Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Wednesday, February 24, 2010


_Ada satu soalan.

Yang sudah ssangat (lebihkan huruf 's' agar kelihatan lebih bersungguh) lama teringin untuk ditanya. Ini di antara perkara-perkara yang terpacul di dalam kepala ketika sedang menghadap rezeki. Sesi 'sambil makan sambil berfikir bersama Suhaila' namanya. Kalau disenaraikan semua perkara-perkara yang terpacul di kepala kami itu memang boleh tahan berkajang juga kertasnya.

Ok.

Anda habis makan.
Mahu bayar makanan.
Dan malas membangunkan diri.
Maka, anda mengangkat tangan.
Sambil menggayakan muka dan tangan.

Di antara cara 1 dan cara 2 di bawah.
Sila pilih gaya anda.

Cara 1
Membuat gaya memegang pen sambil menandatangan di udara. Haah. Aku buat gaya macam ini.

Cara 2
Menggunakan jari telunjuk dan melukis bentuk segiempat seperti kertas(bil kononnya) di udara. Ini gaya Suhaila.



Hah.
Pilih.

Ke ada gaya lain yang lebih kacak, mudah difahami dan lebih bergaya?

Sertakan, mari_

Sambung baca...

Kategori:

Tuesday, February 23, 2010


_Selalu juga aku dengar.

Pening-pening lalat.

Setiap kali membaca di dalam kenderaan yang bergerak. Tak terbayang di kepala macamana perasaan pening lalat di dalam kenderaan bergerak. Sebab aku tak pernah merasa. Dan aku jenis terbalik. Kalau tak membaca atau buat apa-apa di dalam kenderaan bergerak, aku yang terasa pening-pening lalat. Sebab aku tak suka bau hawa dingin. Boleh muntah darah.

Lagi pula.

Aku rasa pening lalat itu bukanlah seratus peratus disebabkan kenderaan itu sedang bergerak. Tapi, pening lalat itu lebih disebabkan keadaan sekeliling di mana manusia itu berada di dalam sebuah kotak tertutup yang dipenuhi dengan penghawa dingin. Dan kotak yang tertutup itu merujuk kepada kenderaan yang bergerak.

Dan.

Apabila suhu badan kotak itu mulai sejuk, badan kotak itu dipenuhi dengan gas yang dikeluarkan oleh alat penghawa dingin (hah, gas apa itu?) dan ditambah pula dengan gas karbon dioksida yang dihembuskan manusia berkali-kali. Ini sekaligus menyebabkan kandungan oksigen semakin berkurangan di dalam kotak tersebut.

Hasilnya.

Manusia terasa mual di tekak. Dan apabila tekanan diberi kepada mata untuk membaca, manusia semakin terasa tidak selesa. Aku syak sebab oksigen dah berkurangan. Dan suhu badan manusia pun semakin rendah. Sebab itu kalau kita membaca, bila kepala terlalu ditundukkan mata akan jadi mengantuk dan leher menjadi sakit. Tambahan pula, kecerahan cahaya untuk membaca di dalam kenderaan bergerak agak suram dan suam-suam kuku.

Dan lagi.

Uish.
Macam subjek Sains Tingkatan 3 pula.

Dah, diam.
Jangan kacau.

Maaf.

Dan lagi.

Apabila tekak sudah terasa mual, mata pula sudah mengantuk, ditambah pula dengan tekanan kenderaan yang bergerak-gerak, mata sudah tidak dapat menangkap dengan jelas perkataan yang dibaca. Sekaligus kepala terasa seperti pening lalat. Lagi sekali, aku syak semua ini disebabkan kekurangan oksigen diangkut ke otak (tak pastilah ke mana, aku teka otak).

Ini bukan kajian mahupun teori.
Ini cuma sangkaan dan syak wasangka aku saja.
Tolong perbetulkan syak wasangka itu sebab aku rasa salah.

Makanya.

Untuk membolehkan anda berusaha untuk cuba membaca, ada sedikit saranan aku boleh bagi. Nak cuba, boleh cuba. Kalau tak nak mencuba, itu orang kalah namanya. Belum cuba lagi dah menyerah. Tak mencabar betul (saja bakar lebih).

Ok, ini saranannya.

