Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Thursday, May 27, 2010


_Hai, kawan-kawan!

Selepas dua minggu tidak menulis, benar-benar terasa seperti Gurun Sahara.

Kering.
Dan kosong.
Dan kembali kering.

Lagi sekali, hai... kawan-kawan!

Nur Iman

(Sambil melambai-lambai tidak berkesudahan)

Terasa seperti lambaian Kaabah pula.
Benar-benar terasa kepingin mahu ke sana.
Namun, perkataan 'tetapi' itu masih ada sebagai pembahagi jalan.

Semoga iman yang lebih nipis daripada kulit bawang ini mampu mengikat ketat keinginan mahu ke sana. Pernah juga tulang kaki ini menjejak ke sana. Sewaktu darjah enam. Dan kenangan yang tidak pastilah manis atau pahit yang tidak dapat dilupakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah kenangan sebuah kedai yang menjual makanan ringan hangus dijilat api pada waktu malam hari.

Serius terasa serba salah. Sehingga kini pun tetap teringat. Terasa seperti itu angkara sendiri. Tetapi bila diingat kembali, sewaktu darjah enam aku memang belum pandai menyumpah seranah rasanya. Rasanyalah. Tsk... harapnya belum pandailah. Cuma rasa agak terkilan sewaktu ditegur pakcik itu. Sampai sekarang terngiang-ngiang lagi suaranya melarang.

"Ya kici-kici Siti Rahmah, satu halal... dua halal... tiga haram."

Waktu itu di sana, jemaah umrah atau haji dari Malaysia dan Indonesia akan diberi gelaran Siti Rahmah. Er, mungkin itu panggilan untuk kanak-kanak sahaja barangkali. Aku pun tidak pasti. Tetapi sepanjang di sana memang hari-hari pun aku dipanggil Siti Rahmah. Ah, tidak kisahlah. Yang pentingnya kisah pakcik ini.

Kan.

Biasalah budak-budak. Setiap kali ternampak makanan ringan mesti tertelan air liur. Sedang sibuk atuk memilih kacang, aku pun menghulur jari ke dalam sebuah balang kacang yang berwarna-warni. Mungkin kacang itu bersalut tepung goreng berwarna-warni. Semakin terujalah mahu merasa bukan. Tanpa berfikir panjang, jari dipanjangkan... sebiji diambil. Kunyah-kunyah dan telan. Sedap. Aku ambil lagi. Kunyah-kunyah dan telan. Sedap. Aku ambil lagi.

Dan di kala itulah pakcik itu menjeling lalu menegur.

"Ya kici-kici Siti Rahmah, satu halal... dua halal... tiga haram."

Kesudahannya, malam itu kedai beliau terbakar. Kasihan bukan. Demi Allah... saya tidak mendoakan kedai pakcik dijilat api. Minta maaf, pakcik. Adakah pakcik rasa maaf saya ini berguna? Saya harap maaf seorang budak darjah enam berjaya melembutkan hati pakcik. Jika ada umur panjang dan diberi keizinan ke sana, mungkin saya akan cuba mencari pakcik.

Walaupun wajah pakcik tidak pernah terlintas di ROM kepala saya, saya cubalah juga nanti. InsyaAllah saya akan bawakan kacang-kacang di Malaysia ya. Di sini pun ada kacang berwarna-warni. Kuih berwarna-warni juga banyak. Boleh juga saya bawakan satu untuk pakcik. Itu pun jika dan hanya jika diberi keizinanNya. Semoga iman ini masih mengikat ketat keinginan mahu ke sana.

Oh, iman.

(Berdoa... berdoa)

Oh, ya.
Saya sangat sukakan nama Nur Iman.
Nama yang sesuai untuk gadis berjiwa kental.

Jika diberi keizinanNya untuk beroleh keturunan sendiri, salah seorangnya pasti saya berikan nama Nur Iman. Dan setiap kali menyeru namanya, mungkin saya akan lebih terasa semakin menebal dinding keimanan ini. Hai, teori apakah itu wahai Huzaimatus. Tidak mengapalah. Bukankah nama itu juga satu doa. Dan kerana itulah sangat perlu untuk memanggil nama seseorang itu dengan panggilan nama yang baik.

Ini tidak, yang bukan-bukan pula dipanggilnya.

"Hoi, samdol!"

