Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Thursday, December 23, 2010


_Iya, tahu.

Sudah semakin hampir.

2011. Petik jari sebanyak tiga kali sahaja sudah muncul. Iya. Cubalah. Petik jari tiga kali. Petik... petik. Oh, ya. Adakah anda lebih senang memetik jari dalam keadaan jari anda basah atau kering? Cuba petik jari. Dan lagi satu, adakah anda memetik jari dengan memakai jari telunjuk dan ibu jari. Atau pun dengan memakai jari hantu dan ibu jari? Cuba petik jari.

Hah.

Saya amat pasti anda akan mencuba memetik jari sebaik sahaja membaca ayat terakhir itu. Sesungguhnya... anda memang senang dipengaruhi. Minta maaf. Saya gelakkan anda. Ahakhakahks.

Ok.

2011. Ada beberapa perkara yang saya mahu sampaikan. Tidak pastilah pula tahap kepentingannya untuk anda. Ini cuma penting untuk saya. Tetapi mungkin sekadar pemberitahuan untuk anda. Kita sama-samalah saksikan kepentingannya ya.

Mulakan.

1. Yahoo Messenger dan Google Talk
Goodbye. Akaun YM saya masih ada, famiaxz. Tetapi sudah tidak digunakan lagi. Oh, ya. Ramai (melampau! tidak ramai sebenarnya) yang menambah email saya, harasxt_21@yahoo.com sebagai akaun YM. Minta maaf. Itu bukan ID YM saya. Tidak pernah digunakan pun. Kalau terasa kasihan, baru saya buka. Manalah tahu jika ada yang tersilap menambah email itu sebagai akaun YM. Nampaknya memang ramai manusia kasihan.

Dan insyaAllah bermula tahun 2011 ini, segala YM atau GTalk sudah tidak digunakan lagi. Kenapa? Oh, ini adalah rahsia sulit kod 218 di bawah Akta 1981. Sebarang mesej boleh disalurkan terus ke email atau pun Twitter. Percayalah. Itu lebih pantas berbanding SMS. Handphone saya biasanya terbiar di dalam beg atau pun disimpan dalam almari baju.

2. Blog
Ya. Ini entri yang ke 334 untuk Al-kisahnya...lah. Untuk tahun yang mendatang ini, tidak pastilah pula berapa kekerapan saya menulis. Saya harap masih punya sedikit kudrat untuk tinggalkan pesanan-pesanan tidak berfaedah dan secolek dua cerita tidak semenggah tentang kehidupan saya.

Tentang blog Daily Drawing pula. Projek 'Click 365' saya akan bermula 1 Januari 2011 ini. Setiap hari. Selama 365 hari. Ya. 365 hari sahaja. 2011 bukan tahun lompat. Dan lukisan-lukisan lain pula akan diletakkan mengikut suka hati pada mana-mana hari. Dan mungkin juga pada mana-mana bulan. Ini sahaja cara terakhir untuk saya menternak si Huzaimatus ini agar lebih berdisiplin dan jinak dengan masa. Nantikan ya.

3. Lain-lain
Jika anda mempunyai apa-apa soalan dan pesanan, boleh ajukan pada Formspring saya. Semua jenis soalan, insyaAllah tetap dilayan. Namun begitu. Kewarasan jawapan adalah terpulang kepada saya sebagai penentu budi bicara. Hitler? No... no. I am Legend. I am Huzaimatus.

Ok.
Habis.
Haahlah.

Tidak penting pun sebenarnya pesanan-pesanan itu. Tsk. Maaflah ya. Saya memang sengaja. Akhir sekali, terimalah pantun dua kerat saya.

2010, chow sin ci.
2011, ley ci sin.

Ok, sudah_

Sambung baca...

Kategori:

Monday, December 13, 2010


_UniFi.

Pernah dengar bukan?

High speed broadband. Menggunakan kabel fiber optik. Lebih pantas dan tuntas berbanding Streamyx yang menggunakan kabel copper. Pekej UniFi ini merangkumi Internet, video (IPTV) dan telefon pada kelajuan 5Mbps, 10Mbps serta 20Mbps. Dan ia terbahagi kepada dua kategori, VIP dan Business.

Ah, ya.

Sudah empat hari UniFi bermastautin di rumah saya. Perasaannya sangat seronok. Memuaskan hati. Sungguh. Memang terbaik. Sangat laju. Sangat pantas. Sangat cergas. Er... setakat inilah. Segala kemungkinan buruk, kita bersiap-sedia kemudian ok. Jangan risau. Saya tidak mendapat bayaran apa-apa pun daripada pihak TM. Disebabkan UniFi sangat memuaskan hati saya, jadi saya mahu berkongsi hati dengan anda semua.

Baik.

Berikut adalah soalan-soalan biasa tentang UniFi.

1. Perlukah bertukar daripada Streamyx ke UniFi?
Jika anda seperti kad Touch and Go, 'We live in a fast lane.'... jadi mungkin anda mahukan kelajuan luar biasa untuk Internet anda. Tetapi. Jika anda adalah pengguna biasa Internet (bukan hardcore), mungkin ini bukan keperluan anda. Mungkin sekadar kehendak sahaja.

Aku bertukar kepada UniFi ada asbabnya. Ini adalah kerana... tujuh orang pelayar tegar Internet dalam sebuah rumah pada satu masa akan membentuk duka nestapa. Ga... ga... ga.Tambahan pula, Internet di rumah aku memang sedang menggila. Jika satu video Youtube dibuka, mana-mana laman sesawang lain pasti tidak dapat dibuka. Mesej 'Page cannot be displayed' akan berlegar di udara terpapar di mana-mana sahaja dengan gembira. Memang sangat berduka dibuatnya.

2. Kalau berminat dengan UniFi, apa yang perlu dibuat?
Baiklah. Pertama sekali, sila layari laman sesawang UniFi. Lihat pada menu Services dan pilih Check availability in your area. Mohon semak untuk mengetahui kesesuaian UniFi di kawasan rumah anda. Sebab bukan semua tempat ada. Jika kawasan anda ada di dalam skop pemasangan UniFi, pilih pula pekej yang diminati.

Ada VIP5 (kelajuan 5Mbps), VIP10 (kelajuan 10Mbps) dan VIP20 (kelajuan 20Mbps) untuk pekej kegunaan rumah. Aku pakai VIP5. Sebab... paling murah. Kah kah kah. Oklah, jika anda mahu mengetahui perbezaan di antara pekej-pekej tersebut, semak di laman UniFi ya.

3. Jika benar-benar nekad mahu memasang UniFi, apa perlu dibuat?
Nekad? Anda pasti anda sudah nekad? Ok. Mohon dail nombor 1300881222 dan undi Huzaimatus. Baiklah, tidak kelakar. Mohon dail nombor tersebut untuk pertanyaan terus kepada pihak UniFi. Hari itu, aku telefon,"Saya berminat dengan UniFi, apa saya kena buat?". Seorang perempuan menjawab. Sopan dan lembut melayan. Tanya nama, alamat, butir akaun Streamyx lama dan sebagainya. Tup... tap... tup... tap sudah selesai.

Petangnya, beliau telefon semula untuk tetapkan tarikh pemasangan. Lusanya, seorang pegawai teknikal telefon lagi sekali untuk menetapkan butiran akaun Streamyx dan UniFi, lokasi pemasangan dan tarikh pemasangan. Dan kurang dari seminggu, pemasangan sudah selesai dibuat. Jangan lupa, anda akan terikat dengan kontrak UniFi selama dua tahun.

4. Apa pekej yang sesuai untuk dilanggan?
VIP5! Alah, jika ada rezeki lebih... anda langganlah VIP20. Apa ada hal. Kelajuan Internet 20Mbps yang berganda seperti kilat.

VIP5
- kelajuan 5Mbps
- RM149 sebulan
- Muat turun terhad sebanyak 60GB sebulan

VIP10
- kelajuan 10Mbps
- RM199 sebulan
- Muat turun terhad sebanyak 90GB sebulan

VIP20
- kelajuan 20Mbps
- RM249 sebulan
- Muat turun terhad sebanyak 120GB sebulan

Anda tahu Matematik? Baiklah, banding dan kira. Ya. Tepat sekali. VIP5. Alah, buat kali ke lapan ratus... suka hati andalah mahu pilih pekej mana. Jika berkemampuan, langgan sahaja VIP20. Pemasangan percuma jika anda memilih VIP20. Tetapi bayaran pemasangan RM200 akan dikenakan pada VIP5 dan VIP10.

5. Berapa banyak perlu dibayar?
There is no payment upfront. Semuanya akan dimasukkan ke dalam bil. Jika anda mengambil pekej VIP5, kira-kira untuk bil pertama adalah seperti di bawah.

Bil pertama= RM149 + RM149 + RM40
Bil kedua = RM149 + RM40
Bil ketiga = RM149 + RM40
Bil keempat = RM149 + RM40
Bil kelima = RM149 + RM40
Bil keenam = RM149

Bayaran RM40 selama lima bulan adalah untuk pemasangan. Ingat RM200 yang aku kata tadi? Ya. Itulah dia. Baiklah. Perhatikan. Pada bil pertama ada terlebih RM149 bukan? Menurut kata mereka, itu adalah seperti er... duit muka mungkin. Akan diperoleh semula duit itu apabila tamat kontrak UniFi jika anda mahu menamatkan kontrak... agaknya.

Boleh jadi aku tersalah anggap. Maaflah. Aku tidak ingat sangat jalan cerita perempuan itu tempoh hari. Nanti jika anda berminat untuk melanggan UniFi, jangan lupa tanya soalan mengenai bayaran kepada mereka.

6. Dengar kata, pemasangan UniFi ada drilling. Betul ke?
Ya. Betul. Lebih-lebih lagi jika pemasangan wayar di rumah anda sangat mementingkan konsep OHS (Occupational Health and Safety). Macam rumah aku kan, wayar-wayar semua berselirat di dalam dinding. Jadi, semasa technician itu sampai rumah... beliau sedikit keliru juga mahu membuat pemasangan UniFi. Lalu, pakcik Zulkefli mencadangkan satu idea. Dan hasilnya pemasangan kabel UniFi di rumah aku pun alhamdulillah berjaya. Ya. Sedikit tebukan telah dibuat. Mari aku cerita panjang sedikit.

Tiang telefon itu betul-betul di hadapan rumah. Kabel ditarik dari tiang telefon ke dalam rumah. Casing cable (bentuk segiempat) itu pula diletakkan di luar tingkap bilik tidur utama di tingkat atas. Ya. Mereka panjat bumbung sedikit. Dan kabel fiber optik (halus dan bewarna putih) itu pula akan dipasang di dalam rumah. Berselirat atau sebaliknya, itu terpulang kepada budi bicara anda. Ayah aku cadangkan tebuk dinding (sebesar biji mata).

Ok. Di dalam rumah pula, kabel fiber optik itu akan disambungkan ke televisyen, router dan telefon. Semuanya perlu diletakkan secara bersebelahan (biar mesra) dengan televisyen senang cerita. Akhirnya kabel fiber optik, router dan telefon telah diduduk letak bersebelahan dengan televisyen. Meriah jadinya. Kasihan ibu saya. Pasu-pasu bunga beliau di sebelah televisyen telah diturun taraf dan disimpan ke dalam almari.

7. Perlu sediakan apa-apakah untuk pemasangan?
Tidak. Memadai jika anda mempunyai sebuah televisyen dan komputer. Pihak UniFi akan membekalkan anda secara percuma Wireless-N Router, telefon wireless dan decoder IPTV.

(Ihsan gambar dari UniFi)


Ah, ya. Jangan lupa bekalkan multiple extension cord ya.

8. Berapa lama pemasangan UniFi dibuat?
Sebab dua orang technicians itu terpaksa menarik kabel pada pokok-pokok besar yang banyak kerengga, memanjat bumbung untuk ke tingkap di luar bilik tidur utama dan mengemaskini kabel fiber optik di dalam rumah... tempohnya adalah dari jam 9.45 pagi sehingga 3 petang. Sangat lama juga itu. Jangan lupa hidangkan tetamu air minuman dan sedikit pengalas perut ya.

9. Kalau sudah ada UniFi, macamana dengan Streamyx?
Buat pengetahuan anda, pemasangan kabel UniFi tidak akan mengganggu kabel telefon dan kabel copper Streamyx anda. Masing-masing mengikut haluan sendiri. Jadi, jika anda sudah melanggan UniFi, tamatkan sahaja akaun Streamyx anda.

10. Kalau sudah ada UniFi, macamana dengan telefon?
Buat pengetahuan anda juga, UniFi membekalkan telefon wireless cord di mana tiada bayaran akan dikenakan untuk panggilan nasional. Dan sepuluh sen seminit akan dikenakan untuk panggilan handphone. Bermakna, kini anda mempunyai dua telefon. Jadi, apa tunggu lagi. Tamatkan sahaja talian telefon yang sudah ada. Tetapi jika anda berkemampuan untuk membayar dua-dua apa ada hal bukan.