1. Pastikan anda ada tempat untuk menyandar.
Duduk dalam posisi tegak. Penting untuk perjalanan darah. Kalau di dalam LRT, sila bersandar pada tempat duduk atau pun pada dinding LRT itu. Kalau di dalam kereta, bersandarlah. Dan jika anda kena duduk di dalam bonet kereta pun masih boleh bersandar. Baring dan bersandarlah. Apa susah.

2. Apabila membaca, pastikan bahan bacaan itu setinggi paras mata.
Untuk mereka yang lebih mual dan cepat pening, lebih tinggi paras bahan bacaan daripada mata lagi bagus. Kalau ikut eksperimen aku, jika kita membaca dengan menundukkan kepala, mata lebih cepat mengantuk. Pencahayaan yang masuk ke dalam mata pun kurang. Tapi kalau bahan bacaan itu ditinggikan, rasa mengantuknya berkurangan. Dan kadangkala tak sempat kunjung tiba pun.

3. Cari bahan bacaan yang lebih banyak mengandungi gambar dan berwarna-warni.
Atau juga bahan bacaan yang ringan. Sebenarnya, walaupun surat khabar itu mengandungi laporan berita yang berhelai-helai, surat khabar tetap jatuh di dalam kategori bahan bacaan ringan. Contoh lain bahan bacaan ringan termasuklah komik dan majalah. Teks yang terlalu banyak kadangkala memberi tekanan yang tinggi pada mata. Kalau mata tak berupaya, memang pening jadinya kepala.

4. Pastikan bahan bacaan anda mempunyai saiz tulisan yang besar.
Lebih besar lagi bagus. Tulisan yang bersaiz kecil berpotensi tinggi dalam memberi tekanan kepada mata. Dan macam biasa, jika mata tak berupaya memang pening jadinya kepala.

5. Setiap sepuluh minit ke lima belas minit membaca, rehatkan mata seketika.
Maksudnya, lepas sepuluh ke lima belas minit membaca sila cuci mata. Tengok muka orang sebelah ke. Atau pun tengok pokok-pokok ke. Atau pun cari sesuatu yang berwarna hijau. Tak silap aku, warna hijau elok untuk mata. Relevannya, sudilah berkongsi jika ada. Aku pun tak tahu kenapa.

6. Jenis kertas bahan bacaan.
Aku tak tahu kenapa, tapi jenis kertas memang boleh mempengaruhi rasa pening di kepala dan mual di anak tekak setiap kali membaca di dalam mana-mana kenderaan yang bergerak. Kalau paperback punya kertas, perasaan mual itu tak berapa nak ada. Surat khabar itu pun kategori paperback. Kertas-kertas dikitar semula. Tapi, kalau kertas jenis A4 memang lain macam sikit perasaannya. Dia punya bau itu lain macam betul. Kalau dah biasa bau, mungkin tak datang peningnya. Tapi, kalau orang yang tak biasa memang pening dan mual dibuatnya. Kalau tak percaya cuba buat eksperimen sendiri.

7. Sebelum naik kenderaan bergerak, jika berhajat untuk membaca, pastikan anda telah mengambil sebarang jenis makanan berunsur gula.
Coklat contohnya. Ambil dalam kuantiti yang sedikit pun tak apa. Dan pastikan perut tak kosong. Dan tak terlalu penuh. Ini aku tak tahulah berkesan pada semua orang ke berkesan pada aku saja. Haha. Cuba sendirilah kalau nak tahu keberkesanannya.

8. Cari posisi membaca di luar kawasan gangguan.
Jauhi kawasan-kawasan yang dipenuhi dengan mulut manusia yang suka 'pot pet pot pet' berborak benda tak berfaedah tak tentu hala dengan nada suara yang luar biasa melampau tinggi. Ambient noise pun salah satu sebab kenapa boleh jadi tertekan dan pening ketika membaca di dalam kenderaan begerak.

9. Terakhirnya, nak seribu daya.
Kalau tak nak, sendiri-sendiri fahamlah ya. Aku kira, semuanya itu songeh saja. Hehe.

Ok.

