ah, tidak senonohnya.

Maaf.

Mari kita bercerita perihal bersuci menggunakan teknologi moden yang tidak asing lagi iaitu, bidet. Tahukah anda apa itu bidet? Ya. Saya pun tidak tahu maksud sebenarnya. Tetapi, saya yakin Abang Wikipedia dan Pakcik Google ada jawapannya jika anda bekalkan sedikit kerajinan anda kepada mereka.

Saya rasa.

Pertama kali saya ternampak penggunaan tandas bersama bidet adalah di dalam drama Korea. Ya. Jepun pun ada juga. Teknologi mereka lebih berkembang maju berbanding teknologi di barat. Tepuk tangan untuk negara-negara Asia. Tepuk... tepuk. Tetapi, teknologi Islam lebih awal maju berbanding mereka ya adik-adik. Tepuk... tepuk untuk teknologi Islam.

Apa itu teknologi Islam?

Emm....
Maaflah kawan-kawan, saya pun tidak pasti.
Abang Wikipedia dan Pakcik Google, mari tolong saya!

"Ya, marilah", kata Abang Wiki dan Pakcik Goog.

Baiklah, perihal bidet.

Mari saya sertakan potongan pendek (shortcut) untuk penjelasan bidet ini. Bidet adalah sejenis alat untuk bersuci secara automatik di mana air akan keluar laju seperti pili bomba melalui saluran dari dalam mangkuk tandas. Maka, dapatkah anda bayangkan sekarang? Cuba bayangkan pili bomba dan bayangkan pula mangkuk tandas. Kemudian, letakkan paip bomba itu di dalam mangkuk tandas. Air pasti akan meluncur laju. Ya. Begitulah bayangannya.

Tetapi.

Jika dibandingkan dengan bidet dari Barat, bidet dari Korea dan Jepun ini tampak lebih maju. Lebih automatik, tidak berpaip dan lebih tsunami. Siap ada volume control. Cuma pilih kelajuan air dan posisikan diri anda dalam keadaan yang selesa. Maka, kuranglah sedikit rasa cemas saya kerana kelajuan air seperti paip bomba itu mampu dikawal dengan hujung jari sahaja. Begitu mudah rupanya teknologi yang saya sangkakan susah ini. Ya. Subjek Change Management teramat penting untuk dipelajari manusia. Dan selitkan juga motto, 'Mahu seribu daya' serta bacaan Bismillah.

InsyaAllah, pasti yang sukar menjadi mudah.

Jika bernasib luar biasa baik, mungkin anda boleh mandi sekali menggunakan bidet itu. Ya. Nikmatilah kelajuan air dalam pelbagai peringkat. Sila gunakan kelajuan peringkat 1 untuk menikmati air yang turun dari bukit. Gunakan kelajuan peringkat 2 untuk menikmati air yang turun dari empangan. Gunakan kelajuan peringkat 3 untuk menikmati air yang turun dari awan. Gunakan kelajuan peringkat 4 untuk menikmati air yang keluar dari pili bomba. Gunakan kelajuan peringkat 5 untuk menikmati air laut yang dilanda tsunami.

Sangat luar biasa 'mudah' dan 'menyeronokkan'.

Ha... ha... ha.

Ini contoh bidet dari Korea.
Lebih kurang sama rekaannya seperti di pejabat baru saya.
Kami hampir-hampir mencuci muka dengan menggunakan bidet.



Ya. Sangat mudah alih. Boleh dicabut dan dipasang pada mana-mana mangkuk tandas. Cuma tenggekkan sahaja alat itu dan buatlah apa sahaja yang patut. Bidet Barat yang ditunjukkan gambarnya oleh Pakcik Goog biasanya mempunyai kepala paip kecil di tepi mangkuk tandasnya. Anda boleh rujuk Pakcik Goog ya untuk gambaran jelas. Jangan malas.

Tahukah anda?
Ya, saya tahu anda tidak tahu.

