Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Tuesday, October 27, 2009


_Suatu hari yang lepas-lepas.

Kunci kereta aku hilang lagi.

Bukan hilang. Tersalah letak sebenarnya. Yang entah ke mana-mana duduk letaknya kunci kereta itu. Belakang pintu mungkin. Atau dalam bilik. Atau dalam almari. Atau dalam timbunan buku. Atau mana-mana sajalah yang boleh diduduk letakkan kunci kereta itu.

Tapi.

Seandainya kunci kereta aku hilang lagi, biasanya belakang pintu sajalah yang akan jadi lokasi default tempat bersemayamnya kunci kereta. Tak kiralah itu imaginasi aku atau kunci itu betul-betul ada di situ.

"Zai, kunci kereta mana?"
"Ada dekat belakang pintu itu, ayah. Saya letak tadi."
"Tak ada. Bayangan Zai je itu."

Haha.

Ayah dah tak percayakan aku lagi.

Anak sulungnya ini suka berimaginasi. Sejak peristiwa ini, ayah lebih berhati-hati. Dan lebih serik. Bukan terhadap kunci. Tetapi, terhadap anaknya. Anaknya yang sangat careless whisper mistake ini.

-_-"

Kunci kereta aku hilang lagi.

Bukan hilang. Tersalah letak sebenarnya. Yang entah ke mana-mana duduk letaknya kunci kereta itu. Belakang pintu mungkin. Atau dalam bilik. Atau dalam almari. Atau dalam timbunan buku. Atau mana-mana sajalah yang boleh diduduk letakkan kunci kereta itu.

Tak... tak.

Kunci kereta aku tak hilang lagi.

Cuma, agak fascinating memori kepala ini bekerja. RAM kepala aku cuma ingat perkara-perkara yang ia mahu ingat saja. Yang aku mahu ingat, tak mahu pula RAM ini ingat. Itu yang aku jadi tak ingat serba serbi itu. Kami berdua macam tak ada chemistry. Tapi, masih dalam rumah yang sama. Bila RAM dan empunya diri sudah bukan in a relationship, memang agak menyulitkan keadaan. Complicated.

Faham tak_

Sambung baca...

Kategori:

Tuesday, October 27, 2009


_Ini iklan.

Blog siapa yang aku suka lawat hari-hari?
Blog kereta mayat

Blog siapa yang aku buka pertama sekali?
Blog kereta mayat

Blog siapa yang aku baca berkali-kali?
Blog kereta mayat

Blog siapa yang aku tak bosan-bosan dengan dia punya entry?
Blog kereta mayat

Ya.
Blog kereta mayat

Blog yang boleh kata hari-hari, berjam-jam, berminit-minit dan bersaat-saat aku sanggup menghadap mengaut ilmu akhirat. Kalau rajin, bacalah dari arkib pertama beliau.

Mungkin ada sebahagian yang awal-awal lagi sudah terasa semacam bosan gila baca blog berunsur alam akhirat. Memang akan ada. Tak dinafikan. Dulu aku pun macam itu juga. Dan sekarang pun masih macam itu juga. Isk....

Tapi kalau Allah berkehendakkan hambaNya menjadi orang baik, sudah tentu hati hambaNya pun dibuka dan diberi laluan cahaya menuju ke arah menjadi orang baik. Harapnya macam itulah.

Tapi.

Kalau sikit pun tidak terbuka pintu hatinya, mungkin sudah patut letak perasaan ngeri rasanya itu. Sangat bahaya. Jika Allah tak tunjukkan jalan.

Apa-apa pun.
Jenguk dan bacalah blog kereta mayat itu.

Mungkin bahasanya macam kasar sedikit. Tapi, aku rasa itu antara blog agama yang ditulis dari hati yang ikhlas. Bukan copy paste. Kalau nak ajak orang belajar ilmu akhirat ini, percayalah memang bukan kerja mudah. Maklumlah, setiap orang kan ada satan yang sentiasa bersama dengannya. Hari-hari kerjanya bisik membisik perkara-perkara yang tidak mendatangkan kebaikan.