Saranan di atas itu semua yang aku pernah buat. Tapi aku tak tahulah berkesan untuk semua orang ke tidak. Mungkin boleh cuba dulu. Dan bila sudah boleh membaca di dalam kenderaan bergerak dengan lebih hebat, mungkin boleh main Sudoku atau pun melukis. Atau pun juga main game PSP ke. Main cop tiang pun boleh juga. Tapi kalau rasa nak kena pelempang dengan orang ramai di dalam itu cubalah. Lebih sopan kalau main congkak di perut gerabak LRT. Apa sajalah yang berfaedah pendek katanya.

Lagi pun.

Sebenarnya, daripada melanguk tengok orang di dalam kenderaan bergerak, lebih baik tengok buku. Pandangan mata pun terjaga juga kan. Kalau pandangan mata sudah terjaga, nafsu pun susah sikit nak keluar. Sebab mata itu ibarat pintu hati. Dan bila pintu hati sudah kena kunci, hati pun berpotensi tinggi untuk berubah menjadi putih suci macam susu HL perisa Vanilla. Sedap dan menyelerakan.

Hah.

Cubalah_

Sambung baca...

Kategori:

Sunday, February 21, 2010


_Haah.

Sabtu lepas terasa macam hari biasa ke ofis.

Waemah ada aktiviti membaca di dalam LRT bersama Baca@LRT. Tak ada beza. Perasaannya tetap sama. Macam pergi kerja. Dari Terminal Gombak ke Kerinchi. Hari-hari. Dan bulan depan pula dari Terminal Gombak ke Universiti. Terasa semakin mereput 'kruk krak' tulang kaki setiap kali naik LRT. Mana tidaknya. Tak pernah naik eskalator. Hari-hari panjat tangga seperti Spiderman.

Haah.
Naik eskalator tidak mencabar.
Eskalator hanya untuk mereka yang berat tulang saja.

-_-"

Woah!
Gurauan keras.
Jangan ambil hati.

Bukan macam itu. Kalau naik LRT bukan seorang, memang aku terpaksa naik eskalator. Tapi, kalau seorang diri tak payahlah. Lebih baik mencegah osteoporosis pada peringkat awal bukan. Lagi pula pagi-pagi memang elok bagi jantung bekerja. Dan pagi-pagi kita kena bakar lemak sehabis baik. Dan biarkan peluh meludah-ludah ke muka.

Eskalator hanya untuk mereka yang berat tulang saja.
Dan kalau tak pernah panjat tangga walau sekali kalau naik LRT.
Itu memang ada potensi kena osteoporosis sewaktu muda ini.

-_-"

Woah!
Gurauan keras lagi.
Silalah jangan ambil hati.

Hah.

Perihal Baca@LRT.

Kali ini aku rasa ramailah juga walaupun tidaklah ramai mana kepala yang ada di Terminal Gombak itu. Dan macam biasa, perasaan aku turut serta aktiviti itu macam perasaan nak pergi kerja. Biasa-biasa saja. Tak ada apa-apa yang istimewa. Barangkali sebab tak cukup tidur. Aku kalau tak cukup tidur memang segala tindakan jadi luar kawalan. Hah, siap menari Techtonic di Stesen Taman Jaya sewaktu menunggu tren pulang ke Gombak. Kan Nur Nana, Anisa dan Ida? Haha.

Dah.
Berhenti mengarut.

Perihal Baca@LRT.

Dalam jam 10 suku pagi kami pun naik tren 2 koc. Mungkin sebab menunggu tren 4 koc tak kunjung tiba. Itu sebabnya naik juga tren 2 koc. Aku rasa kena tunggu lama sikit. Sebab dalam jam 9.30 pagi itu tren 4 koc dah lalu di Terminal Gombak. Dan aku anggarkan tren 4 koc itu cuma ada di dalam 2 biji. Mungkin di dalam jam 11 pagi baru tren 4 koc datang. Aku cadangkan team Baca@LRT boleh cuba lagi 'riki' jadual waktu tren 4 koc untuk aktiviti bulan April nanti mungkin. Berusahalah.

Ok, sambung.

Di dalam tren itu, aku rasa tiga suku daripada isi perut tren itu terdiri daripada geng-geng Baca@LRT saja. Macam biasalah. Kami juga yang memenuhkan majlis. Em, lagi satu bukan apa. Barangkali sebab aku dah biasa naik tren jadi aku rasa kalau hari Sabtu, jam 10 pagi itu serius memang orang tak ramai keluar lagi. Kedai pun baru buka. Rata-ratanya orang KL ini bukan early bird. Bangun awal mungkinlah iya. Tapi kalau keluar jalan-jalan awal tak berapa nak mungkinlah.

