Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Wednesday, September 01, 2010


_Hai.

Nah, sedikit kasih sayang.

Under 15

(Huzaimatus, gambar miang apa yang kau lukis ini hah!)

Ah, lukisan itu cuma untuk adik-adik berumur 15 tahun ke atas ya. Kalau bawah dari 15 tahun memang tidak boleh tengok. Tidak berapa nak sopanlah adik-adik. Maaf ya adik-adik. Kakak Huzaimatus ini kalau bulan puasa memang begini perangainya. Lain macam betul dia punya perangai. Nanti bila syaitan semua sudah dilepaskan barulah kakak Huzaimatus itu kembali normal semula.

(Jadi, sebenarnya siapakah yang lebih syaitan di sini?)

Ah, sebenarnya.
Mahu cerita... mahu cerita.
Ini kisah Ramadhan kakak Huzaimatus bahagian kedua untuk adik-adik.

Ceritanya bermula begini....

Perihal masalah kewangan kakak Huzaimatus sebenarnya. Sejak bulan lepas sehingga bulan ini kan adik-adik, kakak Huzaimatus dilanda masalah kewangan yang gila hebat. Menggila jugalah kakak Huzaimatus hidup dengan jumlah duit di tangan dan di dalam bank yang tidak seberapa nilainya. Ini bukan lagi tahap kesempitan wang, malah sudah mencecah tahap tersepit wang. Alhamdulillah bulan puasa ini tidak perlu mengikat perut kerana perut sememangnya sudah terikat.

Ah, bukannya apa adik-adik. Perihal kewangan kakak Huzaimatus ini tidak perlu adik-adik hiraukan. Kes begini memang biasa terjadi kepada kakak Huzaimatus. Sejak turun-temurunlah pendek katanya. Sehinggakan kakak Huzaimatus sudah tidak berasa gusar dan gundah-gulana langsung. Malah, jika wang di tangan mahupun di bank sudah tinggal lebih kurang RM20 pun kakak Huzaimatus masih boleh hidup selamba lagi secara senyap-senyap. Ah, kakak Huzaimatus tidak hebat. Tidak mahu mengaku hebat ya adik-adik. Tidak bagus. Ujub itu perlu dijauhi. Kakak Huzaimatus sudah ingatkan berkali-kali bukan.

Tambahan pula.

Kakak Huzaimatus memang memandang sedikit rendah terhadap duit. Dahulu kala memang kakak Huzaimatus terasa sukar hidup tanpa duit. Ibarat duit itu satu keperluan. Sekarang pun kakak Huzaimatus rasa memang duit itu masih lagi diperlukan. Cumanya adik-adik, kasta duit itu telah turun menjadi tahap kehendak sahaja bagi kakak Huzaimatus sekarang ini. Bukannya apa adik-adik. Kakak Huzaimatus sangat yakin bahawasanya duit itu mampu hidup melata dan membiak dengan pesatnya pada bila-bila masa dengan izin Allah. Allah Maha Pemurah. Dia sahajalah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia mahu dan pada bila-bila masa. Yakinlah dengan Allah ya adik-adik.

Jadinya.

Disebabkan itulah kakak Huzaimatus tidak berasa gusar. Cuma kadangkala memang kakak Huzaimatus hidup dalam keadaan yang boleh tahan agak mencemaskan jugalah. Ini kerana untuk mengisi minyak pun kadangkala agak kesempitan wang. Isi sebanyak RM20 pun boleh tahan sampai berapa jauh sahaja bukan. Maklumlah, hidup di bandar Kuala Lumpur ini memang agak melambung-lambung juga kos kehidupannya. Walau bagaimanapun, kakak Huzaimatus masih lagi jatuh dalam golongan kelas pertengahan. Hidup secara biasa-biasa dan sederhana sahaja sudahlah kan adik-adik.

Eh, cop... cop.

Sebenarnya apa yang kakak Huzaimatus mahu cerita bukannya ini. Panjang berjela meleret-leret perginya. Maafkan kakak Huzaimatus ya adik-adik. Kakak Huzaimatus kalau sudah lama tidak menulis memang sentiasa get carried away hasil tulisannya. Berkajang-kajang mukadimah. Lambat betul mahu sampai ke perkara utamanya. Alah, macamlah adik-adik tidak biasa kan dengan kakak Huzaimatus ini.

Begini ya adik-adik.

Pada suatu hari itu kan, duit kakak Huzaimatus tiba-tiba sudah tinggal negatif di dalam bank. Dan untuk dijadikan cerita pula, suatu hari itu ayah kakak Huzaimatus meminta tolong supaya menambah nilai kredit telefonnya. Alah, top up lah adik-adik. Lebih kurang RM50 nilai harga top up yang ayah kakak Huzaimatus minta tolong tambahkan. Kakak Huzaimatus pun apa lagi, angguk dan terus masuk ke maybank2u.

Di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu.