11. Bagaimana mahu membuat pembayaran bil UniFi?
Tiada beza dengan pembayaran telefon dan Streamyx. Melalui Maybank2u juga boleh. Anda akan diberi pilihan samada untuk menerima bil setiap bulan dalam bentuk pos ke rumah atau dalam bentuk email. Caj akan dikenakan sebanyak RM8 jika dihantar dalam bentuk pos. Harga kertas sudah naik barangkali. Manakala tiada caj akan dikenakan jika bil dihantar melalui email. Makanya. Buatlah pilihan yang bijak (sambil mengelipkan mata).

12. Kalau tiba-tiba nak tamatkan UniFi boleh tak?
Boleh. Jika kontrak dua tahun sudah tamat, tiada masalah. Tetapi. Jika mahu tamatkan sebelum kontrak, anda akan dikenakan bayaran sebanyak RM500. Ya. Denda.

Butiran lain, boleh baca pada Terms and Conditions di dalam laman UniFi. Gila? Gila tidak gila aku baca juga Terms and Conditions dari mula sampai habis tahu. Consumerism kononnya.

Tsk.

Banyak betul aku terangkan. Terasa seperti orang TM pula. Jangan risau. Ini bukan promosi mewakili pihak TM. Ini cuma er... testimonial (mungkin) sahaja. Dan sedikit maklumat tentang UniFi jika ada yang berminat. Aku harap segalanya terang, jelas dan nyata. Seperti hukum Izhar Halqi. Panjang gila. Penatlah menulis.

Ah, ya.

Testimonial. Kalau dahulu aku muat turun satu episod drama Korea (700Mb) selama tiga ke lima jam... kini dengan UniFi cuma 30 minit sahaja. Satu hari boleh muat turun drama Korea dengan lengkapnya jika gigih menghadap komputer. Anda tahu berapakah jumlah episod dalam drama Korea? Secara puratanya adalah 16 episod. Ya. Jika anda gigih memuat turun menggunakan Megaupload, cuma 30 minit sahaja diperlukan untuk satu episod.

Lagi pula.

Jika anda menonton video di Youtube... tiada lagi buffer atau tersekat-sekat. Kepuasan di tahap maksimum. Perjalanan darah anda akan lebih lancar. Tiada lagi darah yang naik dan turun akibat menunggu video yang tersekat-sekat. Dan terakhirnya, tidak perlu lagi ke Night Market Batu Feringgi Pulau Penang untuk mencari DVD Drama Korea RM4. Dan tidak perlu ke wayang juga. Torrent untuk Harry Potter Deathly Hollow sudah ada. Kah kah kah. Tengoklah. Kalau rajin nanti aku muat turun.

Akhir sekali.

Macamana? Teruja bukan_

Sambung baca...

Kategori:

Monday, December 06, 2010


_Ma'assalamah 1431 Hijrah.

Dan.

Ahlan wasahlan 1432 Hijrah. Ah, sebelum itu. Simpulkan 1431 Hijrah dalam berpatah-patah perkataan. Mari simpulkan dengan rapi ya, Huzaimatus Sa'adiah (oh, teringin benar mahu tahu maksud nama sendiri T__T ).

Tung... tung... tung....

(Bunyi dram)

Kita mulakan sekarang.

Kerjaya

Ya. Sudah bertukar tempat kerja. Dan sudah merasa kerja dari rumah. Dan kini sudah bekerja seperti manusia normal, iaitu di dalam pejabat. Dan lebih jauh. Tiada lagi LRT. Tetapi, saya rasa seperti lebih seronok rupanya bekerja dari rumah (Eh... eh mengadanya. Sekejap nak, sekejap tidak).

Tentang kerjaya ini, ombaknya sangat tinggi. Sudahlah saya tidak pandai berenang. Lemas juga kadang-kadang. Biasanya saya tutup hidung sahaja. Senang sedikit mahu terapung. Bayangkan sahaja Sponge Bob sedang terapung kembang di dalam air. Begitulah saya. Hmm... tidak mengapalah. Ini semua wajib ada hikmahnya. Berus...sahalah (sambil lari ke kiri dan ke kanan).

Perkahwinan

Ya. Dani sudah selamat. Saya bila lagi, kan? Pasti itu soalan anda bukan? Tsk... sabarlah. Saya sedang cuba mencari engsel pintu yang sudah lama berkarat tidak terbuka ini. Bukan kerja mudah, oh. Buat kali ke seratus, saya adalah androphobia yang sangat senang percaya lelaki dan senang juga cair seperti asid sulfurik.

Lebih-lebih lagi jika beliau seorang gentleman dan mungkin rupa seperti Maher Zain (kah kah kah). Tidaklah, rupa tidak penting. Jika muka sedikit menakutkan tetapi hati sangat kacak, rajin dan bertimbangrasa seperti gentleman... secara ajaib dan automatiknya akan berubah menjadi Maher Zain (eh... eh si Huzaimatus ini). Jadinya. Disebabkan inilah saya wajib bertukar menjadi kera sumbang yang sopan. Kah kah kah. Tengoklah macamana tahun 1432 Hijrah ini ya. Kita bersosial bagai nak gila.

Ah, ya. Bulan enam tahun hadapan. Saya bakal mendapat seorang adik ipar. Perasaan saya? Cemas. Saya kan androphobia. Tetapi. Saya rasa adik ipar saya itu simple dan cool seperti saya (pasti bakal adik ipar saya terbaca ayat ini). Jadinya, kuranglah mungkin sedikit perasaan cemas saya itu harapnya.

Cumanya. Terasa sangat sedih. Sudah kehilangan sayap kanan. Adik gadis kesayangan saya sudah diambil orang. Pada siapa lagi saya boleh sakat dan kacau selain beliau. Sedihlah macam ini. Sedih... sedih (tektik meminta simpati secara murahan).

Ah, ya. Ayah saya sangat yakin saya akan membuat rumah dan tangga pada tahun 1432 Hijrah. Wah... wah! Baiklah, pakcik Zulkefli yang dikasihi dunia akhirat... kita tengok siapa yang kena ya (sambil mengelip mata dan berlari ke kiri kanan).

Kawan-kawan

Untuk semua Homo Sapiens seluruh dunia yang mengenali saya, terima kasih. I love you very much too (sambil berkerut hidung dan menggangguk kepala seperti gangster). Saya bukan seorang kawan yang baik. Hanya Dani sahaja yang sudah masak dengan perangai tidak semenggah saya yang digelar kawan ini.

Mood saya bertukar lebih laju daripada angin. Dan saya selalu mencari keruh dengan sesiapa sahaja. Minta maaf ya (sambil menundukkan kepala). Terima kasih kerana bersabar dengan manusia seperti saya ini. Hanya Allah sahaja yang layak membalas anda semua dengan rahmatNya.

Apa-apa pun, saya percaya... pergaduhan itu perlu untuk merapatkan ukhuwah. Dan kurangkan ambil hati dengan rakan-rakan. Supaya hati menjadi lebih besar dan tidak berkira dengan manusia. Satu lagi, semoga saya sentiasa bersangka baik dengan kawan-kawan dan sedar bahawa segala tindak-tanduk kawan itu wajib ada asbabnya. Jadi, bersabarlah dengan kawan-kawan. Mereka menerima saya seadanya. Saya juga perlu menerima mereka seadanya. Harap dapat renew semula hubungan kawan ini ya, kawan-kawan (senyum sambil berlari ke kiri kanan).

Lain-lain

Baiklah. Saya bukan orang yang berdisiplin. Lebih suka mengikut kepala sendiri, itu barulah saya. Jadi untuk mendisiplinkan diri, saya telah membuat beberapa blog untuk mendisiplinkan diri (Yes, this is SPARTA!).

  • Dudette Dude - ini adalah lukisan harian saya pada setiap hari melainkan hari Sabtu dan Ahad. Beritahu awal-awal ya. Dan masih ada lagi gambar kawan-kawan yang tertunggak belum dikartunkan. Sabar ya kawan-kawan T__T

  • Hey, Let's Design - ini adalah blog sambungan dari design218 sebenarnya. Tetapi, sahaja saya membuat baru di Blogspot. Senang mahu maintain. Blog ini lebih kepada kerja-kerja design yang saya pernah buat. Segala tips Photohsop dan Illustrator serta apa sahaja tentang design akan saya kongsikan di sini. Saya bukan pakar. Tetapi, lebih baik berkongsi bukan? Kita sama-sama belajar ya. Saya cuma akan update blog ini dua kali seminggu atau sekali seminggu sahaja. Beritahu awal-awal. Haha.


Baiklah.

Itu sahaja untuk penutup 1431 Hijrah ini. Jujurnya, saya terasa seperti 1431 Hijrah adalah sedikit melampau dengan saya. Berani betul menyepak terajang saya. Tidak mengapa. Tidak sakit pun. Saya kan heroine yang cool di dalam dunia saya sendiri (ceh, orang berlagak memang begini!).

Terakhirnya.

Semoga anda sentiasa dirahmati Allah_

Sambung baca...

Kategori:

Sunday, December 05, 2010


_Tidak biasa dipuji atau dianugerahkan apa-apa sebenarnya. Tidak layak. Ya. Aku pun ada masalah low self esteem juga. Haha. Tetapi tidak kena tempat. Ah, abaikan. Mereka sudah kirimkan kasih sayang... kita layan sahajalah ya.

Kasih sayang, ke mari... ke mari.

Ah, susah-susah sahaja.

Terima kasih kepada saudara Nazwan di atas er... anugerah kebesaran Les Yeux Bruns (agaknyalah) anda. Terasa melimpah-limpah kasih sayang sesama Muslim. Saya pulangkan dengan hadiah doa semoga anda dirahmati Allah selalu. *Senyum.

Kasih sayang, ke mari... ke mari.

Ah, susah-susah sahaja.

Lagi satu. Anugerah kebesaran er... Stylish Blogger. Segan. Aku tidak stylish pun tapinya. Maksud aku, blog ini tidak stylish pun tapinya. Isk, terima kasih banyak-banyak buat cik Azah Skali Skala (I love your doodles oh~) kerana bersusah-payah ya. Oh, ya. Anda patut lawat blog cik adik manis yang satu ini. Karya doodle nya memang tip top. Hijau mata saya setiap kali ternampak karya mereka yang kreatif ini.

Ada tag juga selain daripada itu.
Jadinya apa tunggu lagi.
Mohon jawablah.

Baik.

Lanjutan daripada tag Azah Skali Skala ini adalah seperti di bawah:

  • Kongsi 8 perkara tentang diri sendiri

  • Tag 8 orang stylish bloggers yang lain dan sampaikan kepada mereka


Baiklah.
Huf... huf... huf.
Tarik nafas dalam-dalam.

8 Perkara Tentang Saya
  • Cicak dan kucing adalah benda hidup yang paling menggelikan, menakutkan dan mengerikan saya.

  • Saya penggila sayuran mentah dan coklat. Daun pudina hiasan makanan itu pun jadi santapan perut saya tahu. Telinga monyet (asam keping yang dimasak) pun saya makan.

  • Saya lebih suka habiskan seluruh masa cuti di rumah berbanding di luar rumah.

  • Obses dengan warna putih dan apa sahaja yang lutsinar.

  • Sangat degil, tidak suka bersosial dan tidak suka disuruh. Tidak ramah juga.

  • Internet adalah 70% tempat saya menuntut ilmu. Melukis, graphic design dan photography contohnya. Saya juga belajar bermain basketball dari komik Slam Dunk.

  • Saya berpesonaliti INTP. Dan 98% karakter INTP ini tepat seperti saya.

  • Saya lebih gila daripada apa yang anda sangkakan tentang saya. Maksud ayat ini? Entahlah. *gelak-gelak


Jujurnya.

Saya jarang meninggalkan jejak di mana-mana blog. Terlebih low profile (eww... kononnyalah). Jika saya suka baca blog itu, saya akan baca diam-diam. Dan saya sedikit keji (sangat keji sepatutnya) di mana saya tidak mengamalkan sistem barter di dalam dunia blogging ini.

You follow me, I will thank you. But I will not exactly follow you back. Saya sedikit particular dengan cara penulisan serta rupa bentuk sebuah blog itu. Yes, look does matter sometimes. Saya suka baca blog yang tidak serabut ayam dengan entiti-entiti yang tidak sepatutnya. Ah, ejaan juga perlu betul. Jangan mengeja seperti dilanda tsunami. Warna juga penting. Sesungguhnya, silau mata saya ini adalah sangat tinggi.

Kadangkala keliru juga. Ini blog atau billboard? Gila serabut ayam. Dan kerana ini semua subjektif (beauty is in the eyes of the beholder), maka saya tinggalkan sahaja blog-blog tersebut. Michin nom (미친 놈), I am. Indeed, oh. Begitulah. Saya tidak membuat duit dan bersosial secara besar-besaran di alam maya ini. Ini semua dunia (ceh,sudahlah kau Huzaimatus!).

Walau bagaimanapun.

Saya mungkin akan lanjutkan juga kasih sayang ini kepada 8 orang lain yang saya tidak pastilah siapa. Nanti saya fikir. Keputusan yang sukar nampaknya. Ini kerana saya er... tidak pandailah weh mahu bertag-tag ini. Saya sudah matang, ehem. Ah, kematangan tiada kaitan dengan tag sebenarnya. Ini semua dunia (nyah si Huzaimatus ini dari sini!).

