Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Monday, August 09, 2010


_Baiklah.

Bulan yang paling mulia sudah tiba.

Dan kali ini setelah syaitan-syaitan diikat kuat selama tiga puluh hari... harapnya termampulah juga untuk berjuang melawan hawa nafsu ini tanpa bisikan syaitan. Sesungguhnya berpuasa di dalam bukan bulan puasa untuk mengganti puasa adalah berlainan perasaannya berbanding berpuasa di dalam bulan puasa untuk menunaikan salah satu rukun Islam ini.

Betul.

Kalau bukan bulan puasa, jika berpuasa dan dikelilingi dengan manusia yang sedang menjamu selera... serius nafsu untuk makan itu terasa sukar berkocak. Er, itu akulah. Tidak pasti pula anda yang lain bagaimana. Lain manusia lain nafsunya. Lain juga bisikan syaitannya. Tetapi, memang masih steady jugalah berpuasa ketika bukan bulan puasa sambil dikelilingi manusia yang menjamu selera.

Tetapi.

Jika itu bulan puasa, yakni bulan Ramadhan... dan dikelilingi oleh manusia yang berpuasa juga... memang lain macam dia punya nafsu lapar itu. Berkeroncong dan lembik sungguh badan dibuatnya. Stamina sampai boleh jadi negatif itu waemah orang-orang lain bukannya ada yang makan. Masing-masing pun puasa. Syaitan pun diikat.

Nah, luar biasa betul penangan bulan puasa bukan?

Jadinya kadangkala aku macam terasa aku yang syaitan atau memang syaitan yang betul-betul pengaruhi aku sewaktu berpuasa. Sebabnya kau tengoklah. Kalau bukan bulan puasa, steady saja berpuasa sehari suntuk. Kadangkala kalau tidak bersahur pun masih mantap lagi stamina.

Tetapi, jika itu bulan puasa... manusia-manusia lain pun berpuasa... makanan pun tidak berkeliaran... syaitan pun diikat... hah... tidak ke pelik kalau stamina boleh jadi negatif dan nafsu makan semakin menjadi-jadi. Pelik kan? Kan? Kan? Mungkin aku seorang saja yang bernafsu pelik. Songsang sungguh nafsu ini.

Tidak mengapalah.

Sebagai balasan... mari buat sedikit eksperimen untuk Ramadhan 1431H ini.

1. Kurangkan hubungan mesra bersama Internet.
Kurangkan itu wajib. Tetapi, kalau boleh putuskan hubungan... putuskan saja. Ini sangat penting. Kalau tiada Internet, tiadalah Facebook. Tiadalah juga Youtube. Dan tiadalah juga Youtube. Eh, Youtube lagi. Dan tiadalah Formspring. Tiadalah juga Deviantart. Dan er... apa sajalah yang boleh melaghakan mata si Huzaimatus ini.

2. Kurangkan juga keaktifan alat komunikasi.
Yahoo Messenger. Google Talk. Ah, tetapi Google Talk ini memang hidup secara automatik. Tidak mengapa. Kita cuba juga kurangkan keaktifan alat-alat komunikasi ini. Kurangkan saja. Bukan musnahkan dan lupuskan terus penggunaannya. Sesungguhnya aku tidak mampu menahan lidah daripada berkata-kata perkara yang tidak sepatutnya kepada manusia lain, jadi untuk aku memang wajib aku kurangkan keaktifan alat komunikasi ini.

3. Sepuluh muka dalam setiap waktu solat.
Haah. Ini memang paling ketat disiplin. Ah, apa maksud ayat tersebut? Baiklah, cuba susun semula ayat tersebut. Ini memang penjagaan disiplin yang paling ketat. Bertahun-tahun Tafsir Ar-Rahman Resam Uthmani itu tidak dikhatamkan. Sibuk membaca terjemahan ayat sehingga tidak surut-surut surah yang dibacanya. Punyalah seperti kura-kura dan siput sedut pembacaannya. Sehari lima muka. Sampai tiga puluh hari manalah sempat habiskan. Dan kali ini wajib bekerja keras.

Setiap kali selepas solat patut memaksa diri membaca sepuluh muka. Jika satu hari berkeras memaksa diri, insyaAllah mampu menghabiskan surah Al-Baqarah dalam masa satu hari. Kah kah kah. Bagus... bagus. Semoga dan semogalah berjaya. Isk... tidak mampu memberi harapan tinggi terhadap perkara ini. Terasa bakal kalah sebelum saringan pertama bermula T______T

4. Berbuka biar seminimum yang boleh.
Sewaktu muda dahulu... eh, terasa seperti sudah tua pula ayat ini. Tidak mengapa. Bagus jika kita sentiasa mengaku muda. Eh, silap. Sentiasa mengaku tua. Senang sedikit mahu berkawan rapat dengan kematian. Baiklah. Setiap kali berbuka, makanan itu biarlah dalam kuantiti yang seminimum boleh. Adakah perkataan seminimum? Ah, di blog al-kisahnya...lah memang semua perkataan pun ada. Abaikan.

Baiklah. Makan sedikit ketika berbuka itu memang penting. Sebabnya nanti kalau perut dipenuhi bendasing, dikhuatiri lebih banyak oksigen akan digunakan untuk mencerna makanan. Dan akhirnya kekurangan oksigen di otak sehingga perasaan mengantuk bergelora dengan hebatnya. Akhirnya, bakal menyerah kalah sebelum solat Tarawikh bermula. Yang penting, makan kurma perlu semaksimum mungkin. Adakah perkataan semaksimum? Ah, di blog al-kisahnya...lah memang semua perkataan pun ada. Abaikan.