Atau, "Din Kering!"

Atau pun juga, "Jinbara!"

=_="

Adakah anda mendoakan orang itu kurus kering atau kekeringan rezeki sehingga akhir hayatnya? Atau adakah anda mendoakan seseorang itu menjadi jin yang berbara-bara? Kawan-kawan, jangan begitu. Paling tidak pun panggillah seseorang itu dengan panggilan, "Wahai manusia." Lebih sopan sedikit. Atau pun, "Wahai makhluk Allah." Atau pun juga, "Wahai bakal ahli kubur." Mungkin boleh menambahkan keakraban manusia dengan kematian barangkali. Semoga bertambah-tambah imannya.

Ya.
Saya sangat sukakan nama Nur Iman.
Tetapi jika diberi peluang menukar nama, Huzaimatus Sa'adiah pilihannya.

Haah. Saya sangat sukakan nama saya sehingga saya sendiri tidak tahu maksud di sebaliknya. Ini barulah boleh dinamakan cinta bertepuk sebelah tangan. Seperti nyanyian Ungu - Cinta Dalam Hati (lagu ini sedap juga). Ya. Tidak berapa kenal dan tidak berapa faham maksud di sebalik nama itu tetapi tetap wujud rasa cinta terhadap nama itu. Faham tidak? Apa? Tidak faham? Bagus. Saya harap anda tidak menghabiskan masa untuk cuba memahami perkara yang tidak penting ini.

Buat kali terakhir ingin saya ulangi.
Saya benar-benar sangat sukakan nama Nur Iman.
Jika anda mengenali sesiapa yang bernama Nur Iman, kirimkan salam ya.

Baiklah.

Itu baru pengenalan.
Sekarang kita pergi ke isi sebenarnya.
Ha ha ha ha... gelak seperti seorang durjana.

Ya Allah, Huzaimatus.
Adakah anda sedang mendera kawan-kawan?
Selepas 800 patah perkataan ditulis baru kau kata permulaan?

Ya!
Tidak syak lagi!

=_="

Baiklah.
Mohon berhenti di sini jika sudah habis bekalan oksigen.
Dan kepada mereka yang mempunyai tong gas oksigen, teruskan perjalanan.

Ya, mohon jalan terus.

Alif di atas berbunyi aaa.
Sin alif sin bunyinya sas.
Aaa...saaas.

Asas.

Ini cerita perihal asas. Bahan asas dalam memasak adalah bawang merah dan bawang putih. Bahan asas dalam membina rumah pula adalah simen dan air (eh, yakah?). Bahan asas dalam membuat kek dan biskut pula adalah mentega, telur dan tepung.

Sekejap.
Hah, kawan-kawan.
Apa beza mentega dan marjerin?

-_-"

Huzaimatus, jangan mencelah.
Cuba habiskan ayat itu betul-betul.
Ringan saja lima jari ini mahu bertapak di pipi.

Hinf.
Baiklah.

Bahan asas untuk mandi adalah air dan sabun. Bahan asas untuk menulis artikel di blog pula adalah hati, jari dan papan kekunci. Bahan asas untuk makan pula adalah makanan, lidah dan mulut. Bahan asas untuk minum pula adalah....

Huzaimatus, cuba jangan main-main!

Eh... eh, garang betul orang ini.
Tidak elok cepat marah nanti kena jual.
Baiklah, mari sapukan minyak 'Serius' lapan kali.

Begini.

Setiap unsur dalam dunia ini memerlukan bahan asas. Tidak kiralah unsur hidup atau unsur bukan hidup. Bahan asas itu kemudiannya akan menjadi tapak yang kekal dan jitu kepada unsur tersebut. Tanpa bahan asas, mana mungkin berdirinya tiang. Dan manusia juga tidak terkecuali. Maka, di antara 'bahan asas' di dalam tubuh manusia adalah segumpal darah yang bernama hati.

Ya.
Hati, ya wahai kawan.
Bukan Hetty Kos Endang.

"Ingatlah bahawa di dalam jasad manusia ada segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan sesungguhnya, syaitan itu sangat suka membisikkan kejahatan ke dalam hati manusia. Kerana itulah, menyucikan hati dan menjaganya bukan kerja mudah. Itu belum termasuk lagi pergi berperang melawan hawa nafsu. Perjuangan yang tidak berkesudahan selagi roh belum terpisah daripada jasad. Itu perjuangan terbesar bukan.