Aku cadangkan aktiviti lain kali boleh lewatkan ke jam 10.30 pagi atau 10.45 pagi mungkin. Dan biasanya orang mula beramai-ramai naik tren di Wangsa Maju dalam jam 11 pagi. Apa-apa pun terpulanglah kepada rakan-rakan Orga (organizer). Kami cuma mengikut saja.

Ok, sambung.

Kali ini. Geng-geng Baca@LRT ada juga yang menunggu di stesen-stesen lain. Di antaranya stesen KLCC, Masjed Jamek dan KL Sentral. Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Kiranya konsep sebegini memang lebih bagus (aih, terasa macam ayat ini berbau struktur bahasa Indonesia pula). Molek jugalah macam ini. Tak adalah bersesak-sesak dari Terminal Gombak. Dan lebih semulajadi kalau dibuat macam ini.

Dan kali ini.

Stesen Taman Jaya menjadi destinasi terakhir kami. Ramai-ramai berkumpul di BookExcess, Amcorp Mall. Kedai buku itu memang terbaik. Wajib disinggah bagi semua penggila buku. Kalau Kinokuniya dan MPH menjual buku itu di dalam harga rm32.90, di BookExcess cuma boleh didapati dengan harga rm17.90. Gila kan? Ya. Harga itu memang gila. Tapi, bukan empunya kedainya yang gila.

Dan yang menariknya.

Kami dapat memohon keahlian secara percuma. Kalau waktu biasa, keahlian secara percuma boleh dimohon dengan pembelian rm100 ke atas. Kalau tak silap akulah. Tapi yang ini sudahlah percuma. Dihadiahkan pula dengan Book Thong yang comel dan cool. Benda-benda yang cool untuk mereka yang cool dalam menyertai aktiviti yang cool dengan menaiki LRT yang cool anjuran Baca@LRT yang cool. Memang cool.

Book Thong



Itu penanda buku 2 dalam 1 sebenarnya. Hari biasa boleh jadi penanda buku. Dan hari Sabtu Ahad boleh jadi wrist band. Siap ada ikan kering, kerang dan tapak sulaiman. Setiap kali pakai itu aku terasa macam nak pergi berenang. Bak kata Dory di dalam filem Finding Nemo, "Keep on swimming... swimming... swimming."

Selain daripada itu.

Bertemu mata juga akhirnya dengan kakak makwe seorang ini. Wartawan merangkap jurugambar. Terima kasih. Bertemu mata juga kita akhirnya.

Selain daripada itu.

Ramai juga jurugambar dan videoman serta pihak akhbar. Dan dengar kata ada TV3 membuat liputan. Iya ke? Tak perasan pula. Tak sempat nak meliarkan mata. Aku cuma nampak buku dan A&W saja di Amcorp Mall itu. Dan dengar kata juga ada masuk televisyen. Saluran Astro Awani. Hah. Lagilah aku tak tengok. Minta maaf. Aku cuma tengok channel 303 saja.

Selain daripada itu.

Habis sudah cerita kali ini.
Berjumpa kita acara Baca@LRT III pada bulan April nanti.
Dan jangan lupa Pesta Buku Antarabangsa KL di PWTC Mac ini.

Selain daripada itu.

Hari ini hari pra-Isnin.
Esok naik lagi LRT.

Tepu_

Sambung baca...

Kategori:

Friday, February 19, 2010


_Cuba bayangkan.

Suatu hari.

Diramalkan seorang pakar geologi.

Pada tahun 2040. Bumi bakal kehabisan sumber padi, gandum dan segala jenis bijiran lain. Penyumbang utama karbohidrat bakal pupus. Kitaran makanan manusia turut terjejas.

Hasilnya.

Sekalian manusia bertungkus lumus menyiap sediakan bekalan untuk menghadapi hari yang mendatang. Hari di mana bermulanya kitaran makanan tanpa bekalan karbohidrat. Tanpa padi, masakan manusia dapat lagi merasa beras. Dan tanpa gandum serta bijiran lain, masakan manusia dapat merasa roti dan sebagainya.