Cubaan pertama saya menggunakan bidet adalah seperti muka sedang dilanda tsunami. Sungguh mengejutkan dan menakutkan. Sampai ke pintu besar tandas ia menyembur. Padahal kami cuba pusing kelajuannya ke peringkat 0.78. Belum sampai 1 pun lagi. Perasaannya benar-benar seperti diludah ke muka sendiri. Agak kurang sesuai untuk golongan usia 50 ke atas. Melainkan nenek atau datuk tersebut pernah tinggal lama di Barat atau di Korea atau di Jepun, itu tidak mengapa.

Baiklah, saya mengaku.

Saya sangat kekampungan. Makanan barat pun saya tidak suka, apatah lagi bidet ini. Seperti dilanda tsunami bilik air tersebut. Saya rasa di KLCC atau di Midvalley belum pernah lagi diletakkan bidet aneh automatik ini. Jika tidak, pasti dilanda tsunamilah agaknya pasaraya besar tersebut.

Bidet... bidet, saya sudah di'tsunami'nya.

Anda bila lagi_

Sambung baca...

Kategori:

Sunday, April 11, 2010


_Saya adalah makhluk asing Allah.

Saya datang ke bumi untuk menaklukinya. Namun begitu, saya harus mendengar impian anda sebelum menakluki bumi ini. Sebarang impian anda bakal memberi impak kepada keputusan saya untuk menakluki bumi ini.

Boleh beritahu saya impian anda?

Baiklah. Tolong abaikan sahaja pertanyaan makhluk asing Allah yang seorang ini. Boleh jadi makhluk tersebut sedang beku pemikirannya. Akibat terlalu banyak memiliki impian tetapi satu pun tidak dapat dilaksanakan. Kacang parang sungguh kehidupan ini.

Hinf.

Ya.
Itu bunyi mengeluh_

Sambung baca...

Kategori:

Sunday, April 04, 2010


_Emak saya memang comel.

Suatu hari, semasa sedang bertukang di rumah....

"Pergi tolong ambilkan screwdriver."
"Baik, mak."
"Screwdriver yang matanya tolak dan tambah itu tahu."

Langkah aku terhenti sekejap.

"Hihi. Screwdriver mata philip dan mata rata kan mak."

Comel betul tolak tambah.
Mungkin anaknya terlalu moden.
Sibuk mengaplikasi ilmu kemahiran hidup.

Tetapi.

Emak saya memang comel_

Sambung baca...

Kategori:

Saturday, April 03, 2010


_Aku rasa.

Pengunjung blog juga ibarat gas oksigen.

Tidak kelihatan bayangnya.
Tidak diketahui IP dan lokasinya.
Tidak dapat dipastikan jantina dirinya.
Tidak meninggalkan jejak pada setiap lawatannya.

Tetapi.

Wujudnya tetap ada. Dan pada setiap ayat yang ditulis mengikut rentak hati penulisnya pasti dibaca mereka. Anggap sahajalah walau apa pun yang kau sampaikan di blog, masih tetap akan ada seorang pembaca iaitu diri sendiri. Itu sudah lebih daripada mencukupi. Makanya, aku rasa agak kurang patut bagi mereka yang menulis blog dengan berharap (atau kadangkala menyuruh) setiap pelawatnya memberi komen di atas setiap apa yang kau tulis. Macam tidak berapa ikhlas. Bukankah?

Bukan mereka tidak mahu memberi komen, cuma tiada apa yang perlu dikomenkan. Cukuplah sekadar dapat membaca dan memahami segala tulisan rentak hati penulis itu. Takkan nak paksa. Er, tiada perasaan malukah? Lagi satu, aku pun tergolong di dalam golongan yang melawat tanpa meninggalkan jejak. Aku rasa tulisan yang baik, mudah dibaca dan senang diserap ke dalam kepala lebih berganda kebaikannya daripada membaca tulisan yang 'suka hati akulah nak tulis apa saja ini blog aku tapi jangan lupa tinggalkan komen ok'.

Haah.
Suka hati engkau mahu menulis apa saja.
Tetapi, suka hati aku jugalah tiada mahu memberi komen ke apa.

