Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Tuesday, March 30, 2010


_Ya.

Melawat Melaka Bandaraya Bersejarah memang menyeronokkan.

Ada Mini Malaysia.
Ada Taman Buaya.
Ada Zoo Melaka.
Ada A Famosa.
Ada beca.

Macam-macam ada.

Dan yang paling menyeronokkan tak lain tak bukan adalah....

Pondok gambar berlatarbelakangkan gambar aneh.

Hmm.
Sekejap ya.
Latar belakang atau latarbelakang?

Ah, abaikan saja.

Ya. Sudah lama memendam hasrat di hati mahu mengambil gambar-gambar begini. Selalunya tengok di dalam drama Korea atau Jepun saja. Hampir kempunan juga dibuatnya. Akhirnya, sambil jalan-jalan di Melaka tempoh hari bertemu mata juga dengan pondok gambar berlatarbelakangkan gambar aneh. Boleh tahan murah jugalah harganya di bandar Melaka yang bersejarah ini. Kalau di KL, memang tak akan dapat harga pukul rata begini. Maka, seperti orang jakunlah kami di situ tempoh hari.

Seriously fun!
Mari kita saksikan muka-muka orang KL yang jakun di Melaka.

Muka nakal pelajar Malaysia tahun pertama di Jepun.


Muka tenang pelajar Malaysia tahun akhir di Jepun.


Muka nasty peperiksaan sudah tamat.


Muka jakun tidak pernah belajar subjek lukisan.


Muka seolah-olah mahu keluar daripada perut ibu.


Muka pelakon belakang tabir iklan Maybelline.


Muka seronok bertemu kamera.


Muka pemain bola keranjang wanita peringkat Universiti


Muka mahu pulang ke Malaysia beramai-ramai menaiki kereta Vespa.


Jakun kan.
Baiklah Huzaimatus.
Kesedaran diri masih berpunya lagi.

Cukuplah sikit-sikit aksi tidak senonoh ini_

Sambung baca...

Kategori:

Friday, March 26, 2010


_Pemandu kereta dan penunggang motorsikal.

Perbezaannya.

Di jalan raya, pemandu kereta terpaksa menjaga dua nyawa. Satu nyawanya sendiri dan satu lagi adalah nyawa penunggang motorsikal. Manakala, penunggang motorsikal pula cuma menjaga nyawanya sendiri sahaja. Nyawa pemandu kereta tidak berapa dipedulikannya. Mereka sibuk menyelit ke sana sini dan menunggang motor di laluan kereta. Dengan laju yang menggila kadangkala. Ya, bukan semua penunggang motorsikal memandu begini tapi kebanyakannya beginilah.

Laluan paling kanan, laluan laju.

Kerapkalinya.

Dipenuhi lori, bas, motorsikal, basikal dan kereta. Masing-masing memandu dalam keadaan yang boleh tahan menggila. Dan ada juga yang memandu dengan kelajuan 60km/j di laluan laju. Ada juga kelajuan 140km/j. Dan ada juga yang pegun saja di situ sehingga menyebabkan kenderaan-kenderaan lain beramai-ramai membusut di jalan tidak bergerak.

Ah, nanti.
Ada surat nak bagi ini.

Kepada penunggang motorsikal,
Cukai jalan pun pemandu kereta bayar juga,
Tapi tolonglah jaga nyawa kita semua sama-sama,
Menyelit ke sana sini dan memandu di laluan laju,
Tanpa mempedulikan semua pengguna jalan raya yang ada.

Apa kejadahnya.

Nanti keluar berita. Penunggang motorsikal tersepit di bawah lori. Hancur badan bercerai nyawa. Akibat merempit dan menyelit ke sana sini. Kadangkala, di laluan laju mereka merempit bagai nak gila kemudiannya apabila sebuah kereta menukar laluan ke laluan kanan dengan menyalakan lampu tanda mahu ke kanan, penunggang motorsikal terpaksa memperlahankan motornya sambil memberi pandangan, "Lu apa hal. Buta ke?"

Hek eleh.

Lu apa hal_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, March 25, 2010


NOTA: Dikarang pada 15 Jun 2009. Ini kisah fantasi klasik alaf baru kononnya. Terbengkalai dan kini disambung semula.

Tik.. tik.. tik.
Tik.. tik.
Tik.

"Siti, angkat kain jemuran. Hujan dah turun."
"Baik, mak encik."
"Siti, pergi cepat!"
"Ya... ya."

Hujan turun dengan begitu lebatnya malam itu. Jemaah katak sudah mula bersedia untuk mendendangkan lagu kebangsaan mereka 'Ong ong gedek gedek'. Mengikut kepercayaan mereka, lagu kebangsaan itu memang selalu didendangkan sebagai salah satu acara untuk membawa tuah dan menolak bala.

Perbarisan jemaah katak dimulakan dengan saiz katak yang paling kecil, separa besar dan yang paling besar.

"Ok, katak-katak sekalian bersedia."
"Ongggg.." Sahut jemaah katak.

Tik.. tik.. tik.
Tik.. tik.
Tik.

Hujan masih turun dengan lebatnya. Masih menangis dengan semahu-mahunya. Bagai hari esok bakal tiada.

* * *

(bersambung....)

Sambung baca...

Wednesday, March 24, 2010


_Kepalaku digigit.

Yang tinggal cuma tulang mandible.

Cuba tepuk pipi, ada rasa tulangkah? Ya. Itulah dia si mandible. Dulu sekolah rendah cikgu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) suruh menghafal segala jenis tulang pada rangka badan manusia. Dan disebabkan nama-nama tulang itu memang luar biasa pelik dan tidak begitu saintifik bunyinya, maka boleh tahan sedikit mudahlah juga untuk aku lekatkan dalam kepala. Maklumlah, aku kan macam Dory.

Tapi itulah.

Kepalaku digigit. Bak kata Sang Pelangi, semua itu satu metafora saja. Kiasan. Ah, ya. Berkias lapan lapik memang cara aku. Dan selalu disalah sangka gara-gara lapiknya tak mengena. Haha. Jangan tembak. Cuma aku tak pandai nak muntahkan rasa. Tapi sekali kalau termuntah... ah, ngeri. Ya. Pernah sekali dibanjiri muntah sendiri di dalam kereta Daineso. Haih, minta maaf. Esoknya terus masuk tahun baru. Kiranya seperti memuntahkan segala perkara buruklah kononnya.

Hinf... hinf.

Tak baik mengeluh.
Tapi tak boleh nak elak.
Ok, cuba telan... cuba telan.

Ah, terlupa pula.

Mulut kan dah tak ada. Yang tinggal cuma tulang mandible. Hai, manusia. Setiap kali dilanda kesusahan, keresahan dan kepala digigit-gigit barulah mahu mencari Dia. Ini salah satu contoh manusia yang sedikit keji dan lupa diri. Akulah itu. Hmm. Kan aku dah kata aku nak jadi oksigen.

Izinkanlah, oh_

Sambung baca...

Kategori:

Monday, March 22, 2010


_Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan.

Itu tajuk karangan yang sering mendapat tempat di hati penyedia soalan.