Dan.

Kalau nak baca perihal agama ini, aku lebih suka baca karya-karya yang digarap sendiri dari hati dan pemahaman sendiri. Kalau copy paste dan letak sekajang ayat Al-Quran tanpa penghuraian dekat situ aku pun jadi boleh tahan liat dan malas nak membacanya. Baik aku baca buku agama yang jual murah-murah dekat Pustaka Sarjana di Carefour, misalnya. Boleh pegang. Baca sebelum tidur. Sampai tertidur.

Tengok.
Betapa kuatnya hasutan satan.
Supaya terasa liat nak mencari ilmu-ilmu agama.

Apa-apa pun. Karya kamu, milik kamu. Siapalah aku nak pertikaikan setiap yang ditulis kamu. Suka hati kamulah nak tulis apa benda apa pun. Cumanya. Setiap tulisan itu tulislah daripada hati yang bersih kalau boleh.

Sesungguhnya.
Sesuatu yang datang daripada hati akan tetap turun ke hati juga.

Ah, panjanglah pula bebel.

Dah.

Sila baca satu entri blog keretamayat setiap hari sebelum kamu dinaikkan ke dalam kereta mayat.

1 entry perday,
will keep the satan away
.

Ingat itu.

1 entry perday,
will keep the satan away
.

Lepas itu.
Bila dah lembut sikit hati, pergi baca Quran hari-hari pula.

1 page perday,
will keep the satan away
.

Lama-lama lembutlah hati itu.
Putihlah hati itu.

Sesungguhnya, al-Quran itu ibu segala ubat. Kalau sakit hati, pergi baca sehelai muka surat Al-Quran. Kalau rasa nak menangis, pergi baca sehelai muka surat Al-Quran. Kalau rasa macam dalam kesusahan, pergi baca sehelai muka surat Al-Quran.

Bila dah rajin, naik taraf sikit.

5 pages perday,
will keep the satan away.


Lepas itu.

10 pages perday,
will keep the ketua satan away.


Berusahalah untuk cuba.

Aku promot blog brader kereta mayat itu bukannya apa. Sebab aku rasa aku dan kamu semua ini ada je perangai malas nak baca buku-buku agama. Semuanya konsep di hujung jari. Kalau tak ada di hujung jari memang malaslah jadinya. Nak bangun dan letak di hujung jari pun malas. Nak mencari ilmu-ilmu agama lagilah malas.

Tak apa.
Itu normal.
Manusia memang macam itu.

Tapi.

Berusahalah untuk cuba.
Berusahalah untuk cuba.
Berusahalah untuk cuba.

Dah.

Oh, ya. Encik kereta mayat tak bayar aku satu sen pun untuk tujuan promot mempromot. Jangan salah faham. Aku promot secara ikhlas. Aku promot sebab aku suka blog ini. Tapi aku rasa ramai je yang dah biasa baca blog kereta mayat ini.

Hah, teruskan membaca.

Dah_

Sambung baca...

Kategori:

Wednesday, October 21, 2009


_Bukan makhluk Allah namanya kalau tak punya keinginan.

Ya, makhluk Allah.

Sebab binatang pun ada keinginan. Manusia pun ada keinginan. Pokok-pokok itu pun ada keinginan. Keinginan mereka. Hanya Allah saja yang tahu. Sebab keinginan itu datangnya dari hati. Dan manalah aku nak tahu apa keinginan hati orang lain. Bukannya aku mampu nak siat kulit orang dan tengok apa ada dalam hatinya. Mestilah darah je semata-mata yang keluar.

Tetapi.

Ada je petua kalau mahu lihat hati seseorang manusia.

Sabda Rasulullah SAw, "Sesungguhnya di dalam jasad manusia didapati segumpal darah, apabila baik maka baiklah keseluruhan badannya, dan apabila buruk maka buruklah segala keperibadiannya, adakah tidak kamu tahu sesungguhnya itulah hati."

Maka.
Daripada akhlaknya, tergambarlah juga riak hatinya.