Ironi betul kau ini. Jangan begitu. Dalam berblog ada juga adabnya. Ada juga pantang larangnya. Dan negeri kita juga ada hak dan kebebasan untuk bersuara. Dunia ini bukan berputar di sekeliling engkau semata. Ingat itu Huzaimatus.

-_-"

Ya, baiklah.
Telah disemat ingatan di kepala.

Adab Berblog

  1. Semua orang ada hak kebebasan bersuara. Jadi menulislah apa sahaja yang kau suka asalkan tidak melanggar hak orang lain.
  2. Adat menjadi manusia, jika kau mengutuk manusia di dalam blog kau, kau juga bakal dikutuk oleh manusia lain di blog mereka atau di luar alam maya. Maka, berhentilah kutuk mengutuk. Nabi Muhammad SAW yang bersifat maksum pun tidak mengutuk umatnya ini kan pula engkau manusia hina yang banyak dosa dan belum pasti syurga itu jaminannya.
  3. Setiap manusia yang mempunyai blog adalah jiran. Kita semua ini hidup berjiran di alam maya. Makanya, sila baca dan fahamkan adab berjiran. Sebelum masuk rumah orang, bagi salam. Selagi tuan rumah tak benarkan masuk, tak boleh masuk. Dan kepada empunya blog, jika dilawat pengunjung sila fahamkan adab menerima tetamu. Jangan mengasari tetamu sebaliknya muliakanlah mereka.
  4. Jika kau dikritik, dengar dahulu butir bicara pengunjung yang melemparkan bau busuk itu, jangan cepat melatah lagi menggelabah setiap kali dikritik. Kalau manusia, kritik mengkritik dan hina menghina itu perkara biasa. Terimalah dengan hati yang terbuka. Mungkin ada benda yang terlepas pandang boleh diperbetulkan. Kau bukan manusia sempurna.
  5. Melawat blog bukan ibarat berkunjung ke rumah jiran tetangga dan sanak saudara di musim hari raya Aidilfitri. Kau lawat rumah aku, aku lawat rumah kau. Kalau kau tak lawat rumah aku, aku pun tidak mahu ke rumah kau. Hoi, siapa ajar macam itu? You follow me, I follow you. You link me, I link you. Hoi, siapa ajar macam itu. Jika blog kau banyak nota agama macam blog Kereta Mayat contohnya, itu lain cerita. Sila dapatkan cermin di kedai-kedai berdekatan.
  6. Adab menulis sila patuhi. Percayalah. Apa yang tertulis di blog itu mencerminkan peribadi penulisnya secara tidak langsung. Kalau blog kau dipenuhi dengan segala maki, mencarut, sumpah seranah dan sebagainya, kau tidak rasa seperti miskin akhlakkah?Sesungguhnya akhlak kau itu adalah pantulan apa yang diajar oleh kedua ibu dan bapamu. Tidak baik menconteng arang ke muka mereka. Sesungguhnya pintu syurga kau di tapak kaki bonda.
  7. Kadangkala apa yang kau tulis boleh mengubah hidup seseorang walaupun kau bukan orang yang berpengaruh. Jadi, sampaikanlah hati itu dengan sebaik-baiknya. Jika kau tulis sesuatu yang buruk, buruk jugalah pemikiran pembaca. Dan jika yang tertulis itu baik belaka, baik jugalah pemikiran pembaca.


Ingat itu, Huzaimatus_

Sambung baca...

Kategori:

Friday, April 02, 2010


_Dalam banyak-banyak tempat, ada satu yang aku paling suka.

Kawasan perkuburan.

(tiba-tiba awan menjadi gelap dan burung hantu bersiul-siul sayu)

Ah, tak apa.
Itu bunyi kesan khas.

Setiap kali ada urusan kematian, mesti kaki ini laju saja mengikut ayah ke kubur. Di pertengahan jalan, ayah selalu berpesan perempuan tidak elok ikut ke kubur. Selepas itu, ayah suruh aku jangan ikut. Tetapi disebabkan aku degil, aku pun mengikut sahaja ayah secara senyap-senyap.

Ah, ya.