Tak lain tak bukan memang tajuk itulah. Zaman aku PMR. Zaman SPM pula apa entah agaknya karangan yang ligat jari berlari. Tak ingat. Dan setiap kali ternampaknya tajuk karangan 'Pengalaman yang tidak dapat dilupakan' itu memang automatik aku mula mengarang. Sebab selalunya tajuk karangan macam itu memang kau tak payah nak fikir format dan rangkanya secara teratur. Boleh larikan saja jari itu selaju mungkin. Asalkan jalan ceritanya ada.

Tulis dan tulis dan tulis sampai waktu habis.

Dan selalunya kalau ikut gaya aku menulis, memang di dalam itu adalah juga kisah bertemu makhluk asing atau dikejar hantu dengan penuh cabaran. Yang mana kebiasaannya diakhiri dengan jatuh katil dan terus terjaga daripada tidur. Ya, semuanya mimpi belaka. Kisah khayalan semata-mata.

Habis takkan kau nak kata itu kisah benar.

Tak baik menipu. Tak pernah jadi pun semua kejadian itu. Mana ada makhluk asing kepala sebesar buah tembikar dan kaki sehalus ranting kayu. Pinggang pula bersaiz 15cm. Ramping sungguh. Matanya pula besar tanpa kelopak. Sehari sekali saja matanya berkedip. Sebab itu matanya sentiasa merah. Badannya pula berwarna hijau pekat. Ah, kalau cerita dengan orang tua mesti dikatanya itu si toyol. Tidak mistik betul atuk ini.

Ehem... ehem.
Cukup-cukuplah Huzaimatus.
Kita kembali semula ke pangkal jalan.

Baiklah.

Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Anggap saja aku tengah menulis karangan SPH. Iaitu, Sijil Perempuan Hebat. Ini terjadi kira-kira beberapa tahun dahulu yang tidak saya ingat tahun kejadiannya. Tetapi seumur hidup saya, memang inilah satu-satunya pengalaman yang sehingga jasad dibenam di bawah tanah pun pasti tidak dapat dilupakan.

Ya.
Kisah tidur di bawah tangga.
Saya memang suka ulang cerita berjuta kali.

Repetition makes perfect.
Hah hah hah.

Sejak kejadian itu, saya rasa saya boleh faham bagaimana mudahnya jadi seorang pengemis bila kefakiran itu datang mendekat. Di dalam keadaan yang terdesak, apa-apa pun boleh jadi. Apa-apa pun mampu dibuat. Sebab rasa terdesak itu sudah berdiri tegak di atas rasional. Dan bila rasional jatuh terduduk dikalahkan rasa terdesak, memang bergasaklah jiwa.

Ah, ya seperti yang dinyanyikan Alarm Me - Harapan Tidak Buta.

Berusaha hindar keculasan,
Waspada kefakiran,
Jerumuskan kekufuran.


Memang betul kena waspada kefakiran.

Waktu itu bas baru sampai di Puduraya. Jam 4 lebih pagi menghampiri ke jam 5 pagi. Dari Kedah. Dan macam biasa, saya tak suka nak kejutkan ayah minta tolong ambil. Dan macam biasa, dengan sekeping keberanian dan perangai suka perasan hebat seperti seorang hero saya pun berjalanlah dari Puduraya menuju ke Masjid Jamek. Dengan harapan pintu pagar masjid itu terbuka. Boleh juga menumpang diri.

Namun.
Harapanku tipis.
Dirantai ketat pintu pagarnya.

Nak tak nak memang duduk saja tercorok di sebuah mesin ATM stesen LRT Masjid Jamek. Ah, ya. Setia menunggu perjalanan LRT pertama jam 6 pagi. Duduklah saya bersila di dalam kesejukan embun pagi. Oh, dinihari. Sepi sekali.

Tiba-tiba....

Telinga saya tertangkap bunyi bising. Mata yang baru memulakan perjalanan mimpi pertama terus tersentak jaga. Ada lebih kurang empat ke lima orang remaja. Masing-masing sibuk cuba memecahkan mesin ATM yang berjarak dalam tiga buah mesin ATM dari tempat saya menyorok. Ah, ya. Saya kira saya sedang menyoroklah itu. Ngeri, woi! Belum Subuh. Seorang diri pula. Kawasan 'hitam' pula itu.

Hormon Adrenalin saya mula merembes keluar.
Jantung saya mula berdenyut laju.
Dag dig dug.

Tiba-tiba.

Salah seorang remaja lelaki itu datang menjenguk saya. Terkejut bukan kepalang saya dibuatnya. Namun saya tetap cuba berlagak bersahaja agar kelihatan seperti seorang pengemis. Bimbang juga jika diapa-apakan. Waktu itu apa jenis seni pertahanan diri pun tidak muncul tiba. Walaupun saya suka tonton cerita seperti Fong Sai Yuk, Shaolin Temple Kids, Bruce Lee, Jackie Chan dan Stephen Chow Sing Chi, namun satu pun tidak terpacul di kotak fikiran saya.

Eh, tak.
Chow Sing Chi bukan dalam kategori ini.
Ah, waktu itu saya cuma gantungkan hati kepada Allah saja.

Entah berapa banyak kali baca ayat Qursi.
Hati sudah berlari tidak menentu.
Mencemaskan sungguh.

Apa kerjalah budak-budak ini pergi mencuri sebelum Subuh hari.

Tiba-tiba.

Lagi dua orang remaja lelaki itu pula menjenguk. Waktu itu saya rasa saya sudah tidak selamat. Sebelum beramai-ramai mereka menjenguk dan mengapa-apakan saya, saya pun angkat kaki secara perlahan-lahan dan menuruni tangga Masjid Jamek itu. Dengan sepantas kilat saya berjalan laju menuju ke bank berwarna coklat yang berbentuk seperti bumbung Minangkabau. Bank apa entah itu. Bank Islam agaknya.

Saya pandang kiri kanan.
Mencari kawasan persembunyian.
Namun tiada langsung yang sesuai sebagai persembunyian.

Seluruh kawasan bank itu dipenuhi dengan sinaran lampu. Terang benderang pula itu. Habislah jika bayang-bayang saya kelihatan di mana-mana. Pasti senang dijerkah budak-budak itu. Tiba-tiba, saya terpandang sebuah tangga menuju ke laman bank itu. Cuma beberapa tapak saja tangga itu.

Dan kesudahannya.

Saya pun menyorok di bawah tangga itu. Disebabkan tangga itu tidaklah besar mana, saya pun terpaksa duduk berbentuk sesiku L menyorokkan diri. Namun, sekali sekala terasa sinaran lampu itu terbias ke muka. Saya menyelitkan diri ke dalam lagi. Sangat sempit tangga itu. Letih menahan tulang-tulang agar setia berada di dalam posisi sesiku L. Tak guna. Terasa seperti sedang membuat eksperimen kemahiran hidup pula. Bersabar sajalah.

Dan tiba-tiba.

Kelihatan dari atas saya ternampak budak-budak tadi keluar mencari saya. Melilau-lilau ke sana sini. Wah, mencemaskan sungguh! Benar-benar terasa seperti drama polis Gerak Khas di TV1. Ah, ya. Rancangan pilihan atuk saya.

Dan akhirnya.

Dalam menahan diri itu tertidur-tidur juga saya dibuatnya. Akhirnya azan berkumandang. Tersentak saya seketika. Bimbang jika tiba-tiba budak-budak tadi terpaculkan muka di bawah tangga. Saya pandang sekeliling dan keluar dengan berhati-hati.