Formula Hati Bukan Kristal

Baik akhlak = Hati bersih
Buruk akhlak = Hati keruh berkeladak
Baik akhlak + Buruk akhlak = Hati Bukan Kristal

Pening?
Bagus. Itu tujuannya.

Sebab itu kena jaga hati sebaik-baiknya.

Sesungguhnya.
Setiap yang tersirat di dalam hati itu sentiasa dalam pengetahuan Allah.

Dan bila datangnya keinginan, request pun jadi macam-macam.

Ya, request.

Memang seronok sebenarnya bila boleh request macam-macam. Dengan harapan yang setinggi gunung bahawa semua request bakal dipenuhi Allah. Bila aku baca blog anak dara kacak merangkap model yang sangat down to earth ini, aku pun teringat balik segala request aku yang macam-macam suatu masa dahulu.

Lelaki itu.
  1. Kalau aku berdiri sebelah dia sekurang-kurangnya aku dekat paras bahu dia. Tinggi dia 175cm dan ke atas. Tinggi aku berapa? 159cm je. Haha.
  2. Kalau aku marah-marah menggila atau sindrom Perempuan Mengamuk Sakan (PMS) datang, dia masih boleh rileks dan senyum tenangkan hati.
  3. Dia seorang yang cool. Hati sangat bersih. Susah mahu berkocak. Penyabar tahap tak logik.
  4. Cara hidupnya sederhana. Tak punya banyak keinginan. Maintenance pun tak tinggi. Maksudnya dia bukan jenis melayan barang-barang branded dan mengikut peredaran zaman.
  5. Lelaki yang ada pegangan hidup. Dan masih berjalan dalam landasan Islam. Kalau tahu benda itu tak boleh buat dalam Islam, maka terus tinggalkan. Tak cari pasal dengan Allah. Iman dan amalnya seiring.
  6. Bukan lelaki kacak yang setiap kali berjalan mesti ada mata yang memandang lapan kali. Aku bukan rasa jealous. Cuma rasa insecure. Haha.
  7. Rendah diri. Walaupun dia seorang manusia yang paling bijak dan tawadduk dekat muka bumi ini tapi dia tak pernah tunjuk bagus.
  8. Bukan orang bandar. Maksudnya, boleh hidup dalam suasana kampung. Dan ada kampung yang memang betul-betul rupa macam kampung. Ada sawah atau kebun mungkin. Dan kalau dicampakkan ke mana-mana pun dia masih boleh panjangkan akal untuk hidup. Macam kulatlah pula. Haha.
  9. Bukan seorang perokok. Maaf aku sangat benci rokok. Aku rasa semua orang yang merokok adalah pembunuh dan menzalimi manusia lain. Dan tindakan merokok itu sekaligus dah jatuh dalam kategori merosakkan muka bumi. Tahukah kamu apa hukuman Allah pada mereka yang merosakkan muka bumi? Sila semak Al-Quran.
  10. Bukan seorang yang berkaca mata. Haha. Serius.
  11. Beriman. Beribadah secara sederhana. Tapi sentiasa istiqamah. Tak menunjuk-nunjuk.
  12. Air muka sangat tenang. Kalau goreng ikan sekali terpercik minyak dekat muka pun masih boleh bertenang air mukanya.
  13. Sebelum bercakap, fikir dulu. Bukan jenis cakap tak tentu hala. Mungkin dia seorang pemikir yang bagus barangkali.
  14. Tahu main hampir semua permainan tradisional. Congkak, batu seremban, sepak takraw, galah panjang, bola baling dan lain-lain. Oh, yang penting sekali dia tahu main bola keranjang. Nanti boleh main sama-sama waktu petang. Haha.
  15. Pandai mengalah. Pendengar yang baik. Ego sangat tujuh kaki ke dalam tanah. Tak suka bertelagah.


Itu baru separuh.

Crazy. Perempuan lagi banyak keinginan. Kalau perempuan macam aku lagilah banyak keinginan. Dan sesungguhnya aku pasti hampir setiap manusia menginginkan sesuatu yang hampir mencapai tahap kesempurnaan.

