Subscribe to my RSSSubscribe via Email
Facebook TwitterFlickrDeviantArt

Sunday, August 30, 2009


_Perasaannya macam ini.

Segala yang terletak di tempat asalnya, sudah tiada.

Perasaannya macam semuanya serba tak kena. Tak selesa. Tak mendatangkan kedamaian. Tak seronok. Tak sama. Atas dasar semuanya sudah tidak macam dulu lagi.

Pernah terasa macam itu?

Adakala, memang sukar mahu mengubah langkah. Manusia itu kadangkala masih tetap setia berada pada takuk yang sama. Atas dasar keselesaan. Dan tidak mahu berubah. Atau tidak mahu mengubah. Atau degil dan keras hati masih mahu membatu di situ.

Orang putih bilang, "You just want it to be that way."

Namun.

Hidup kena diteruskan. Jalan terus. Jangan pandang belakang. Berbolak-balik juga hati kena dipujuk. Jalan terus. Jangan berhenti. Toma'ninah pun tak payah. Jalan saja sampai habis.

Kematian atau kehilangan keluarga, misalnya.

Orang putih bilang, "You just want it to be that way."

Namun. Sebagai orang Islam, iman kena merelakan pemergian sebegitu. Kerana sesungguhnya, setiap manusia ini hanya pinjaman semata. Suka hati Allahlah mahu mengambil sesuatu yang dipinjamkanNya pada bila-bila masa.

Benar.

Tapi bila memegang watak manusia ini, kita tetap mahu terasa lengkap dan cukup. Jangan dikurangkan segala yang ada.

Orang putih bilang, "You just want it to be that way."

Tapi.

Bukan kerja mudahlah mahu bangun dari takuk yang sama dan berpindah ke takuk yang lain. Bukan kerja mudah.

Yang menguatkan hati pun cumalah ayat, "Setiap yang jadi wajib ada hikmahnya."

Ya.
Tapi....

Dah. Jangan cakap banyak.

Ya.
Tapi....

Isk, sesungguhnya kau ini manusia yang boleh tahan complicated betul Huzai. Cuba jangan berbolak-balik. Jalan terus. Sampai jumpa papan tanda suruh berhenti.

Ya.
Tapi....

Nak kena siku ke budak ini.

Ya.
Tapi....

Dah. Jangan layan.

Tapi_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, August 27, 2009


_Senyum-senyum dulu.

Mak kata.
Hari ini ayah balik.

Mari senyum sampai telinga.

Mak kata.
Hari ini ayah balik.

Mari terbang ke langit ketujuh.

Mak kata.
Hari ini ayah balik.

Mari gelek-gelek ke kiri dan ke kanan.

Mak kata....

Woi, sepatutnya kena panjatkan doalah!
Bersyukur sikit ayah dah selesai kelas.
Semoga ayah selamat sampai.

Ok... ok.

Peliharalah ayahku ini ya Allah.

Gilalah.
Rindu betul dengan ayah.

Sangat woh!

Gangster dan ganas perangai macamana gaya pun, aku tetap anak yang gila homesick dan tak boleh berpisah dengan rumah serta ahli keluarga rumah. Baiti jannati, man. Itu barulah namanya syurga dunia. Lengkap sudah sepasang ibu dan ayahku.

Sentimental sekejap, isk.

Dah_

Sambung baca...

Kategori:

Wednesday, August 26, 2009


_Manusia dan sifat ingin tahunya ibarat simbiosis.

Saling memerlukan.

Segala perkara pun mahu diambil tahu. Segala sebab dan musababnya juga mahu diambil tahu. Namun, ada yang patut diketahui dan ada pula yang tidak berapa patut untuk diketahui. Sesungguhnya, hanya Allah saja yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu.

Antara yang patut diambil tahu.

Bulan-bulan Islam.

Tahukah kamu makna di sebaliknya? Mahu lebih hebat lagi, tahukah kamu nama-nama bulan Islam? Dan yang terpaling hebatnya lagi, tahukah kamu nama-nama bulan Islam mengikut susunannya?

Mungkin iya.
Mungkin tidak.

Sepanjang kita hidup ini, tidak pernah kita ketahui makna di sebalik bulan-bulan Islam itu. Yang kita tahu, lirik lagu. Tajuk lagu. Nama artis. Gosip artis. Dan sebagainya. Heh, apa punya perangailah. Yang mengundang lagha semua mahu diambil tahu. Yang wajib tahu dan patut tahu semua dibuatnya tidak tahu.

Astaghfirullahalazim.

Tak patut betul.

Hah.

Tentang makna bulan-bulan Islam ini, ada kita terjumpa artikelnya. Ihsan dari blog ini. Terima kasih diucapkan. Dapat lagi kita sebiji ilmu baru.

Ini.
Kita kongsi dengan kamu.

Muharram
Bulan pertama iaitu Muharram (diharamkan). Dinamakan demikian kerana pada bulan itu diharamkan untuk berperang atau menumpahkan darah. Ketika Islam datang, larangan perang pada bulan itu dicabut seperti di dalam firman Allah SWT, Surah Al-Baqarah ayat 191.

Safar
Bulan kedua dinamai Safar (kosong atau kuning). Dinamakan demikian kerana pada bulan kedua ini dahulu semua laki-laki bangsa Arab meninggalkan rumah. Ada yang pergi berperang, berniaga, atau mengembara sehingga rumah-rumah kosong ditinggal kaum laki-laki.

Rabiul Awal
Bulan ketiga dinamai Rabiul Awal (Rabi'al-awal = pertama menetap). Dinamakan demikian kerana pada bulan ini semua laki-laki yang tadinya meninggalkan rumah sudah kembali berada di rumahnya masing-masing.

Rabiul Akhir
Bulan keempat dinamakan Rabiul Akhir (Rabi'as-sani = menetap yang kedua atau penghabisan). Dinamakan demikian kerana semua laki-laki yang meninggalkan rumah telah kembali menetap di rumah masing-masing untuk terakhir kalinya.

Jamaddil Awal
Bulan kelima dinamakan Jamaddil Awal (Jumada al-Ula = kekeringan pertama). Dinamakan demikian kerana bulan ini dahulu orang Arab mengalami kekeringan.

Jamaddil Akhir
Bulan keenam dinamakan Jamaddil Akhir (Jumada al-Saniah = kekeringan kedua atau penghabisan).

Rejab
Bulan ketujuh dinamakan Rejab (Mulia). Orang Arab dahulu memuliakan bulan ini dengan cara menyembelih anak unta yang pertama dari induknya. Korban ini disebut Fara'a dan dilakukan pada tanggal 1 Rajab. Pada tanggal 10 Rajab disembelih lagi anak unta, tetapi tidak mesti anak unta yang pertama. Penyembelihan korban ini disebut 'Atirah. Kebiasaan ini kemudian dihapus oleh ajaran Islam.

Sya'ban
Bulan kedelapan dinamakan Syakban (Sya'ban = berserak-serak). Dinamakan demikian kerana pada bulan ini masyarakat Arab dahulu bertebaran pergi ke lembah-lembah dan oasis-oasis mencari air. Pada waktu itu terjadi musim kering sehingga mereka dilanda kesulitan air.

Ramadhan
Bulan kesembilan dinamakan Ramadhan (Ramadhan = panas terik atau terbakar). Dinamakan demikian kerana pada bulan ini dahulu cuacanya sangat panas. Jika orang berjalan tanpa alas kaki, telapak terasa terbakar. Pada zaman Islam, erti kata terbakar itu dimaksudkan sebagai pembakaran dosa bagi orang yang melakukan puasa di bulan Ramadhan.

Syawal
Bulan kesepuluh dinamakan Syawal (Syawal = naik). Dinamakan demikian kerana pada bulan ini, dahulu orang Arab mempunyai kebiasaan naik unta. Pinggul unta dipukul sehingga ekor unta menjadi naik. Pada masa Islam, Syawal diertikan sebagai naik atau peningkatan amal kebajikan setelah sebelumnya dilatih selama sebulan dengan berpuasa Ramadhan.