Perempuan tidak elok ikut ke kubur. Ayat itu selalu saja terpacul di mana-mana. Memang ada benarnya. Tetapi, aku memang suka ikut ke kubur. Jika sudah suka nak buat macamana kan. Senang cerita, bukan kubur sahaja yang buat aku tertarik hati tetapi menyaksikan mayat dikembalikan ke dalam tanah itu juga ada impaknya.

Sesungguhnya.

Di antara oksigen dan maut, maut itu paling dekat dengan kita.

Jadinya adik-adik, setiap kali cikgu keluarkan soalan, "Siapa kawan rapat awak?" Jawablah, "Kawan rapat saya adalah kematian, wahai cikgu." Selepas itu, jangan lupa senyum simpul sedikit sambil merenung dengan redup tepat ke dalam mata cikgu, ya?

Pasti cikgu akan berasa terperanjat ayam sehingga peluh sejuk memercik keluar daripada keningnya.

@__@ <---- ini rupa cikgu yang sedang terperanjat

Psiko sungguh budak ini.
Siapa yang ajar jawab begitu agaknya.

Ah, tak apa.
Jawab saja kakak Huzaimatus Sa'adiah yang suruh jawab begitu.
Ya, kakak yang tidak tahu maksud namanya sejak dulu sehingga kini.

Sambung semula.

Ok. Perihal perkuburan. Entah kenapa aku suka betul mengikut ke kubur. Sayu setiap kali berpisah dengan mereka yang dijemput illahi. Ya. Mati itu pasti. Hidup itu insyaAllah. Kita hidup pun untuk mati. Dan walaupun berjurai air mata melihat jenazah, iman kena merelakan mereka pergi. Walaupun yang meninggal itu adalah ahli keluarga sendiri. Memang sayang untuk dilepaskan tetapi hidup itu untuk mati. Kan.

Dulu ayah selalu berpesan.

Jika sayang dengan si mati, sedekahkan bacaan ayat-ayat Al-Quran padanya sentiasa. Biar terang kuburnya di sana. Bukan dengan iringan air mata selama sepuluh hari sepuluh malam. Kita menangis di dunia. Tetapi arwah tetap bergelap di sana. Bukan ke tidak baik macam itu. Jika benar sayang, zahirkan tanda kasih itu.

Sesungguhnya.

Setiap yang pergi, terpisah sudah hartanya, ahli keluarganya, pangkatnya dan segala-galanya. Yang mengikut setia ke liang lahad dan bersemadi bersama si mati cumalah iman dan amalnya. Dan juga doa serta ayat-ayat Quran dari mereka yang masih hidup kepada si mati. Kan? Kalau salah, harap diperbetulkan.

Ada satu cerita ini.

Aku tidak ingat sangat sebab aku terbaca berkurun lama dahulu. Tetapi lebih kurangnya begini. Pada suatu malam Jumaat, ahli-ahli kubur bangun dari kubur membawa dulang. Namun, salah seorang ahli kubur ini dulangnya gelap tidak bercahaya dan kosong. Manakala dulang ahli-ahli kubur yang lain bercahaya terang benderang lagi menyilaukan mata yang memandang.

Maka bertanyalah ahli kubur yang lain kepada ahli kubur yang gelap dulangnya itu, "Mengapa gelap dulangnya, wahai ahli kubur?"

Lalu dia menjawab, "Kerana tiada doa dan ayat-ayat Al-Quran yang disedekahkan oleh keluargaku kepadaku."

Maka pada suatu hari, seorang anaknya yang soleh telah berdoa dan menyedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran dengan tidak putus-putus kepadanya. Dan pada malam Jumaat yang lainnya, maka terang-benderanglah dulang ahli kubur itu. Begitulah agaknya ceritanya.

Aku betul-betul rasa macam dialog itu tidak ada di dalam buku itu. Tetapi, jalan cerita yang nak disampaikan itu adalah doa dan ayat-ayat suci al-Quran masih boleh disedekahkan lagi kepada mereka yang telah pergi. Begitulah lebih dan kurang jalan ceritanya. Harap dapat diperbetulkan jika pernah terbaca cerita itu. Aku betul-betul tidak berapa ingat sangat.