Kan.
Tapi mana ada manusia yang sempurna dalam dunia ini.

Sesungguhnya juga.

Boleh jadi sesuatu yang kita mahukan itu tidak mendatangkan kebaikan untuk kita. Dan percayalah. Kadangkala apa yang kita inginkan itu selalunya kita akan dapat yang sebalik dengannya. Maksudnya, lain yang diminta lain yang dapat. Hanya Allah yang tahu akan setiap sesuatu. Sebab itu kadang Allah datangkan kilat dan petir serta hujan ribut kepada kita. Bukannya apa, sebab Dia nak datangkan pelangi. Bukan ke cantik pelangi itu. Sebab itu hujan itu rahmat. Tapi tak semua orang sukakan hujan.

Weh, best tau boleh main hujan!

Tapi.
Setiap sesuatu yang terjadi itu WAJIB ada hikmah di sebaliknya.

Jangan bersangka buruk dengan Allah.

Siapa kita nak melawan Arkitek Alam ini. Kita cuma ibarat simen yang sedang menunggu untuk menjadi bancuhan. Bagi membentuk sebuah rumah. Atau sebiji bangunan. Atau Menara Berkembar Empat KLCC. Dalam perjalanan itu, mestilah jadi macam-macam. Dah nama pun simen. Kan.

Dan.

Siapalah aku mahu request benda yang macam-macam itu pada Allah. Solat pun kadang-kadang hujung waktu. Kalau tengah solat itu pun hati dah senang berpaling daripada Allah. Itu belum lagi masuk bab kerosakan hati. Naik hangin dan busuk hati sana sini terhadap orang lain aku ini. Itu belum juga sentuh bab suka bersangka buruk terhadap orang lain. Dan belum juga masuk bab mengumpat orang lain.

Oh, banyaknya dosa!

Siapa aku nak request benda-benda macam itu pada Allah?

Aku sangat tak layak. Mungkin orang lain lebih layak. Daripada aku request benda-benda macam itu, baiklah aku buat senarai request lain. Untuk bersihkan diri. Yang sentiasa ternoda dengan dosa. Dosa zahir dan batin. Itu belum lagi masuk bab sakitkan hati manusia lain. Sesungguhnya bab sakitkan hati orang itu antara perkara yang menakutkan. Kalau sedar tak apa. Ini kalau tak sedar, fuh habislah masa nak mati nanti.

  1. Semoga dimatikan dalam keadaan yang beriman.
  2. Semoga Allah memelihara semua umat Islam di dalam dunia ini.
  3. Semoga Allah mengasihani dan memelihara ibu dan ayahku.
  4. Semoga diampunkan dosa-dosaku, dosa-dosa kedua ibu dan ayahku, semua ahli keluargaku, datuk dan nenek serta moyangku, saudara-maraku dan kawan-kawanku.
  5. Semoga diberi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
  6. Semoga disucikan hatiku ini.


Tak banyak.

Tak berani mahu request banyak-banyak. Tak boleh nak fikir banyak. Kalau dah diampunkan dosa pun macam dah bersyukur sangat-sangat. Sebab kesedaran diri lebih tinggi berbanding kemahuan diri.

Hidup di dunia ini jangan banyak meminta.

Sentiasalah bersyukur dengan apa yang ada. Kemahuannya jangan macam-macam. Allah suruh itu ini kita tak nak ikut. Tapi kita nak suruh Allah ikut kemahuan kita. Tak malu ke weh. Ish.

Tapi.

Walau apa pun request kita, Allah tetap cuba penuhi permintaan hambaNya. Terutamanya permintaan yang sangat ikhlas dan penuh mengharap demiNya semata-mata. Cuma Dia akan penuhi dengan caraNya yang tersendirilah. Mungkin nampak tak baik untuk kita tapi itu yang terbaik dariNya. Bersyukurlah.

Kalau kita rasa kita susah, ada seorang manusia dalam dunia ini yang lebih berganda kesusahannya berbanding kita.

Dan yang dimaksudkan susah itu adalah....