Zulkaedah
Bulan kesebelas dinamakan Zulkaedah (Zu al-Qa'idah = yang empunya duduk). Dinamakan demikian kerana pada bulan ini dahulu orang Arab mempunyai kebiasaan duduk-duduk di rumah, tidak berpergian atau mengadakan perjalanan.

Zulhijjah
Bulan keduabelas dinamakan Zulhijjah (Zu al-Hijjah = yang empunya haji). Ibadah haji sebenarnya sudah dilaksanakan sejak Nabi Adam AS dan semua nabi-nabi sebelum Rasulullah SAW walaupun tata cara ibadah haji mereka tidak diketahui secara pasti. Bahkan orang Arab Jahilliyah juga melaksanakan ibadah haji dengan tata cara yang tertentu saja berbeza dengan praktik ibadah haji dalam Islam.

Hah.

Sangat cool kan.

Kalau tidak silap, kumpulan Alarm Me pun ada menasyidkan bulan-bulan Islam secara susunan. Dari lagu itulah kita dapat menghafal nama-nama bulan Islam mengikut susunan dengan mudah. Memang senang gila. Nak buat macamana. Hafal kering-kering begitu saja pun tidak jalan. Terpaksalah kita melagukannya. Baru senang sikit masuk ke dalam kepala.

Tapi.

Sangat cool kan_

Sambung baca...

Kategori:

Monday, August 24, 2009


_Entahlah kenapa.

Terasa semacam di kala Ramadhan ini, nafsu jahat dan kebusukan hati kita meruap-ruap mengaum. Terpercik sedikit saja pun boleh mengaum. Itu belum lagi dijentik. Lagilah bertubi-tubi mengaum. Kalau bukan bulan Ramadhan, molek pula hati. Tak ada pula dia nak mengaum-ngaum.

Ini.
Kita yang perangai macam satan ke.
Atau satan yang perangainya macam kita.

Isk....

-_-"

Ramadhan ini.

Terasa sepi sangat. Sejak hari pertama berpuasa, ayah sudah ke Terengganu mengajar. Khamis baru selesai. Lepas itu, mungkin perlu mengajar ke Perak pula. Dan kemudian, entah ke mana pula agaknya. Tanpa henti. Beruas-ruas tulangnya dibanting.

Kasihanilah ayahku ya Allah.
Peliharalah ayahku ya Allah.

-_-

Lepas tolak tambah.

Bertiga saja di rumah. Bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari. Sunyi. Sayu. Sepi. Kosong. Kering. Sangat-sangat. Ada kita, emak dan adik Uya saja. Itu kalau adik Uya keluar, cuma kita dan emak saja.

Hah.
Semakin bertubi-tubi.

Kosong.
Kering.
Sunyi.
Sayu.
Sepi.

-_-

Yang menemani kami cumalah sabda dan firman yang sentiasa mengalir. Semoga setia membasahi hati yang panas dan kering ini.

Buat semua saudara seIslamku,
Maaf yang teramat sangat.
Terkasar di sini sana.

Masih ada satan yang terlepas tak berikat ini.

(Sambil menuding jari ke arah diri sendiri)

Nampak tak_

Sambung baca...

Kategori:

Friday, August 21, 2009


_Maaflah.

Hajat mahu kurangkan menulis tak berapa nak sampai.

Malam semalam.

Ayah jenguk di pintu bilik.
Bersama sekotak kurma.

"Cuba rasa nah."
"Wah, ada kurma. Ini Yusuf Tayyub ke ayah?"
"Haah."

Sambil itu ayah tersengih-sengih.

Kita berkerut.

"Eh, macam bukan."

Kita cuit dan ambil.
Kita masukkan dalam mulut.
Kita telan dalam-dalam sampai jatuh ke esofagus.

Lembutnya ya Allah. Besar pula itu. Siap masih bertangkai lagi itu. Warna pun cokelat-cokelat cerah. Namanya El-Medina. Pemberian kawan ayah.

Sekejap lepas itu, emak datang.

Kurma disua.

"Nah, cuba rasa."
"Manisnya."
"Manis macam inilah sedap."
"Mak, boleh tak saya beli Yusuf Tayyub itu?"
"Mahallah. Dekat mana kau nak beli?"
"Giant ada. Oh, mahal ek. Tapi yang ini lagi sedap. Besar."

Ayah dan kita lebih berkenan dengan kurma jenis ini. Lembut. Manis. Besar. Senang telan. Senang hadam. Tak perlu kunyah. Emak sukakan kurma yang lebih keras dan gelap. akhirnya, terbantut juga hajat mahu merasa Yusuf Tayyub itu. Dekat pasaraya Giant tak perasan pula kita akan harganya.

Makan sajalah apa yang ada.

Tapi kan.

Sedap ke kurma Yusuf Tayyub itu_

Sambung baca...

Kategori:

Friday, August 21, 2009


_Bersungguh-sungguh ini hah.

Sanggup itu mengejar entri ke 218 pada 21 haribulan 8.

Tak membanggakan langsung perangai orang tua ini. Entah apa-apa. Tak berapa nak semenggah betul dia punya gaya. Tapi tak apa. Alang-alang menyeluk pekasam, biar habis sampai bersih. Walaupun aku tak pernah makan pekasam, tapi....

Dah, jangan merepek.

Kita ke rencana yang sepatutnya.

Sekeping nota dariku untukku.

Ya Allah,
Alhamdulillah dipanjangkan umurku ini,
Sungguhpun kuterasa bagai maut semakin melambai,
Namun masih diberi peluang untuk mengumpulkan bekalan menghadapMu.

Tahun ini.

Saya mahu....

Jadi budak baik.
Mahu jadi anak yang solehah.
Habiskan masa dengan keluarga.
Mahu lebih jadi manusia yang sabar.
Mahu khatam belajar memasak dari emak.
Mahu sucikan hati dan buang segala prasangka.
Mahu kumpul duit banyak-banyak untuk keluarga.
Mahu tolong ayah bercucuk tanam di depan rumah.
Mahu kurangkan mengaum dan sifat marah itu semua.
Mahu rajin menunaikan jemputan kenduri rakan-rakan.
Mahu rajin baca Al-Quran (sesungguhnya liat betul nak baca Quran, isk).
Mahu rajin basuh keretaku yang serba putih suci itu (maaf Nami).
Mahu jadi kakak yang tidak garang (tolonglah jauh dariku wahai sifat garang).
Mahu tunaikan janji dan tidak mahu menabur janji lagi (maaf Nananya).
Mahu kurangkan menulis blog dengan entri yang merepek macam perasan bagus.
Dan juga sangat mahu err... err.. mahu menunaikan tanggungjawab untuk berkeluarga.

Terakhirnya.

Segala khilaf dan yang buruk itu datang dariku semata-mata. Ampun maaf dipinta di atas segala keterlanjuran bahasa yang memang disengajakan dan yang tidak disengajakan atau tidak berapa nak perasan dia punya sengaja. Maaf yang berlipat kali ganda. Andai umurku tidak panjang, sudilah kiranya tolong sedekahkan sepotong dua doa untukku di sana eh.

Sesungguhnya, mati itu waktu dan ketikanya adalah rahsia.
Dan mati itu paling dekat dengan manusia. Beringatlah sentiasa.

Selamat menunaikan ibadah puasa.

Semoga kamu semua berjaya bertempur melawan hawa nafsu yang menggila. InsyaAllah aku mahu kurangkan menulis atau berhenti buat seketika. Andai terhenti lama atau terhenti selamanya, harapnya tiadalah mendatangkan kerugian apa-apa. Sesungguhnya, blog ini memang tak berapa nak mendatangkan faedah. Semoga hasil tulisan kita yang dulu-dulu boleh diguna pakai dan mendatangkan faedah buat kamu semua. Yang buruk itu jangan ditiru. Yang baik itu, memang tiada langsung pada aku.