Mana lepas mahu menambah nilai kredit telefon ayah kakak Huzaimatus sebanyak RM50. Cek yang kakak Huzaimatus masukkan masih lagi terapung-terapung sehari di dalam bank. Belum bertukar menjadi duit lagi. Kakak Huzaimatus pun bertawakal sahajalah sambil mendaftar masuk ke dalam maybank2u. Gantung hati kepada Allah. Di dalam kepala pula sudah berkira-kira mahu menyediakan alasan munasabah untuk melewatkan top up ayah kakak Huzaimatus. Cadangnya mahu membuat esok pagi kononnya.

Tiba-tiba kan.

Kakak Huzaimatus sangat terkejut apabila melihat baki sebenar akaun bank kakak Huzaimatus. Lebih kurang beberapa ribu ringgit telah berada dengan selamatnya di dalam akaun kakak Huzaimatus. Malah, cek yang masih lagi floating sehari itu pun masih setia belum ditunaikan. Kakak Huzaimatus sudah keliru. Ini... duit dari mana ini. Ada sesiapa yang tersalah masuk ke dalam akaun kakak Huzaimatuskah agaknya.

Keliru... keliru.

Kes begini bukan sekali pernah terjadi kepada kakak Huzaimatus. Kakak Huzaimatus musykil juga ini, ada sesiapa yang dikenakan dam (denda) lalu menghadiahkan sejumlah besar duit kepada kakak Huzaimatuskah? Dari mana datangnya duit ini entahnya. Kakak Huzaimatus pun tidak pasti samada ini adalah hak kakak Huzaimatus atau pun tidak. Musykil sungguh. Sehingga sekarang kakak Huzaimatus keliru. Entah mahu pulangkan kepada siapa agaknya.

Tapinya.

Dalam kekeliruan itu, kakak Huzaimatus sudah selamat meminjam sedikit dari sejumlah wang itu untuk menambah nilai kredit ayah kakak Huzaimatus. Selebihnya masih lagi di dalam bank. Siapa pula yang baik hati termasukkan duit beribu-ribu ke dalam akaun kakak Huzaimatus ini entahnya. Musykil... musykil. Adik-adik musykil tidak? Adik-adik tolonglah sama berasa musykil dengan kakak Huzaimatus ya. Barulah terasa seperti ringan sama dijinjing berat sama dipikul bukan.

Apa-apa pun.

Kakak Huzaimatus rasa jika dua ratus peratus hati sentiasa bergantung kepada Allah, mungkin ada banyak lagi kes-kes begini boleh terjadi. Eh, bolehkah kakak Huzaimatus meletakkan prasangka begini agaknya? Kakak Huzaimatus ini bukannya berperangai baik pun sehingga senang-senang sahaja boleh murah rezeki dihadiahkan duit berkepuk-kepuk begitu.

Ke... adakah Allah sengaja mahu menguji kakak Huzaimatus dengan kesenangan yang datang secara tiba-tiba di kala kesempitan wang melanda dengan teruknya ini. Entahlah... entahlah.

Cuma yang paling kakak Huzaimatus rungsing adalah....

Duit itu.
Adakah ianya benar-benar.
Hak kakak Huzaimatus ek adik-adik.

Musykil yang menggila juga ini_

Kategori:

7 Responses to "Kisah Ramadhan 1431H Bahagian 2"

Anonymous said :
September 1, 2010 at 10:21 PM
conclusionnya adalah..

tahun ni, adik-adik tak dapat duit raya ke kakak huzaimatus?
lt. col. dop mustang said :
September 1, 2010 at 10:39 PM
check dgn bank.
frankenSuetein said :
September 2, 2010 at 1:13 AM
berat same dipikul.. ringan same dijinjing... meh transfer kat aku sket... aku pon seng-kek gak ni.. hahahhaa...
Mur said :
September 2, 2010 at 11:21 AM
wah menarik cerita anda nih.tapi mengikut pengalaman,bank jarang jarang termasuk duit dalam bank akaun secara tidak sengaja.

boleh check dengan bank.mesti source tuh anda kenal.
M-I-N said :
September 2, 2010 at 5:44 PM
sila check dengan bank.
kak,
ada harapan dapat duit raya? :p
famia said :
September 3, 2010 at 2:19 PM
anon: seringgit pun duit raya kan. :p

dope: aku rasa aku tahu duit tu dari mana. tapi aku hairan kenapa diorang tersalah masuk.

suhaila: sadisnya maverik. boleh... boleh.

mur: hehe. rasanya saya tahu duit tu dari mana. cuma pelik kenapa dimasukkan ke akaun saya.

min: hehe. orang dah keje mana boleh dapat duit raya lagi.
RieNa said :
September 6, 2010 at 3:43 PM
kakak huzaimatus,
kalau begitu, adik Nawal boleh dpt duit raya tak?
kalau boleh, kakak huzaimatus boleh transfer ke akaun ummi Nawal.

hehehe

Post a Comment

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.