Tak boleh makan.
Tak boleh minum.
Tak boleh tidur.

Tak boleh buat apa-apa.

Itu baru dinamakan susah.

Makanya. Hidup ini jangan cepat berputus asa. Dan jangan minta yang bukan-bukan. Mintalah untuk kebaikan di akhirat sana. Long term investment. Hidup di dunia ini sebab nak suruh kumpul bekalan banyak-banyak. Simpan dalam tupperwear. Bawa ke akhirat.

Bukannya dapat bekalan banyak-banyak dan makan di dunia.
Habiskan sampai tak tinggal apa-apa.

Dekat akhirat sana bawa tupperwear kosong semata.

Itu yang bila nampak syurga senyum, nampak neraka menangis.
Kejap senyum kejap nangis... kejap senyum kejap nangis.

Macam orang gila.

Minta maaflah tapi di akhirat sana tak ada pun Hospital Sakit Jiwa.

Makanya.
Sendiri mahu ingatlah.

Eh, kejap.

Aku cerita pasal apa tadi. Dah bercampur-campur semua benda. Buat-buat lupa je sudah.

Dah... dah._

Sambung baca...

Kategori:

Monday, October 19, 2009


_Ini namanya pasang surut.

Padam.
Tulis.
Padam.
Tulis.
Padam.

Dan langsung tidak tulis-tulis.

Ingatan padaNya sedang surut. Dan semakin surut. Entah bila mahu naik pasang.

Air pasang pagi,
Surut pukul lima,
Nyonya bangun pagi,
Siram pokok bunga.

Itu lagu kanak-kanak satu Malaysia.

Kalau tak pernah dengar, memang bukan warganegara Malaysialah jawabnya. Atau mungkin bukan lahir di Malaysia. Atau bukan buatan Malaysia barangkali. Atau....

Sudah... sudahlah itu.

Baik.

Sekarang.
Cuba tukar lirik lagu tersebut.
Dan nyanyi dalam intonasi yang sama.

Azan waktu pagi,
Kejut solat Subuh,
Manusia tidur lagi,
Sampai matahari suluh.

Aku tengah tak ada idea. Dan tengah surut idea. Dan tengah sibuk dengan Facebook kerja. Dan perubahan mood mengikut monsun Barat Daya yang sedang hebat melanda sekarang ini. Penyakit malas sedang berleluasa.

Sesungguhnya, aku sedang pasang surut.

Apa yang pasang.
Apa yang surut.
Aku pun tak tahu.

Sila tolong tarbiah sikit aku ini_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, October 08, 2009


_Ini entri tertunggak sejak empat hari lepas.

Itulah. Taip separuh-separuh dekat notepad. Lepas itu simpan. Lepas itu sambung tulis balik. Lepas itu simpan. Lepas itu sambung tulis balik. Sudah sampai berapa hikayat entahnya ini. Suka betul buat kerja separuh-separuh. Tak bagus. Sila jangan tiru.

Aku ada buat satu eksperimen.

Tak.

Bukan satu.
Banyak sebenarnya.

Ingat tak eksperimen memakan Tigerbalm, Vicks, minyak cap kapak, ubat gigi?
Ingat tak eksperimen main air hujan tunggu berapa lama boleh demam?
Ingat tak eksperimen menekan nombor secara rambang di telefon?

Dah macam sama tahap dengan tikus makmal pula.

Tak bagus. Sila jangan tiru.

Manusia spesis macam aku ini memang jenis memandang enteng saja amaran-amaran sebegitu rupa. Tak berapa nak lut pendek katanya. Macamana entah telinganya berfungsi. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Lagi ditegah lagi seronok mahu dibuat.

Bukan salah aku.

Benda-benda itu nampak macam sedap dan berkilat.
Aku pun apa lagi, "Mari saya jamah awak sikit."

Tigerbalm, Vicks, ubat gigi Darkie (nama asal mengikut pendaftarannya sebelum bertukar ke Darlie) dan juga minyak cap kapak. Mujur ditelan dalam kuantiti yang sedikit. Kalau tidak mesti dah lama jadi mayat punya. Kalau tidak jadi mayat pun mesti kejung berminggu-minggu sebab menelan benda-benda berangin. Paling tidak pun mesti keluar asap dekat telinga.

