
_Beratus-ratus purnama dahulu.
Lebuhraya MRR2 belum lahir lagi.
Iyalah.
Sebahagian MRR2 ini letaknya depan rumah kita saja.
Kalau ada yang panjang kaki ke Kuantan mahupun Genting Highlands, memang wajib lalu depan rumah kita. Nanti, buatlah 2 ke 3 kali lambaian Kaabah kedamaian. Mana tahu kalau kita tengah tercongok depan rumah ke masa itu. Boleh juga kita campak Choki Choki dari jauh buat bekalan perjalanan.
Beratus-ratus purnama dahulu.
Depan rumah kita ini masih lagi jalanraya biasa. Masih bertanah pasir dan sekali sekala berwarna merah. Akibat rakus disodok pekerja Indonesia. Habis segala jemaah pokok getah depan rumah kita. Kononnya, itu zaman 'The Making of MRR2'. Papan tanda hentian bas pun tak ada tahu. Semua bas pakat berhenti ikut sedap mereka saja. Ikut gerak hati sendiri, kita rasa.
Makanya.
Bayangkan betapa sembelitnya kita mahu naik bas.
Sudahlah belum baligh lagi. Belum pernah rasa berdebar lagi. Mata pun tak pandai nak pandang lelaki lagi. Sogo pun kita tak kenal lagi. Masa itu MidValley pun belum lahir lagi. Nak ke bandar Kuala Lumpur itu pun cuak setengah nak mati. Memang tak tahu jalan. Orang putih kata, 'Clueless'.
Muka macam takut-takut, kawan kita kata.
Beratus-ratus purnama dahulu.
Sewaktu idea membina landasan LRT pun belum tercetus lagi. Kita kalau mahu naik bas, terpaksa pakai teori dan eksperimen kita sendiri.
Macam ini.
Kalau jalanraya itu 50 meter, sepanjang 5 meter kita akan bergerak setapak demi setapak. Di setiap 5 meter kita pasti melambai bas menyuruh berhenti. Kalau salah tekaan, memang bas itu vrooommm laju tinggalkan kita. Kadangkala, kita yang vrooommmmm laju tinggalkan bas pula.
Dan kadangkala, kita kena berkejaran seperti di tepi pantai.
Itu belum lagi kena acah dengan pemandu bas.
Keji gila.
Letih kita dibuatnya.
Dan hasil daripada analisa serta eksperimen kita, akhirnya kita berjaya mengenalpasti kedudukan sebenar papan tanda hentian bas yang lutsinar itu.
Beratus-ratus purnama kemudian.
Di mana-mana saja ada hentian. Setiap jalan pasti ada hentian. Bukan saja hentian bas, hentian teksi pun ada. Hentian lori haram bersama binatang haram pun ada. Hentian R & R pun ada juga. Hentian secara haram lagilah bersepah saja. Zaman sekarang kalau mahu tahan mana-mana kereta di tepi jalan, memang gila senang.
Kacang putih saja.
Hijau mata hitam kita dibuatnya.
Senang bukan mahu tahan kenderaan_