Emm...
Mm...
Ok.

8 Stylish Blogger Lain
  • Anda semua yang membaca entri ini


Baiklah.

Kita toma'ninah seketika_

Sambung baca...

Kategori:

Saturday, December 04, 2010


_Duit lima sen memang sentiasa dianak tirikan aku.

Berbanding satu sen dan lima sen, biasanya duit satu sen yang lebih menarik perhatian. Lima sen yang lebih berharga itu dipandang sepi sebelah mata. Kelihatan tidak berguna nilainya di retina mata. "Sepi, aku sendiri." kata duit lima sen.

Lima puluh tahun dahulu.

Lima sen.

Memang bernilai tinggi. Boleh beli sepotong ais krim perisa oren bersaiz sederhana. Seronok. Hati pun sejuk. Lebih-lebih lagi sewaktu cuaca panas. Telan begitu sahaja. Segala kesejukan. Yang berlipat ganda. Alhamdulillah. Nikmat Allah.

Kini, tahun 2010.

Lima sen.

Memang bernilai tinggi. Boleh beli minyak bersaiz sederhana. Tidak seronok. Hati pun panas. Lebih-lebih lagi sewaktu cuaca panas. Telan begitu sahaja. Segala kepanasan. Yang berlipat ganda. Alhamdulillah. Nikmat Allah.

Duit lima sen memang sentiasa dianak tirikan aku.

Berbanding satu sen dalam lima sen, biasanya duit satu sen yang lebih menarik perhatian. Dan kini duit lima sen menjeling tajam ke arah aku. Sambil tersenyum sinis duit lima sen berkata, "Sepi, kau sendiri."

Ok.

Seperti mana 'Rules are meant to be broken', begitu juga 'Promises are meant to be broken' ya Huzaimatus_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, December 02, 2010


_Teknologi semakin lama semakin moden.

Memang tepat dan bernas.

Zaman Ipad ini, serba-serbi pun berteknologi. Jemputan perkahwinan pun pakai Facebook. Membeli-belah pun pakai online store. Hasilnya, kilojoule yang terlebih di dalam badan pun tidak dapat dibakar secara habis-habisan. Memang boleh jadi malas kadangkalanya ini. Dan boleh jadi gemuruh lebih.

Sebab.

Aku pernah rasa. Ditemuduga tanpa bertemu pihak temuduga. Macamana? Oh, pakai Skype. Cool kan? Lepas itu cuma perlu cucukkan mic dan sertai sahaja voice conference mereka secara beramai-ramai. Waktu itu, yang menemuduga ada tiga orang. Lelaki Cina, perempuan Cina dan perempuan Mat Saleh. Dua orang perempuan itu dari China. Dan seorang lelaki dari Malaysia. Live interview, yo.

Cool kan?

Jadi aku pun gemuruh lebih. Sebab segala bunyi dari latar belakang pun turut masuk menyibuk ke dalam sesi temuduga. Sampai kadangkala terpaksa jaga nafas. Mujur itu bukan video conference. Kalau tidak, mesti kejung di hadapan web camera.

Vrooommmmm... vrommmmm.

"Is that a lorry or bus?", tanya penemuduga itu.

Aku terkebil-kebil. Alamak. Dia boleh dengar itu. Mungkin sebab aku tengah duduk bersila di hadapan sliding door yang terbuka sedikit. Itu yang agaknya serba-serba kedengaran dalam mic.

"Er, a lorry I guess."
"How come the sounds so near?"
"Haha. I'm sorry. That is because I live next to a highway."
"I see. It's ok.
"

Beberapa minit kemudiannya, bunyi kren di construction site menerpa.

"I'm sorry I can't hear the question.", jelas aku.

Kemudian berkali-kali beliau mengulangi soalan. Setiap kali soalan ke udara sahaja, bunyi kren menerpa. Zrengggg... zrengg. Rupa-rupanya memang ada construction site betul-betul berhampiran dengan rumah penemuduga (perempuan Cina) yang duduk di China itu. Kelakar betul. Macam-macam gangguan.

Tetapi.

Aku tetap rasa sesi temuduga ini sangat cool. Dan kesemua penemuduganya adalah sangat sopan dan baik orangnya. Very cool. Itu pun sewaktu bekerja dari rumah. Bekerja dari rumah? Haah, cool kan? Tiada lagi jam 9 pagi masuk, jam 6 atau 7 petang pulang.

Tetapi.

Akulah yang bermasalah. Tidak pandai menyesuaikan diri. Habis lintang-pukang jadual aku (eh... eh macamlah pernah ada jadual Huzaimatus ini). Iyalah. Bukannya ada jadual. Faham-fahamlah kan macamana kerja orang-orang teknikal dan pereka (konon-kononnya) ini. Waktu kerja tidak tentu hala. Biasanya kalau buat kerja teknikal ini, waktu orang balik kerja adalah waktu aku masuk kerja. Perlu ke client site. Cool kan (tidak... ini tidak cool sebenarnya. Sobs)?

Aku rasa cool (kadang-kadang).

Sabtu dan Ahad pula bukan hari mencari rezeki. Memang alhamdulillah. Dan kebiasaannya memerap di rumah sahajalah kerjanya. Dan lebih tepat lagi, memerap di hadapan komputer. Macam 24/7. Melayan segala teknologi di hadapan mata. Cool kan.

Aku rasa teknologi sangat cool.

Dari Internet, boleh belajar online. Segala benda pun boleh belajar. Dari graphic design, web design, interior design, packaging design dan juga make up design (eh... eh ada ke ini yang dibelajarnya). Ada, ok. Siapa tidak kenal Michelle Phan di Youtube (HAHA). Jadinya. Social media seperti Facebook dan Twitter ini sahajalah tempat aku bermasyarakat.

Aku rasa teknologi sangat cool.

Macam-macam boleh buat. Jadinya. Jika ada yang kata bosan duduk di rumah, memang kedengaran pelik di telinga aku. Macamana boleh bosan ek. Penyakit bosan itu susah sikit mahu melekap dengan aku. Mungkin tengok orang juga agaknya.

Aku rasa teknologi sangat cool.

Jadi dengan segala coolness itu aku gunapakai sehabis baik. Facebook sekali-sekala masuk sahaja sudah. Bila ada notifikasi di email perihal Facebook baru aku masuk. Kurang mendatangkan apa-apa kalau 24/7 di Facebook. Sekurang-kurangnya bagi akulah. Jadi 24/7 yang lebih itu digunapakai untuk Twitter.

Aku rasa teknologi sangat cool.

Propaganda 'Siapa tiada Facebook dan Twitter adalah tidak cool' itu abaikan sahaja. Aku rasa kedua-dua teknologi itu bukan kewajipan. Terpulang kepada individu itu juga. Macam aku ini memang orang IT. Jadinya, kalau kena menghadap komputer bersama Internet seminggu tanpa makan minum pun mungkin aku boleh tahan. Tidak cool kan? Haha.

Tetapi.

Aku rasa teknologi sangat cool.

Oklah. Ini bukan entri yang berfaedah. Sesungguhnya aku menulis bukan kerana nama (eh... eh tiba-tiba). Aku menulis sebab aku rasa teknologi sangat cool. Dan skop kerja aku pun alhamdulillah cool. Setiap hari mesti dapat satu ilmu baru. Sampai overload kepala ini dibuatnya.

Cuma satu sahaja.

Coolness itu terpulang kepada individu. Jika anda rasa itu cool, memang cool sampai habislah segala-galanya. Dan di situ jugalah nanti akan ada kemahuan dan jalannya. Tetapi. Jika anda rasa sebaliknya, sampai habislah memang begitu hasilnya.

Dan aku pula.

Selagi belum sampai 1000 daya... dan plan A sehingga Z belum terlaksana... selagi itulah masih ada jalan, penyelesaian dan kemahuannya. Pergh. Macam pakar motivasi sahaja bunyinya. Tidak boleh tahan. Dah, mohon jauhi aku. Ini memang tidak cool. Haha.

Terakhirnya.
Segala yang ada di sini.
Baca boleh, percaya jangan.

Ok?

Cool_

Sambung baca...

Kategori:

Wednesday, December 01, 2010


_Tidak perlu taip panjang-panjang, Huzaimatus.

Ya, kan? Kan?
Aku suka taip panjang-panjang kan?
Terlalu panjang dan sangat menjengkelkan kan?

Asbabnya mungkin begini. Seorang technical consultant. Bertemu seorang designer. Dan bertemu seorang photographer. Yang mana akhirnya bertemu pula dengan seorang penggila Korea. Ah, itulah asbabnya. Dan terhasillah aku. Hah, ini sepatutnya dalam ruangan 'About Me'. Kita tinggalkan. Ini menjengkelkan.

Sebenarnya.

Idea untuk menulis. Sangat kering. Tetapi, aku tetap ada satu idea. Yang boleh digunakan ketika kekeringan idea. Berbunyi ironi kan. Begini... begini. Tulislah apa sahaja yang terlintas di dalam kepala anda. Dalam masa lima minit.

Apa?
Lima minit?
Cukup ke itu?

Memang cukup. Tetapi, sebelum itu. Izinkan aku ke bilik wanita sekejap....

( lima minit )

....

( lima belas minit )

....

( tiga puluh minit )

Baiklah.
Kita sambung semula.
Apa sahaja yang tergendala.

Lima minit, mula.

Bunyi derap selipar rumah. Tsek... tsek... tsek. Kami pakai dalam pejabat. Tidak perlu berkasut. Cool kan? Macam clean room. Di mana-mana syarikat elektronik. Tiba-tiba, suasana sepi. Terfikir seperti mahu balik. Baru jam 6.17 petang. Kalau balik sekarang, pasti jadi ikan sardin. Bad traffic. Macam haram.

6.18 pm. Bunyi laci berdentam-dentum. Sarina (bukan nama sebenar) sudah lapar agaknya ini. Krak kruk bunyi biskut (aku teka) digigit. Ah, tulang bahu aku sudah sakit. Lama sangat menaip. Lagu nyanyian siapa entah ini kedengaran seperti... oh, hujan sudah berhenti rupanya.

Bunyi plastik kedengaran. Rasanya Sarina sudah membuka bungkusan makanan lain agaknya. Mungkin beliau terasa lebih lapar. Aku pula sebu mahu memakan apa-apa. Terasa mahu pulang sahaja sekarang ini. Bunyi geseren dan brek lori kedengaran di telinga. Pergh, macamana boleh sampai ke telinga aku ini. Sungguh ultrasonik.

Cung (bukan nama sebenar) sedang menjawab telefon. San... san de. Emmm... ciao trafik light. Na ke mei you shenme. Cuan pian. Ah... kerja mengarut pula aku pergi rakamkan segala perbualan beliau. Lagu Backstreet Boys - Shape of My Heart sedang ke udara. Lama doh tidak dengar lagu ini. Looking back on the things I've done... I was trying to be someone.... lalalala~

Hah! 6.23 pm. Sudah terlebih dari lima minit nampaknya.

Cukup.

Ok.

Jika punya sedikit kerajinan, mohon tuliskan lima minit di dalam kepala anda pada ruangan komen di bawah ya. Pasti kreatif gila ah dingdong. Steve Jobs pun tidak akan terfikir idea tidak berfaedah macam aku ini. Mahu sangat aku baca lima minit di kepala anda (struktur ayat ditimpa tsunami).

Tulislah... tulislah_

Sambung baca...

Kategori:

Wednesday, November 24, 2010


_This is what we called reverse psychology.

Baru sahaja sampai blook Caca Marba ke tangan aku.

Sampul surat bersetem RM1 disiat dengan kelajuan 200km/j. Ah, sampul surat tidak penting. Caca Marba ini yang penting. Perasaan teruja itu melambung tinggi ke langit sehingga tidak turun-turun. Sudah tiada tarikan graviti barangkali perasaan teruja itu. Ah, perasaan teruja tidak penting. Caca Marba ini yang penting.

Tanpa membaca Bismillah (astaghfirullahalazim)....

Aku angkat buku itu tinggi-tinggi. Aku dekatkan ke muka. Kening berkerut. Aku jauhkan kembali. Aku dekatkan ke muka semula. Kening berkerut lagi. Aku jauhkan kembali. Baiklah. Aku nak buat satu pengakuan. Aku memang ngeri banyak jika terpandang muka lelaki yang berkulit hitam manis dan matanya besar galak merenung tepat ke retina. Mat Jan, contohnya. Aku pernah terserempak dengan beliau dalam LRT menghala ke KL Sentral. Beliau berdiri di sebelah. Aku membutakan diri tidak menegur. Ngeri banyak.

Seram.

Jika disuruh membuat pilihan antara kulit blook ini dan KLCC... memang aku pilih KLCC doh. Ah, kulit blook ini tidak penting. Caca Marba ini yang penting. Aku selak lagi. Wah, ada tandatangan Mat Jan! Tandatangan yang tidak kelihatan seperti tandatangan. Bentuknya unik seperti pengangkut baju. Ah, tandatangan Mat Jan tidak penting. Caca Marba ini yang penting.

Aku selak lagi.