Dah... dah.
Jangan merepek.

Aku ada buat satu eksperimen.

Tak.

Bukan satu.
Banyak sebenarnya.

Tapi ini di antaranyalah. Eksperimen menguji hati, namanya.

Ya.
Hati.

Sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis ini....

Sesungguhnya di dalam jasad manusia didapati segumpal darah, apabila baik maka baiklah keseluruhan badannya, dan apabila buruk maka buruklah segala keperibadiannya, adakah tidak kamu tahu sesungguhnya itulah hati.

Ya.
Hati.

Eksperimen menguji hati ini memang berkesan. Setakat ini cuma berkesan ke atas aku saja. Sebab aku lebih banyak dosa. Orang lain aku tak berapa pastilah pula. Mungkin tak berapa ada kesan agaknya. Lain manusia, lain kadar kereaktifannya. Ya, ibarat asid dan alkali.

Tujuannya satu saja.
Mahu menguji hati.

Dalam satu hari, berapa kali aku mampu mengingati Allah SWT.

Dalam satu hari.
Berapa kali.
Aku mampu.
Ingat.
Allah.

Eksperimen Pertama
Cara-caranya:

  1. Mendengar lagu korea secara berterusan
  2. Menonton cerita orang putih lebih daripada satu
  3. Mendengar lagu orang putih secara berterusan berkali-kali dalam sehari
  4. Membaca hampir semua koleksi komik yang ada
  5. Menonton cerita korea lebih daripada satu

Hasilnya:

  1. Solat lewat waktu dan tak khusyuk
  2. Jarang mengingati mati
  3. Hati cepat resah dan gelisah. Kadangkala cepat naik angin
  4. Cepat terasa sunyi. Asyik fikir perihal jodoh
  5. Berzikir dan membaca Al-Quran pun jadi semakin liat
  6. Ingat Allah sekali je sehari. Itu pun nasib baik teringat


Eksperimen Kedua
Cara-caranya:

  1. Mendengar semua koleksi nyanyian Syamil berulang kali terutama sekali yang ini
  2. Membaca buku-buku agama
  3. Melihat gambar kubur dan mayat secara pukal di serata Internet
  4. Memasang surah Ar-Rahman alunan merdu Kamal Uddin berulang kali dalam sehari
  5. Mendengar lagu-lagu nasyid Raihan dan Edcoustic

Hasilnya:

  1. Solat awal waktu dan sedikit khusyuk
  2. Setiap detik teringat mati
  3. Hati menjadi lebih tenang dan lapang
  4. Terasa sentiasa dekat dengan Allah
  5. Lebih gementar hati bila menyebut nama Allah


Hah.

Cubalah.
Mungkin boleh nampak kereaktifan hati itu ke apa ke kan.

Sesungguhnya, mahu mengingati Allah bukan kerja mudah. Kalau mudah, pasti semua kemungkaran dalam dunia ini terhindar begitu saja bukan. Tetapi. Cubalah ingat Allah sedikit demi sedikit. Lepas itu cuba ingat secara berterusan (istiqamah). Dan kemudian cuba ingat secara pukal. Lama-lama mesti lekat dalam hati punya.

Paling basic pun, cuba mulakan dengan bismillah.

(Tiba-tiba berbunyi lagu Bismillah nyanyian Raihan)

"Dimulakan dengan bismillah...."

Sedut oksigen pun baca bismillah.
Hembuskan karbon dioksida pun baca bismillah.
Kalau mahu main Facebook pun bacalah bismillah juga.

Kalau semua langkah pun dimulakan dengan Allah,
mesti hidup lebih chill dan seronok.

Ada seorang kawan pernah bertanya....

"Kau tak sunyi ke hidup seorang diri. Tak nak kahwin ke?"

Aku pandang.
Aku senyum.
Aku jawab.