Jam sudah menghampiri 6 pagi. Saya pun pantas ke stesen LRT. Tertidur-tidur juga di dalam LRT. Kepenatan yang amat. Mana tidaknya, pagi-pagi buta lagi sudah terpaksa membuat eksperimen kemahiran hidup. Terasa bagai disumpah menjadi si Tanggang di bawah tangga saja lagaknya.

Sejak kejadian itu.

Saya tetap tidak serik dan masih lagi perasan diri seorang hero.

Dan kali ini saya tidak jatuh katil lagi kerana kisah ini benar-benar terjadi. Dan memang ia merupakan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sehingga kini.

Ah, tak apa.

Sekurang-kurangnya sewaktu kedutan kulit sudah berkampung di muka dan sudah punya cucu nanti boleh juga aku berlagak dengan cucu sendiri.

Kan.

Tak sedar diri betul orang tua ini.
Adik-adik, jauhi sifat berlagak nanti Allah marah.

Ingat itu_

Sambung baca...

Kategori:

Sunday, March 21, 2010


_Betul kan.

Nafsu amarah itu memang bagai dirasuk syaitan.

Teringin juga mahu menulis entri di dalam keadaan marah menyinga. Selepas berada di dalam keadaan yang rasional barulah menyesal dengan semuanya. Masa itu memang sudah jadi bubur sajalah. Tapi aku selalu saja nampak blog-blog lain maki hamun sumpah seranah mencarut apa bagai sana sini. Lagaknya seperti cool saja. You think it's cool? Think again. Ketahuilah, apa yang ditulis itu sangat mencerminkan hati dan peribadi sang penulis. Ya. Blog kau memang kau punya suka. Tapi aku pun manusia muka bumi juga. Makanya tak salah saling tegur menegur. Kan.

Tapi masa zaman aku belajar di ITM dulu, aku pun pernah lalu zaman itu.

Senang cerita, aku pun pernah guna perkataan-perkataan itu. Perkataan seperti 'Siallah kau', 'Celaka', 'F|_|ck', 'B@b!', 'Bangang', 'Bongok', 'Bahlul' dan sekutu dengannya memang menjadi kegemaran remaja. Konon nampak macam cool. Waemah sangat miskin betul akhlak si penggunanya. Dan kalau menyinggah ke mana-mana blog yang suka mencarut, punyalah ramai follower-nya.

Aku bukan bermata hijau dengan jumlah pengikut yang ramai itu. Aku pun sebenarnya tak berapa faham apa benda tujuan Google Follower atau NetworkBlog Followed itu. Dan aku rasa sangat menakutkan kalau ada ramai yang mengikuti blog itu. Tapi serius. Kau rasa semulajadi cool dan funky ke maki hamun sumpah seranah mencarut di sana sini. Sangat merosakkan muka bumi betul. Patutlah Internet semakin perlahan. Jenuh mahu menapis segala perkataan 'so called cool' itu.

Ah, ya.
Termasuk aku juga.

Aku harap tak ada lagi yang suka menyinggah ke sini dan klik butang Follow Google Follower di sebelah kanan itu. Dan tak ada juga yang mengikuti NetworkBlog di Facebook itu. Yang mana sudah follow itu biarkan sajalah. Nasi sudah menjadi bubur. Tak tahu macam mana aku nak halau semua pembaca itu. Haah. Aku cuba halau ini. Harapnya berjaya. Ah, bahagianya begini.

Sekejap.
Apa point penting aku menulis entri ini entahnya.
Ah, ya aku nak cuba menulis di dalam keadaan marah yang menyinga.

Hah.

Untuk orang yang tak faham bahasa. Sini saja aku tak boleh block. Aku sudahlah gagal teruk dalam bab nak menghalau orang secara kasar, tapi yang sudah itu sudahlah. Berapa juta kali dah cakap jangan hantar apa-apa emel lagi. Memanglah aku tak pernah baca dah setiap kiriman itu disebabkan sudah tersimpan di dalam Junk Mail. Tapi, tetap semaklah juga nak kosongkan peti Junk Mail itu kan.

Lagi pula, aku rasa betullah jangan nilai orang daripada luarannya. Dan di antara orang yang nampak macam baik dan orang yang nakal dan tak berapa baik, lebih baik lebihkan orang yang tak berapa baik. Sangat ignorant-lah orang macam ini. Kau rasa aku boleh lembut hati ke. Boleh sakit jantunglah.

Macam akulah.

Kau nampak macam aku tak berkocak.
Tapi sebenarnya tak baik langsung ini dan keji orangnya.
Hati busuk dan hitam serta berkeladak lagi berkeruh seperti kopi.

Ah, ya.
Aku tak minum apa-apa jenis kafein tapi aku tahulah kopi itu hitam.

(Hoi, itu budak sekolah tadika pun tahu!)

Ok.
Sudah nampak seperti marah meyinga ke belum ini?

Tambah lagi.

Aku paling tak suka rasa terbeban. Sebab nanti seluruh dunia boleh terkena tempias itu. Makanya, itu pasallah perlu untuk berkelakuan kera sumbang sepanjang hayat. Ini termasuklah juga kepada semua mereka yang mengenali budak tak senonoh ini. Dengan aku, tak perlulah harapkan apa-apa. Aku bukan salah seorang daripada masyarakat yang baik. Iya. Aku tak pernah return call kalau ada sesiapa yang call. Di rumah, telefon tangan itu memang akan berada di dalam beg laptop atau almari baju atau juga di bawah bantal. Dan telefon itu memang dua puluh empat jam di dalam mode Silent. Hina kan perangai?

Jadi, kau kena faham kenapa aku tak suka berkawan dan mencari kenalan baru.

Kawan yang sedia lama ada pun susah aku nak jaga. Inikan pula kawan baru. Ya. All terms and conditions applied to both female and male. Aku rasa aku memang suka duduk dekat rumah dengan keluarga saja. Aku malas nak layan masyarakat. Kadangkala mendatangkan serabut kepala. Mungkin sebab hati dan kepala aku sudah tua agaknya. Hina kan perangai?

Ok.
Sudah nampak seperti marah meyinga ke belum ini?

Lagi satu. Aku tak percaya dengan hukum karma. Tapi aku tahu Allah akan balas dengan kebaikan jika kita berbuat baik sesama manusia. Dan begitulah sebaliknya. Makanya, kalau kau nak orang berbuat baik kepada kau, silalah berbuat baik kepada manusia lain. Setiap pergaulan dan bergurau itu ada adabnya. Jangan kau tembak orang itu sampai hancur ususnya dan kemudian kau bilang kau bergurau. Kalau kau rasa seperti kau pernah belajar akhlak semasa sekolah rendah dahulu, kau amalkanlah. Orang kafir pun lebih berakhlak kadangkala.

Dan percayalah, akhlak dan peribadi yang kau tunjuk itu sesungguhnya mencerminkan adab dan akhlak kedua ibu dan bapa kau juga. Dari situlah keluarnya peribahasa menconteng arang ke muka ayah dan bonda. Mengerti? So, behave please you rude jerk. Ya, aku cakap kepada diri sendiri.

Ok.
Sudah nampak seperti marah meyinga ke belum ini?

Terakhirnya.