Dan selak lagi berkali-kali melihat helaian lain. Aik? Blook ini baru sampai. Tetapi kenapa kertasnya kekuningan seperti sudah lapan tahun di dalam simpanan? Pergh. Ini baru dinamakan gaya ilusi optik. Yang mana jika blook ini disimpan lagi seribu tahun pun tetap berwarna kuning setiap helaiannya. Klasik. Ah, jenis kertas kekuningan ini tidak penting. Caca Marba ini yang penting.

Aku selak lagi.

Nama yang tertera pada ruangan penyelenggara adalah Sinaganaga. Dan nama editornya pula adalah Lan Hussain. Aik, bukankah Sinaganaga dan Lan Hussain ini orang yang sama? Aku yakin mereka bukan pelanduk. Tetapi orang yang sama. Ilusi optik lagi ini. Ah, jenderal Sol-jah ini tidak penting. Caca Marba ini yang penting.

Aku selak lagi.

Muka surat lima. Tertulis dengan font Typewriter (aku teka) size 18 ke 20, Kertas Am. Aik? Kertas Am? Memang terbaik ini. Mempromosi blook pada musim adik-adik menduduki peperiksaan SPM. Aku cuma ada sifar pengetahuan tentang Kertas Am. Kertas A4 aku tahulah. Ah, Kertas Am ini tidak penting. Caca Marba ini yang penting.

Aku selak lagi.

Lah, punyalah nipis blook ini. Berbaloi ke RM15. Aku selak lagi sehingga ke muka surat terakhir. Pergh. Muka surat 100 itu! Tetapi nipis. Tetapi 100 muka surat. Ini mesti ilusi optik lagi ini. Memang berbaloi-baloi macam ikan Kaloi. Ah, muka surat blook ini tidak penting. Caca Marba ini yang penting.

Dan aku selak lagi.

Lagi... lagi... lagi... lagi. Lagi... lagi... lagi... lagi. Lagi... lagi... lagi... lagi. Lagi... lagi... lagi... lagi. Lagi... lagi... lagi... lagi. Lagi... lagi... lagi... lagi. Lagi... lagi... lagi... lagi. Lagi... lagi... lagi... lagi.

Dan.

Kah kah kah!
Ha ha ha!
Ayam!

Kelakar macam haram.

Baru sahaja sampai blook Caca Marba ke tangan aku. Kalau mahu dapatkan satu salinan, sila ke sini. Tetapi kalau stok habis, tidak boleh pinjam dari aku. Pinjamlah dari library. Ah, library tidak penting. Caca Marba ini yang penting.

Sol-jah dan Mat Jan (eh, Mat Jan pun Sol-jah)... satu ibu jari ke atas.
Terima kasih atas kiriman bersetem RM1 yang dicop dari Alor Setar.
Macam biasa... blook-blook Sol-jah memang tidak mengecewakan.

Hah.

Blook Caca Marba tidak best?

This is what we called reverse psychology_

Sambung baca...

Kategori:

Wednesday, November 24, 2010


_Mungkin aku sahaja yang terperasan.

Atau.

Mungkin aku ini memang Homo Sapiens yang tipikal serta berfikiran sedikit tradisional kadangkala agaknya. Andai sepasang retina ini cekap memerhatikan sesuatu, pasti sereberum aku laju menghasilkan sebuah teori. Yang mana kadangkalanya logik dan kadangkalanya tidak logik. Terpulang kepada jenis dan corak pemerhatian retina itulah.

Hah.
Sudahkah anda perasan sesuatu?
Aku memang suka hidup dengan teori.

Iya, kan?

Mari kita lihat teori 'suka-suka tidak suka sudah' yang terbaru....

1. Secara majoriti, pemilik kereta yang mempunyai bantal di bahagian belakang cermin keretanya adalah berjantina perempuan.
Namun, aku adalah golongan minoriti yang tidak menggunakan bantal sebagai aksesori kereta. Yang aku ada cumalah seekor naga hijau bersayap.

2. Kebiasaannya, lelaki cuma akan mengambil dua jenis lauk sahaja (atau kurang) di kedai makan nasi campur.
Manakala, perempuan pula akan mengambil sekurang-kurangnya dua jenis lauk (kebiasaannya lebih dari dua) di kedai makan nasi campur. Ya. Disebabkan sembilan nafsu itulah.

"Sambal udang letak sikit. Eh, tapi sayur masak lemak itu pun macam sedap. Telur masin pun nak juga. Ikan keli goreng bercili ambil yang kecillah macam ini. Em, apa lagi ya. Semua pun macam sedap."

Kesudahannya bukan habis makan pun. Syaitan pun gelak ketawa keriangan.

3. Kebiasaannya, golongan 'lama' lebih suka memakai pakaian yang berwarna cerah dan kadangkala bercorak besar.
Dari sebatu pun sudah boleh nampak pemakainya. Manakala, golongan muda pula lebih suka memakai pakaian yang berwarna sedikit suram dan kegelapan. Kadangkala tiada corak atau bercorak kecil.

4. Segelintir golongan yang mempunyai paras rupa subhanAllah kacak dan cantik, biasanya bilik dan rumahnya kelihatan seperti baru ditimpa tsunami skala 8.8.
Ya. Paras rupa manusia tidak berkadar terus dengan paras rupa bilik dan rumah.

5. Memandu dalam keadaan cuai dan teragak-agak kebiasaannya adalah perempuan.
Ada juga yang memandu seperti syaitan terbang. Aku, contohnya.

6. Memandu seperti syaitan terbang dan suka mencucuk kereta di hadapan kebiasaannya adalah lelaki muda.
Cara paling mudah untuk menghadapi golongan syaitan terbang ini adalah dengan cara menekan brek berkali-kali. Had memandu di jalan itu adalah 90km/j contohnya... tetapi mereka memandu 140km/j ke 160km/j. Memang syaitan.

Tetapi, jika tiba-tiba dari jauh di belakang sana muncul kereta yang rekabentuknya seperti dihempap bangunan iaitu kereta Batman, Hyundai atau Porshe ke kan... bagi sahajalah laluan kepada mereka. Tidak perlu cakap banyak.

7. Kebiasaannya, lelaki akan mandi dengan begitu kerap setiap hari.
Namun, tidak bagi perempuan.Ada yang mandi cuma sekali sahaja dalam sehari. Ada juga yang tidak mandi langsung. Sesetengah perempuan memang sedikit liat mahu mandi. Bukanlah tidak mandi langsung. Cuma sedikit liat. Lebih liat daripada dodol.

8. Jika seorang lelaki itu berkata, "Tidak."... memang tidaklah maksudnya.
Tetapi jika seorang perempuan itu berkata, "Tidak."... maksud sebenarnya adalah, "Ya.". Perempuan memang penuh kesenian. Serba-serbinya halus belaka. Tersirat belaka. Dan sesungguhnya, aku ini salah seorang manusia yang penuh dengan simpulan dan siratan belaka.

Ok.
Habis.
Akhirnya.

Disebabkan ini cumalah teori 'suka-suka tidak suka sudah', jadi aku tidak ambil kisah pun jika perkataan pertama yang keluar dari mulut anda berbunyi, "Eh, apa pula. Aku tidak macam itu pun." Aku tidak kisah.... aku tidak kisah. Ada aku kisah? Eh... eh garangnya. Maaf, ya. Maaf.

Iyalah. Sebab itu aku cuma letakkan perkataan-perkataan seperti 'kebiasaannya', 'secara majoriti' dan lain-lain. Bukan perkataan-perkataan seperti 'semua lelaki', 'semua perempuan' dan yang sekutu dengannya. Kan? Kan? Kan?

(senyum... senyum)

Ok.
Habis.
Akhirnya_

Sambung baca...

Kategori:

Wednesday, November 17, 2010


_Memang betullah orang kata.

Kalau ikut perut, memang boleh binasa.

Bukan lidah sahaja yang perlu dijaga. Malah, perut itu pun turut sama berada dalam tahap keutamaan seperti lidah. Mana tidaknya, apa yang ditelan semuanya bukan akan keluar semula menjadi tinja atau bahan kumuh yang lain. Malah, ada juga yang akan menjadi sebahagian daripada keluarga darah dan daging. Bersatu teguh, bercerai roboh di dalam sistem tubuh Homo Sapiens.

Tadinya.

Aku terjumpa artikel lama dari blog seorang kawan di sini.

Ish....

Mulai dari hari ini, aku rasa perihal makanan memang wajib dijaga betul-betul. Sebab apa yang dimakan semuanya akan menjadi sebahagian daripada darah dan daging. Yang mana darah dan daging itu kemudiannya akan turun pula kepada keturunan dan generasi aku... er insyaAllah.

Mungkin sedikit tipikal.

Tetapi, aku rasa aku ada hak untuk memberi peringatan dan menyampaikan pesanan lebih-lebih lagi kepada saudara-saudara seIslamku ini. Bukan bertujuan untuk mendatangkan kerugian kepada syarikat-syarikat atau premis makanan ini.

Cumanya, sekadar mahu mencalitkan kesedaran yang berlipat ganda ke dalam serebrum saudara-saudara seIslamku ini. Mahu ambil peduli atau tidak, terpulang kepada anda. Dan apa yang aku cuba sampaikan ini bukan gosip atau berita palsu. Ini berdasarkan semakan di dalam direktori halal JAKIM dan sumber-sumber laman lain. Sorry, I don't gossip and spread false rumours.

Semak dahulu, baru sebarkan. Jangan buta-buta main forward sahaja berita-berita yang belum pasti kesahihannya lebih-lebih lagi di dalam email. Menyampah betul kadang. Belum tentu iya atau tidak, main sebat sahaja forward kepada orang lain. Majoritinya fitnah belaka pula itu. Periksa dahulu ya rakan-rakan. Peringatan untuk aku dan anda juga.

Jadi di bawah ini aku senaraikan premis makanan yang aku pernah pergi suatu ketika dahulu sebab aku kurang kesedaran tentang kehalalannya. Huah... insaf... insaf.

Maklumlah, kalau kau singgah ke mana-mana dan nampak sijil halal JAKIM tergantung di premis tersebut... pasti kau sejuk hati untuk menelan makanan-makanannya bukan. Dan dengan kesedaran yang nipis, mungkin juga sijil halal JAKIM itu sebenarnya sudah lama tamat tempoh ke apa ke kan. Siapa yang tahu. Aku cuma manusia biasa yang senang bersangka buruk dengan premis makanan yang kelihatan seperti halal tidak halal ini.

Dan selepas ini, insyaAllah tiada lagi makanan-makanan daripada premis makanan ini yang terlepas ke dalam perut aku. Harap-harapnyalah. Walaupun kadangkala terngiang-ngiang kembali kesedapan makanan-makanan itu suatu ketika dahulu... ah, jangan pusing belakang Huzaimatus! Jalan terus. Halalan toyyiba, itu yang kita mahu.

1. Sushi King

Mula-mula aku ragu-ragu, kemudiannya selepas mendapat tahu premis ini pernah mendapat status halal JAKIM dan aku sendiri pun pernah ternampak sijil Halal JAKIM (wallahualam kalau itu sijil yang sudah tamat tempoh... sesungguhnya aku tidak tahu), aku pun ke sini. Siap ada kad keahlian, ok. Setiap kali ada promosi RM2 sushi atas Kaizen Belt itu memang jaranglah terlepas peluang. Tidak patut betul berasa bangga dengan perkara ini. Ish. Astaghfirullahalazim.

Dan kemudiannya dalam tempoh itu, aku dapat tahu perihal mirin yang digunakan dalam membuat inti salmon pada sushi. Ini disahkan oleh adik aku sendiri sebab pekerja yang membuat sushi (Melayu) itu yang cerita sendiri. Katanya, jangan makan sushi yang ada unagi dan salmon sebab ada campuran mirin. Yang lain-lain boleh sahaja. Jadinya, jika benda tidak halal menjadi subset kepada premis yang kononnya telah mendapat status halal... apakah maksudnya ini?

Anda sendiri fikirlah.

Merujuk kepada salah satu komen daripada Ikmal Ibrahim di sini....

"aku sebagai kuli masak-masak nak bagitau sikit la…
sebenarnya, dalam masakan jepun terdapat banyak bahan-bahan yang tidak halal…seperti contoh, sushi, beras sushi tu dimasak dan diseason dengan sake (kalau ikut resipi traditional)…miso soup (sup tempe jepun), dibuat dengan stok babi (juga mengikut resipi asal)…sume jenis sauce dan ketchup dari brand K*kkom*n termasuk kicap soya untuk sushi itu adalah tidak halal kerana menggunakan white wine sebagai flavour enhancer…aku sampaikan semua ni in sense of responsibility sesama muslim…dan anda juga harus berhati-hati dengan makanan jepun di mana-mana food court…"

Aku pun baru tahu.

Jadinya.

Anda sendiri fikirlah, ya.

2. Chili's

Hah. Aku pernah tiga kali ke sini. Cawangan KLCC dan Bangsar. Terus terangnya, aku berani ke sini sebab ternampak saudara-saudara seIslam yang lain sedap-sedap makan di sini. Perangai sentiasa mengikut orang atau mudah terikut orang ini memang perangai orang kekurangan pendirian hidup. Lain kali jangan mudah mengikut orang, Huzaimatus. Peringatan ini.