Bercampur aduk kita dan aku.

-_-"


Ok.

Jaga diri semua_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, August 20, 2009


_Kadangkala, melancong bersama pemandu pelancong memang mengujakan.

Terasa seperti Mat Saleh.

Sewaktu ke Kuching beberapa hari lepas, pemandu pelancong kami ini adalah seorang Iban. Memang tulin punya Iban. Sohbeng Hassim namanya. Sejak kita di sana sehinggalah mahu pulang ke Kuala Lumpur, keIslamannya ada sedikit menggusarkan. Isk, tak baik betul berburuk sangka.

Cumanya.

Bertangkal taring beruang dan tengkorak. Mengamalkan tarian ala-ala ngajat sambil mendapatkan Wiski. Bertatoo yang ditebuk ke dalam kulit. Rumah panjangnya yang digantung tengkorak-tengkorak bagi memuja semangat roh makhluk halus untuk menjaga keselamatan mereka. Teramatlah memusykilkan kita.

Tetapi.

Masih percaya dengan kewujudan Allah. Masih menyebut Ya Robbi setiap masa. Masih sentiasa memuji Allah di kala melihat segala ciptaanNya. Masih membaca bismillah sebelum makan. Seorang yang sangat tenang. Tutur katanya pun lembut dan rendah. Langsung tidak meninggikan suara. Sangat cintakan alam. Sebab dia memang seorang pemburu yang tegar.

Cumanya itulah.

Ada sedikit musykil.
Kita pula yang terasa gusar.
Isk, tak baiknya berburuk sangka.

Dah... dah.

Minta maaf sangat-sangat pakcik Beng.

Sesungguhnya, siapalah kita mahu menafsir dan menghakimi tahap keIslamannya seseorang. Kita pun sama saja dua kali lebih hina dari dia. Apa yang penting hati dan iman. Bukannya luaran. Kerana sesungguhnya, boleh jadi orang yang kita hina dan pandang rendah itu lebih mulia berbanding kita.

Ada seseorang pernah berpesan lebih kurang begini,

Boleh jadi orang alim itu mati di dalam tandas. Boleh jadi penagih dadah itu mati di atas katil. Dan boleh jadi orang berpangkat itu mati di tepi jalan.

Maknanya.

Hanya Allah saja yang boleh menilai manusia. Kerana, boleh jadi jika seumur hidupnya diabadikan diri kepada Allah, tetapi di hujung hayatnya membuat dosa atau mati dalam keadaan yang tidak beriman. Atau tidak sempat mengucapkan dua kalimah syahadah mungkin. Oleh sebab itulah, dilarang sangat-sangat menghina manusia lain. Sesungguhnya kita semua ini pun masih lagi dalam keadaan hina. Tiada satu pun amalan kita yang boleh dibangga-banggakan.

Ingatlah wahai Huzaimatus.
Sesungguhnya Allah mampu membolak-balikkan hati manusia.

Lagi sekali, astaghfirullahalazim.
Minta maaf pakcik Beng.

Hari itu.

Pakcik Beng mengajar kami. Tentang bahasa Indonesia. Maaflah teman-teman di Indonesia sekiranya ceritaku ini berbunyi kasar. Cumanya, kita teringin mahu berkongsi. Kerana tersangat pelik dan agak boleh tahan menggelikan hati.

Sesungguhnya.

Bahasa memang melambangkan jiwa dan bangsa.

"Kalau tentera darat, kamu tahu Indonesia panggil apa?"
"Apa?"
"Tentera pijak bumi."
"Haha. Peliknya. Tapi betul. Memang berpijak bumi yang nyata."
"Lagi satu. Kita panggil tentera udara. Indonesia sebut apa?"
"Apa?"
"Tentera terawang-awang."
"Hah? Hahahaha. Peliknya."
"Ok. Kalau tentera laut pula?"
"Apa?"
"Tentera basah kuyup."
"Hahahahahahah. Alahai, sangat peliknya."
"Ok. Kalau di hospital, kita panggil wad bersalin. Mereka panggil apa?"
"Apa?"
"Wad korban suami."
"Hah!"

-_-"

Mengapakah suami pula yang harus dikorbankan.

Kedengaran sangat asing bukan perkataan yang dipakainya. Tetapi, maksudnya tetap sama. Mungkin bagi kita yang di Malaysia ini saja yang terdengar sedikit aneh. Dan, err.... funny.

Makanya.

Wahai mereka yang berada di Indonesia,
kita ingin bertanya.

Ada benarkah segala perkataan itu_

Sambung baca...

Kategori:

Thursday, August 20, 2009


_Ramadhan.

Tinggal sehari saja.

Yang pastinya, lebihan hari dalam Syaaban ini pasti terisi dengan makanan. Dan makanan. Dan makanan. Dan juga makanan. Dan macam-macam jenis makanan. Di saat tinggal dua ke tiga hari saja inilah sebahagian muslimin dan muslimat akan bertukar menjadi unta.

Ya.

Untalah, unta.

Sambil menggerakkan kepala ke depan dan ke belakang berulang-ulang kali. Sambil mengeluarkan bunyi, "Hee hookk. Hee hookk." Eh, silap. Itu keldai. Eh, entahlah bagaimana bunyi si unta ini. Di dalam Zoo Negara tidak pula si unta ini berbunyi-bunyi.

Panas ia diam.
Lapar pun ia diam.
Kenyang pun ia diam.
Mahu tidur pun ia diam.

Contohilah unta.

Langsung tidak merungut.
Bersyukur saja dengan nikmat yang ada.

Sesungguhnya, unta itu pun pandai berzikir. Tengah-tengah panas buta itu, dalam hati sibuk mengalunkan zikir. Tengah-tengah padang pasir itu sambil merentasi ribut pasir, dalam hati pun masih sibuk berzikir. Sungguhpun haiwan bukanlah sebaik-baik kejadian seperti manusia, tetapi ia tetap berzikir kepada Pencipta.

Sambil terhangguk-hangguk kepala ke depan ke belakang bersama bonggolnya yang tinggi gila, sambil itu juga mulutnya terkumat-kamit menyebut, "La ilahaillaAllah. La ilahaillaAllah. La ilahaillaAllah." Paling tidak pun, "Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah." Kemudian, ekornya dilibas ke kiri dan ke kanan. Tanda habis satu pusingan berzikir. Dan sambung lagi berzikir sampai jumpa makanan.

Cool betul.

Hah, lagi satu.

Bukankah unta berkebolehan menyimpan air di bonggolnya dalam tempoh masa yang lama. Barangkali itu sebabnya sebahagian dari kita semua ini mula bertukar menjadi unta. Di kala Ramadhan mula menampakkan batang hidungnya.

Bermakna.

Sebelum bermulanya puasa, perut perlu diisi sebanyak mungkin.

Tanpa makanan manusia pasti mati kebuluran.

Ya, perlu makan.
Perlu makan.
Makan.

Kita pun salah seorang yang jadi macam unta itu. Apa nak jadi ini.

-_-"

Dilarang tiru.
Allah murka nanti.

Yalah. Kena cuba buang ini perangai tak semenggah lagi tak senonoh itu. Waktu macam inilah digoda coklat, Choki-Choki, ABC dan Slurpee 7-11 bagai. Konon-konon nanti masa bulan puasa takut kecur air liur. Itu pasal kena makan semua jenis benda yang diidamkan. Dikhuatiri kempunan.

-_-"

Astaghfirullahalazim.

"Tinggalkan sekarang juga tabiat itu wahai Huzaimatus. Kalau tidak nanti...."

"Baik!"

Makanya, cubalah untuk menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermulanya dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Cubalah tahan.
Cubalah.
Cuba.

Kalau tak dapat tahan, ikatlah perut dengan batu.

Dulu kan.