Kalau maaf itu berguna, nak polis buat apa.

Percayalah. Lagi lima minit nanti mesti aku menyesal tulis macam ini. Aku harap entri ini sangat berbau keji dan hina serta dipenuhi dengan rasa marah yang menyinga yang menebal. Venting the anger. Ya. Lepas itu menyesal. Lepas itu nak menyinga semula. Lepas itu menyesal. Itulah dia manusia. Ah, tak. Itulah aku. Oh, ya. Sebab ini entri marah jadi tidak perlu italic kan segala perkataan English. I don't care.

Ah, Huzai napun saram_

Sambung baca...

Kategori:

Saturday, March 20, 2010


_Sari berita penting.

Ini laporan berita berkenaan Pesta Buku Antarabangsa KL.

Pertama sekali.

Hampir semua rakyat Malaysia memang gilakan buku. Walaupun mungkin tidaklah ramai mana yang membaca di dalam LRT seperti yang digembar-gemburkan oleh sebuah akhbar tempatan di dalam berita online-nya, tetapi memang jelas kelihatan rata-ratanya rakyat Malaysia memang cintakan buku. Memang terang lagi bersuluh, rakyat Malaysia gemar membaca walau di mana sahaja.

Ah, ya termasuklah di dalam tandas juga.

Jangan menafikan.
Ini realiti.
Kan.

Baiklah, kita mulakan laporan berita PBAKL 2010.

  1. Jika anda memandu ke PWTC, pastikan anda sudah berada di sana sebelum jam 10 pagi. Aku pun tak pasti sebenarnya jam berapa mereka semua sudah mula memenuhkan ruang legar pesta buku itu. Aku sampai sana jam 10 pagi pun sudah sesak gila trafik keretanya. Berpusu-pusu mencari parking. Waemah jam 10 pagi baru PWTC itu dibuka. Mungkin mereka sudah tunggu siap-siap di luar pintu agaknya. Lain kali parking saja di dalam The Mall. Tak adalah sesak kepala.
  2. Jika anda membawa anak-anak, pastikan anak-anak anda SENTIASA berada di samping. Paling teruk pun ikat tali pada tangan anak dan tangan sendiri. Tolonglah kasihan pada budak-budak kecil itu. Tempat-tempat yang dipenuhi manusia macam itu memang kanak-kanak lebih teruja sedikit. Lari sana lari sini sampai sesat. Mak bapak pula khusyuk melihat buku-buku. Kesudahannya terpaksalah pihak penganjur membuat pengumuman siapa yang ada kehilangan anak. Setiap tahun pun wajib ada anak hilang. Buku pun macam dadah rupanya. Membuat manusia khayal. Sampai terlupakan anak sendiri.
  3. Jika anda tidak berhajat untuk membeli buku dan lebih berminat untuk window shopping, sila pastikan anda membawa duit yang lebih. Ini kerana mereka yang tidak mempunyai senarai untuk membeli buku dan cuma window shopping saja adalah lebih cenderung untuk membeli buku. Nampak saja yang berminat kemudian terus ambil dan beratur panjang menunggu giliran. Tiba di kaunter bayaran, duit tidak cukup. Memang gigit jari sajalah di situ. Expect the unexpected, ok? Tadi ramai juga adik-adik yang meminjam duit kawannya. "Eh, kalau aku tak cukup duit, pinjam ya duit kau?" Tergelak aku. Sebab dulu aku pun macam itu dengan Dani.
  4. PBAKL kali ini memang lebih besar dan luas skalanya. Sila pastikan anda sudah melihat peta booth yang ada. Dan pastikan anda tahu kedudukan pintu keluarnya di mana. Aku pusing-pusing tingkat yang ada booth Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) berkali-kali sebab tak jumpa pintu keluar. Kesudahannya keluar saja di pintu masuk. Tahun lepas macam ada pengawal yang jaga. Tak boleh keluar di pintu masuk. Tahun ini macam tak ada pengawal sangat. Atau mungkinkah pengawal semua sedang undercover dan memakai baju biasa saja? Ah, entahlah. Yang penting aku dah keluar dari situ. Tahun ini lebih besar dengan kewujudan booth di tepi sungai. Yang memang gila meriah dan berwarna-warni. Ya adik-adik, PTS di situ. Aku siap pergi beli Koleksi Cerita Rakyat Jepun 2 sehingga 6. Dengan harga rm12.50 sebuah. Kau kiralah sendiri jika didarab dengan lima berapa harganya. Itu baru sebahagian. Ah, kayalah PTS!
  5. Sebelum memulakan perjalanan mengharung manusia di dalam pesta buku itu, sila pastikan anda sudah mengisi perut dengan sekenyang-kenyangnya. Situ memang confirm panas, haus dan lapar. Dengan rombongan budak-budak sekolah yang main tolak-tolak saja semua orang dewasa di sekelilingnya. Ai, sabar sajalah aku adik-adik ini.
  6. Bayi kecil belum pandai membaca. Bukanlah nak cakap apa. Tapi kan, serius kasihan bila tengok budak-budak kecil yang masih dalam stroller diusung ke pesta buku. Dengan bersesaknya. Dengan panasnya. Sekeliling mereka pun macam dipenuhi dengan pemandangan kaki-kaki manusia. Eye level mereka di situ bukan. Itu belum kira lagi bayi kecil yang baru beberapa bulan dan masih lembut tulangnya serta mudah terkulai didukung dan diusung sekali. Alahai ibu bapa.


Lain-lain.

Aku rasa tahun ini lebih menarik sebab banyak partition berbanding tahun lepas. Dan aku rasa design booth Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) pada tahun lepas lebih menarik berbanding tahun ini. Dan tahun ini, booth Dewan Bahasa dan Pustaka terasa semacam mengecil pula berbanding tahun lepas. Dan booth PTS memang teramat besar dan gila meriah berwarna-warni serta lebih tersusun rapi berbanding tahun lepas. Lain-lain booth memang aku tak sempat singgah. Oh, ya. Kenapa aku tak nampak pun booth Ameen Serve. Katanya berhampiran ITNM. Aduhai, misi mahu mencari buku-buku Faisal Tehrani tidak kesampaian.

Sabar Huzai, sabar.
Masih berbaki beberapa hari lagi sebelum 28 haribulan.

Lain-lain yang memang lain.

Singgahlah sendiri_

Sambung baca...

Kategori:

Saturday, March 20, 2010


_Agak cheesy. Tapi, masih yang terbaik.

Gas oksigen.

Tak dapat dikesan dengan mata kasar.
Tetapi, wujudnya tetap ada.

"It's like the wind. You can't see it. But you feel it." - A Walk to Remember.

Aku rasa gas paling terbaik dan bermanfaat kepada manusia cumalah gas oksigen. Dan betapa menariknya jika sekali sekala boleh bertukar watak menjadi gas oksigen. Sebenarnya aku sendiri pun tak berapa faham juga titik asal bercerita perihal gas secara tiba-tiba. Barangkali disebabkan baru menghirup aroma harum buku-buku segar di Pesta Buku Antarabangsa KL agaknya.

Ya.

Ibarat angin.
Tak nampak dek mata kasar.
Tapi tetap terasa kewujudannya.

Fuh.

Memang cheesy habis budak ini_

Sambung baca...