Sesungguhnya, teramat nipis betul kesedaran dan kelogikan aku perihal premis ini. Selepas tiga kali pergi, baru aku tersedar ada unsur alkohol dalam menu-menu lainnya. Jadinya, jika benda tidak halal menjadi subset kepada premis yang tidak diketahui status halalnya... apakah maksudnya ini?

Anda sendiri fikirlah.

Lagi satu. Nama sebenar premis ini adalah Chili's Grill and Bar Restaurant. Jika difikir balik dalam keadaan yang waras dan normal, perkataan 'bar' itu sendiri sudah mencerminkan alkohol, gelas tinggi lutsinar, tempat yang kekurangan lampu sebab mahu menjimat tenaga elektrik, mabuk di sana-sini dan sebagainya... wallahualam. Aku memang tipikal.

Jadinya.

Anda sendiri fikirlah, ya.

3. Manhattan Fish Market

Pernah sekali aku menjejakkan kaki ke sini. Begitu naif. Sebab aku fikir cuma ikan yang wujud di sini. Jadinya, mana ada penyembelihan ikan bukan? Dan kesedaran menimbul selepas aku baca sebuah buku tebal yang best gila, 'Garde Manger: The Art and Craft of the Cold Kitchen'. Hampir semua masakan mereka (makanan barat) dipenuhi dengan kandungan wine dan sekutu dengannya. Pendek katanya, di mana-mana tempat yang ada masakan barat... berhati-hatilah. Lebih-lebih lagi masakan di hotel.

Jadinya.

Kesimpulan yang aku buat daripada buku itu... kalau boleh jangan menjejakkan perut ke restoran-restoran atau premis makanan yang menghidangkan makanan barat. Kalau terjejak juga, berhati-hatilah. Kenapa? Eh... eh degilnya. Sebab kau sudah pasti betul ke daging itu bukan datang daripada binatang yang mati akibat terkena renjatan elektrik? Dan kau pasti ke bahan-bahan lain seperti rempah, sos dan sebagainya itu datang dari sumber yang halal? Dalam kes-kes begini, prasangka buruk itu adalah diperlukan kehadirannya.

Jadinya.

Anda sendiri fikirlah, ya.

*Tambahan pada 1 Febuari 2012*

Aku periksa di direktori JAKIM. Dan Manhattan Fish Market ini ada lesen halal JAKIM. Boleh cuba periksa Direktori Halal JAKIM dan taip Manhattan Fish Market jika ingin tahu lebih lanjut.

4. Subway

Tsk. Percayalah. Buat masa ini, memang premis ini salah satu tempat kegemaran aku. Roti Honey Oat. Terbaik, woh. Tetapi, selepas aku baca artikel dalam blog ini... aku cuba semak dalam direktori halal JAKIM. Tekalah. Ya. Tepat sekali. Tiada keputusan carian melainkan dua sahaja di bawah produk di dalam direktori halal JAKIM. Anda boleh semak sendiri jika mahukan kepastian.

Percayalah.

Aku ke sini sebab aku ternampak sijil halal JAKIM terpampang di premis Subway Sunway Piramid hari itu. Rasanya sudah dua kali ke sini. Dan selepas aku tengok Subway tiada status halal daripada JAKIM, terus rasa macam arghhh... kenapa! Tetapi selepas kewarasan kembali, aku fikir logik juga. Sebab dalam menunya ada ham. Ah! Kenapalah aku tidak perasan. Aku pernah makan meatball dan tuna. Itu pun sebab hidangan untuk hari Selasa dan Rabu. Dan bila aku buat carian lanjut lagi perihal Subway ini... barulah aku betul-betul lega sebab Subway ini memang aku pasti 800% tidak halal. Tidak halal, ya kawan-kawan.

Tidak syak lagi.

Cuba skroll bawah dan semak bahagian Ingredients di sini. Anda akan jumpa dua bahan secara terang, jelas dan nyatanya iaitu Pork dan Wine. Tulisannya sedikit kecil. Mohon pakai kanta pembesar jika kabur. Itu salah satu menu yang terdapat di Subway, Italian BMT.

Astaghfirullahalazim... apa bendalah yang aku makan ini.

Jadinya, jika benda tidak halal menjadi subset kepada premis yang tidak diketahui status halalnya... apakah maksudnya ini?

Anda sendiri fikirlah, ya.

5. Johnny's

Ok. Aku akui suatu masa dahulu aku suka ke sini. Sebab ada seaweed. Ya. Aku peminat tegar seaweed. Dan juga mi hijau bayam. Sedap. Tetapi, selepas aku periksa dalam direktori halal JAKIM, tiada keputusan carian yang dijumpa. H to the A to the L to the A to the L is not there. Dan macam biasa, aku terasa sangsi selepas tengok hidangan mi hijau ayam BBQ mereka. Ini adakah ayam-ayam yang mati terkejut akibat terkena renjatan elektrik juga atau apa?

Jadinya, jika benda yang tidak dapat dipastikan status halalnya menjadi subset kepada premis yang tidak diketahui status halalnya... apakah maksudnya ini?

Sebab JAKIM pun tidak kata OK.
Aku pun tidak OK.
Anda pula?

Anda sendiri fikirlah, ya.

6. Kedai Mamak

Haha. Maaflah. Aku bukan clean freak. Tetapi, aku memang jadi tidak selera kalau ke kedai mamak. Lagi satu, aku memang was-was sebab aku tidak pasti premis makanan itu adakah hak milik orang Islam atau bukan Islam. Senang cerita, ini kedai mamak India atau kedai mamak Muslim. Kadang-kadang kedai itu pasang radio Melayu, terpampang bingkai gambar Mekah, nama Allah dan Nabi Muhammad SAW di dinding dan nama kedai pun berbunyi nama kedai Melayu tetapi hampir semua pekerjanya (bukan hampir, kadangkala semua) adalah India.

India... Muslim atau India yang memang India?

Lagi pula, ada yang tukang masaknya tidak pakai sarung tangan dan penutup kepala. Bulu roma di tangan punyalah lebat. Kadangkala peluh menitik dan terjatuh ke dalam... ah, hilang selera makan. Maaflah. Aku ulang semula. Aku bukan clean freak. Tetapi, aku memang kurang selera kalau ternampak tukang masaknya tidak mementingkan kebersihan. Sudahlah pula, masakan mereka kekurangan santan. Dengar kata, jika ada kuah kari yang terlebih... semuanya akan dicampur untuk masakan kuah kari esoknya. Ergh. Mungkin jika terpaksa ke sini, aku cuma mampu menelan air sahaja agaknya.

Tips untuk anda.

Cuba periksa ada ke tidak hidangan daging lembu di kedai mereka. Jika ada... mohon pertimbangkan pula pada kebersihannya dan sebagainya. Jika tiada... saya yakin itu kedai India tulen. Mana mungkin mereka menyediakan Tuhan mereka sebagai hidangan bukan? Tetapi, wallahualam jika ada yang selamba ayam sahaja meletakkan daging lembu sebagai hidangan masakan walaupun mereka adalah India tulen.

Ah, apa-apa pun.

Anda sendiri fikirlah, ya.

TAMAT.

Baiklah. Buat masa ini, aku senaraikan enam sahaja sebab aku bukannya suka sangat makan. Selera makan memang sebesar kacang soya sahaja. Oh, ya. Mari aku senaraikan pula premis-premis makanan yang aku memang sudah pasti kehalalannya... Halalan Toyyiba. JAKIM pun sudah bagi lampu hijau dengan tersenyum simpul sambil berkata, "Ok, baca bismillah dan boleh makan".

  1. McDonald - aku tipikal... degil tidak mahu menjejakkan perut ke sini.

  2. 1901

  3. Secret Recipe

  4. Chicken Rice Shop

  5. Coffee Bean - pure double chocolate ice blended adalah pujaanku.

  6. KFC

  7. Kenny Rogers Roasters - JAKIM letak halal cuma pada cawangan Negeri Sembilan. wallahualam

  8. Big Apple Donuts & Coffee

  9. Pizza Hut Restaurants

  10. Masakan mak saya

  11. Masakan saya


Ah... cukup itu Huzaimatus!

Baiklah.

Saya harap apa yang saya sampaikan ini kena pada fikiran dan perut anda, ya. Anda boleh semak pada direktori halal JAKIM atau pada senarai pemegang sijil halal terbaru.

Makan itu biar berpada-pada.
Berhenti sebelum kenyang.
Dan pastikan halal.

Ok, bahagian saya sudah selesai. Terpulang kepada anda untuk menyampaikan kepada yang lain atau menyampaikan kepada perut sendiri. Dan... jika dan hanya jika ada di antara premis-premis di atas yang mungkin telah mendapatkan status halal daripada JAKIM tetapi di luar pengetahuan saya... mohon sampaikan pada saya ya. Terima kasih daun keladi.

Calo beti_

*Tambahan pada 20 Januari 2012*

Aku dah lama tak jenguk entri ini. Dah terlupa pun ada entri ini. Tapi sejak kebelakangan ini banyak pula yang komen dan menyinggah ke sini. Terima kasih ya sudi menjenguk ke blog tak berfaedah ini. Huauahuahuahauhua.

Ok, perihal Subway. Macam kena jelaskan sikit. Sebab aku rasa ada sangat ramai peminat tegar Subway di sini yang tidak berapa puas hati dengan artikel ini (agaknyalah... aku teka).

Subway. Dulu aku pernah makan 2 kali. Di Sunway Piramid. Tetapi lepas itu aku selidiklah apa sebenarnya menu 'so called sihat penuh nutrient' ini dalam Internet. Jadi aku pun jumpalah link tersebut. Yang mana adalah link franchise Subway di luar negara. Memanglah akan tertulis ham dalam itu kan. Dan memang ada tertulis dalam itu yang pihak Subway memang akan customize menu untuk negara franchise yang amalkan pemakanan halal... yang mana salah satunya Malaysialah kan.

Tapi aku tetap musykil. Bukan sebab daging saja. Dan kalau betullah ham itu ayam-based kan... kau pasti 100% ke penyembelihannya halal. Supplier dari mana apa bagai semua. Maaflah tapi aku memang sedikit musykil kalau premis makanan itu tiada halal JAKIM. Walaupun memang tidak semestinya kalau ada sijil halal JAKIM 100% itu memang 100% halal... tetapi sekurang-kurangnya aku tahu JAKIM itu recognized body.

So, aku ragu... aku tinggalkan dan aku sampaikan keraguan aku di sini. Kalau anda masih nak makan dan masih pasti kehalalannya... makanlah. Apa ada hal kan. Aku tidak menghalang pun. Mungkinlah ada menghalang sedikit kan. Sebab tiba-tiba anda semua terasa ragu dengan kehalalan Subway. Walau apa-apa pun... makan itu sentiasalah beringat. Subway bukan the only premis makanan yang ada dalam Malaysia ini. Come on. Makan sederhana saja sudah. Belajar hidup dengan besederhana.

Ada satu video perihal serbuan JAKIM yang melibatkan beberapa premis makanan termasuklah Subway di sebuah pusat membeli-belah terkemuka (terkemuka di kawasan itu sajalah). Boleh tengok di sini

Lain-lain pesanan... makan itu jangan membuta-tuli. Jaga sikit hawa nafsu makan. Aku tengok kalau di KLCC itu masih berduyun lagi orang Islam makan di Chillis. Ingat-ingatlah kawan-kawan. Satu lagi kedai makanan Korea. Kalau tidak silap aku ada satu di Sunway Piramid yang kononnya dapat lesen halal daripada International Islamic Food Research. Ramailah juga orang Islam yang bedal makan di situ sebab tekak teringin nak merasa makanan Korea kan.

Kalau masakan Cina, Korea, Jepun ini... tahukah anda kebanyakannya pakai sup renehan (broth). Dan kalaulah itu makanan vegetarian pun... tidak semestinya tiada renehan sup ba alif ba ya... hah eja sendiri. Masak banyak pakai stok. Stok2 (macam renehan dalam bentuk pepejal itu hah... ke paste entah panggilnya) ini semua kalau tidak stok ikan bilis mesti stok ba alif ba ya atau pun stok wallahualam-lah kan. Pandai-pandailah beringat makan.

Kalau nak cerita pasal makanan ini memang panjang lebar. 8 hari pun belum tentu habis. Tetapi sebab ada hamba-hamba Allah yang sudi berkongsi artikel aku ini... jadi aku pun rasa sedikit terpanggillah kan nak jelaskan sedikit perihal ini. Dan terakhirnya... aku dah sampaikan tanggungjawab aku. Lain-lain itu anda pandai-pandai sendirilah.

Wallahualam.

Sambung baca...

Kategori:

Tuesday, November 16, 2010


_Teknologi semakin lama semakin moden.

Menulis entri sebulan sekali, bukan harapan saya.

Jadinya.

Sempena menyambut Aidil Adha 1413 Hijrah ini, saya dengan selamba malasnya segala sisa kudrat yang masih ada... telah menyediakan entri berbentuk audio yang macam entah apa-apa. Dan rakaman suara tersebut telah tergantung atas sebab sudah melebihi tempoh masa lima minit yang telah diperuntukkan.