Dan soalnya hati.

Ini ada beberapa tips menyucikan hati untuk si Huzaimatus itu.
Sudah keruh dan berkeladak warna hatinya itu.
Cuba bawa bersuci sedikit hati itu.

Hah, dengar ini Huzaimatus.

1. Keluarkan hati dan basuh dengan air garam. Jika ada air Zam Zam lebih bagus.
Dalam erti kata lain, cuba cari sumber makanan yang halal. Makanan itu, selain akan bertukar menjadi tinja... ia juga akan menjadi sebahagian daripada darah. Yang mana akan tetap sampai juga ke hati. Jadinya, apa yang dimakan itu akan jadi sebahagian daripada darah daging. Makan perlu berpada-pada Huzaimatus. Jangan semua jenis makanan pun ditelannya.

2. Bungkus dan balutkan hati itu dengan kain putih.
Caranya, hindari hati daripada tercemar dengan segala perasaan hasad dengki dan fitnah. Sesungguhnya, barangsiapa yang mengerjakan amal soleh dan dia dalam keadaan yang beriman, nescaya dia tidak akan berasa gusar atau khuatir dengan perlakuan yang tidak adil kepadanya atau pengurangan haknya.

3. Sentiasa berusaha untuk cuba bersangka baik.
Sesungguhnya, bersangka buruk itu adalah salah satu perkara yang boleh merosakkan hati wahai Huzaimatus. Cuba sentiasa berusaha untuk bersangka baik. Lebih-lebih lagi terhadap Allah. Wajib bersangka baik. Jika ditimpa kecelakaan, musibah atau kesusahan... bersangka baiklah denganNya. Sesungguhnya setiap perkara yang terjadi itu wajib ada hikmahnya bukan.

4. Berusaha untuk jadi seorang manusia yang 'pekak', 'buta' dan 'bisu'.
Pekak dalam erti kata sentiasa mengelakkan diri daripada mendengar sesuatu yang tidak berfaedah. Mengumpat contohnya. Ingat itu Huzaimatus. Cuba latiih diri menjadi seorang yang pekak. Buta pula dalam erti kata sentiasa cuba menjaga pandangan daripada melihat perkara-perkara yang tidak baik. Lebih-lebih lagi setiap kali naik LRT. Kadangkala agak berdarah hidung juga setiap kali ternampak kaki amoi comel yang memakai skirt pendek. Sangat gila pendek. Mungkin perlu memakai cermin mata hitam agaknya nanti di dalam LRT. Dan bisu pula bermakna sentiasa bercakap perkara yang berfaedah. Jika tidak berfaedah kata-kata itu... lebih baik berdiam diri sudah.

5. Terakhirnya... nawaitu.
Paling penting memang nawaitu. Dengan lafaz bismillah, letakkan niat hati yang sepatutnya. Jika terselit niat yang tidak baik, bersimpang-siurlah mungkin hala tujunya nanti. Sekiranya ada kelapangan, cubalah dengar lagu Rabbani - Nawaitu dan fahamkan. "Antara niat dan manis bicara, satukan di dalam satu denyutan." Pendek katanya, nawaitu itu biar bersih. Seperti alat kosmetik jenama Clean and Clear.

Pendek kata, apa yang penting....
KERJASAMA!
KERJASAMA!

Bukanlah.
Mohon ulang semula soalan.

Pendek kata, apa yang penting....
HATI!

Ya. Begitulah. Hati ya wahai kawan-kawan. Semoga saya dan anda semua dikurniakan hati yang suci sesuci produk Safi. Walaupun saya tidak menggunakan produk Safi, tetapi sucikanlah hati anda sesuci Safi. Saya pun tidak berapa faham mengapa perlu dikaitkan suci dan Safi. Walau bagaimanapun, ah... abaikan sahajalah.

Baiklah.
Itu sahaja.
Lain-lain daripadanya.

Berus... sahalah_

Kategori:

2 Responses to "Lambaian Kering"

nananye said :
May 27, 2010 at 8:28 PM
fami, seronok nya baca ni.
famia said :
May 31, 2010 at 10:03 AM
nana: =_=" hehe. baiklah.

Post a Comment

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.