Kategori:

Tuesday, March 16, 2010


_Hai adik-adik.

Dengar khabar, minggu lepas keputusan SPM sudah keluar.

Soalan pertama, ok tak?
Soalan kedua, berkilat ke keputusannya?
Atau pun bercoreng dan berkarat keputusannya?

Apa-apa pun.
Jangan putus asa.

What doesn't kill you will make you stronger.

Kan.

Percayalah. Kalau kita rasa kita dapat keputusan yang teruk, ada lagi orang lain yang dapat keputusan yang lebih teruk daripada kita. Sesungguhnya, tak ada perkara yang senang di dalam dunia ini. Untuk bernafas pun bukan kerja mudah. Macam nak gila jugalah si jantung itu mengepam darah keluar masuk. Kalau terberhenti walau sesaat saja kerja-kerja mengepam darah itu, memang nyawa di hujung tanduklah nampaknya. Satu saat itu sudah cukup lama untuk membuat manusia nyawa-nyawa ikan.

Ah, macam biasa aku pergi buat U-turn jauh.

Baiklah.

Buat mereka yang memperoleh keputusan yang kurang memberangsangkan, mari sini aku kongsi sedikit cerita aku semasa mengambil keputusan SPM dahulu kala. Terpaksa membahasakan diri sebagai 'aku' agar kelihatan seperti seorang kakak yang bergaya dan selamba bersahaja. Dan cool. Ya. Saya kakak yang cool. Ehem.

Tahun 1998.

Angka giliran SPM, RA032 B147 (tak sangka masih boleh ingat). Aku ambil SPM di Beseri, Perlis. Percayalah. Aku tak belajar sangat pun. Dan keputusan SPM pun memang setimpal dengan usaha yang ada. Memang adillah kan. Kalau usaha berlipat ganda, insyaAllah berlipat ganda juga hasilnya. Dan begitulah sebaliknya. Allah memang Maha Adil. Dia tak akan mensia-siakan usaha, doa dan tawakal hambaNya. Makanya, nak seribu daya kan. Lain-lain itu faham-faham sediri.

Detik mengambil keputusan SPM.

Serius aku berat hati. Sebab dah boleh agak dapat berapa. Zaman aku SPM dulukala masih lagi pakai agregat. Kiranya kalau tak ada A langsung dalam mana-mana mata pelajaran pun kira tak apa asalkan masih lagi agregat satu. Itu yang penting. Memang meriah satu kampung. Buat adik-adik yang tak pernah dengar perkataan agregat, agregat itu kira macam pangkatlah.

Eh, cop!

Salah konseplah pula.
Agregat itu macam nombor.
Pangkat itu macam kastalah tapi nombor.

Faham ke entahnya.

-_-"

Haih, susah rupanya nak terangkan.

Macam ini... macam ini.

Agregat 9 sehingga 25 itu dikira pangkat 1.
Agregat 25 sehingga berapa entah itu pangkat 2.
Dan begitulah juga seterusnya sampai ke pangkat 3.

Dan alhamdulillah aku dapat juga pangkat satu. Cuma agregatnya memang teruk gila. Dapat agregat 19 ke 20 berapa entah. Tapi bukan 25 lah. Memang sangat teruk. Masa itu rasa macam sangat tertekan. Rasa macam tak layak masuk mana-mana universiti. Rasa menyesal gila sebab tak belajar betul-betul. Memang patutlah orang selalu cakap, "Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian memang useless."

Dan.

Jika dibandingkan dengan semua MRSM di Malaysia ini, agregat aku itu memang tak patut jatuh dalam pangkat satu. Baik jadi pangkat dua terus. Sepatutnya budak-budak MRSM memang tak patut dapat keputusan macam itu. Lebih baik pergi sekolah biasa saja. Budak-budak sekolah sains pun lebih hebat. Menghabiskan duit mak bapak saja. Siap boleh dapat P6 dan P7 dalam semua mata pelajaran sains.

Semua tahu!

Biologi.
Kimia.
Fizik.

Aku minat tapi tak mampu score. Cuma Matematik saja masih gagah di dalam genggaman. Aku rasa P6 dan P7 itu macam C5 agaknya. Entahlah. Tak ingat dah semua itu. Yang aku tahu masa itu keputusan SPM ibarat keputusan Sijil Pergi Mati. Memang kecewa betul hati kedua-dua ibu dan ayah saya. Kasihan mereka. Hati suci kedua-dua ibu dan ayah telah dirobek dan diconteng arang. Sampaikan aku pun terkena tempias kecewa mereka. Ya. Semasa malam konvokasi. Kes sulit ini. Maaf. Sampai sini saja.

Lagi satu.

Aku rasa sepanjang aku belajar di MRSM Beseri itu, memang dua tahun itu aku belajar main-main saja. Apa yang aku dapat cumalah keberanian dan kemahiran berkomunikasi. Serius. Itu sajalah yang boleh dibanggakan. Hasil belajar di MRSM selama dua tahun, aku cuma dapat seketul guts. Dan tak lupa juga kawan-kawan. Ya. Aku dapat kawan-kawan yang ramai. Dan aku selalu dapat buli kawan-kawan dan adik-adik junior. Tak apa. Itu cara aku berkasih sayang.

Kemudiannya.

Detik-detik memohon borang UPU pun tiba. Zaman aku dahulu kala semuanya pakai manual. Segalanya pun masih kaki dan kertas. Pemohon-pemohon semua harus pergi membeli borang UPU. Sekarang ini aku rasa online saja kan? Memang malas betul anak-anak muda zaman PSP (Play Station) ini.

Dan ketika itu.

Aku sangat minat biomedic. Sangat-sangat. Sebab diajar cara-cara merekacipta jantung palsu dan segala-segalanya yang palsu untuk tujuan perubatan. Bunyi pun sudah menarik hati. Apatah lagi kalau turut serta kursus itu kan. Namun begitu, disebabkan keputusan Sijil Pergi Mati aku tak begitu memberangsangkan, aku pun tak tahu nak mohon kursus apa.

Lepas itu, aku terfikir Sains Sosial.

Sebab aku sangat berminat mahu jadi seorang Homicide Psyhologist. Ya. Aku sangat terpengaruh dengan cerita Homicide di kaca televisyen tidak lama dahulu. Terasa macam sangat menarik bila kita boleh kaji bagaimana sesuatu kes pembunuhan itu terjadi dengan menggunakan kuasa psikik.

Best kan... best kan?
Sangat cool.

Malangnya. Mendapat bantahan daripada mak. Katanya kursus merepek macam itu mana ada peluang pekerjaan di Malaysia. Walaupun jiwa dan raga sangat memberontak mahu memohon apa-apa kursus yang menawarkan subjek psikologi, akhirnya terpaksa juga melepaskan dengan rela. Setiap kata-kata seorang ibu itu adalah doa. Jangan membantah. Nanti buruk padah. Dibalas tunai lagi itu.

Akhirnya.

Nak tak nak aku ambil saja kursus IT di ITM. Dan seterusnya aku sambung di UTM pula. Belajar memang menyeronokkan. Tapi, cukup sampai satu tahap bila rasa tepu itu sudah tiba memang wajib berhenti. Maksud aku, berhenti belajar di mana-mana universitilah. Berapa banyak hutang MARA perlu dilangsaikan. Banyak itu. Bukan berhenti belajar terus. Selagi kita hidup, selagi itu setiap perkara yang kita lakukan itu adalah satu pembelajaran.