Ah, menceceh pula.
Baiklah.
Nah.

Link telah dihapuskan sebelum 24jam setelah kesedaran sivik menjelma.
Haha. Maaf.

Salam Aidil Adha_

Sambung baca...

Kategori:

Wednesday, November 10, 2010


_Anda di dalam kategori yang mana satu?

Eh... eh tiba-tiba pula.

Ah, ini perihal kesesakan jalan raya. Macet menggila di Kuala Lumpur, terutamanya. Tahukah anda faktor-faktor kesesakan jalan raya sekiranya ditulis di atas kertas A4 dalam lapan kajang kertas pun belum tentu lagi habis. Panjang berjela lagi menceceh-ceceh. Dan salah seorang penyumbangnya adalah anda. Oklah... dan saya juga. Dan mereka juga. Ah, kita semualah pendek katanya.

Baiklah.

Mari senaraikan faktor-faktor kesesakan jalan raya... samada yang logik atau pun tidak logik, atau juga tidak bernas lagi tidak masuk akal. Ah, sinonim semuanya. Sama tetapi tidak serupa. Barangkali tidak serupa dari segi ejaannya. Barangkali juga dari segi bacaannya. Ya... barangkali. Dan mungkin juga tidak serupa dari segi....

Huzaimatus!

Ah, maaf ya... maaf.
Menulis dalam keadaan yang bersimpang-siur.
Tabiat buruk yang liat mahu tertanggal sejak azali.

Baiklah.

Senarainya seperti di bawah.

  1. Memandu pada kelajuan 60km ke 80km di laluan kanan. (Weh, bajet laju ke apa! *hantuk kepala ke stereng)

  2. Memperlahankan kenderaan sekiranya terdapat kemalangan. (Weh, takat nak tolong tengok je nak buat apa. Kalau concern sangat, pergilah tolong hantar ke hospital ke apa. Serabut ayam jalan itu dibuatnya)

  3. Polis trafik pelatih tidak cekap mengawal kesesakan lalulintas. (Sebab kerja tidak cekap, jadi kita cop saja polis itu sebagai polis pelatih. Aku tetap berperasaan yang lampu trafik adalah polis trafik yang terbaik berbanding manusia)

  4. Teragak-agak menukar laluan dari kanan ke kiri. (Bacalah bismillah. Aduhai)

  5. Menghalang laluan dengan cara memandu di atas dua laluan. (Tamak macam ayam! Macamana boleh lepas ujian memandu entahnya)

  6. Memandu sambil menjawab telefon atau membalas SMS. (Kalau tak boleh multitasking tu janganlah buat, ayam!)

  7. Tersesat jalan. (Kalau dah tau sesat tu tukarlah ke laluan paling kiri! Kurang kesedaran sivik betul)

  8. Tidak menepikan kenderaan apabila terlibat di dalam kemalangan yang kecil. (Woi, takat tercuit sikit je bumper depan pun nak kecoh! Bukannya calar. Hak alah. Kecoh macam ayam)

  9. Menunggang motor tengah-tengah di laluan kanan. (Ni lagi satu nak kena. Sengal macam ayam. *sambil menumbuk tanah bertubi-tubi)

  10. Bas dan lori memandu 20km/j ke 60km/j di laluan kanan (.... *tidak dapat terima kenyataan lalu terus berlari laju-laju sambil melanggar dinding)


Hah.

Maaf untuk segala ayat di dalam kurungan di atas. Nampaknya syaitan dan masyarakatnya telah berjaya menggenggam erat saya ke dalam pelukan mereka. Hangus terbakar sudah aku dibuatnya. Fu... fu. Kasihannya imanku yang lebih nipis daripada kulit Amoeba ini. T___T

Kiranya.

Saya beranggapan hampir semua penduduk di Kuala Lumpur berpotensi tinggi hampir 800% untuk menghidap penyakit darah tinggi, sakit jantung dan masalah keguguran rambut yang kronik. Ah, ya. Ini semua gara-gara tidak lain dan tidak bukan faktor-faktor kesesakan jalan raya yang tidak logik dan mungkin sekali-sekala logik di Kuala Lumpur ini. Masing-masing perangai macam ayam! Dan kebanyakan pemandu (bukan semua) yang plat kenderaannya bermula dengan 'J'... memang memandu macam syaitan. Salah seorangnya adalah saya.

Jadinya.

Anda di dalam kategori yang mana satu?

Saya yakin 800% anda dan saya termasuk di dalam golongan di atas_

Sambung baca...

Kategori:

Monday, October 18, 2010


_Ah, ingatkan sudah 365 hari tidak menulis.

Baru dua minggu rupanya.

Pasang surut dalam menulis beginilah kawan-kawan. Sekarang bukankah musim tengkujuh. Jadinya, faham-faham sahajalah ya. Ombak kerajinan itu datang menggila. Sekejap ada. Sekejap tiada. Setiap kali hujung tahun menjelma memang begini. Musim tengkujuh ada, musim mengawan ada.

Eh... eh, musim mengawanlah.

Dan macam biasa kerisauan pun melanda. Bukan aku yang dilanda kerisauan, tetapi orang-orang di sekeliling. Masing-masing dilanda kerisauan bilalah agaknya giliran aku mengawan mahu membina masjid. Risau ke? Risau ke? Risau ke? Marilah sabar bersama saya, ya.

Haha.

Manalah ada Homo Sapiens dalam dunia ini yang tidak mahu mengawan membina masjid kan. Masing-masing sudah tertulis jodohnya di Luh Mahfuz sana. Namun, yang membezakan setiap Homo Sapiens itu adalah cepat dan lambatnya bertemu jodoh. Aku bukan Tuhan. Kalau belum sampai jodoh, kenalah lebihkan lagi sabar dan puasanya kan. Takkanlah pula kena lebihkan masa ke hulu ke hilir mencari jejaka. (Eh... eh, Huzaimatus panas ke?) Eh, tidaklah. Steady... steady.

Oh, ya.

InsyaAllah, bulan enam tahun hadapan adalah giliran adik gadis saya membina masjid. Ya... ya. Giliran pertama dalam anak-anak pakcik Zulkefli ini. Perasaan saya? Masih steady dan bersahaja. Terasa sangat sayang mahu melepaskan satu-satunya adik gadis yang tercinta. Cumanya, terasa seperti serabut ayam juga mahu menguruskan majlis perkahwinan rupanya. Pelbagai perkara perlu diuruskan.

Oh, mahu datang?
Hah, jemputlah ya.
Datanglah... datanglah.

(Eh... eh seperti tidak ikhlas pula Huzaimatus ini)

Aku kan.

Berpesonaliti INTP. Jadinya, walaupun orang yang berpesonaliti INTP ini sedikit gila dan merepek perangai mereka, namun mereka adalah golongan yang mempunyai kehendak yang serba ringkas dalam (insyaAllah) segala hal. Memang sungguh ringkas dan mudah kehendak mereka ini. Mungkin bukan semua. Tetapi memang aku suka benda yang simple. Contohnya, seperti perabut-perabut di Ikea. (Eh... eh seperti tiada kaitan pula Huzaimatus ini)

Contohnyalah kan.

Aku kurang suka majlis perkahwinan yang meriah-meriah. Kalau boleh, biar makan ramai-ramai sambil duduk bersimpuh bawah khemah. Untuk menambahkan CGI yang lebih hebat, kita makan nasi dalam dulang (nasi ambang ek itu?) secara beramai-ramai. Barulah satu dalam seribu.

Makan beradab, bersanding, ambil gambar ramai-ramai dan apa-apa lagi yang boleh membuatkan pengantin jadi tumpuan ramai... tidak perlu ada. Tetapi kalau borak-borak bersama tetamu dari meja ke meja sambil memakan ABC, memang digalakkan. Funky, indeed.

Hah, lepas itu kita buat pertandingan membasuh pinggan ke periuk belanga ke secara beramai-ramai. Siapa kalah kena habiskan semua makanan yang berlebihan. Selepas itu, kita solat berjemaah secara beramai-ramai. Biar bergema 'Aminnnnnnnn' di kawasan perumahan itu. Barulah seperti membina masjid. Yes. Fun, indeed.

Cumanya kan.

Aku ada satu kerisauan kalau fikir bab perkahwinan ini. Tidak lain tidak bukan, macamana mahu jadi isteri yang solehah. Isteri yang tidak cepat naik angin. Isteri yang tidak suka mengeluh. Isteri yang pandai menjaga diri, rumahtangga dan auratnya. Isteri yang masih boleh menjaga ibu dan ayahnya walaupun sudah berkahwin. Isteri yang masih boleh membeli komik di Kinokuniya, menonton drama Korea online dan makan ABC serta Choki Choki walaupun sudah berkahwin. (Eh... eh!)

Haha.
Risau tidak risau jugalah.
Cuma tidak mampu nak menjangkau akal memikirkannya.

Benda belum jadi kan. Lagi satu, dulu sewaktu muda-muda remaja, aku selalu pesan diri sendiri mahu menyuruh ibu dan ayah yang carikan jodoh, tetapi bila sudah ternampak realiti di hadapan mata ini, serius cakap memang tidak boleh. Seram weh. Orang tidak kenal. Entah siapa-siapa.

Orang yang kenal pun aku masih seram-seram kuku. Kawan-kawan yang baik hati mahu tolong carikan pun aku tolak jauh-jauh. Seram weh. Orang tidak kenal. Entah siapa-siapa. Lagi satu, saya tidak rasa saya memilih. Tetapi, penafian sebaliknya oleh kawan-kawan saya. Kah... kah... kah. Ah, tunggu sahajalah Allah lembutkan hati besi saya ini.

(mendengus lebih baik daripada mengeluh)

Sesungguhnya, ini memang entri yang langsung tidak sihat dan langsung tidak berfaedah.

1 saat... 2 saat... 8 saat.

Kewarasan sudah menjelma selepas menelan sebiji pil Buscapon dan Ponstan. Maaf, ya. Saya kurang sihat hari ini. Apa yang aku taip di atas tadi ha? Padam balik... padam balik.

Tolong padamkan balik dari kepala anda, ya_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, September 30, 2010


_Hai... hai.

Bertemu kita sekali lagi dalam rancangan memasak 'Keletang Keletung'.

Bersama pengacara anda yang tidak asing lagi untuk minggu ini, iaitu tidak lain dan tidak bukan adalah... sayalah. Iyalah. Pastilah saya. Siapa lagi kan. Tidak mungkinlah anda pula kan. Tetapi jika anda berminat untuk menyertai rancangan memasak 'Keletang Keletung' bersama saya untuk hari-hari lain, hah marilah... dipersilakan juga.

Baiklah.

Sebelum itu, kita perlu memasang lagu latar untuk rancangan memasak ini ya para penonton. Untuk minggu ini, saya perdengarkan lagu nyanyian IU bertajuk Marshmallow. Comel lagu ini. Marshmallow... marshmallow... nomu chua... chua! Sudah itu, Huzaimatus. Beradab sedikit.

Ah, maaf ya.

Baik, mari mulakan.

Hari ini saya mahu berkongsi resipi kek batik ibu saya. Sepertimana yang anda tahu, resipi kek batik ini ada pelbagai cara dan bahannya. Ada yang tidak perlu dimasak dan terus dikeraskan di dalam peti sejuk. Dan ada juga yang perlu dimasak. Ikut kreativiti masing-masing ya para penonton.

Tiada garis panduan khas yang perlu diikuti dalam membuat kek batik. Semua resipi kek batik di seluruh dunia ini adalah betul. Tetapi, bukan semuanya sedap. Ya, ini perlu diambil perhatian ya para penonton. Bukan semuanya sedap. Oleh itu, marilah kita berusaha membuat kek batik yang sedap.

Oh ya.

Selain daripada itu, kek batik yang terhasil ini bergantung juga kepada cara anda memakai kain batik, kualiti kain batik dan teknik membasuh kain batik ya para penonton. Ok. Tanpa melengahkan masa yang memang sudah lama terlengah ini, saya mahu berkongsi resipi kek batik ibu saya yang sangat sedap sepertimana yang digembar-gemburkan oleh rakan-rakan saya. Saya harap sedaplah. Sama-samalah kita berkongsi ya.

Bahan-bahannya

- 5 biji telur ayam.
- 3 senduk gula pasir
- 3 senduk butter
- 4 senduk Milo
- 3 senduk serbuk koko
- 1/2 tin susu pekat
- 1 sudu kecil esen Vanilla
- 1 peket besar biskut Marry (telah dipatah empat setiap satu)
- 1 bekas besar (telah dialas plastik dalamnya)

Cara-caranya

  1. Masukkan kesemua butter, gula, telur, serbuk Milo, serbuk Koko, susu pekat dan esen Vanilla ke dalam satu periuk besar.
  2. Pukul, kacau dan ratakan semua bahan-bahan tadi.
  3. Panaskan atas api yang kecil atau sederhana lebih kurang 3 minit.
  4. Masukkan biskut Marry yang telah dipatahkan dan kacau sehingga rata.
  5. Kacau kesemua bahan-bahan itu lebih kurang seminit dua (jangan lama-lama).
  6. Masukkan bahan-bahan tadi ke dalam bekas.
  7. Ambil satu plastik dan ratakan bahan bancuhan tadi dengan tangan anda.
  8. Ratakan dan tekan-tekan sehingga mampat di dalam bekas tadi.
  9. Simpan di dalam peti sejuk, tunggu sehingga sejuk dan keras.
  10. Keluarkan, potong dan makan.