Masa kita kecil-kecil. Sewaktu umur tujuh tahun. Sewaktu baru mengenali alam persekolahan, emak suruh kita puasa bila masuknya Ramadhan. Kita hairanlah juga kan. Apa sebablah emakku ini membiarkan anaknya kelaparan. Tidakkah berasa kasihan.

Emak kata, "Cuba puasa dulu setengah hari."

Maka, kita pun cubalah juga dalam degil-degilnya kepala. Balik saja dari sekolah, macam mayat kita terjelepok jatuh ke lantai. Hilang terus seluruh tenaga badan. Perut berbunyi-bunyi memaksa diisi makanan. Mata pun tak mampu dibuka. Penat sangat gayanya. Maklumlah, hari pertama berpuasa.

Bila dah besar sedikit.

Sewaktu umur kita sembilan tahun. Emak suruh kita puasa lagi bila masuknya Ramadhan. Kita sudah tidak hairan. Emak bukan mahu biarkan kita kelaparan. Itu tandanya kasihan. Mahu mengajar anak mematuhi Allah punya suruhan.

Emak kata, "Cuba puasa penuh kali ini."

Maka, dalam degil-degilnya kita pun dibuatnya juga puasa penuh. Cumanya, ada satu ketika itu kita sudah tidak tahan lapar. Maka, kita ke dapur secara sembunyi. Lalu, mengambil tin biskut dan dibawa ke bilik secara senyap-senyap.

Sangka kita, emak tidak nampak. Memanglah emak takkan nampak. Cumanya, yang kita tidak tahu, Allah itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui sesuatu yang tersembunyi. Sejak itu, kita cuba juga untuk menahan perut setiap kali Ramadhan.

Sesungguhnya.

Bulan Ramadhan ini memang bulan paling mulia. Bulan di mana kita semua bertukar seperti transformers lalu membentuk pejuang tegar hawa nafsu dunia.

Makanya.

Berusahalah untuk cuba menahan nafsu.

Selamat bertempur_

Sambung baca...

Kategori:

Tuesday, August 18, 2009


_Tahukah anda, Al-Quran dan perut juga ada hubungkaitnya.

Perkara ringkas tentang perut.

Rasulullah SAW pernah bersabda, perut adalah tempat berkumpulnya penyakit. Maknanya, segala jenis spesis penyakit memang duduk tersembunyi dalam perut. Duduknya penyakit itu pula terpulang kepada penyakit itu sendiri. Samada tinggal secara tetap atau tinggal secara sementara saja. Ini termasuklah juga penyakit malas. Dan juga penyakit berat tulang. Dan turut serta juga penyakit degil bersolat. Semuanya ada kaitan dengan perut.

Hah, patutlah.
Patutlah.

Tapi.

Semakin besar diameter perut itu, tidaklah bermakna semakin banyak dan besar penyakitnya.

Jadi, kepada mereka yang berdiameter besar perutnya usahlah gusar. Sesungguhnya, kita rasa saiz diameter perut tidak berkadaran terus dengan besar serta banyaknya bilangan penyakit yang ada. Tetapi, orang yang berdiameter besar perutnya, boleh jadi juga menyimpan lebih banyak penyakit berbanding orang yang berdiameter kecil perutnya.

Maka, berhati-hati.

Bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan ini, ada sedikit yang mahu kita kongsikan dengan kamu. Tentang Al-Quran, penyakit dan perut manusia.

Dipetik daripada buku Konsep Perubatan Islam oleh Dato' Dr. Haron Din.

Menurut Muhammad Mahmud (1992:28-29), Al-Quran, sama ada keseluruhannya ataupun sebahagian daripada ayatnya adalah setinggi-tinggi penawar dan ubat paling utama. Setiap huruf yang terkandung padanya merupakan penawar penyakit jiwa, melahirkan ketenangan, penawar sakit dalaman dan luaran dengan syarat adanya iman terhadap Allah, Pencipta segala yang wujud, yang menurunkan Al-Quran. Allah memberitahu bahawa Al-Quran itu diturunkan sebagai peringatan kepada manusia dan penawar bagi hati orang yang beriman (at-Taubah:30).

Setiap penyakit ada ubatnya.

Sebaik-baik ubat itu adalah Al-Quran (Riwayat at-Tarmizi)


Allah SWT yang menjadikan penyakit, Dialah yang menyediakan ubatnya. Setiap sesuatu mempunyai sebab yang boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia yang secara langsung berkaitan dengan rahsia llahi yang tidak difahami oleh manusia. Allah s.w.t. memerintahkan pesuruhnya, iaitu Muhammad SAW agar memberitahu mereka yang bertanyakan tentang roh, bahawa roh itu adalah urusan Ilahi (Isra':85).

Setiap sesuatu yang berlaku, termasuk penyakit dan masalah manusia mempunyai sebab musabab. Pencipta sebab itu ialah Allah, Al-Khaliq, yang berkuasa melakukan sesuatu. Apabila ia hendak menjadikan sesuatu dan berkata: Jadilah, maka jadilah (Yasin: 82).

Asas perubatan ada dua, iaitu penjagaan diri dan rawatan.

Penjagaan diri lebih baik daripada merawatnya. Allah SWT melarang orang yang beriman daripada membinasakan dirinya (al-Baqarah:195), tidak kira sama ada pembinasaan itu melibatkan pemakanan yang memberi mudarat, yang terlarang, berlebihan dan sebagainya. Allah SWT menyuruh setiap orang itu makan dan minum, tetapi melarang daripada mengambilnya berlebihan (al-Anam: 141).

Allah larang.

Ingat.

Allah larang.

Maka, janganlah melantak sampai tak ingat dunia. Bersopanlah sedikit bila nampak makanan ya.

Menurut Shamsuddin Muhammad (t.t.:13), keperluan pada makanan itu ada tiga tahap, iaitu semata-mata untuk keperluan, mencukupi dan berlebihan.

Ingat, eh.

Keperluan.
Mencukupi.
Dan berlebihan.

Dan ulang sampai kenyang.

Rasulullah SAW memberitahu bahawa makanan itu mencukupi dengan suapan kecil yang menguatkan tulang belakang, ataupun makan memenuhi satu pertiga daripada ruang perut, satu pertiga lain untuk air manakala yang bakinya untuk bernafas.

Secara Matematiknya,

1/3 untuk makan
1/3 untuk minum
1/3 untuk bernafas

Inilah kaedah utama yang paling memberi manfaat pada penjagaan badan, kerana perut itu tumpuan penyakit. Perut apabila penuh dengan makanan, ruang minuman menjadi sempit. Apabila minuman itu pula berlebihan, ruang bagi bernafas menjadi sempit. Ini akan menyebabkan seseorang itu sukar bernafas, penat dan terasa berat.

Dan.

Akan berlakunya juga kerosakan hati, pergerakan tubuh menjadi lembab dan malas untuk melakukan ketaatan dan membangkitkan nafsu syahwat.

Hah.

Makanya.

Bersempena bulan puasa yang bakal tiba ini, silalah jaga perut itu sebaik-baiknya. Kalau tak ada perut, dekat mana lagi penyakit nak berkumpul secara berjemaah. Takkan dekat otak pula kan. Huish, ganas gila. Makanya, jagalah perut itu dengan sebaiknya.

Eleh, cakap orang.
Dia punya perut itu setiap minggu gastrik.

-_-"

Yalah.
Tak sedar diri betul Huzai ini.

Ok. Ok.

Mari lancarkan kempen menjaga perut.

Menjaga perut dengan membaca Al-Quran, segala jenis penyakit (melainkan maut) pun boleh lari. Dengan izinNya. Kalau Dia tak izinkan, bacalah sampai lapan juta kali seumur hidup pun belum tentu pulih sediakala. Tapi tak apa. Tak rugi pun. Itu tandanya, Allah cinta dan kasih sama itu manusia.

Makanya.
Rajin-rajinlah baca Al-Quran.

