Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Friday, April 02, 2010


_Dalam banyak-banyak tempat, ada satu yang aku paling suka.

Kawasan perkuburan.

(tiba-tiba awan menjadi gelap dan burung hantu bersiul-siul sayu)

Ah, tak apa.
Itu bunyi kesan khas.

Setiap kali ada urusan kematian, mesti kaki ini laju saja mengikut ayah ke kubur. Di pertengahan jalan, ayah selalu berpesan perempuan tidak elok ikut ke kubur. Selepas itu, ayah suruh aku jangan ikut. Tetapi disebabkan aku degil, aku pun mengikut sahaja ayah secara senyap-senyap.

Ah, ya.

Perempuan tidak elok ikut ke kubur. Ayat itu selalu saja terpacul di mana-mana. Memang ada benarnya. Tetapi, aku memang suka ikut ke kubur. Jika sudah suka nak buat macamana kan. Senang cerita, bukan kubur sahaja yang buat aku tertarik hati tetapi menyaksikan mayat dikembalikan ke dalam tanah itu juga ada impaknya.

Sesungguhnya.

Di antara oksigen dan maut, maut itu paling dekat dengan kita.

Jadinya adik-adik, setiap kali cikgu keluarkan soalan, "Siapa kawan rapat awak?" Jawablah, "Kawan rapat saya adalah kematian, wahai cikgu." Selepas itu, jangan lupa senyum simpul sedikit sambil merenung dengan redup tepat ke dalam mata cikgu, ya?

Pasti cikgu akan berasa terperanjat ayam sehingga peluh sejuk memercik keluar daripada keningnya.

@__@ <---- ini rupa cikgu yang sedang terperanjat

Psiko sungguh budak ini.
Siapa yang ajar jawab begitu agaknya.

Ah, tak apa.
Jawab saja kakak Huzaimatus Sa'adiah yang suruh jawab begitu.
Ya, kakak yang tidak tahu maksud namanya sejak dulu sehingga kini.

Sambung semula.

Ok. Perihal perkuburan. Entah kenapa aku suka betul mengikut ke kubur. Sayu setiap kali berpisah dengan mereka yang dijemput illahi. Ya. Mati itu pasti. Hidup itu insyaAllah. Kita hidup pun untuk mati. Dan walaupun berjurai air mata melihat jenazah, iman kena merelakan mereka pergi. Walaupun yang meninggal itu adalah ahli keluarga sendiri. Memang sayang untuk dilepaskan tetapi hidup itu untuk mati. Kan.

Dulu ayah selalu berpesan.

Jika sayang dengan si mati, sedekahkan bacaan ayat-ayat Al-Quran padanya sentiasa. Biar terang kuburnya di sana. Bukan dengan iringan air mata selama sepuluh hari sepuluh malam. Kita menangis di dunia. Tetapi arwah tetap bergelap di sana. Bukan ke tidak baik macam itu. Jika benar sayang, zahirkan tanda kasih itu.

Sesungguhnya.

Setiap yang pergi, terpisah sudah hartanya, ahli keluarganya, pangkatnya dan segala-galanya. Yang mengikut setia ke liang lahad dan bersemadi bersama si mati cumalah iman dan amalnya. Dan juga doa serta ayat-ayat Quran dari mereka yang masih hidup kepada si mati. Kan? Kalau salah, harap diperbetulkan.

Ada satu cerita ini.

Aku tidak ingat sangat sebab aku terbaca berkurun lama dahulu. Tetapi lebih kurangnya begini. Pada suatu malam Jumaat, ahli-ahli kubur bangun dari kubur membawa dulang. Namun, salah seorang ahli kubur ini dulangnya gelap tidak bercahaya dan kosong. Manakala dulang ahli-ahli kubur yang lain bercahaya terang benderang lagi menyilaukan mata yang memandang.

Maka bertanyalah ahli kubur yang lain kepada ahli kubur yang gelap dulangnya itu, "Mengapa gelap dulangnya, wahai ahli kubur?"

Lalu dia menjawab, "Kerana tiada doa dan ayat-ayat Al-Quran yang disedekahkan oleh keluargaku kepadaku."

Maka pada suatu hari, seorang anaknya yang soleh telah berdoa dan menyedekahkan ayat-ayat suci Al-Quran dengan tidak putus-putus kepadanya. Dan pada malam Jumaat yang lainnya, maka terang-benderanglah dulang ahli kubur itu. Begitulah agaknya ceritanya.

Aku betul-betul rasa macam dialog itu tidak ada di dalam buku itu. Tetapi, jalan cerita yang nak disampaikan itu adalah doa dan ayat-ayat suci al-Quran masih boleh disedekahkan lagi kepada mereka yang telah pergi. Begitulah lebih dan kurang jalan ceritanya. Harap dapat diperbetulkan jika pernah terbaca cerita itu. Aku betul-betul tidak berapa ingat sangat.

Justeru itu.

Setiap kali terlintas di mana-mana kawasan perkuburan, sedekahkanlah doa agar mereka dicucuri rahmatNya. Dan jika terlekat kerajinan, singgahlah dan sedekahkah Al-Fatihah beserta surah 3 qul kepada semua ahli kubur di sana. Kawasan perkuburan bukan untuk kita takuti, tetapi untuk kita hayati.

Lambat laun kita juga bakal bersebati dengan tanah. Cuma di mana tanahnya dan bila tarikh sebatinya kita dengan tanah tidaklah diketahui manusia. Sesungguhnya itu semua rahsiaNya.

Kesimpulannya.

Ingat ya, adik-adik. Kawan rapat kita adalah kematian. Makanya, hidup ini kena banyak beringat. Jangan terlalu suka, seronok dan selesa dengan segala perkara. Ditakuti senang mengundang leka. Sekali kena jeling dengan Malaikat Izrail baru tahu.

Mari sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka yang telah pergi.

Sekian.

Pesanan khidmat masyarakat di hari Jumaat, penghulu segala hari_

Kategori:

4 Responses to "Mati itu Pasti. Hidup itu InsyaAllah"

Amirez said :
April 2, 2010 at 10:40 AM
al-fatihah...
M-I-N said :
April 2, 2010 at 7:55 PM
tazkirah yang bagus.
selalu je lupe mende ni kan?
famia said :
April 3, 2010 at 12:24 PM
amirez: amin.

min: hm ya. sama dengan. kadangkala terlupa je.
fatin said :
April 3, 2010 at 8:09 PM
kematian menginsafkan setiap makhluk..

kadang2, manusia terlalu leka dengan urusan duniawi sehingga terlupa akan urusan ukhrawi..

Post a Comment

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.