Walau bagaimana pun, di atas kegagalan SPM bolehlah juga aku hidup dan berjaya macam manusia lain. Akhirnya, terbentuk juga untuk menjadi seorang manusia. Memang tidak sempurna. Tapi, alhamdulillah masih cukup jugalah sifatnya walaupun masih berterabur mazmumahnya. I used to learn the hard way. And still learn the hard way. Zaman kecil sehingga besar, dugaan sangat banyak.

Tapi.

Setiap yang jadi ada hikmahnya.
Dan Dia yang menentukan segalanya.
Dan Dia tahu apa yang baik untuk hambaNya.

Itu janji Dia.

Dan untuk berjaya memang WAJIB dipertemukan dengan kegagalan. Kalau tak jumpa kegagalan, masakan kamu boleh berdiri di tapak yang sedang kamu berdiri ini. Kan? Lagipun. Apa yang kita inginkan itu tak semestinya baik untuk kita. Dan boleh jadi apa yang kita cuba jauhkan itu pula baik untuk kita. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Makanya.

Hiduplah secara sederhana dan bersahaja.

Jalan terus.
Jangan toleh belakang.
Setiap perkara buruk yang terjadi itu dugaan saja.
Anggap saja semua itu ibarat kesesakan lalu lintas ketika menuju ke destinasi.

Fuh, boleh tahan juga konsep hidup aku.

Sudahlah.

Terasa seperti televisyen pendidikan saja entri ini. Maaflah. Sudah seminggu tidak menulis. Kemahiran menulis secara kurang rasional sudah agak berkurangan.

Terakhirnya.

Buat adik-adik yang terasa seperti gagal di medan perang, berusahalah. Untuk berjaya kena gagal. Kalau kita berjaya tanpa kegagalan, itu bukan berjaya. Itu tipu belaka. Dan percayalah, hanya orang hebat saja yang mampu bangun dari sebuah kegagalan. Makanya, kalau mahu jadi orang hebat bangunlah dan berjuang sampai ke titisan terakhir. Dan setiap umat Islam itu memang seorang pejuang. Pejuang hawa nafsu. Maka, berusahalah.

Kalau tidak mahu,
kau duduk sajalah di situ sampai mati.

Belum cuba pergi berperang lagi sudah mengaku kalah.

Membazir betul jadi manusia_

Sambung baca...

Kategori:

Monday, March 08, 2010


_Laju betul dia melintas semalam.

Tapi retina mata aku lagi laju.

Aku tahan dia tengah jalan. Aku suruh dia tunggu sekejap. Perlu sampaikan sesuatu. Lagipun penting ini. Ada kaitan dengan hidup dan mati. Dan lagipun, dengan siapa lagi aku nak sampaikan pesanan membebel-bebel ini kalau bukan kepada dia. Kan.

Makanya.

Aku pun mula membebel.

"Awak memang pendengar terbaik saya. Selalu kalau saya ada masalah memang saya cari awak. Sebab kadang-kadang awak yang bagi masalah dekat saya. Tapi, setiap kali saya baru nak keluarkan satu perenggan ayat je awak dah larikan diri. Awak dah tak suka ke dengan saya? Awak ada perempuan lain ke? Selalu awak sanggup je dengar walaupun awak tengah sibuk. Entahlah apa benda yang awak sibukkan. Ke hulu ke hilir usung perangai rajin tu. Dunia je semua tu."

Dia pun mula berpalingkan muka.
Laju-laju dia tinggalkan aku.

"Oo tak apa. Dah tak sudi dengar. Tak sopan betul perangai main blah je. Fine... fine. Saya ingat sampai bila-bila. Lain kali kalau saya nampak kelibat awak dan suku sakat awak siaplah. Saya takkan lepaskan. Ingat!"

Tak apa semut.
Tak nak kawan dah... tak nak kawan.

Dan busut di kepala makin membesar mengusung benda di dalamnya_

Sambung baca...

Kategori:

Saturday, March 06, 2010


_Kain putih.

Siramkan dakwat hitam.
Carik-carikkan setiap bucunya.
Renyuk-renyukkan menjadi kain buruk.

Hasilnya.

Bila siang terasa malam.
Bila malam terasa malam.

How can I ask for help without asking for it?

How_

Sambung baca...

Kategori:

Friday, March 05, 2010


_Hari ini kita kena buat pengakuan.

Mari berkata benar.
Walaupun tak best.

Benar. Benar. Benar.
Walaupun tak best.
Benar. Benar. Benar.
Walaupun tak best.
Benar. Benar. Benar.
Walaupun tak best.
Benar. Benar. Benar.
Walaupun tak best.
Benar. Benar. Benar.
Walaupun tak best.

-_-"

Kena tempeleng juga budak ini nanti.
Main-mainkan cakap orang tua.

Ok... ok.
Mari buat pengakuan benar.

  1. Cuti yang paling seronok buat saya adalah duduk di rumah bersama ibu bapa dan menghadap komputer sehingga terkeluarnya biji mata. Saya paling malas berjalan ke sana sini kerana Isnin sehingga Jumaat sudah keluar rumah. Sabtu dan Ahad sepatutnya untuk merehatkan kaki. Kan.

  2. Saya sudah panadi (kalau ikut kata Suhaila) pandai berkata 'TIDAK' pada sesiapa jika sesuatu perkara itu membelakangkan kemahuan saya. No... no... no! Tengok, senang saja. Cuba tanyakan apa-apa soalan mesti saya akan kata No.

  3. Saya tetap tidak berjaya mengikis perangai kera sumbang terhadap manusia. Penat saya cuba. I just can't get rid of it. Saya adalah kera sumbang semulajadi. An introvert, I am.

  4. Saya er... androphobia. Dan seorang ailurophobia. Tolong jangan trigger rasa fear itu.

  5. Dua kenderaan yang memang saya tak mahu naik sampai bila-bila adalah motorsikal dan basikal.

  6. Saya sangat degil. Lebih degil dan keras daripada batu kerikil dan batu konkrit.

  7. Saya tetap nekad mahu jadi oksigen berbanding homo sapien buat masa sekarang.

  8. Saya paling tak suka orang kenal saya. Lebih baik remain anonymous atau pun low profile. Lebih misteri lebih bagus. Konsep popular dan glamour itu tidak wujud. Manusia semua sama. Bezanya pada iman dan amal saja. Anda bukan idol seperti Nabi Muhammad saw dan sahabat-sahabatnya yang boleh dijadikan ikutan.

  9. Sewaktu zaman IRC dulukala dan di mana-mana forum yang ada, watak saya selalu disalah sangka sebagai seorang lelaki. Mungkin saya memang semulajadi kasar.

  10. Saya memang tak suka aksi-aksi perasan comel. Semua itu kelihatan agak gedik. Tak cool. Tapi kalau muka orang itu memang comel dan perangainya pula buat-buat comel itu lainlah. Memang kena pada tempatnya.

  11. Saya sukakan benda-benda yang orang tidak suka. Sesuatu yang kurang mendapat tumpuan orang ramai memang lebih menarik daripada sesuatu yang dihurung manusia.