Hah, rajin sikit baca Al-Quran itu woi Huzai. Asyik baca komik je. Apa nak jadi ini. Blablabalbalbla... prong prang prong prang. Lepas itu, merungut sana merungut sini. Mengeluh sana mengeluh sini. Merintih kenapa diuji sebegini, sebegana, sebegunu. Prong prang... prong prang.

Dah, dah.
Jangan bebel lagi.
Faham dah ini, isk.

Hah. Baca Al-Quran memang bagus. Tak perlu pun kos perubatan yang beratus-ratus bagai. Percuma je weh! Nak cukupkan satu pertiga perut untuk makanan pun senang. Telan saja berbiji-biji buah kurma. Setiap kali waktu berbuka mahupun waktu bersahur. Dah habis puasa pun boleh telan kurma lagi.

Alamak!

Tak beli kurma lagi_

Sambung baca...

Kategori:

Monday, August 17, 2009


_Kuching.

Dari mana titik bermulanya cerita.

Panjang berjela. Setiap langkah, ada kisahnya. Ada tragisnya. Ada sengalnya. Ada lucunya. Ada sadisnya. Ada kupasannya. Ada penat jerihnya. Ada yang tidak disangkanya. Ada gambarannya. Dan. Paling penting, ada hikmahnya.

Kuching.

Begini agaknya titik mula.

Ini pertama kali kita naik kapal terbang. Pertama kali duduk di tepi tingkap. Pertama kali duduknya kita di sayap kapal terbang. Perasaannya sangat terawang-awang. Pertama kali tingginya kita beribu-ribu meter dari tanah bumi.

Dan.

Sesungguhnya, kita sangat gayat woh!

Semacam mahu tercabut jantung bila kapal terbang mula berlepas. Gayanya seakan-akan mahu berlari 500 meter di balapan. Mula-mula perlahan, lepas itu tiba-tiba ia berlari laju menggila. Dan terus menggila terapung di udara. MasyaAllah. Jasad dan rohku terpisah sekejap 8 saat. Fuh....

Dari atas sana.

SubhanaAllah.
SubhanaAllah.
SubhanaAllah.

Yang menjadikan langit dan bumi.

Bagaikan ada dunia lain. Awannya yang fuh, sungguh kelu tak terkata. Berlapis-lapis awannya. Berbagai-bagai ton warnanya. Dan awan-awan itu membentuk pelbagai rupa jiwa. Bentuk binatang. Bentuk wajah manusia. Bentuk gua. Memang terkebil-kebil di atas sana. Tak sangka langit itu begini rupanya. Sangat suci. Dan wow!

Lebih kurang jam 11 lebih pagi, kami menjejak kaki ke bumi Kuching. Sewaktu kapal terbang mahu mendarat, telinga kita tiba-tiba diserang kesakitan. Sangat-sangat sakit. Gastrik yang buat ku menggelupur itu pun tak sakit macam ini. Perubahan tekanan udara tinggi ke tekanan udara rendah. Sakitnya bukan main parah. Bingit ke telinga sehingga migrain kepala dibuatnya. Terasa semacam gegendang telinga dijolok lidi tajam. Sakitnya bukan kepalang.

Detik-detik mahu mendarat itu, memang detik-detik yang menyiksakan.

Sakit, ya Allah.
Sangat-sangat.
Sangat.

T____T

Kedua-dua tangan kita pekup telinga. Serapat-rapatnya. Sekuat-kuatnya. Menitik-nitik air mata menahan sakit. Berhingus hidung kita dibuatnya. Mujur pakai cermin mata hitam. Tak adalah cuak pramugari dibuatnya. Cuma Suhaila dan Dani saja yang cuak menengok kita.

Setibanya di airport Kuching, kedua-dua telinga kita masih terasa perit pedihnya. Dan sebiji butir kita tak dengar apa-apa. Ya Allah, macam ini ke perasaan jadi orang pekak. Terasa ibarat hidup dalam keadaan ketakutan saja. Tak dengar apa-apa. Dan tak alert dengan kawasan sekitar kita. Sungguh terasa bagai hilang upaya.

Lama-lama, sebiji demi sebiji suara masuk ke telinga kita. Barulah dapat mendengar segala bunyi yang ada. Itu pun bukan dengar semua. Samar-samar saja bunyinya.

Dan.

Dari jauh sana, sudah kelihatan tourist guide kami.

Orang Iban.

Ya.
Orang Iban.
Aum... Aum... Aum.

Tak.
Dia tak pakai cawat, ok.

Dan bermulalah episod pengembaraan kami di bumi Sarawak.

Yang penuh saspen. Penuh lawak gembira. Dan suka duka nestapa. Serta aktiviti-aktiviti menjelajah hutan yang boleh tahan menggila. Bersama Kakeno (kamera kita) yang sudah rosak lens 18-55mm. Maka, sepanjang pengembaraan kami cuma diiringi lens telezoom 70-200mm. Betapa terasa bagai, "Alah, tak seronoknya". Hajat mahu mengambil gambar setiap detik di sana tidak tercapai.

Sesungguhnya.
Manusia memang hanya merancang.
Cuma Allah saja yang layak tentukan.

Maka, pakai sajalah apa yang ada. Tanpa banyak songeh. Mujur juga ada kamera Dani.

Nantilah disambung sekiranya datang kerajinan eh. Paling tidak pun, Dani boleh tolong habiskan cerita. Kan Dani.

Ahai, Ramadhan sudah dekat.
Tak sabarnya.

Tapi, kena sabar. Sabar itu kan sebahagian daripada iman. Maka, silalah sabar walaupun sudah tidak sabar dan tidak mampu untuk bersabar. Berusahalah untuk cuba bersabar. Berusahalah.

Sabar Huzai.

Sabar.
Sabar.
Sabar.

Kamu semua apa cerita.

Sudah beli kurmakah_

Sambung baca...

Kategori:

Tuesday, August 11, 2009


_Demam sudah tinggalkan kita.

Cuma kepala saja yang masih pening lalat sedikit. Tekak yang sakit juga sudah kurang perit. Selsema juga sudah gugur tiada. Sengal-sengal badan juga sudah lari separuh perjalanan. Batuk yang tinggal cumalah batuk yang mengada-ngada. Sekejap ada sekejap tiada.

Wahooo!

Eh... eh, silap.

Astaghfirullahalazim.
Astaghfirullahalazim.
Astaghfirullahalazim.

Ampuniku Ya Allah. Tengok. Bila dah sehat, terus tak sedar diri. Terus lupakan Allah. Manusia memang macam ini. Eh, tak tak. Kita memang macam ini. Nanti Dia jentik balik demam itu ke kita baru tahu. Padan muka, hah.

Sepatutnya cakap alhamdulillah.

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.

Syukur Alhamdulillah.

Hah.

Hari ini....

Hari terakhir kerja untuk minggu ini. Esok sehingga Sabtu kita ke Kuching. Ahad baru kembali ke rumah. InsyaAllah. Hari ini juga. Mood kerja sudah luruh menjadi daun-daun kering. Walaupun musim luruh belum tiba, tetapi mood kerja kita sudah luruh dahulu. Dia memang suka mendahului sesiapa dan apa-apa. Tak ada kesedaran sivik betul mood kita ini.

Ini.

Pertama kali naik kapal terbang.
Kali terakhir masa darjah lima ke Mekah sana.
Jadi, tidak boleh dikira sebagai pernahlah ya.

Ini.

Pertama kali dapat peluang pakai beg tarik.
Alah, beg yang bentuk segiempat beroda dan boleh ditarik.
Terasa macam jakun dan agak lintang pukang juga kita ditariknya.

Ini.

Pertama kali dapat peluang keluar dari Semenanjung Malaysia.
Terasa cemas, gayat dan entah apa jenis rasa lagi wujud dalam ini.
Tak berapa nak tergambar pula rupa bentuk muka bumi Kuching itu.

Ini.

Pertama kali....