Bahan-bahan itu anda boleh 'trial and error'. Jika tidak mahu terlalu manis, kurangkanlah sukatan gula. Kalau saya, serbuk Milo memang saya lebihkan. Haha. Maklumlah, saya adalah hantu Milo. Sedap betul kalau ada serbuk Milo yang terlebih dalam itu.

Oh, ya.

Bekas itu saya letakkan plastik supaya mudah anda mahu keluarkannya untuk dipotong. Jangan anda pergi potong dalam bekas itu macam yang saya selalu buat. Habis berbirat bocor bekas itu nanti. Lagipun kalau anda letakkan plastik, lebih senonoh dan bersih sedikit bekas itu. Sedikit sememeh jika anda main longgokkan sahaja di dalam bekas itu. Teknik ini, ibu yang ajar. Kalau anda tidak berminat nak ikut, apa ada hal. Saya tidak kisah. Haha.

Oh, ya.

Nana, kek batik yang kau makan tempoh hari itu aku rasa aku terkurang letak gula. Sebab rasa butter dan telur itu agak kuat di hujung lidah aku ini. Haha. Sejak minat menggila nak memasak ini, memang deria rasa lidah ini agak sensitif. Laju juga ia mengenalpasti apa yang kurang dalam sesuatu masakan itu. Ini semua gara-gara sudah terbiasa dengan masakan ibu yang tiada tandingan.

Ah, ya.

Sebab itulah saya jarang makan di luar. Lagipun kadangkala sedikit kembang tekak menyinggah ke kedai yang kurang bersih. Mahal pula kadangkala. Rasa makanan itu tidak setimpal dengan harganya kadangkala. Ya... ya. Sebab itulah kena belajar masak sendiri ya para penonton. Berikutnya mahu mencuba ddeokboggi (Korean spicy rice cake) pula. Macam senang. Cuma gunakan kueyteaw saja. Sama-samalah kita nantikan keberkesanannya ya.

Oklah.
Lagu latar pun sudah lama habis.
Selamat mencuba dan rajin-rajinlah memasak.

Bertemu lagi lain kali dalam rancangan memasak 'Keletang Keletung'_

Sambung baca...

Kategori: ,

Sunday, September 19, 2010


_Haahlah.

Saya belum cerita sambutan Syawal tahun ini rupanya.

Tetapi kesimpulan untuk sambutan Syawal tahun ini di Kluang adalah sangat tidak disangka-sangka. Memang sungguh tidak dijangka. Tetapi jangkaan ini bukannya jangkaan yang meleset. Sebaliknya, ini adalah jangkaan yang er... apa ya perkataan berlawan bagi meleset. Hah, itulah dia. Jangkaan yang tidak meleset.

Tahun ini sangka saya tiada sebarang daun ketupat yang bakal dianyam. Sangka saya lagi kewujudan burasak pun sudah dilupakan buat kali ini. Sangka saya lagi bukan semua anak-anak dan cucu-cucu atuk kembali ke kampung pada hari raya tahun ini. Dan sangkaan saya yang terakhir, masak-masak secara besar-besaran dan kuih-muih juga mungkin tidak meriah pada tahun ini.

Rupa-rupanya....

Hah.
Memang tidak disangka-sangka.
Inilah yang disebut orang putih, 'Expect the unexpected'.

Pada mulanya cuma ada beberapa ketul silinder ketupat nasi sahaja yang sudah dipesan oleh orang-orang tua. Alih-alih itu sehari sebelum raya ketika semua anak-anak dan cucu-cucu atuk sudah berada di kampung, tiba-tiba datanglah timbunan daun pucuk pisang muda untuk membuat burasak. Kemudiannya, tiba-tiba juga datanglah timbunan daun kelapa untuk membuat ketupat bawang dan datanglah juga daun palas.

Nah, ambil kau.

Bertimbun-timbun burasak dibuat. Itu pun masih banyak lagi daunnya yang berlebihan. Kemudiannya, bertimbun juga menganyam daun ketupat bawang. Dan juga tidak dilupakan adalah ketupat palas. Memang terbaik. Hilang rasa gian rindu-merindu mahu menganyam daun ketupat.

Dan tahun ini, meriah sebab kami berpeluang berbuka puasa pada hari terakhir berpuasa secara beramai-ramai sambil membuat bacaan tahlil. Er, terasa seperti itu adalah struktur ayat yang sangat berterabur. Ah, abaikanlah. Apa-apa pun hari terakhir berbuka bersama memang terbaik. Pendek kata dari mula sampai habis pun memang terbaik.

Perihal pagi raya.

Tahun ini, hampir semua gambar raya adalah dipenuhi dengan gambar-gambar linangan air mata ketika bersalaman dan bermaafan. Dan tahun ini adalah satu-satunya tahun di mana kami langsung tidak ke mana-mana untuk beraya. Cuma duduk sahaja di kampung sambil menunggu orang datang beraya. Lagipun pada tahun lepas sudah beraya sakan ke hulu ke hilir beraya di rumah sanak-saudara. Jadi disebabkan itulah agaknya tahun ini kami lebih suka melepak di rumah sahaja.

Perihal duit raya.

Agak kah kah kah juga. Maklumbalas mereka memang positif kan. Seperti di dalam entri Kisah Syawal Bahagian 2 itu. Maaflah. Tahun ini ekonomi sedikit merosot. Dan macam biasa kalau membeli sampul duit raya itu, aku mesti beli sampul duit raya yang reka bentuknya betul-betul seperti spesimen duit kertas yang sebenar. Barulah lebih awesome.

Perihal gosip-gosip raya.

Biasalah. Untuk mereka yang masih belum berdua itu pasti akan bertubi-tubi diaju soalan keramat 'Bila mahu kahwin' kan. Tetapi pada tahun ini, kebanyakan soalan-soalan tersebut telah berubah format seperti begini, "Tak ada sesiapa yang kau berkenan ke?". Atau pun, "Tak ada sesiapa yang berkenan dekat kau ke?". Begitulah lebih kurang. Walau apa-apa pun, jawapan aku tetap mengikut skima jawapan STPM 1999 iaitu gelak sahaja dalam iman. Baiklah, mari kita laju-laju meninggalkan topik ini.

Perihal drama dan filem raya.

Sedikit menyampah jugalah mahu menonton televisyen. Tidak habis-habis dengan filem-filem hantu. Tayang cerita hantu tetapi takut dengan hantu. Kalau buat penonton itu jadi berani dengan hantu bagus juga, ini tidak. Hai, apalah. Mujur ada Astro di kampung. Hari-hari pun boleh layan AXN atau pun KBS World. Oh, tetapi pada tahun ini drama Lillah ditayangkan semula. Itu sahajalah drama yang mampu memecahkan paip air di dalam mata saya. Tengok lapan juta kali pun tetap sedih.

Perihal raya beraya.

Saya tidak membuat rumah terbuka pada tahun ini. Tetapi jika anda datang beraya, insyaAllah pintu itu terbuka dengan sendirinya. Tahun ini seperti kekurangan perasaan mahu beraya ke mana-mana. Larat sekadar beraya ke rumah saudara-mara sahaja. Tetapi jika ada kawan-kawan yang membuka pintu rumahnya, jemputlah. InsyaAllah saya akan cuba memanjangkan ligamin kaki ini untuk ke rumah anda.

Akhir kata, puasa jangan lupa ganti ya.
Akhir kata lagi, puasa enam kalau mampu buat... buatlah.
Akhir kata lagi dan lagi, jaga perut baik-baik di musim perayaan ini.

Tamat sudah_

Sambung baca...

Kategori:

Saturday, September 18, 2010


_Nuffnang.

Anda tahu apa itu Nuffnang?

Tidak. Ia tiada kaitan dengan saudara Saiful Nang, seorang jurugambar perkahwinan yang popular itu. Nuffnang ini... aku pun tidak tahu. Tetapi, aku teka Nuffnang ini adalah iklan yang boleh diletakkan di laman sesawang anda dan kemudiannya jika diklik secara kerap oleh pelawat, anda akan memperoleh money... money... money.

Agaknyalah.

Suatu hari itu ayah dan emak bertanya.

"Zai pernah dengar Nuffnang?"

Eh, hairan pula ayah dan emak boleh tahu perihal ini.

"Pernah, ayah. Dia iklan-iklan je. Kenapa?"
"Kau tak ada ke Nuffnang ini?"
"Ada emak. Tapi serabut nak letak iklan di blog."
"La, cubalah letak. Buat website elok-elok biar berfaedah lepas itu letak."
"Er, kenapa kena letak mak?"
"Yelah. Kan boleh dapat duit. Yang buat Nuffnang ini pun budak je."
"Oo. Alahai mak. Macam leceh je nak letak iklan itu."
"Yang kau ni buat blog tulis benda-benda tak berfaedah. Macamana nak elok."

Tergelak besar aku dengar perkataan 'tulis benda-benda tidak berfaedah' itu. Hebat emak ini. Memang tidak berfaedah pun blog ini. Cuma itulah. Perihal Nuffnang ini sampaikan mak dan ayah pun tahu. Hairan juga. Aku sendiri pun tidak berapa arif tentang Nuffnang ini sebenarnya. Akaunnya ada. Cuma serabut ayam mahu meletakkan papan iklan di blog. Lagi satu, macamlah ada orang yang nak klik nanti kan (mentaliti negatif ini... adik-adik jangan tiru di rumah ya).

Tetapi kan.

Betul-betul kaya ke kalau ada Nuffnang itu? Dapat ke duit beratus-ratus? Dan soalan terakhir yang paling pentingnya... apa bendalah si Nuffnang ini sebenarnya ek? Musykil lagi mengelirukan sungguh. Lepas itu, apa maksud Nuffnang itu? Lepas itu lagi, kenapa Saiful Nang tiada kaitan dengan Nuffnang? Lepas itu lagi dan lagi, kenapa emak dan ayah aku boleh tahu perihal Nuffnang ini tetapi aku tidak tahu pun?

Hah.

Cuba tolong jawab sikit sesiapa di sana_

Sambung baca...

Kategori:

Friday, September 17, 2010


_Berapa ringgit anda (yang layak) memberi duit raya pada tahun ini?

Lima ringgit?
Sepuluh ringgit?
Lima puluh ringgit?

Saya... lagi banyak.

Lima puluh sen dan lima puluh sen. Hah. Berat bukan?

Untuk budak-budak kecil sahaja pun. Suka-suka bagi. Apa ada hal. Tetapi kan, semasa zaman saya setinggi anak pokok pisang dahulukala, jika peroleh duit syiling sebagai duit raya memang sudah terasa seperti dunia di hujung jari. Boleh beli apa sahaja. Maklumlah, duit syiling bukankah berat berbanding duit kertas yang senang hilang melayang jika ditiup angin bayu. Itu zaman Tora dan cokelat DingDang pada suatu masa dahululah.

Kaya doh!

Eh... eh tidak boleh cakap macam itu. Terlalu hip hop dan kelihatan seperti miskin akhlak pula. Tarik balik. Gunakan ayat itu di belakang tabir sahaja, ya Huzaimatus. Harap dapat tunjukkan contoh tauladan yang sedikit molek untuk mereka di sini. Baiklah... baiklah. Sambung. Duit syiling memang sedikit disanjung tinggi oleh saya sewaktu zaman Tora dan cokelat DingDang pada suatu masa dahulu.

Tetapi kan.

Jika dibandingkan zaman Tora dan cokelat DingDang dengan zaman PSP serta Wii ini memang jauh benar perbezaannya. Memang tidak boleh lawan. Bagai langit dan bumi. Bagai cuka dan keju. Bagai daging ayam dan daging lembu. Bagai mayonis dan cincalok. Bagai ikan kering dan....

Hoi, sudah itu sudah!

Ah, maaflah.

Terleka pula saya. Hah perihal duit raya. Tahun ini hampir semua sepupu sepapat yang kecil-kecil dan anak-anak saudara yang kecil-kecil juga saya hulurkan duit syiling. Ya. Duit syiling ini tidak lain dan tidak bukan adalah duit syiling seplastik yang beratnya hampir mencecah sepuluh kilogram. Seplastik duit syiling yang tidak berjaya diusung ke mana-mana bank berdekatan ketika bulan Ramadhan yang lalu. Ini adalah disebabkan er... kesuntukan masa dan kekurangan kudrat untuk mengusungnya ke bank. Alasan... alasan.

Walau bagaimanapun, saya mendapat pelbagai jenis respon yang saya yakin memang seratus... dua ratus... tiga ratus peratus positif ketika memberi duit raya pada tahun ini. Hah. Tahukah anda apa respon mereka? Mari kita sama-sama saksikan petikan di bawah.