5. Bersahur biar semaksimum yang boleh.
Hah, ini memang sudah jadi kebiasaan. Sewaktu bulan puasa memang aku berbuka makan sedikit saja. Dan setiap kali bersahur, macam orang gila melantak pula dia punya selera. Astaghfirullahalazim. Kurang sopan pula bahasa saya. Ulang semula. Dan setiap kali bersahur, bagai orang kurang waras pula selera makannya. Terasa perut telah berubah seperti peti sejuk. Semua makanan mampu disimpan pada waktu bersahur. Dan bersahur di hujung waktu lebih bagus. Tetapi, cukuplah sampai jam 5.30 pagi saja. Jangan kau lebihkan. Kalau bilal sudah melaungkan azan, hah... tercerut saluran esofagus itu nanti. Makan biar beringat.

6. Tidur awal.
Penting jika dan hanya jika ada keinginan untuk bangun pada sepertiga malam. Waktu-waktu macam ini, malaikat-malaikat berkeliaran. Allah pun menunggu jika ada hamba-hambaNya yang mahu mengadapNya dan memohon permintaan serta keampunan padaNya. Paling Dia tunggu-tunggu memang waktu sepertiga malam. Jadi, semoga anda pun mampu bangun sekurang-kurangnya sekali dalam tiga puluh hari nanti.

Baiklah.

Itu konon-kononnya misi aku untuk Ramadhan 1431H ini.

Tidak pastilah dengan kekuatan melawan hawa nafsu untuk Ramadhan ini. Jika tiada gangguan syaitan ini kadangkala terasa seperti makin susah pula mahu bertarung. Iyalah. Pertarungan yang paling hebat adalah bertarung dengan diri sendiri. Bukan dengan syaitan sebenarnya. Er, untuk aku begitulah. Untuk anda mungkin lain pula.

Apa-apa pun.

Berusaha untuk cuba.

Semoga anda semua dilimpahi rahmatNya di dalam bulan Ramadhan ini nanti. Selamat berlumba-lumba menunaikan ibadah. Marilah mencari malam LailatulQadar. Jaga nafsu berbuka anda. Semoga berjaya menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermulanya dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari selama tiga puluh hari... er... untuk perempuan yang bercuti beberapa hari dalam bulan Ramadhan, ikutlah berapa hari yang anda mampu menahan diri ya.

Dan yang paling penting, kalau belum bertarung sehabis mati di dalam bulan Ramadhan ini dan belum berupaya berlumba-lumba mengumpulkan ibadah berbakul-bakul... jangan bermimpi mahu melaungkan kemenangan sewaktu Syawal nanti.

Itu jika sifat malu masih tertanam di dalam diri andalah kan.

Baiklah.

Sepuluh jari memohon ampun dan maaf sebab aku selalu terkasar bahasa, terkutuk tanpa kewarasan, tersakitkan hati anda semua tanpa kesedaran sivik dan sebagainya. Kadangkala ada yang disengajakan dan ada juga yang tidak disengajakan. Tetapi, lebih banyak disengajakan sebenarnya. Kah kah kah.

Apa-apa pun, walaupun maaf itu tidak berguna kerana jika maaf itu berguna... apa gunanya polis di sana. Ah, tidak mengapa. Bermaaf-maafan itu lebih penting. Itu wajib dihulurkan.

Jaga diri.
Mekap peribadi.

Ahlan wasahlan, ya Ramadhan_

Kategori:

7 Responses to "Wasiat Sehari Sebelum Ramadhan 1431H"

nananye said :
August 9, 2010 at 9:32 PM
i teringat, dulu i kenal fami masa bulan puasa.
Ezad said :
August 9, 2010 at 9:48 PM
dlm bulan puasa, memang la setan kena ikat..

tapi yang senantiasa bergerak bebas, adalah nafsu manusia.

imam ghazali kata, hawa nafsu adalah perkara yang paling besar sekali didunia ini..

setan pun tak leh lawan..

selamat berpuasa:)
famia said :
August 9, 2010 at 10:19 PM
nana: hehe. ye ek? aku tak ingat T___T maap.

ezad: yap. betul. sesungguhnya melawan hawa nafsu adalah jihad terbesar. berusahalah. selamat menyambut bulan Ramadhan.
August 14, 2010 at 12:44 PM
selamat berpuasa, harap2 "eksperimen" untuk bulan puasa this year menjadi la :D

tehtarikmemoirs.com
August 15, 2010 at 12:20 AM
Ramadhan Membawa Rahmat yang besar untuk Umat Muslim
Selamat Berpuasa
MASA said :
August 15, 2010 at 10:39 AM
iyelah harap2 menjadi eksperimen puasa tu..eh jgn harap je, kena usaha bersungguh2. mari semua blogger2 beragama Islam jangan jadikan bulan puasa sama mcm bulan bkn puasa.
famia said :
August 16, 2010 at 1:13 PM
TT Drinker: Hehe. Selamat berpuasa kembali. InsyaAllah.

FM: Benar. Selamat berpuasa juga :)

Masa: Hehe. InsyaAllah. Selamat berpuasa juga.

Post a Comment

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.