Eh, sudah... sudah.
Berapa banyak pertama kali kau nak letak ini.

Oh, ya.

Sekarang ini. Merata-rata tempat seperti sudah kehabisan stok menjual topeng muka. Barangkali sudah dibeli secara pukal oleh pihak hospital mungkin. Guardian tak ada. Watson pun tak ada. Vitacare rasanya tak ada juga. Yang kita jumpa semalam pun di kedai buku. Jangan tak percaya. Kedai buku pun jual ya. Hand sanitizer semua pun dah tak ada. Cuba periksa dekat kedai ikan, mungkin ada. Siapa tahu kan.

Ok.

Lepas jam enam setengah petang, kita sudah tiada akses Internet.

Jika sudi, doakanlah kita dan mereka yang bersama dengan kita ini selamat pergi dan balik. Kami rindukan Ramadhan. Semoga sempat melihat Ramadhan tahun ini. Terima kasih daun keladi, panjang umur boleh jumpa lagi.

Jaga diri.

Oh, ya.

Sebarang pesanan sudah ditutup. Tangan kita tak cukup. Dengan pesanan ikan terubuknya, udang keringnya, ikan bilisnya, kek lapisnya. Maaflah sangat-sangat ya.

Oh, hoi.

Terasa seperti makcik-makcik yang berjual di pasar tani pula kita.

Adalah juga rupa sedikit kan.

Kan_

Sambung baca...

Kategori:

Sunday, August 09, 2009


__Kadangkala, sakit itu kifarah(denda) dosa.

Kadangkala, sakit itu ujian cuma.

Dan kita pun tidak terkecuali ditimpa sakit.

Sabtu malam lepas.

Selepas pulang dari Maskara. Kita tengok adik gadis terdampar di katil tingkat bawah. Kita pun datang dekat dan pegang dahinya. Panas terasa. Panadol dan air dihulurkan. Kita kucup dahinya. Dan baring di sebelah sambil memeluk tengkuknya. Bersama-sama bergulung kesejukan di atas katil single itu. Bersempit-sempit kami di situ.

Pagi Ahadnya.

Kita terjaga di kala Subuh. Tekak terasa perit. Yang teramat. Selesai menghadap Tuhan, kita pun keluar berjoging. Dengan perut yang teramat kosong. Malam semalamnya tidak makan. Tekak terasa sebu. Paginya sebelum keluar berjoging juga tidak makan. Hasilnya, bagai mahu tercabut badan semasa berjoging. Sekejap-sekejap kita berhenti berlari. Dada terasa berdenyut-denyut sesak. Bagai diketuk-ketuk. Perut merungut-rungut dipenuhi angin.

Sampai di rumah.

Kita sudah lemah longlai. Tapi muka tetap digagahkan. Malamnya, bermulalah episod pertarungan nyawa. Di pembaringan, ke kiri terasa tidak lena. Ke kanan juga terasa tidak lena. Duduk pun salah. Baring pun salah. Kaki dan tangan terasa sejuk yang amat. Kepala pula bukan main hebat ia berdenyut. Sakit yang menggigit. Badan pula terasa sengal-sengal sakit. Cuma jari-jari saja berjalan berselawat mengurangkan perit.

Sesungguhnya,
jika ini kifarah untukku,
aku redha dengan ketentuanMu.

Semoga ini bukan petanda demam virus selsema khinzir.

Adik gadis bercuti seminggu. Salah seorang pelajar di dalam dewan kuliah mereka disyaki terkena virus H1N1. Makanya, seluruh pelajar di dalam dewan kuliah itu dikehendaki pulang selama seminggu. Alhamdulillah, disebabkan adik gadis kita pelajar kejururawatan maka telah disuntiknya vaksin H1N1 awal-awal dahulu.

Cumanya.

Kita pula diserang demam sebaik saja baring di sebelahnya.

Demam.
Sakit badan.
Sakit kepala.

Alhamdulillah.

Demam sudah kebah dalam satu malam. Cuma sakit badan dan pening-pening lalat di kepala belum mahu pergi tinggalkan kita. Tekak pula tetap dengan rasa loyanya. Ya, kita belum jumpa doktor. Cukuplah Panadol bersama kita. Semoga dapat menampung daya tahan badan ke Kuching bermula Rabu ini sehingga Sabtu ini.

Ramadhan semakin hampir.
Hai, rindu sungguh dengan Ramadhan.

Ini untuk kamu semua, penyejuk jiwa.

Terjemahan Ya Rabbi Bil Mustaffa.

Ya Allah Ya Tuhan
Doaku panjatkan
Limpahkan hidayahMu
Ya wasi'al karami

Dengan mengingatiMu
Kan tenang di hatiku
Rahmatilah hidupku
Ya wasi'al karami

Tiada amal ibadah
Yang dapat kubanggakan
Mohon belas kasihan
Ya wasi'al karami


Sesungguhnya.

Mohon belas kasihan, Ya Allah.
Mohon belas kasihan, Ya Allah.
Mohon belas kasihan, Ya Allah.

Kumohon.
Belas kasihanMu, Ya Allah.
Mewakili seluruh umat Islam di dunia ini.

Sesungguhnya.

Kami yang hina ini cuma mengingatiMu di kala ditimpa kesusahan saja. Mohon belas kasihanMu Ya Allah. Ya Rabbi Bil Mustaffa.

Mari amin ramai-ramai_

Sambung baca...

Kategori:

Sunday, August 09, 2009


_Yang baiknya.

Aku tak sesat jalan lagi. Eh, silap. Kita tak sesat jalan lagi. Dari Setiawangsa ke Jalan Ampang. Abaikan terus MRR2 yang menambah pusing di kepala itu. Sesungguhnya, memang tak seronok langsung lalu MRR2 itu. Sudahlah itu kawasan kemalangan. Manusia memandu macam syaitan. Sungguhpun syaitan tak memandu kereta, tapi kira macam syaitanlah pemandu itu punya menggila.

Yang tak baiknya.

Aku lupa terus jemputan Ain ke Masjlis Cukur Jambul. Aduhai A'ish. Ampuniku wahai manusia kecil. Semoga bila besar nanti, A'ish baca entri ini ok. Sekarang baru dua bulan. Eh, sebulan. Eh, berapa bulan entah si kacak kecil ini. Apa-apa pun, semoga sentiasa berada dalam peliharaan Allah hendaknya.

Tentang Maskara.

Pertama kali sampai sebelum majlis bermula. Nampak seperti ada pencapaian dalam mematuhi masa. Cuma, Ida tetap kena tunggu macam setengah jam awal di hadapan Penjara Pudu. Aduhai Ida. Terasa malu sudah nak hulurkan tangan meminta ampun. Aku memang! Cuma maaf banyak-banyak. Berjaya juga aku merempit dalam kesesakan dalam masa lebih kurang lima belas ke dua puluh minit dari Wangsa Maju ke Penjara Pudu itu.

Oh, lupa.

Tentang persembahan di Maskara.

Beeha.
Gadis ini, memang subhanaAllah. Wajahnya bersih cantik. Kalau bertudung litup pun mungkin lebih cantik barangkali. Gayanya tenang saja. Memetik gitar. Suaranya pun subhanaAllah. Pitching tak lari. Terbuai-buai jugalah dengar lagu Pari-pari Kertas dan Kelkatu itu. Terima kasih untuk kamu. Semoga diberkatiNya selalu.

Saudagar Garam.
Lelaki ini, ha ha. Serius. Tapi, sinis. Dan sengal. Dan boleh tahan lawak. Dan sengal. Dan boleh tahan lawak. Kalau daya menangkap apa yang ditafsirnya itu tidak tinggi, memang jadi bosanlah mungkin mendengar beritanya. Hadirnya di depan sebagai pembaca berita TV1. Ya, dulu berita TV1 ada bunyi intro muzik macam itu. Macam berita Dunia Jam 10. Yang membezakanya, tidak ada di sudut tepi bawah sebelah kiri seorang perempuan yang menterjemahkan beritanya dalam bahasa isyarat. Rambut si saudagar Garam yang kriwel-kriwel itu sekaligus menafsirkan bahawa beliau seorang Jawa. Ya, tepat sekali tembakanku. Terima kasih untuk kamu. Semoga diberkati selalu.