Hari demi hari.

Kerahan tenaga dimulakan. Bekerja keras siang dan malam. Demi menghadapi tahun 2040. Tanpa padi. Dan gandum. Dan bijiran lain.

Demi ramalan seorang pakar geologi.
Yang belum tentu pastinya.

Hah.
Cuba bayangkan.

Walaupun tak berapa nak logik, tapi cuba sajalah bayangkan. Walaupun aku tak pasti kenapa ahli geologi yang ramal pasal padi, tapi cuba sajalah bayangkan. Walaupun padi bukan termasuk di dalam kategori mineral bumi, tapi cuba sajalah bayangkan. Ah, jangan banyak cakap.

Dah bayang ke belum?
Dah?

Hah.
Apa rasa?
Tak logik?

-_-"

Tsk, fine.

Ini lebih logik barangkali.

Tertulis di dalam Al-Quran tentang wujudnya hari kiamat. Hari kebangkitan manusia. Alam barzakh. Hari perhitungan iman dan amal manusia. Semuanya tercatat lengkap di dalam Al-Quran. Dan semua itu pasti. Bukan ramalan. Tapi, pasti.

Dan.

Pada tahun entah bila. Bumi bakal hancur. Bergoncang kuat. Sehinggakan terkeluar segala isi perutnya. Lalu, manusia pun bertanya kepada bumi kenapa sebegitu rupa jadinya. Maka, bumi pun mengkhabarkan kepada manusia. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan yang sedemikian kepadanya. Dan pada hari itu, manusia akan keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam. Supaya diperlihatkan kepada mereka dengan apa yang telah dikerjakannya semasa hayatnya masih ada.

Dan lagi.

Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat balasannya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarah pun nescaya dia akan melihat balasannya juga.

Begitulah lebih kurang seperti yang diceritakan di dalam surah Al-Zalzalah.

Allah dah bagitahu siap-siap bumi bakal hancur. Hari kiamat itu pasti. Manusia bakal dihisab dan dihitungkan amalannya. Semua itu pasti. Cuma 'bila' itu semua rahsiaNya. Yang penting itu semua bukan ramalan. Bukan cobaan. Tapi pasti. Dan benar-benar bakal terjadi.

Hari demi hari.

Kerahan amalannya untuk ke akhirat sana langsung tidak dihiraunya. Bekerja keras siang dan malam. Demi menghadapi tahun 2040 saja. Tanpa padi. Dan gandum. Dan bijiran lain. Mana boleh hidup. Yang dirisaunya cuma dunia. Yang mungkin esok lusa bakal hancur tiada. Akhiratnya tiada pula digambarkan di dalam kepalanya.

Kita lebih suka melebihkan sesuatu yang tak pasti.
Berbanding yang pasti.

Lebih daripada yang pasti.

Manusia memang begitu.

Andai Allah mengkhabarkan Jumaat depan bumi bakal bergoncang kuat, pasti kita semua sudah gelabah ayam mengumpul amalan. Pasti semua kerja di dunia terbengkalai begitu saja. Masjid-masjid dipenuhkan manusia. Segala kejahatan dilenyapkan begitu saja.

....

Sekejap.

Lama sangat aku simpan karangan ini di dalam Notepad.
Sehari sebaris. Lama-lama tulisnya tetap tak habis.
Sampaikan aku dah lupa apa point-nya.

Tsk.

....

Tak ingat sudah apa nak sambung.

Minta maaf.
Kesimpulannya faham-faham sendiri sajalah_

Sambung baca...

Kategori:

Friday, February 05, 2010


_Ok.

Ringankan kepala.

Aku ada game nak bagi. Saja suka-suka menjana daya kreativiti kamu semua. Dan sekadar meringan-ringankan kepala di hari ini. Jumaat yang mulia. Penghulu segala hari. Ok... ok. Tak. Kita kena jujur. Sebenarnya ini ala-ala ice breaking punya aktiviti. Bertahun-tahun blogging baru hari ini ada kesedaran sivik nak berbaik-baik dengan masyarakat. Yalah. Aku kan dah janji tahun ini tak nak jadi kera sumbang lagi. Kiranya, ini tengah nak cuba jadi peramahlah ini.

Makanya.
Sila beri tunjuk ajar dan kerjasama jika dan hanya jika sudi.