Justeru itu.

Setiap kali terlintas di mana-mana kawasan perkuburan, sedekahkanlah doa agar mereka dicucuri rahmatNya. Dan jika terlekat kerajinan, singgahlah dan sedekahkah Al-Fatihah beserta surah 3 qul kepada semua ahli kubur di sana. Kawasan perkuburan bukan untuk kita takuti, tetapi untuk kita hayati.

Lambat laun kita juga bakal bersebati dengan tanah. Cuma di mana tanahnya dan bila tarikh sebatinya kita dengan tanah tidaklah diketahui manusia. Sesungguhnya itu semua rahsiaNya.

Kesimpulannya.

Ingat ya, adik-adik. Kawan rapat kita adalah kematian. Makanya, hidup ini kena banyak beringat. Jangan terlalu suka, seronok dan selesa dengan segala perkara. Ditakuti senang mengundang leka. Sekali kena jeling dengan Malaikat Izrail baru tahu.

Mari sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka yang telah pergi.

Sekian.

Pesanan khidmat masyarakat di hari Jumaat, penghulu segala hari_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, April 01, 2010


_Usaha semut jika dibandingkan dengan manusia, pasti semut pemenangnya.

Memang benar.

Rajin dan tidak berputus asa sudah tertanam lama di dalam badan mereka. Jika tidak percaya, cuba kau lihat di dinding. Pasti dalam masa dua saat nanti akan muncul seekor semut atau seangkatan semut. Jika tidak muncul tiba, kau tunggulah lagi sehingga muncul. Siang dan malam kelibat mereka tetap terpacul baik disedari manusia atau tidak disedari manusia.

Ah, manusia memang leka perangainya.
Selalu sahaja terlepas pandang semua perkara.
Malas dan usaha pun tidak pernah mencecah seribu daya.

Makanya.

Cuba bandingkan dengan semut. Seandainya terlintas seekor semut di hadapan retina, cuba kau tahan semut itu dengan jari. Pasti terhenti perjalanannya. Dan di saat kau melepaskannya dari tahanan jari, pasti ia laju menyambung semula perjalanannya. Sambil mengusung makanan, sambil berzikir mulutnya. Dan jika rebeh bahunya mengangkat makanan, perjalanannya juga diperlahankan. Dan zikirnya juga tetap jalan.

Terkadang terasa malu juga dengan semut. Saiznya kecil tetapi semangat berjuangnya luar biasa tinggi. Terasa aneh. Semakin mengecil saiz badan, semakin besar dan tinggi semangat juangnya. Walaupun mereka tidak punya akal secerdas manusia (rasanyalah), namun kerajinan dan sikap tidak berputus asa mampu pergi lebih jauh mengatasi kecerdasan akal manusia. Tambahan pula, bukan semua manusia cerdas akalnya.

Mari contohi semut.
Dan jangan kau bunuh mereka.
Jika dan hanya jika mereka tidak mencederakan kita.

Selitkan sedikit belas kasihan buat mereka, wahai manusia. Jangan diputuskan zikir-zikir yang terlepas daripada sesungutnya. Tidak baik. Jangan menzalimi sesama makhluk, dikhuatiri nanti mengundang kemurkaan Allah. Tetapi, jika dan hanya jika mereka menyerang manusia di atas sebab-sebab yang tidak dapat dipastikan mengapa, maka bolehlah mengasari dan membunuh mereka (aku rasa ayat ini tidak sesuai untuk bacaan kanak-kanak bawah 15 tahun).

Baiklah.

Perlu berterus-terang. Rumah aku sedang ditakluki masyarakat semut. Mujur kami sekeluarga tidak diapa-apakan dan tidak menjadi tahanan di rumah sendiri. Dan mujur juga mereka bukan semut merah yang kuat menggigit atau semut hitam yang busuk atau semut halus yang suka melepaskan angin berbau aneh kepada musuhnya.

Kiranya....

Ah, faham-faham sendirilah_

Sambung baca...

Kategori:

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.