Superfriends.
Lelaki bertiga. Beserta Azzam Supardi. Terbaik. Masing-masing dengan identiti sendiri. Sajak kalian masih terngiang-ngiang melekat di saluran esofagusku, eh silap. Kokleaku. Hah. Betapa terlekatnya drama bersajak mereka. Terima kasih untuk kalian. Semoga diberkatiNya selalu.

Danielle Cor.. err susah nak eja.
Lelaki itu, seorang wartawan. Dengar katalah. Sebelum ini, selalu ternampak komen beliau di blog bro Sinaganaga. Sangkaku dia seorang wanita. Rupanya, alahai maafkan saya. Mendeklamasikan sajak WS Rendra, Sajak Sebatang Lisong. Siapa itu WS Rendra, sila rujuk pakcik Google kalau tidak tahu. Jangan malas. Sajaknya memang menegakkan segala bulu roma di dalam telingaku. Berdesing-desing ayatnya. Gaya Danielle sendiri pun ala-ala Clark Kent Melayu. Err, kamu berbangsa Melayukah? Apa-apa pun, terima kasih untuk kamu. Semoga diberkatiNya selalu.

Saufi Jikan.
Lelaki ini tidak perlu dikenalkan. Watak pertama kewujudannya yang kita perasan adalah dalam cerita Cinta. Dan juga Zombie Kampung Pisang. Memang rock. Rock seperti pakcik Ramli Sarip. Tapi, pakcik Ramli Sarip lebih rocklah. Pendek kata, yang rock itu memang kedua-duanyalah. Apa-apa pun, terima kasih untuk kamu. Semoga diberkatiNya selalu.

Meor.
Lelaki ini, kita baru pertama kali tahu kewujudannya. Maaflah. Kita tidak tahu. Di depan kaunter penjualan buku dan CD beliau, kita bisik secara kuat pada Ida, "Siapa Meor? Kau kenal?" Mujurlah, brader Meor yang duduk betul-betul di kaunter hadapan kami ini tidak melibas gitarnya ke muka kita. Di sini beliau. Apa-apa pun, terima kasih untuk kamu. Semoga diberkatiNya selalu.

Seorang lagi berambut panjang, kriwel.
Berduet bersama saudara Meor. Siapa ya. Alahai. Maaflah. Galak sangat membelek kamera kawan. Persembahan depan mata pun tak dipandangnya. Apa-apa pun, terima kasih untuk kamu. Semoga diberkatiNya selalu.

Keseluruhannya,
Terima kasih buat semua orga Sindiket Soljah. Semoga Tuhan berkati kamu sekalian selalu.

Terakhirnya....

Maskara Shorties pada 3 Oktober 2009 ini.

Apa itu Maskara Shorties?

Cari sendiri.

Aku kejam hari ini_

Sambung baca...

Kategori:

Friday, August 07, 2009


_Terasa semacam gila bayang sedikit sekarang ini.

Ya.

Gilakan bayang.

Pandang kiri ternampak.
Pandang kanan ternampak.
Pandang depan ternampak juga.
Pandang belakang pun tetap ternampak juga.

Pejam mata pun ternampak dan terbayang.

Gelojoh dibuatnya. Makannya tidak kenyang. Mandinya tidak basah. Tidurnya tidak lena. Teringatkan ia. Sekejap-sekejap terbangun. Sekejap-sekejap tertidur. Entahkan berjumpa lagi ke tidak agaknya. Setiap kali ternampak suku sakat dan sanak saudaranya pun pasti terkenang juga. Berdebar-debar terasa.

Ya.

Gila bayang pada....

Ramadhan.

Mana tidaknya. Asal singgah pasaraya Giant saja mesti nampak kurma. Asal singgah pasar malam saja mesti nampak kurma. Asal singgah pasar siang saja mesti nampak kurma. Tapi kalau singgah pasaraya Carefour di Wangsa Melawati ini, mesti nampak pelita untuk hari raya. Paling tidak pun, lampu kelip-kelip di kala hari raya. Dan paling tidak dan tidak pun, pasti ada jualan murah baju kurung dan baju melayu.

Alahai Carefour.

Hah.

Tanggal berapakah kita semua mula berpuasa?

21 Ogos!
Eh, silap... silap.

22 Ogos.

Makanya.

Mari buat senarai semak untuk Ramadhan, wahai semua pencinta Ramadhan.

  1. Pergi beli stok kurma berkotak-kotak. Lepas Ramadhan pun boleh makan lagi. Setiap bulan pun boleh makan kurma kalau gaji belum masuk lagi. Sekurangnya berkhasiatlah sedikit berbanding Mi Maggee kan.
  2. Pergi beli Al-Quran kalau belum ada. Stand by siap-siap dekat bilik. Baca hari-hari. Satu hari paling kurang satu muka surat. Kalau tak larat pasal berbuka banyak sangat melantaknya, bacalah satu perenggan. Kalau tak jumpa perenggan dalam Al-Quran, bacalah sampai jumpa. Lama-lama terus khatam punya. Haha.
  3. Stand by tasbih. Saiz sederhana. Kecil pun boleh juga. Bawa hari-hari dalam poket seluar. Dalam LRT pun boleh berzikir. Kalau tak cukup duit nak beli tasbih, pakai jari saja pun boleh. Sebatang jari kan ada tiga bahagian. Kiranya, dalam lima jari itu dah boleh baca lima belas kali. Ulang lagi sampai mengantuk tertidur atau pun sampai ke destinasi.
  4. Setiap malam tidur awal sikit. Lepas Isyak itu tak payah tengok televisyen. Terus pergi tidur. Baca tiga ayat terakhir Surah Al-Kahfi untuk mudah terjaga pada sepertiga malam. Eh, empat ayat terakhir ke tiga ek. Alahai terlupa. Kalau susah sangat, sebelum tidur itu doalah minta Allah tolong bangunkan pukul dua ke tiga ke.
  5. Bila berpuasa, tunaikan puasa dengan bersungguh-sungguhnya. Jaga mata. Jangan meliar saja pandangannya. Jaga telinga. Jangan dengar perkara-perkara yang tidak baik. Jaga tutur bicara. Jangan nak maki hamun sumpah seranah saja kerjanya.


Senarai semak itu, khas untuk kita.
Dan kamu juga.

Jika....
Ada gunanyalah.

Hah.

Sudah beli stok kurma ke belum_

Sambung baca...

Kategori:

Monday, August 03, 2009


_Barangsiapa yang BERUSAHA untuk CUBA meninggalkan larangan Allah dan mengikut segala suruhanNya, pasti sentiasa berada di dalam lindungan dan peliharaanNya.

Ulang lagi.

Barangsiapa yang BERUSAHA untuk CUBA meninggalkan larangan Allah dan mengikut segala suruhanNya, pasti sentiasa berada di dalam lindungan dan peliharaanNya.

Ulang sekali lagi.

Eh... eh, nak kena budak ini.

Ok, ulang yang pendek sikit.
Berusaha untuk cuba.
Untuk cuba.
Cuba.

Nak seribu daya, kalau tak nak itu seribu....

Ah, sambung sendiri.

Dari kitab Al-Akhlak Al-Islamiyyah lin Nasyi'in.

Pada zaman dahulu.

Ada seorang lelaki Arab yang begitu kacak dan sempurna sekali rupa parasnya. Walaupun tidaklah sekacak nabi Yusuf. Tetapi, lelaki Arab itu tetap termasuk dalam kategori lelaki yang sangat kacak. Yang mana jika sesiapa terpandang akan wajahnya, pasti terjatuh hati dibuatnya.