"Mestilah sunyi kalau belum berkeluarga. Siapa yang tak nak kahwin kan. Sunnah Rasulullah itu. Tapi, sekarang ini masih boleh hidup lagi. Sebab ada cinta. Cinta Allah dan Rasulullah. Cinta mak dan ayah. Itu pun dah cukup lengkap. Masih boleh sabar lagilah. Hehe."

Aku bukan Power Ranger.
Bukan seorang Gaban juga.
Dan bukan seorang tukang masak terhebat juga.

Aku cuma manusia biasa. Ada juga perasaan sunyi. Tapi, kalau kita rajin ingat Allah dan Rasulullah mungkin hidup ini lebih terisi. Setiap langkah pun terasa macam stabil dan tenang. Memang sangat rileks. Pegang kuat-kuat dekat situ. Lepas itu, pegang kuat-kuat kasih sayang mak dan ayah sementara hayat mereka masih ada.

Sesungguhnya.

Nak dapatkan keredhaan Allah kena dapatkan keredhaan ibu dan bapa terlebih dahulu. Layanlah mereka dengan penuh kasih sayang. Kalau dah sebati jasad mereka dengan tanah merah sedalam tujuh kaki itu dah tak ada gunanya menangis meminta ampun depan itu bukan.

Eh, kejap.

Aku cerita perihal apa tadi ini.
Oh, hati.
Sesungguhnya di dalam jasad manusia didapati segumpal darah, apabila baik maka baiklah keseluruhan badannya, dan apabila buruk maka buruklah segala keperibadiannya, adakah tidak kamu tahu sesungguhnya itulah hati.

Makanya.
Kalau nak ingat Allah setiap masa, mulakanlah dengan bismillah.

(Tiba-tiba berbunyi lagu Bismillah nyanyian Raihan)

"Dimulakan dengan bismillah...."

Nescaya, Allah juga mengingati kamu.

Pesanan khidmat masyarakat untuk diri sendiri terutamanya ini.
Jangan nakal-nakal di hujung musim perayaan.

"Dimulakan dengan bismillah...."

Dah.

Mari nyanyi sama-sama sampai habis_

Sambung baca...

Kategori:

Tuesday, October 06, 2009


_Makan-makan hari itu.

Ramai juga yang sudi menghabiskan makanan.

Berbaloi-baloi juga emak masak. Terima kasih banyak-banyak wahai ibuku. Ya. Terima kasih banyak-banyak juga wahai ayahku. Ya. Terima kasih banyak-banyak juga wahai kawan-kawan. Minta maaflah layanan tidak seberapa. Hah, lupa! Terima kasih banyak-banyak juga Ya Allah.

Cumanya.

Yang paling aku tak boleh lupa.
Pertanyaan ayah.

"Eh, kenapa kawan-kawan itu panggil Zai, Famia?"

-_-"

Hah.
Apa agak-agaknya aku nak jawab.

Ha ha.

Satu kerja juga mahu menerangkan asbabnya. Dan satu kerja juga mahu memikirkan asbabnya. Pendek cerita, aku bagitahu itu kawan-kawan Internet. Sesungguhnya wahai ayahku, hanya kawan-kawan Internet saja yang rajin memanggil Famia itu sebagai Famia. Dan kawan-kawan Internet aku itu skopnya boleh tahan luas. Yalah. Kawan biar seribu. Lepas cukup seribu dah tak boleh kawan dah.

Memang sangat wide. Itu kawan-kawan Wide Area Network.

IRC.
Blog.
Myspace.
Facebook.
Fotopages.
Friendster.
Forum sana forum sini.

Kalau kawan-kawan Local Area Network pula termasuklah kawan-kawan kiri dan kanan. Serta depan dan belakang.

PPP UITM.
MRSM Beseri.
CASE UTM Jalan Semarak, KL.
Sekolah Menengah Taman Melawati.

Tapi tak apa. Semua kawan-kawan aku Dani kenal. Tapi bukan semua kawan-kawan Dani itu aku kenal. Hihihi. Kan Dani kan. Terima kasih sudi jadi co-hosting aku ya. Hehe.