"Apa? Duit syiling? Alaaaaaa...."
"Alahai, duit syiling je?"
"Alah, tak naklah duit syiling."
"Tak bestlah duit syiling."
"Seringgit je? Syiling pulak itu."
"Beratlah."

Hah.

Boleh tahan positif kan_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, September 16, 2010


_Tidak tahulah mengapa.

Yang namanya kalau berbunyi Huzaimatus sahaja memang begini.

Ada sahaja kejadian-kejadian yang tidak berapa logik yang akan terjadi kepadanya. Kemungkinan besar agaknya disebabkan itulah aku belum pernah jumpa Homo Sapiens yang sama nama macam aku. Barangkali perangai pun sama pelik. Sudahlah makna Huzaimatus pun tidak diketahui.

Ah, abaikan perihal itu sebentar.

Ini kisah pada satu hari di bulan Syawal.

Hari itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kluang, kedua-dua belah tayar hadapan kelihatan seperti suam-suam kuku sahaja dia punya mengembang. Mata kasar yang memandang akan nampak seperti tayar itu mengempis. Mata halus yang menjeling pula akan nampak seperti tayar itu mengembang.

Akhirnya, ayah menggesa tayar itu dipam angin lagi.

Dengan tekanan 220, aku buka punat angin tayar itu. Aku pam. Kset... kset... kset. Selesai. Aku tukar tayar berikutnya. Ayah memandang pelik di sebelah sambil bersuara.

"Eh, belum bunyi ting lagilah dia punya tayar itu."
"Tapi dah berbunyi angin keluar ini, ayah."

Ayah memandang aku. Aku pun memandang ayah.

"Ya Allah budak ini, tunggu sampai ada bunyi ting barulah angin penuh."
"Laaa ya ke? Selama ini saya pam angin sampai bunyi angin keluar je."
"Astaghfirullahalazim budak ini. Patutlah kempis je tayar ini."

Ayah menggeleng sahaja.

La, selama ini aku pam angin memang macam itu sahaja. Patutlah terasa pelik macamana orang pam angin boleh keluar bunyi ting. Aku tak pernah dengar pun bunyi itu selama mengepam tayar ini. Aduhai. Patutlah selama ini tayar kereta itu nampak kempis sahaja. Belum cukup angin rupanya. Hah. Bukan takat belum cukup. Tapi memang tidak pernah cukup rupanya angin dalam tayar itu. Maknanya selama tiga ke empat tahun berkereta ini memang salah rupanya cara aku mengepam angin.

Hak alah hai si Huzaimatus ini.

Akhirnya sampai ke hari ini ayah asyik membahan sahaja perihal mengepam angin tayar itu. Isk... isk. Mujur ayah ada hari itu nak memperbetulkan cara mengepam angin. Kalau tidak, sampai mati pun aku pelik kenapa tidak pernah ada bunyi ting keluar semasa mengepam angin.

Hak alah hai si Huzaimatus ini.

Foul betul_

Sambung baca...

Kategori:

Friday, September 03, 2010


_Ucapan raya sudah bermula.

Selamat hari raya... selamat hari raya.

Syawal 1431H

Ehem... ehem.

Bilakah anda mula bercuti raya?
Berapa lama pula anda memohon cuti raya?
Saya... Rabu hadapan baru pulang ke Kluang, insyaAllah.

Pulang ke Kuala Lumpur kemungkinan besar hari Isnin berikutnya. Tengoklah. Kalau malas nak balik ke Kuala Lumpur... duduk sahaja sehingga puas. Boleh mengejar angsa, itik dan ayam lagi. Kah kah kah. Tahun ini dengar khabar orang-orang tua di kampung semua sudah kurang kerajinan mahu merebus ketupat. Sedih.

Kerana....

Ini memang perkara yang paling menyedihkan buat saya. Ini kerana saya adalah seorang penganyam tegar ketupat nasi dan ketupat palas. Burasak pula sudah dua tahun rasanya tidak buat. Bekalan daun pisang muda sudah tiada. Jadinya terpaksa memesan dari saudara di Benut sana. Haih, makin tidak berseri acara memasak tahun ini.

Tidak mengapalah.

Jika anda memerlukan khidmat menganyam daun ketupat, call me~~

Eh... eh gediknya si Huzaimatus ini.

Baiklah.

Saya rasa ini entri terakhir sebelum Syawal menjelma. Jadinya, sepuluh jari yang alhamdulillah sempurna ini saya hulurkan kepada anda sebagai tanda memohon maaf di atas segala kesalahan, keterlanjuran kata, terpukul, terkeluarkan ayat keji dan sebagainya samada disengajakan atau memang tidak disengajakan. Saya harap saya tidak membawa pengaruh buruk di dalam kehidupan anda ya.

Ah, ya.

Saya berharap juga agar saya tidak akan dapat duit raya lagi pada tahun ini. Malulah. Sudah besar seperti gajah masih boleh dapat duit raya lagi.

Ah, ya lagi satu.

Jika anda mahu beraya ke rumah saya nanti, call me~~

Ya Allah, gediknya si Huzaimatus ini.

Baiklah... baiklah.
Saya akhiri ucapan dengan pantun di bawah.

Pecah kaca,
Pecah gelas,
Sudah baca,
Harap balas.

Maaf zahir batin ek_

Sambung baca...

Kategori:

Wednesday, September 01, 2010


_Hai.

Nah, sedikit kasih sayang.

Under 15

(Huzaimatus, gambar miang apa yang kau lukis ini hah!)

Ah, lukisan itu cuma untuk adik-adik berumur 15 tahun ke atas ya. Kalau bawah dari 15 tahun memang tidak boleh tengok. Tidak berapa nak sopanlah adik-adik. Maaf ya adik-adik. Kakak Huzaimatus ini kalau bulan puasa memang begini perangainya. Lain macam betul dia punya perangai. Nanti bila syaitan semua sudah dilepaskan barulah kakak Huzaimatus itu kembali normal semula.

(Jadi, sebenarnya siapakah yang lebih syaitan di sini?)

Ah, sebenarnya.
Mahu cerita... mahu cerita.
Ini kisah Ramadhan kakak Huzaimatus bahagian kedua untuk adik-adik.

Ceritanya bermula begini....

Perihal masalah kewangan kakak Huzaimatus sebenarnya. Sejak bulan lepas sehingga bulan ini kan adik-adik, kakak Huzaimatus dilanda masalah kewangan yang gila hebat. Menggila jugalah kakak Huzaimatus hidup dengan jumlah duit di tangan dan di dalam bank yang tidak seberapa nilainya. Ini bukan lagi tahap kesempitan wang, malah sudah mencecah tahap tersepit wang. Alhamdulillah bulan puasa ini tidak perlu mengikat perut kerana perut sememangnya sudah terikat.

Ah, bukannya apa adik-adik. Perihal kewangan kakak Huzaimatus ini tidak perlu adik-adik hiraukan. Kes begini memang biasa terjadi kepada kakak Huzaimatus. Sejak turun-temurunlah pendek katanya. Sehinggakan kakak Huzaimatus sudah tidak berasa gusar dan gundah-gulana langsung. Malah, jika wang di tangan mahupun di bank sudah tinggal lebih kurang RM20 pun kakak Huzaimatus masih boleh hidup selamba lagi secara senyap-senyap. Ah, kakak Huzaimatus tidak hebat. Tidak mahu mengaku hebat ya adik-adik. Tidak bagus. Ujub itu perlu dijauhi. Kakak Huzaimatus sudah ingatkan berkali-kali bukan.

Tambahan pula.

Kakak Huzaimatus memang memandang sedikit rendah terhadap duit. Dahulu kala memang kakak Huzaimatus terasa sukar hidup tanpa duit. Ibarat duit itu satu keperluan. Sekarang pun kakak Huzaimatus rasa memang duit itu masih lagi diperlukan. Cumanya adik-adik, kasta duit itu telah turun menjadi tahap kehendak sahaja bagi kakak Huzaimatus sekarang ini. Bukannya apa adik-adik. Kakak Huzaimatus sangat yakin bahawasanya duit itu mampu hidup melata dan membiak dengan pesatnya pada bila-bila masa dengan izin Allah. Allah Maha Pemurah. Dia sahajalah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia mahu dan pada bila-bila masa. Yakinlah dengan Allah ya adik-adik.

Jadinya.

Disebabkan itulah kakak Huzaimatus tidak berasa gusar. Cuma kadangkala memang kakak Huzaimatus hidup dalam keadaan yang boleh tahan agak mencemaskan jugalah. Ini kerana untuk mengisi minyak pun kadangkala agak kesempitan wang. Isi sebanyak RM20 pun boleh tahan sampai berapa jauh sahaja bukan. Maklumlah, hidup di bandar Kuala Lumpur ini memang agak melambung-lambung juga kos kehidupannya. Walau bagaimanapun, kakak Huzaimatus masih lagi jatuh dalam golongan kelas pertengahan. Hidup secara biasa-biasa dan sederhana sahaja sudahlah kan adik-adik.

Eh, cop... cop.

Sebenarnya apa yang kakak Huzaimatus mahu cerita bukannya ini. Panjang berjela meleret-leret perginya. Maafkan kakak Huzaimatus ya adik-adik. Kakak Huzaimatus kalau sudah lama tidak menulis memang sentiasa get carried away hasil tulisannya. Berkajang-kajang mukadimah. Lambat betul mahu sampai ke perkara utamanya. Alah, macamlah adik-adik tidak biasa kan dengan kakak Huzaimatus ini.

Begini ya adik-adik.

Pada suatu hari itu kan, duit kakak Huzaimatus tiba-tiba sudah tinggal negatif di dalam bank. Dan untuk dijadikan cerita pula, suatu hari itu ayah kakak Huzaimatus meminta tolong supaya menambah nilai kredit telefonnya. Alah, top up lah adik-adik. Lebih kurang RM50 nilai harga top up yang ayah kakak Huzaimatus minta tolong tambahkan. Kakak Huzaimatus pun apa lagi, angguk dan terus masuk ke maybank2u.

Di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu.

Mana lepas mahu menambah nilai kredit telefon ayah kakak Huzaimatus sebanyak RM50. Cek yang kakak Huzaimatus masukkan masih lagi terapung-terapung sehari di dalam bank. Belum bertukar menjadi duit lagi. Kakak Huzaimatus pun bertawakal sahajalah sambil mendaftar masuk ke dalam maybank2u. Gantung hati kepada Allah. Di dalam kepala pula sudah berkira-kira mahu menyediakan alasan munasabah untuk melewatkan top up ayah kakak Huzaimatus. Cadangnya mahu membuat esok pagi kononnya.

Tiba-tiba kan.

Kakak Huzaimatus sangat terkejut apabila melihat baki sebenar akaun bank kakak Huzaimatus. Lebih kurang beberapa ribu ringgit telah berada dengan selamatnya di dalam akaun kakak Huzaimatus. Malah, cek yang masih lagi floating sehari itu pun masih setia belum ditunaikan. Kakak Huzaimatus sudah keliru. Ini... duit dari mana ini. Ada sesiapa yang tersalah masuk ke dalam akaun kakak Huzaimatuskah agaknya.

Keliru... keliru.

Kes begini bukan sekali pernah terjadi kepada kakak Huzaimatus. Kakak Huzaimatus musykil juga ini, ada sesiapa yang dikenakan dam (denda) lalu menghadiahkan sejumlah besar duit kepada kakak Huzaimatuskah? Dari mana datangnya duit ini entahnya. Kakak Huzaimatus pun tidak pasti samada ini adalah hak kakak Huzaimatus atau pun tidak. Musykil sungguh. Sehingga sekarang kakak Huzaimatus keliru. Entah mahu pulangkan kepada siapa agaknya.

Tapinya.

Dalam kekeliruan itu, kakak Huzaimatus sudah selamat meminjam sedikit dari sejumlah wang itu untuk menambah nilai kredit ayah kakak Huzaimatus. Selebihnya masih lagi di dalam bank. Siapa pula yang baik hati termasukkan duit beribu-ribu ke dalam akaun kakak Huzaimatus ini entahnya. Musykil... musykil. Adik-adik musykil tidak? Adik-adik tolonglah sama berasa musykil dengan kakak Huzaimatus ya. Barulah terasa seperti ringan sama dijinjing berat sama dipikul bukan.

Apa-apa pun.

Kakak Huzaimatus rasa jika dua ratus peratus hati sentiasa bergantung kepada Allah, mungkin ada banyak lagi kes-kes begini boleh terjadi. Eh, bolehkah kakak Huzaimatus meletakkan prasangka begini agaknya? Kakak Huzaimatus ini bukannya berperangai baik pun sehingga senang-senang sahaja boleh murah rezeki dihadiahkan duit berkepuk-kepuk begitu.

Ke... adakah Allah sengaja mahu menguji kakak Huzaimatus dengan kesenangan yang datang secara tiba-tiba di kala kesempitan wang melanda dengan teruknya ini. Entahlah... entahlah.

Cuma yang paling kakak Huzaimatus rungsing adalah....

Duit itu.
Adakah ianya benar-benar.
Hak kakak Huzaimatus ek adik-adik.

Musykil yang menggila juga ini_

Sambung baca...

Kategori:

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.