  12. Saya senang naik angin. Mood saya selalu berubah dalam masa satu saat. Tapi riak di wajah jarang berkocak. Jadi, tak semua orang nampak mood saya.

  13. Saya selalu rasa mereka yang dikurniakan muka yang 'SubhanaAllah' kacak dan cantik, perangainya pasti kurang molek sedikit. Allah memang Maha Adil.

  14. Kawan-kawan saya selalu kata saya hidup di dalam dunia saya yang tersendiri.Mungkin sekarang saya berada di alam lain. Tininini... tininini (muzik misteri dari cerita Twilight Zone).

  15. Saya paling tak suka orang yang tak ada pendirian dan lebih suka mengikut saja mengkhinzir buta.

  16. Saya tak suka disuruh. Itu sangat membebankan. Dan biasanya saya berat untuk laksanakan. Saya memang tidak bertanggungjawab.

  17. Saya sangat obses dengan warna putih.

  18. Saya rasa di dalam satu perkahwinan, lebih baik jika si suami itu lebih tua atau sebaya daripada perempuan. Lelaki memang lambat matang. Percayalah. Agak menyakitkan hati juga menunggu tempoh matang seorang lelaki itu sampai.

  19. Terakhirnya, muka saya langsung tidak sama dengan Yuna. Saya rasa mereka yang selalu kata saya macam Yuna itu memang matanya rabun. Ya. Makcik dan pakcik saya pun jatuh dalam kategori ini. Saya lahir dululah. Ah, malas nak pertahankan diri sendiri dah.


Oh, mengarut... mengarut.

Ada lagi 99 pengakuan benar sebenarnya.
Tapi, ah siapa yang kisah kan.

Apa pula pengakuan jujur anda_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, March 04, 2010


_Selalunya kan.

Eh, sebelum itu.

AMARAN:
Entri di bawah ini memang sangat gila tak masuk akal panjangnya. Inilah yang terjadi kalau nikmat sihat ditarik seketika. Tak perlu teruskan baca kalau kepala sudah berpinar.

Ok, sambung.

Di tepi-tepi jalan.
Mesti ada gerai makanan.

Kamu beli tak?

Ada sesetengah mereka yang tak suka membeli di tepi jalan. Hygiene. Ragu-ragu dengan kebersihan makanan mungkin. Ada juga yang selamba saja membeli. Tiada masalah. Apa saja yang masuk ke dalam perut, memang hampir semuanya keluar semula. Muncul sebagai tinja juga akhirnya. Tiada beza.

Macam aku.
Tengok keadaan juga.

Sebab aku percaya dengan kewujudan bakteria yang beribu juta hidup di sekeliling kita. Bakteria itu semua makhluk separa halus. Sebab itu macam tak tertangkap dek retina mata. Jadi kalau makanan yang dijual betul-betul di tepi jalan yang dipenuhi dengan asap kereta, habuk jalan raya dan sebagainya, memang aku tak beli. Kebersihannya memang tercalar banyak.

Tapi kalau itu kawasan pasar malam ke, pasar pagi ke atau pasar sampai ke subuh ke itu memang tiada masalah. Alah, pasar pagi itu pasar tani. Pasar sampai ke subuh itu biasanya macam di uptown yang dibuka cuma pada pukul 10 malam ke atas sehingga hampir masuknya waktu subuh.

Sebab itu memang kawasan jualan.
Kurang sikit potensi asap kereta dan habuk jalan raya.

Fuh.
Jauh betul aku buat U-turn.
Kita kecilkan sikit skop dan jalan cerita.

Macam ini... macam ini.

Ada dua buah meja.
Dan kedua-duanya pun ada makanan.
Yang membezakannya, satu bertudung saji dan satu lagi tidak.

Jika anda seorang manusia, secara tipikalnya mesti lebih berminat dengan yang bertudung saji. Betul tak? Jangan tipu. Kena jujur. Hampir semua manusia di dalam dunia ini memang bagi keutamaan kepada makanan yang bertudung saji. Sebab daya ingin tahu yang tinggi terhadap benda-benda yang tak nampak.

Think outside the box tudung saji.

Lagi ditutup, lagi nampak macam sedap. Lagi ditutup, lagilah kurang kita nak kacau makanan itu. Sebab nampak macam makanan itu terjaga. Makanan itu dah tersedia untuk kita. Tak adalah dihurung dan dijamah lalat. Cumanya, mungkinlah ada sekumpulan semut halus yang tetap terlepas masuk ke dalam tudung saji itu.

Ah, pedulikan semut halus.
Motif sebenarnya macam ini.
Aku nak cakap pasal tudung.

Bukan tudung saji. Bukan tudung periuk. Tapi tudung kepala. Walaupun aku tak layak nak cerita pasal tudung dan kawan baiknya, aurat tapi aku tetap nak cerita juga. Sebab jari aku memang suka bercerita.

Ah, pedulikan jari itu.
Kita fokus pada tudung.

Selalunya bila naik LRT, jujurnya mata aku memang senang merayap tengok perempuan. Kalau nak tengok lelaki dia tak berapa nak lut sangat. Sebab mata aku selalu jadi auto blur bila tengok lelaki. Dia kena manual fokus nak tengok lelaki. Dan manual fokus mata aku selalunya rosak. Jadi, dia selalu auto detect figure perempuan saja.

Sangat teknikal betul penjelasan ayat itu.
Tak apa. Sama-sama kita belajar fotografi.

Sambung lagi.

Perempuan ini sesungguhnya memang perhiasan dunia yang terbaik. Tua dan muda tak mengira bangsa dan jantina memang sentiasa kagum dengan ciptaan Allah yang bernama Hawa ini. Kadang kalau makwe itu tak berapa cun pun, tapi bila pandang lapan kali pun boleh jadi cun. Dari mata memang wajib turun ke hati. Hah, itu sebablah kena tundukkan pandangan.

Haah, tahu.

Eleh.
Tahu, tapi tak nak praktikkan nak buat apa.

Tapi, itu memang kegunaan mata.

Eh, siapa kata?
Ada tulis di mana?
Cuba bagitahu sikit.

Emm....

Dah... dah.
Sambung lagi.

Perempuan ini ibarat makanan di dalam tudung saji tadi. Lagi ditutup, lagi terjaga. Tak dicemari dengan lalat-lalat yang sudah menanti ketika. Lagi ditutup juga, lagi kurang tercalar dengan asap kereta dan habuk-habuk di jalan raya. Lagi ditutup, lagi terasa haba dan panas makanannya. Lambat sikit lauk itu menyejuk.

Dengan syarat, tudung saji itu mestilah ditutup setutup-tutupnya.
Sampai tak ada lalat yang mampu menyelit dari bawah tudung saji itu.

Macam itu juga perempuan. Tutuplah setutup-tutupnya. Kalau bertudung itu, labuhkan sampai tutup dada. Dan kalau berbaju itu, janganlah benangnya mencengkam segala isi yang ada. Ini bukan hot dog benjo. Terkeluar dagingnya. Meleleh sos cilinya. Orang yang dah kenyang kalau tengok pun mesti menitik air liurnya.

Bertudung itu dah molek.
Cumanya kan.

Janganlah berlengan pendek bajunya.
Sudahlah berlengan pendek, ketat pula t-shirtnya.
Seluar pula mencengkam segala otot yang ada.
Lelaki tua tengok pun mungkin boleh datang selera.