Gambarkan hari ini dalam SATU WARNA sahaja.
Dan letakkan deskripsi warna itu tidak lebih daripada 100 patah perkataan.

Ok.

Mula_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, February 04, 2010


_Takrifan Cool.

Menurut kamus 'Bukan Dewan Bahasa Tetapi Kamus Saya Manusia Hina'.

Cool boleh ditakrifkan sebagai membuat sesuatu yang luar biasa pada pandangan masyarakat tetapi sebenarnya memang perkara biasa cuma masyarakat saja yang tidak biasa.

Faham tak?

Maksud cool adalah cool.

Simptom-simptom anda seorang cool adalah seperti di bawah:

1. Anda tidak naik marah walaupun sepatutnya anda sudah layak untuk naik marah. Walaupun diejek, dijerkah, dikeji, dimaki hamun dan disumpah seranah, anda tetap tenang dan bersahaja. Moto hidup anda adalah seperti tajuk lagu kumpulan Dewa, "Hadapi Dengan Senyuman."

2. Di kala malam semua orang bersengkang mata menonton English League Soccer atau World Cup Soccer atau pun juga Bola Sepak Liga Malaysia, anda seorang saja yang bersengkang mata menonton sejadah bersama air mata yang berjujuran memohon keampunan daripada Allah.

3. Setiap kali waktu lunch, rakan-rakan anda sibuk login ke Facebook untuk bermain game dan membaca status rakan-rakan yang lain. Tetapi, setiap kali waktu lunch anda seorang saja yang sibuk membuka Quran Online dan membaca dengan penuh khusyuk dan tawadduk beserta terjemahannya sehingga habis waktu lunch.

4. Di kala rakan-rakan anda sibuk melepak di kedai mamak memenuhkan perut dan berdiskusi perihal dunia pada waktu Maghrib, anda pula sibuk melepak di masjid memenuhkan jiwa dan berdiskusi perihal akhirat.

5. Anda tidak ambil tahu langsung perihal hiburan dunia semasa. Anda juga tidak berkebolehan di dalam menghafal lirik lagu-lagu semasa. Dan anda tidak kenal langsung mana-mana artis yang disebut-sebutkan oleh rakan-rakan anda.

6. Di saat rakan-rakan anda melalak menyanyi sepenuh hati di mana-mana pusat karaoke, anda pula sibuk mengalunkan zikir bermunajat kepadaNya dengan sepenuh hati walau di mana saja anda berada ketika itu.

Hah.

Adakah anda mempunyai salah satu atau kesemua simptom-simptom di atas?

Sekiranya ada.
Ya, anda memang cool.

Aku tak_

Sambung baca...

Kategori:

Tuesday, February 02, 2010


_Betul.

Curi dengar memang tak baik.
Jangan buat.

"Dia kenal mana budak itu?"
"Alah, dalam Internet."
"Oo. Berapa lama nak bertunang?"
"Sekejap je kot. Tak sampai setahun."
"Hah, budak mana?"
"Macam Perak, tak pun Terengganu Kelantan."
"Oo, oklah itu."
"Nanti tak payahlah masak. Catering je. Tiga puluh orang pun cukup."
"Ha, moleklah itu."
"Budak itu pun dah kerja."
"Oklah itu. Hah, Siti itu pulak apa cerita?"
"Dia itu entahlah. Si lelaki itu dah ready je nak kahwin. Dia je belum."
"Lah, kenapanya?"
"Entah. Katanya tak ready lagi. Tunggu apa entah."
"La. Umur dah berapa dia itu?"
"Si lelaki itu dah kerja pun. Company besar jugaklah."
"Oo."
"Mulanya taknak. Lepas itu, tahu pulak nak cari lelaki itu balik."
"Pulak dah."
"Blablabalablabla, prong prang prong prang...."

Kalau dah duduk sebelah aku di dalam LRT sambil bercerita dengan suara paling kuat, orang pekak pun boleh dengar. Tak pasal-pasal aku ingat skrip makcik-makcik itu.

Benci betul.

Curi dengar memang tak baik. Tapi, kalau mengumpat sambil memaksa semua orang dengar lagi tak baik. Jangan buat.

Ingat_

Sambung baca...

Kategori:

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.