Mungkin perlu kecilkan sedikit skop kawan-kawan. Kawan-kawan Virtual Network saja yang belum wujud lagi mungkin.

Apa ini Huzaimatus.
Suka betul bersimpang siur bahasanya.

Minta maaf. Internet di ofis ini hari-hari terputus. Berkali-kali kena restart router. Sedih betul. Tapi kalau teringat pelajaran CCNA yang tak sempat habis dan tergendala itu lebih berganda menyedihkan. Kalau sempat khatam mungkin aku dah boleh kenalpasti apalah agaknya masalah si budak router ini. Isk....

Dah... dah.

Tak baik menyesal.

Hah.
Sebenarnya aku nak tanya.

Mak ayah kamu semua tahu ke kamu semua ini blogger_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, October 01, 2009


_Habislah.

Mood hujung tahun sudah menyinggah.

Baru saja pijak hari pertama dalam bulan sepuluh. Terus terasa semacam mahu cepat-cepat jumpa bulan dua belas. Bulan Disember tahun ini. Asal menyinggah ke hari Jumaat saja pasti cuti. Asal cuti saja pasti menyinggah ke hari Jumaat. Penghulu hari diberi cuti berganda.

Woah, saya suka!

Mood hujung tahun sudah menyinggah.

Habislah.

Malas sudah melekat. Terasa tak seronok bekerja makan gaji. Mungkin menarik lagi jika boleh buat freelance ya tak. Segalanya pun free. Freestyle. Free foods. Free drinks. Free environments. Dah... dah.

Oklah.

Aku dah buat keputusan.

Sebelum berhenti kerja aku kena belajar benda-benda bawah ini. Senang boleh buat freelance nanti. Multitasking orang putih kata.

  1. Sertai semua jenis kelas masakan.

  2. Sertai semua jenis kelas menjahit.

  3. Rajin-rajinkan diri pergi outing. Seorang-seorang pun lagi bagus. Ini untuk kelas photography kononnya.

  4. Pergi lepak kedai buku design Basheer di BB Plaza selalu. Tak payah beli. Baca secara percuma saja hari-hari.

  5. Kumpul duit hasil dari makan gaji ini siap-siap sampai menimbun. Lepas itu boleh upgrade kamera. Dan beli lensa baru. Hajat hati terhadap EOS 5D MarkII masih ada. Hah hah hah (gelak keji).

  6. Menaik tarafkan kemahiran CSS dan web programming.

  7. Pergi sambung balik kelas Cisco itu.


Satu saja masalahnya.

Masa.

Sesungguhnya masa itu memang emas. Tapi, hendak seribu daya kan. Kalau tak hendak itu, semuanya alasan saja. Sudahlah, Huzaimatus. Jangan banyak cakap. Pergi tunaikan semua itu. Ya... ya. Semogalah.

Senang tahu.

Bila aku bosan buat design, aku boleh lepak tepi jalan jual kuih muih. Ini hasil daripada kelas memasak kononnya. Lepas itu, kalau aku bosan jual kuih muih, aku lepak dalam rumah atau tepi taman tasik sambil ambil tempahan menjahit. Ini hasil daripada kelas menjahit kononnya. Lepas itu, bila aku dah bosan menjahit, aku jalan-jalan serata Malaysia cari gambar. Lepas itu jual. Kalau mahu laju sikit income, mungkin boleh iklankan diri. Jadi photographer part time. Tapi kalau dah bosan pula ambil gambar, bolehlah pergi jadi Network Consultant. Ini hasil kelas Cisco itu kononnya.

Hui, angan-angan Minah Jenin!

Tak apa. Setiap cita-cita dan matlamat itu lahirnya dari sebiji angan-angan. Yang merealisasikannya cumalah kemahuan dan daya upaya. Nak seribu daya ok. Lepas itu usaha sungguh-sungguh. Bila dah habis daya, tawakallah kepada Dia. Semoga keputusanNya baik-baik saja.

Mood hujung tahun sudah menyinggah.

Habislah_

Sambung baca...

Kategori:

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.