Akibatnya.

Siang malam mandi tidak basah walaupun sudah 8 jam berendam dalam tab mandi sambil berbuih-buih. Makan pula tidak kenyang langsung walaupun telah melantak segala ayam, burger, nasi goreng pataya, bihun tomyam dan megi goreng. Tidur pula langsung tidak lena walaupun dibekalkan tilam yang empuk beserta penghawa dingin dan kelambu yang kalis daripada dengungan nyamuk bagai.

Itulah.

Terkenang-kenang orang yang didambakan.
Melebihi dambaan terhadap Pencipta Yang Esa.

Tak patut itu.

Hah.

Tengoklah betapa tingginya 'kuasa tarikan elektrik' di wajah lelaki itu. Setiap mata yang memandang pasti terkena renjatannya.

Ok, sambung.

Di dalam sebuah negeri Arab yang mana kita tidaklah ingat akan namanya kerana penyakit pelupa kita yang kronik ini. Kisah ini terjadi di tanah Syam. Di dalam negeri itu, terdapat seorang hartawan wanita yang sangat rupawan dan masih belum memeluk Islam pada ketika itu. Lelaki Arab itu pula adalah seorang lelaki Islam yang alim lagi warak orangnya.

Suatu hari, Allah mahu menguji keimanan lelaki itu.

Ketika lelaki itu sedang melintasi rumah wanita yang kaya itu, wanita tersebut telah terjatuh hati sebaik sahaja terpandang akan wajahnya. Siang dan malam asyik terkenang-kenang. Hatinya telah diragut orang.

Akibat tidak dapat menahan godaan nafsunya, wanita itu telah bernekad untuk berjumpa dengan lelaki itu dan menggodanya. Diumpannya lelaki itu untuk ke rumahnya. Pelbagai cara yang dilakukan agar lelaki tersebut tertarik hati kepadanya. Maka. Tahulah lelaki itu akhirnya akan niat buruk sebenar wanita tersebut.

Walaupun digoda berkali-kali, hati lelaki itu tetap setia kepada Allah. Terkumat-kamit mulutnya beristighfar mengharapkan keampunan Allah. Sambil mengharapkan pertolongan dariNya. Wanita itu mula naik bosan. Namun, tidak sekali-sekali dia berputus asa untuk menggoda lelaki tersebut.

Akhirnya.

Untuk mengelakkan wanita itu daripada terus mendekati dan menggodanya, lelaki tersebut telah meminta kebenaran untuk ke bilik air. Lelaki itu berpura-pura bersetuju dengan hasrat wanita tersebut dengan syarat dia mahu membersihkan dirinya terlebih dahulu. Gembira bukan kepalang wanita itu apabila mendengarkan kata-kata lelaki tersebut. Sangkanya hasrat telah tercapai.

Di dalam bilik air.

Ke hulu ke hilir lelaki itu berulang-alik. Sekejap terduduk. Sekejap berdiri. Memanjangkan akal mencari jalan keluar. Akhirnya, lelaki tersebut memohon pertolongan daripada Allah agar diberi jalan keluar daripada fitnah yang terbesar itu.

Tiba-tiba dia mendapat satu akal.

Tanpa membuang masa, dia terus membuka bajunya. Dan membuang air besar. Lalu, segala najisnya dilumurkan ke seluruh badan dan muka. Sambil mulutnya terkumat-kamit tetap memohon petunjuk dan perlindungan dari Allah. Tidak sanggup rasanya lelaki itu menahan bau busuk najis yang memenuhi seluruh tubuhnya. Setiap kali dia melumuri najis tersebut, lelaki itu pasti termuntah-muntah berkali-kali. Mengalir air matanya mengharapkan perlindungan dan pertolongan Allah semata-mata.

Akhirnya, keluarlah lelaki itu daripada bilik air.

Alangkah terkejutnya wanita tersebut apabila melihat seluruh tubuh lelaki itu dipenuhi najis. Wanita itu mula terjerit-jerit menuduh lelaki itu gila dan menghalaunya keluar dari rumah. Lelaki tersebut terus berlari keluar dan menuju ke rumahnya dalam keadaan dipenuhi najis. Di sepanjang perjalanan, orang ramai mula mengejek-ejeknya dan menjauhkan diri daripadanya. Sayu hatinya dihina sebegitu rupa.

Setibanya di rumah.

Lelaki tersebut terus membersihkan dirinya. Dan dengan kuasa Allah, setelah badannya yang berlumuran najis tadi disucikan, tiba-tiba badannya mengeluarkan bau yang sangat wangi dan lebih harum daripada bau kasturi. Dari jauh lagi sudah boleh terbau akan keharuman lelaki tersebut. Yang mana selepas kejadian itu, mereka telah menggelarnya dengan gelaran, err...

Alah, lupalah pula Al-Miski, iaitu orang yang seharum kasturi.

Kisah nyata ini masih boleh dilihat bekasnya sehingga kini. Di tanah Syam, ada sebuah makam yang bertuliskan 'Al-Miski'. Itulah kubur lelaki mulia yang menjaga kesuciannya ini.

Tetapi.
Memang subhanaAllah.

Tengok. Tinja itu pun ada gunanya. Tapi jangan cuba di rumah pula. Cuma dalam keadaan darurat atau terpaksa sahaja boleh guna. Itu pun kalau sanggup cubalah. Kalau sanggup ya.

Kesimpulannya.

Barangsiapa yang BERUSAHA untuk CUBA meninggalkan larangan Allah dan mengikut segala suruhanNya, pasti sentiasa berada di dalam lindungan dan peliharaanNya.

Maka.

Berusahalah untuk cuba.

Banyak betul penggunaan ITU dalam cerita atas ini. Memang tak berapa nak penglipurlara betul si Huzai ini. Ish, maaflah kita tak pandai nak bercerita.

Ok.

Lelaki kacak yang beriman pada akhir zaman ini, sila ke depan_

Sambung baca...

Kategori:

Monday, August 03, 2009


_Memohon lesen berniaga bukan kerja mudah.

Peta kena ada.

Salinan kad pengenalan kena ada. Dua keping gambar kena ada. Dan tiga gambar tapak gerai dari sudut kiri, kanan dan hadapan juga kena ada. Makanya, semalam kitalah orangnya yang tertebeng di tepi jalan petang hari untuk mengambil gambar. Mak Ngah kita minta tolong ambil gambar tapak gerainya.

Kita pun usung Kakeno.

Psstt, Kakeno itu sebiji kamera Canon 350D. Sudah 4 tahun rasanya umur beliau. Ke lima entah. Dah lama betul tak ambil gambar. Liat jari jadinya.

Dari hujung jalan kiri.

Klik!
Klik!

Zrett..

Err-99 terpapar pada skrin Kakeno. Kita terkaku. Alah, biar betul Kakeno ini. Dah nak meninggal ke budak ini. Sekejap-sekejap asyik keluar Err-99. Sekejap-sekejap pula molek jadinya. Kesudahannya, kita sugul di tepi jalan. Macamana ini. Minggu depan sudah mahu ke Kuching. Tak berapa nak bermaknalah kalau tak ada kamera DSLR.

Alahai.

Kawan kita kata shutter Kakeno yang rosak. Kawan kita hantar ke kedai untuk baikpulih shutter kamera Nikon D70s dahulukala adalah dalam empat ratus lebih harganya. Itu Nikon. Kalau Canon ini, entah berapa pula dia caj.

Alahai.

Empat ratus ringgit!

-_-"

Terus kita nampak bintang.

  1. Adakah perlu upgrade kamera?
  2. Perlukah bertukar kepada Nikon?
  3. Atau, hantar baiki sahaja si budak Kakeno ini?


Canon masih tetap di hatiku.

Tapi....

Macamana ini, alahai_

Sambung baca...

Kategori:

Copyright 2010 Famia. Powered by Blogger. Contact me at harasxt_21@yahoo.com.