Kan ke bahaya.
Ahai, dah macam pantun pula.

Kiranya.

Ah, tak nak sambung dah.
Mengarang daripada malam Jumaat sampai pagi Jumaat.
Gila panjang tak ingat dah berapa banyak U-Turn aku buat.

Cukup_

Sambung baca...

Kategori:

Wednesday, March 03, 2010


_Betul.

Memang tak baik membenci antara satu sama lain.

Tapi kan.

Kalau dah badan itu sekeping. Tak menutup aurat. Perasan bentuk badan itu hot. Boleh menggoda orang. Berjalan seperti tidak berbaju ke sana ke sini. Lepas itu, mulut bising mengalahkan bertih jagung. Selalu mengiyakan segala cakap-cakap orang. Yang kadangkala entahkan ada ke tiada kebenarannya.

Lagi satu.

Bukanlah aku percaya dengan hukum karma. Tapi, kalau tak nak orang layan kita buruk, kita pun janganlah layan orang macam itu. Buat baik dibalas baik. Tapi itulah. Aku tak kacau kau pun. Kenapalah kau suka kacau aku. Paling tak boleh lupa masa tingkatan empat dulu. Kau lastik aku.

Lagi satu juga.

Memang tak elok kita berasa takut dengan benda lain selain Allah. Memang betul dah itu. Tapi entah kenapa, dengan kau saja aku rasa macam ngeri semacam. Terasa macam kau ini salah satu daripada my worst fear. Tapi memang kau ini my worst fear pun. Dan kau pula macam tahu-tahu saja aku tak suka kau kan. Perasan ada six sense. Pft.

Menggelikan.
Menyampah.
Benci betul.

Tak... tak.
Aku tak marah.

Cuma aku tak puas hati.

Kenapa kau halang laluan aku nak masuk dapur hah, cicak.

Macamana aku nak basuh tangan lepas makan. Nasib baik tak terlepas pinggan aku semalam. Terkejut ayam aku dibuatnya_

Sambung baca...

Kategori:

Tuesday, March 02, 2010


_Panas kan?

Hujan memang hujan.

Setiap petang hari. Tapi, seteguk cuma. Tak puas terasa. Tak basah kepala. Tak sampai pun ke saraf otak basahnya. Dan di musim 'panas berpanjangan hujan seteguk' ini memang senang betul mendatangkan api amarah. Kalau cuaca itu ada kotak suisnya, memang sekejap-sekejap aku tekan suis hujan. Tidaklah sampai banjir. Cuma setiap kali hati panas saja, tekan suis hujan. Barulah tenang sikit hati agaknya.

Oleh itu.

Sentiasa pastikan di tangan anda sentiasa ada air mineral dan juga tasbih atau buku yasin atau juga al-quran kecil atau apa-apa saja buku agama sebagai alat pemadam api amarah nafsu anda.

Sekian.

Pesanan 'ringkas bukan SMS' khidmat masyarakat_

Sambung baca...

Kategori:

Monday, March 01, 2010


_Mari belajar Matematik.

Buat semua pecinta Matematik.
Ini teknik mencongak mengalahkan kalkulator peringkat pertama.

Sebelum itu.

Aku memang tak suka pakai kalkulator. Dulu di ITM masa belajar subjek Kalkulus, memang merangkak betul nak menaip pakai kalkulator. Serius, aku rasa pakai kalkulator itu sangat susah. Dia jadi semakin lembab mengira. Bukan dia. Aku sebenarnya. Dan serta merta aku boikot kalkulator. Lebih baik ambil pensel dan kertas, kemudian congak secara laju. Walaupun agak lambat daripada kalkulator, tapi bolehlah dari tak ada. Kan.

Tapi.
Itu dulu.
Sekarang tidak lagi.

Aku jumpa boleh tahan banyak jugalah teknik mengira dengan laju. Sesuai untuk semua golongan umur dan bangsa. Dengan syarat, anda masih belum nyanyuk dan masih boleh berfikir dengan baik. Tahap berfikir lembab atau tidak itu kita kira kemudian.

Baiklah.
Instant multiplication, go!

Pra-kondisi:


  1. Teknik ini sesuai untuk semua nombor yang didarabkan dengan sebelas (11) SAHAJA.

  2. Untuk peringkat permulaan, kita mulakan dengan semua nombor dua digit didarab sebelas.


Contoh:
35 x 11 = ?

Kaedahnya:
3 + 5 = 8

Maka, jawapan 35 x 11 adalah 385.

Dapat?
Tambahkan kedua-dua digit itu dan letakkan di tengah-tengah.

Cuba lagi.

54 x 11 = ?
Tambahkan 5 dan 4, iaitu 9 dan diletakkan tengah-tengah.
Maka, hasil 54 x 11 adalah 594.

Dapat?
Ok, cuba ini pula.

87 x 11 = ?

8 + 7 = 15.
Disebabkan hasil tambahnya adalah dua digit, maka tambahkan satu pada angka lapan.
Maka, hasil 87 x 11 adalah 957.

Cuba lagi.

68 x 11 = ?
Tambahkan 6 dan 8, hasilnya 14.
Kemudian, tambahkan satu pada angka 6.
Maka, hasil 68 x 11 adalah 748.

Dapat?
Dah pening?
Ah, sila dapatkan sendiri buku itu di bawah ini.



Buku ini aku jumpa di BookExcess, Amcorp Mall.

Macamana nak pergi Amcorp Mall?
Ambil Putra LRT dan berhenti di stesen Taman Jaya.
Dan jalan dalam tiga puluh tapak, anda akan jumpa bangunan tinggi berkembar dua.

Dan BookExcess ada di tingkat, er....

Ok, kalau anda jumpa Watson, naik lagi eskalator.
Ok, kalau anda jumpa Popular di atasnya, naik lagi eskalator.
Hah, di situlah letaknya BookExcess. Tingkat tiga ke empat entah.

Harganya dalam RM19.90. Memang terbaik. Untuk nerd Matematik freak yang sukakan kehalusan seni Matematik, anda memang digalakkan dapatkan buku ini di BookExcess. Aku tak rasa boleh dapat harga yang sangat murah macam ini di mana-mana kedai buku serata Malaysia. Lagi pula, kulit bukunya sangat suci berwarna putih. Rekaan buku yang menarik. Simple and minimal design.

Ya... ya.

Aku memang suka baca buku yang macam ini.

Yang sebenarnya, aku rasa aku ini suka menyeksa otak. Tapi, kalau kita seksa otak, otak akan jadi lebih bagus bukan? Lagi pula, otak cuma diseksa secara tidak langsung saja. Contohnya, pastikan tiga puzzle Sudoku habis dibuat di dalam perjalanan dari Terminal Putra ke Kerinchi. Atau pun, baca buku Matematik di sepanjang perjalanan. Atau pula, sambung buat puzzle Kakuro di rumah atau sewaktu makan tengahari seorang diri. Oh, sungguh dorky dan Math freak.

Ah, pedulikan saja pasal otak itu.

Yang penting, dapat tak teknik itu?
Cubalah kalau mahu tahu keberkesanannya.

Ok.

99 x 11 = ?

Cuba jawab dalam masa 1 saat_

Sambung baca...

Kategori:

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.